Tuesday, August 18, 2015

KE MANA PERGINYA  ‘PEMUDA HARAPAN BANGSA’?

            Peranan anak muda Malaysia dalam kemelut yang dihadapi oleh negara kini tidak begitu ketara. Kadang-kadang aku merasakan bahawa seolah-olah negara Malaysia sudah tidak mempunyai anak muda yang boleh berperanan membela bangsa seperti anak-anak muda zaman sebelum kemerdekaan. Dan apabila aku memperkatakan tentang ‘anak muda’ bermakna bahawa aku juga mempersoalkan tentang ‘pemudi tiang negara’ juga.

            Dalam suasana negara menghadapi suatu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kelihatan bahawa anak muda seolah-olah menyembunyikan diri, semacam tidak peduli tentang apa yang berlaku kepada negara kini. Mungkin mereka bergerak secara diam-diam, berperanan yang sepatutnya dimainkan oleh anak muda harapan bangsa. Mungkin.

            Di kampus-kampus universiti juga agak ‘lengang’. Seolah-olah para pelajar kita begitu ghairah hanya menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran mereka sebagaimana yang sentiasa dinasihatkan oleh kerajaan agar para pelajar di pusat pengajian tinggi tidak terlibat dalam kegiatan yang ‘tidak menguntungkan’ seperti terlibat dalam persatuan yang mempersoalkan tentang pemerintahan negara. Lantas anak-anak muda kita ‘patuh’ sepenuhnya dengan ‘nasihat’ oleh pemimpin kita dan wujudlah suasana yang amat ‘damai’ di pusat-pusat pengajian tinggi kini dimana anak muda langsung tidak mempedulikan apa yang akan berlaku kepada negara yang mereka juga akan mewarisinya pada suatu ketika nanti. Anggapan sebegini mungkin meleset.

            Keadaan pelajar-pelajar kini tentulah amat berbeza dengan keadaan pelajar tahun-tahun 70an di mana para pelajar universiti sama-sama memperjuangkan apa yang disebut oleh Saudara Anwar Ibrahim sebagai ‘the conscience of the majority’. Dan sememangnya pelajar-pelajar pada ketika itu amat peka dengan keadaan yang berlaku dalam negara pada ketika itu. Para pelajar seolah-olah merupakan telinga dan mata masyarakat. Apa saja yang berlaku dalam negara yang dirasakan oleh pelajar tidak sesuai dan ‘tidak kena’ maka para pelajar akan ‘berarak di jalan raya’ menuntut agar ‘keadaan yang tidak betul’ itu diperbetulkan.

            Mungkin ‘zaman’ para pelajar bertindak sedemikian sudah berlalu. Mungkin tindakan sedemikian hanya sesuai untuk pelajar-pelajar tahun 1970an pimpinan Anwar Ibrahim saja. Mungkin. Namun tentulah ada pula kaedah-kaedah lain yang boleh ‘dicipta’ oleh para pelajar di pusat pengajian tinggi hari ini untuk ‘membetulkan’ apa yang tidak betul berlaku di negara kita pada hari ini. Aku membangkitkan isu sebegini disebabkan wujud suasana yang amat ‘tenang’ di pusat-pusat pengajian tinggi seolah-olah anak-anak kita langsung tidak peduli tentang keadaan yang berlaku dalam negara kini. Seolah-olah anak-anak kita sudah menjadi manusia ‘mati pucuk’ yang boleh ‘dicucuk hidung’ dan boleh disuruh arah mengikut kehendak pihak-pihak tertentu.

            Mungkinlah ini merupakan ‘kejayaan besar’ pihak kerajaan Malaysia yang telah berjaya ‘menjinakkan’ para pelajar supaya ‘diam membisu’ dan hanya menumpukan perhatian kepada pelajaran demi untuk lulus dalam peperiksaan. Para pelajar di pusat pengajian tinggi kini bukan lagi merupakan ‘ayam tambatan’ yang diharapkan untuk berjuang membela bangsa dan negara.

            Amat sedih apabila melihatkan tidak kedengaran langsung ‘suara’ pelajar dan suara anak muda memperkatakan tentang isu IMDB dan isu lain yang sedang hangat diperkatakan. Tidak pula aku meminta para pelajar untuk menentang kepimpinan kerajaan ekoran daripada isu berkenaan. Sekurang-kurangnya rakyat merindui amat sangat untuk mendengar ‘suara’ anak muda kita memperkatakan tentang isu IMDB dan isu yang berkaitan dengan wang RM 2.6 billion yang dimiliki oleh akuan DS Najib. Atau pun mungkin juga aku yang ‘pekak’ kerana tidak dapat mendengar ‘jeritan’ pelajar. Mungkin.

            Sehingga kini hanya kedengaran suara-suara ‘wira tua’ yang tampil memperkatakan dan memperjuangkan apa yang dirasakan tidak kena yang berlaku dalam negara kini. Hanya ‘wira tua’ yang terpaksa ‘banun’ semula memperkatakan apa yang dirasakan tidak kena dilakukan oleh kepimpinan negara kini. Apakah para pelajar dan anak muda kini tidak merasa ‘sedih’ dan ‘pilu’ melihatkan peranan yang terpaksa dimainkan oleh Tun Mahathir (yang sudah melebihi usia 90 tahun) seorang ‘wira tua’ yang terpaksa tampil semula ‘bersepak terajang’ di arena politik negara yang menghadapi kemelut yang bukan kepalang.

            Mungkin ada yang mengatakan bahawa peranan anak muda seperti Khairi Jamaluddin, Rafizi Ramli, Tony Pua sudah cukup untuk mewakili peranan yang harus dimainkan oleh anak muda negara ini. Betul. Persoalan yang berada di hadapan kita ialah tentang peranan yang harus dimainkan oleh pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi sebagaimana yang dilakukan oleh pelajar-pelajar dari negara maju. Para pelajar harus tahu dan peka dengan perkembangan yang berlaku dalam negara kini. Para pelajar harus melihat suasana dalam negara kini dengan penuh rasional dan dapat membuat penilaian berdasarkan pemikiran yang kritis.

            Anak-anak pelajar di pusat pengajian tinggi adalah merupakan golongan terpilih yang boleh menilai baik–buruk sesuatu keadaan. Dan anak-anak di pusat pengajian tinggi juga yang seharusnya bertindak menetukan jatuh bangunnya bangsa Malaysia, bukan sahaja kini tetapi pada masa akan datang. Dan apabila memperkatakan tentang Malaysia pada tahun 2020 adalah juga memperkatakan tentang nasib anak-anak juga yang akan ‘menghuni’ Malaysia pada ketika itu.

            Jangan mengharapkan kepada ‘wira-wira tua’ untuk memperjuangkan nasib saudara-saudara semua. Dan bertindaklah sebelum terlambat.

abuhassanadam

18 Ogos 2015

1 comment:

  1. Pak Abu,

    Pemuda pemudi sibuk dgn gadget zaman skrg ni.

    ReplyDelete