Monday, March 20, 2017

PENJAJAH BRITISH SEKURANG-KURANGNYA MEMELIHARA HAK ORANG MELAYU

Menilik kepada berbagai perkembangan yang berlaku di negara kita pada akhir-akir ini, terasa mahu mengatakan bahawa penjajah British sekurang-kurangnya ada juga memikirkan tentang nasib masa depan orang Melayu. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini terutama golongan yang sentiasa mendabik dada yang kononnya merekalah yang menjadi jaguh memperjuangkan nasib orang Melayu!

         Betul bahawa British yang ‘mengeringkan’ sumber hasil bumi kita seperti bijih timah dan getah. Aku tidak menafikannya. Tetapi British ada juga memikirkan tentang keadaan alam sekitar ketika melakukan ‘penerokaan’yang dilakukan oleh mereka. Berbanding dengan para ‘ pejuang Melayu’ kini yang begitu ghairah meneroka hutan untuk kerja-kerja pembalakan yang langsung tidak memikirkan tentang ‘keruntuhan’ alam sekitar. Dan apabila sudah ‘menggila’ untuk mendapatkan hasil bumi telah lupa kesan ‘lumpur’ yang mungkin menyusahkan kehidupan masyarakat sekitar.

         Aku ulang semula kenyataan aku dengan mengatakan bahawa penjajah British sekurang-kurangnya ‘berhati perut’ juga untuk menyelamatkan orang Melayu pada masa hadapan. Satu sumbangannya yang aku rasakan bermakna sekali kepada orang Melayu ialah dengan mengekalkan tanah rizab Melayu, walaupun ada komen-komen yang negatif berkaitan dengan isu Rizab Melayu ini. British berusaha meletakkan ‘Malay Reservation’ kepada geran-geran tanah milik Melayu. Sekiranya pihak British tidak mengambil langkah sedemikian tidak dapat aku bayangkan apa yang telah terjadi kepada orang Melayu di Tanah Melayu.

Sedangkan dengan sekatan-sekatan sedemikian pun sudah banyak tanah orang Melayu yang berstatus ‘Malay Reservation’ telah pun berpindah tangan kepada pihak lain. Aku mendasarkan kenyataan ini berdasarkan beberapa tangkapan yang dilakukan oleh SPRM baru-baru ini di Johor yang kononnya membabitkan isu sebegini.

Dan agak menyedihkan lagi sebagaimana yang didedahkan oleh Tun Mahathir dalam blognya ialah tentang hak milik tanah di kawasan tertentu di Johor yang diberikan milik kekal yang bermakna sesiapa sahaja yang memiliki tanah berkenaan akan mendapat taraf kekal.

Aku bukannya ‘manusia’ yang anti pembangunan, malah amat bangga dan bahagia ketika melihat apa juga bentuk pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak tertentu. Apatah lagi melihatkan pembangunan yang begitu pesat di persekitaran Selat Tebrau. Cuma yang menyedih dan memilukan hati ini ialah apabila melihatkan persekitaran Selat Tebrau yang dahulunya semacam ‘dikuasai’ oleh orang Melayu telah berpindah tangan dan dikuasai oleh orang asing.

Tidak pula aku hendak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan keadaan jadi begini. Tidak juga ingin aku ratapi mengapa keadaan jadi begini. Jikalau aku keluarkan air mata darah sekalipun, tentulah tidak dapat mengubah keadaan yang telah terjadi begini. Dan hendak aku salahkan pula ibu yang mengandung, tentulah amat tidak adil bersikap sedemikian. Apakah begini suratan dan ketentuan yang telah ditakdirkan kepada orang Melayu seperti aku, menjadi bangsa yang merempat dan terhina di tanah air sendiri.

Yang paling menyedihkan lagi ialah wujudnya golongan pemimpin di negara ini yang disifatkan sebagai ‘ harapkan pegar, pegar makan padi’. Nampaknya hampir setiap peringkat kepimpinan samada pemimpin politik ataupun kepimpinan dikalangan pegawai kerajaan sudah tidak langsung menghiraukan amanah yang seharusnya dipikul oleh mereka. Dan seolah-olah matlamat mereka ialah untuk mencari wang dan meperkayakan diri walaupun dengan cara yang tidak dihalalkan. Bukanlah semua bersikap demikian.

Penangkapan demi penangkapan dilakukan oleh pihak SPRM akhir-akhir ini. Memberikan satu gambaran bahawa kegiatan rasuah di negara kita adalah merupakan satu lumrah, satu amalan yang dilakukan tanpa segan silu. Dan jumlah wang dan nilai yang terbabit bukanlah jumlah yang sedikit mebabitkan jutaan ringgit. Mungkin ada juga yang mencecah angka billion ringgit agaknya sekiranya ‘diterokai’ dengan lebih terperinci oleh pihak SPRM.

Kadang-kadang terfikir juga di benak ini bahawa sekiranyalah negara ini ditadbirkan dengan berkesan tanpa adanya unsur-unsur rasuah, maka aku tidak dapat bayangkan keadaan negara Malaysia yang tercinta ini. Dengan berbagai kurniaan Tuhan dalam bentuk yang berbagai-bagai – minyak, bijih timah, kelapa sawit, getah – pastinya negara ini sentiasa dicemburui oleh negara-negara lain yang tidak dapat menikmati kekayaan negara seperti kita. Tapi apakan daya, itu hanyalah merupakan mimpi dan angan-angan sahaja…

Aku hanya mampu berdoa agar muncullah suasana yang baru di negara ini dalam masa terdekat…

abuhassanadam

20 Mac 2017

1 comment:

  1. Alhamdulillah, lamanya Pak Abu tak buat artikel. Sentiasa menunggu artikel dari Pak Abu.. Apa pun saya mohon share..

    ReplyDelete