Sunday, March 26, 2017


TERKANDAS DI AUCKLAND
PENTADBIRAN MAS SEMACAM ‘BUAT TAK TAHU’

Sudah dua hari mereka terkandas di Auckland kini.  Kononnya mengikut New Zealand Herald, penerbangan tidak dapat diteruskan kerana kerosakan. Dan alat ganti yang sepatutnya untuk membaik pulih kapalterbang berkenaan tidak terdapat di Auckland dan terpaksa menunggu dari tempat lain. Entah berapa lama pula agaknya.

Kata New Zealand Herald, ‘"They were supposed to leave at 1.15pm this afternoon but due to engineering requirement, they were on the plane for close to three and a bit hours before they were off-loaded."
Secara kebetulan ramai pula ‘orang kampung’ aku dalam rombongan berkenaan, yang termasuk juga beberapa orang kanak-kanak. Dan kebanyakan jiran aku adalah terdiri dari warga emas yang tentunya mengalami keadaan yang cukup tidak menyenangkan mereka. Sudah hampir dua hari mereka berada di lapangan terbang berkenaan dan sudah dua hari jugalah ‘kehidupan’ mereka amat terganggu. Mereka tentunya amat ‘runsing’ apabila jadual dan tempat sembahayang dalam keadaan yang tidak menentu.
Aku mendengar sendiri keluhan seorang ibu ( jiran dibelakang rumah aku) yang terpaksa ‘menderita’ mengenangkan anak perempuannya yang berumur 14 tahun melalui detik-detik cemas sedemikian. Si ibu dan si ayah terpaksa pulang awal disebabkan tuntutan tugas dan meninggalkan anaknya untuk terus bercuti di Auckland bersama-sama dengan jiran yang lain.
Walaupun si ibu amat yakin yang anaknya dalam keadaan selamat di bawah jagaan jiran-jiran yang lain, namun kerisauan tetap ada. Dan yang paling menghairankan aku ialah apabila mendengar perbualan telefon antara si ibu dengan pihak MAS semalam, menampakkan seolah-olah pihak MAS tidak melakukan sesuatu yang meyakinkan. Semacam tidak ada jawapan yang tegas dari pihak MAS tentang bagaimana tindakan mereka untuk mengatasi perkara ini.
Yang aku dengar juga melalui perbualan telefon berkenaan, bahawa pihak MAS menyerahkan kepada kebijaksanaan penumpang untuk berurusan sendiri samada untuk menyediakan makanan penumpang ataupun untuk mencari tempat tinggal di Auckland. Aku tak boleh bayangkan kesusahan yang bakal dialami oleh para penumpang ( yang secara kebetulan jiran-jiran aku yang amat aku kenali).
Persoalannya mengapakah pihak MAS memperlakukan sedemikian kepada golongan penumpang sebegini. Apakah pihak pentadbiran MAS tidak langsung bersifat peri kemanusiaan mengenangkan kesusahan yang dialami oleh penumpang berkenaan. Aku dapat merasakan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh penumpang itu sendiri dan keluarga yang berada di Malaysia.
Aku sendiri pernah mengalami keadaan sedemikian (walaupun lebih tersiksa lagi ) pada tahun 2015. Untuk lebih tepat lagi pada 29 April 2015 ia itu ketika anak aku terkandas di Kathmandu disebabkan keadaan gerak gempa bumi yang berlaku pada ketika itu.

Anak aku adalah antara yang terperangkap di sebuah hotel di bandar Kathmandu ketika gempa bumi 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu (25 April 2015)

Barulah aku ‘sedar’ sebenarnya satu ‘penyiksaan’ yang terpaksa dideritai ketika malapetaka itu menimpa anak sendiri. Dulu aku bukan tidak bersimpati dengan mangsa beberapa gempa bumi, mangsa banjir yang melanda Pantai Timur, persitiwa malang MH 370 dan MH 17. Tetapi bersedih dan bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa. Namun seperti kata orang tua-tua, betapa berat mata memandang lagi berat bahu memikul’.

Anak aku terpaksa menunggu ‘penyelamat’ dari Malaysia selama empat hari sebelum beliau boleh ‘diselamatkan’. Dan selama itulah aku dan keluarga turut menderita mengenangkan nasib yang menimpa. Dan sekurang-kurangnya derita aku ‘terubat’ apabila anak aku pulang ke pangkuan.

Kini aku boleh bayangkan derita mereka kerana aku juga telah mengalami derita hampir sedemikian.Yang agak menyedihkan (mengikut cerita anak aku) ketika beliau berada di lapangan terbang Kathmandu, menunggu bantuan dari negara kita yang tercinta Malaysia, satu demi satu bantuan sampai ke lapangan terbang berkenaan dari negara-negara luar yang agak perihatin tentang rakyat mereka yang malang. Tetapi bukan dari negara kita. Negara-negara lain datang dan pergi sedangkan bantuan dari negara Malaysia belum juga sampai. Dari India, Australia, Thailand dan negara-negara lain yang perihatin.

Dan yang sentiasa diperkatakan dan mendapat pujian ialah keperihatinan negara Singapura yang sanggup menghantar kapal terbang ke Kathmandu untuk menyelamatkan rakyatnya, walaupun bilangan rakyatnya yang terlibat tidak ramai. Ada yang mengatakan bahawa Singapura sanggup menghantar sebuah kapal terbang demi menyelamatkan seorang rakyatnya yang terkandas.

Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh anak aku itu, aku teryakin bahawa sememangnya kerajaan Malaysia agak lambat bertindak untuk menyelamatkan rakyat yang terkandas di Kathmandu. Hal ini aku dasarkan kepada pengalaman seorang rakyat Malaysia yang terpaksa menempah tiket Thai Airways untuk pulang ke Malaysia melalui Thailand disebabkan kegagalannya mendapatkan penerbangan ke Malaysia dengan menggunakan pesawat MAS. Tentulah agak menyedihkan mendengar cerita sedemikian.

Sepanjang tiga hari anak aku berada dalam keadaan ketidaktentuan di Kathmandu, di tengah-tengah kekelam-kabutan suasana di kathmandu, aku cuba juga mendapatkan bantuan dan pertolongan daripada Embassy of Malaysia Kathmandu yang beralamat 2ndFloor, Block B, Karmachari Sanchaya Kosh Bhawan, P.O.Box 24372, Pulchowk, Laltipur, Kathmandu. Sepanjang hari Ahad dan Isnin (26 April dan 27 April 2015) aku menghubungi pejabat berkenaan melalui telefon pejabatnya:  00977-1-5010004 tetapi tidak ada langsung jawapan dari pejabat berkenaan. Aku juga menghubungi melalui talian kecemasannya (Emergency only/ Duty Officer) 00977-9801008000) dan tidak ada juga jawapan yang aku terima. Aku juga menghubungi Wisma Putera dan mendapat jawapan tetapi jawapan yang diterima agak mengecewakan aku kerana tidak menampakkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menolong aku yang betul-betul mengharapkan pertolongan. Mungkin agaknya aku tidak bergelar Dato’ Seri atau Tan Sri yang memungkinkan pertolongan segera dihulurkan kepada aku. Mungkin.

Apabila keadaan sebegini menimpa diri aku barulah aku betul-betul sedar bahawa beginilah rupanya layanan yang diterima oleh rakyat bawahan (yang tidak ada gelaran) terutama rakyat marhaen dari luar bandar. Dan derita yang sedemikian jugalah agaknya yang menimpa mangsa banjir di Pantai Timur sehingga hari ini yang masih menunggu dan menunggu bantuan dari pihak yang berwajib.

Kini anak aku telah pun kembali ‘ke pangkuan ‘ku. Selamt. Syukur kepada Allah yang menyelamatkan beliau dan dengan usahanya tersendiri tanpa mendapat bantuan dari pihak kerajaan. Kononnya pada ketika itu Kerajaan sedang berusaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Kathmandu itu sebagaimana yang dilaporkan oleh  BERNAMA.

Keluarga jiran aku yang terkandas di Auckland kini sedang menunggu dengan penuh debaran bilakah agaknya anggota keluarga mereka akan ‘diselamatkan’ terutama anak jiran aku yang berumur 14 tahun itu yang kadang-kadang mengidap sakit lelah.

Aku doakan semua akan selamat hendaknya.

abuhassanadam


26 Mac 2017

1 comment:

  1. Very sad to hear that your neighbour is stuck over there in Auckland. Your blogs are very detailed, keep up the good work!

    ReplyDelete