Sunday, June 28, 2015

TELAGA MAK NYAH SUYAH

            Sudah berapa hari hujan tak turun di Lembah Kelang. Semenjak bermulanya puasa. Betul-betul merupakan dugaan kepada umat Islam yang berpuasa. Sememangnya panas dan tentunya bercampur dahaga.Namun keadaan sebegini tidak boleh ‘menggegarkan’ keimanan umat Islam yang berpuasa.

            Dalam keadaan cuaca yang sebegini tentunya aku teringat kepada suasana yang agak serupa yang aku alami ketika mengalami bulan Ramadhan ketika masih kanak-kanak dulu. Tahun 1950an. Walaupun mengalami keadaan yang amat memeritkan ketika berpuasa, namun aku dan rakan-rakan sebaya seperti Isa, Bahari, Noh, Ngah, Ani tidak pernah pula ‘ponteng’ dari mengerjakan ibadat puasa. Lengkap 30 hari.

            Pada ketika itu aku masih belajar di sekolah Melayu. Belum lagi masuk sekolah orang putih. Sekolah Melayu biasanya diberi cuti sebulan oleh penjajah British waktu bulan Ramadhan. Mungkin British menjalankan dasar demikian untuk ‘mengambil hati’ orang Melayu/Islam di Tanah Melayu supaya yakin kepada penjajah yang dianggap amat perihatin tentang keadaan orang Melayu/Islam yang berpuasa. Yang menghairankan pihak British tidak pula memberi cuti sebulan kepada sekolah Inggeris pada bulan Ramadhan. Mengapa?.....

            Seperti biasa, lebih kurang pukul 9.00 pagi aku sudah mula keluar rumah untuk ‘berkelana’ bersama-sama dengan Isa, Bahari, Noh, Ngah, Ani. Kami semacam terpaksa keluar dari rumah untuk mengelakkan cuaca panas. Terlalu sukar untuk dibayangkan oleh anak-anak kini tentang keadaan yang terpaksa kami lalui tinggal di dalam rumah yang beratap zinc di tengah cuaca yang membakar. Sudahlah rumah yang kami diami ketika itu kecil (tanpa bilik) dan beratap zinc pula telah menyebabkan kami terpaksa mencari tempat yang agak nyaman. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang bercuaca demikian.

            Mahu tak mahu kami terpaksa keluar dari rumah dan menjalankan ‘aktiviti’ yang sesuai untuk kami lakukan. Melastik burung merupakan aktiviti yang sering dilakukan. Jikalau pun tidak melastik burung kami akan hanya ‘ronda-ronda’ dalam kebun getah kepunyaan Pak Chu Said dimana terdapat suasana yang agak nyaman di bawah naungan pokok getah yang rimbun. Itulah rupa kegiatan yang dapat dilakukan oleh anak kampung seperti kami sebagai usaha untuk ‘melarikan diri’ dari cuaca panas.

            Apabila menjelang Zohor kami akan bergerak menuju ke suatu tempat yang paling kami minati sekali terutama dalam bulan Ramadhan dimana kepanasan cuaca amat luar biasa. Telaga Mak Nyah Suyah. Aku boleh katakan bahawa Telaga Mak Nyah Suyah merupakan satu ‘pemberian’ kepada keluarganya. Airnya begitu jernih sekali, kebiru-biruan seperti air kolam renang yang terdapat di hotel-hotel bertaraf lima bintang. Aku pun agak hiran apabila memikirkan bagaimana boleh terbit air yang begitu jernih daripada mata air di telaga Mak Nyah Suyah ini. Tidak pula terdapat air telaga lain di kampung aku seperti air telaga Mak Nyah Suyah.

            Hendak aku katakan disebabkan telaganya terletak di tepi sawah, banyak juga telaga-telaga lain yang terletak di tepi sawah di kampung aku. Telaga Atuk aku pun ditepi sawah juga tetapi tidaklah sejernih itu airnya. Telaga Pah Anjang Judah juga tidak begitu. Telaga Pak Alang Behak tidak sejernih itu. Telaga Wan Ngah Bangut juga tidak seperti telaga Mak Nyah Suyah.

            Disebabkan suasana yang nyaman dan sedap mata memandang di persekitaran telaga Mak Nyah Suyah menyebabkan ia merupakan ‘favourite spot’ bagi kanak-kanak seperti kami. Di tepi telaga berkenaan dikelilingi oleh barisan pokok bunga raya yang berlainan yang mengeluarkan bunga berbagai warna. Sememangnya telaga Mak Nyah Suyah terletak di tepi sawah yang terbentang luas. Memang sedap mata memandang terutama ketika waktu petang ketika padi sedang menguning. Dan untuk menambahkan lagi keenakan mata memandangnya ialah apabila mata hari hampir terbenam di ufuk timur.

            Sebenarnya ini merupakan ‘pemberian’ Tuhan kepada kami anak-anak kampung yang tidak pernah melihat matahari terbenam di Pantai Kuta di Bali atau di Pantai Wakiki di Hawaii. Pemandangan yang aku nikmati ketika bersantai di tepi Telaga Mak Nyah Suyah sebenarnya lebih nikmat lagi berbanding dengan nikmat yang aku berpeluang nikmati di Kuta Beach Bali atau Pantai Wakiki di Hawaii tiga puluh tahun kemudiannya.

            Telaga Mak Nyah Suyah bukan kolam mandi. Jadi untuk mandi-manda di telaga berkenaan terpaksalah menggunakan ‘cebuk’ yang diperbuat daripada upeh pinang ataupun menggunakan tempurung kelapa yang agak besar. Pada ketika itu belum ada lagi tercipta ‘cebuk’ yang diperbuat daripada plastik seperti keadaan sekarang. Oleh itu kebanyakan orang kampung aku menggunakan ‘cebuk’ yang diperbuat dari upeh pinang ataupun daripada tempurung kelapa.

            Setelah puas mandi-manda di Telaga Mak Nyah Suyah, kami mula bergerak pulang. Dan pada ketika itu sudah pun menjelang Asar dan cuaca panas sudah mula berkurangan. Begitulah ‘jadual’ kami setiap hari pada bulan Ramadhan ketika sekolah cuti. Sesampai sahaja di rumah nanti kami akan melelapkan mata buat seketika sebelum bergerak pula ke surau Ekor Dusun untuk berbuka puasa.

            Jauh sangat bezanya dengan perjalanan hidup kanak-kanak kini.

abuhassanadam
28 Jun 2015


            

2 comments:

  1. Slm Pak Abu

    Ada lagi ker Telaga Mak Nyah Suyah sekarang ni? or for that matter, semua telaga2 lain yg Pak Abu sebut tu?

    ReplyDelete
  2. Innoza,

    Soalan anda soalan 'cepu emas'. Terima kasih. Masih segar terbayang dalam ingatan. Yang pasti telaga Atuk saya sudah tertimbus.Dan semua telaga yang saya sebutkan itu sudah tidak ada lagi disebabkan semua orang kampung menggunakan air paip kini.

    Pak Abu

    ReplyDelete