Sunday, March 19, 2017

LUNTURNYA SOKONGAN TERHADAP PAS / UMNO

Aku terbaca satu petikan melalui Malaysiakini, memetik ucapan dan kenyataan DS Haji Hadi Awang selaku Presiden PAS. Katanya,
         "Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor - biar PAS memimpin. Negeri lain, Umno nak lagi, biar ke dia…Kalau boleh (PAS) nak (sapu) habis, tapi (kita) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerluan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik islam….Ini sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politk matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama, tak mahu keras, (nak) lembut."
Setelah agak lama menilai dan bermenung melihat kenyataan ini, terpanggil pula benak aku untuk mempersoalkan samada DS Haji Hadi sedar atau tidak tentang kenyataan yang dikeluarkannya itu. Tentulah jawapannya positif. Tetapi kesan daripada apa yang diluahkannya itu memberikan kesan yang amat negatif kepada ahli PAS khususnya, pengikutnya yang setia.
Mungkin pada saat ini pun ramai rakyat khususnya pengikut tegar DS Haji Hadi mula mempersoalkan tentang kredibilitinya sebagai seorang pemimpin tertinggi sebuah parti. Bagi aku walaupun sudah banyak kenyataan yang dikeluarkan hanya seperti ‘cakap-cakap kosong’ namun apa yang diperkatakan dalam kenyataan di atas merupakan ‘pukulan maut’ kepada dirinya.
Walaupun tidak dinyatakn dengan terus terang, jelas menunjukkan PAS akan bekerjasama dengan UMNO. Pengikutnya yang merupakan ahli politik tegar akan tahu ‘membaca lengguk’ bahasa pemimpin mereka. “Sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya’. DS Haji Hadi tidak perlu menghuraikan dengan lebih lanjut. Mereka sudah tahu kini ke mana PAS akan di bawa. ‘Sudah terang tak perlu bersuluh lagi’
DS Hadi Awang juga menyebut bahawa, ‘Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor - biar PAS memimpin’. Aku merasakan agak keterlaluan DS Haji Hadi membuat kenyataan sedemikian memandangkan pudar dan lunturnya sokongan rakyat terhadap parti PAS kini. Kenyataan itu semacam ‘kalau kail panjang sejengkal jangan laut hendak diduga’. Ataupun seperti ‘tangan yang ingin memeluk gunung’ Tentulah aku tidak hendak menafikan kenyataannya itu dan apatah lagi dalam sebuah negara demokrasi seseorang itu bebas menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing. Cuma aku merasakan bahawa apa yang disuarakan oleh DS Haji Hadi itu lebih merupakan satu kenyataan politik yang tidak bersandarkan kepada realiti sebenar. Agak keterlaluan juga jikalau dikatakan seperti bermimpi di siang hari.
Aku juga tidak mempunyai statistik dan perangkaan sebenar mengenai keadaan negara kini dan tentang bagaimana ‘selera’ rakyat yang telah jauh menyimpang daripada apa yang disuarakan oleh DS Haji Hadi itu. Aku juga hanya bersandarkan kepada persepsi dan andaian berdasarkan pemerhatian dan penglibatan melaui pergaulan dan pembacaan.
Amat sukar kini untuk berjumpa dengan ‘orang biasa’ yang memberikan sokongan kepada UMNO atau PAS. ‘Orang biasa’ maksud aku ialah golongan yang tidak condong kepada mana-mana parti politik. Golongan ‘atas pagar’. Boleh juga digolongkan dalam kategori ini termasuk jugalah pegawai-pegawai kerajaan yang termasuk juga golongan guru, kerani, pegawai peringkat rendah dll. Rata-rata mereka merasakan bahawa PAS dan UMNO sudah amat juah menyimpang dari perjuangan asal dan tidak nampak hala tuju untuk memertabatkan bangsa dalam erti kata yang sebenar-benarnya.
Yang menghairankan juga ialah bahawa orang Melayu di kampung-kampung juga sudah mula menyisihkan diri dari UMNO atau PAS. Mungkin ada yang merasakan bahawa BRIM berperanan untuk memikat dan mengikat hati golongan yang memerlukan. Mungkin. Tetapi dengan keadaan kemelesetan dan penderitaan yang dialami, terutama dengan kenaikan harga barang sudah mula menyebabkan ‘sesak nafas’ golongan yang kurang berada samada di bandar atau di kampung.
Dalam suasana yang sedemikian pula rakyat sudah mula disedarkan melalui internet dan Instagrem dan berbagai saluran maklumat lain yang menembusi ke kampung-kampung pendalaman. TV dan akhbar arus perdana semacam sudah ‘tidak laku’ dan tidak menarik perhatian sebahagian besar rakyat Malaysia. Jikalau dulu keadaan sedemikian hanya berlaku kepada masyarakt di bandar-bandar, tetapi kini sudah menular ke kampung-kampung.
abuhassanadam
19 Mac 2017



No comments:

Post a Comment