Saturday, May 8, 2021

 SEBUTAN LUCAH ADALAH SEBUTAN LUMRAH


Akhirnya anak yang bernama Ain Husniza yangmenyedarkan kita bahawa sebenarnya anak-anak di sekolah memang tidak selesa dengan perangai orang dewasa yang sentiasa melafzkan perkataan lucah samada di sekolah ( dilakukan guru-guru dalam bentuk gurauan), mau pun di Parlimen ( yang sentiasa dilakukan oleh ahli-ahli Parlimen). 

Teguran dari anak Ain Husniza ini merupakan 'eye-opener' dan 'membuka mata' golongan dewasa bahawa sebenarnya apa yang dilakukan oleh golongan dewasa sebenarnya mendapat perhatian kanak-kanak. Sudah lama disedari bahawa apa yang dilakukan oleh ahli parlimen dalam melakukan perbahasan kadang kelihatan ' terbabas' dan semacam tidak disedari oleh mereka bahawa apa yang diperkatakan sudah melampau 'batas' sebagai seorang yang beraklhlak mulia. Kadang-kadang terdapat seseorang ahli parlimen yang sememangnya amat gemar menyelitkan huja-hujahnya dengan istilah lucah untuk menarik perhatian kononnya.

Sudah lama perbuatan sedemikian dilakukan oleh 'tokoh' sebegini namun perbuatan sedemikian semacam 'dibiarkan' oleh pihak Speaker tanpa ada 'sekatan' yang boleh menghalang agar perbuatan 'lucah' sedemikian diberhentikan. Kadang-kadang sebutan sedemikian dapat didengar dengan jelas ketika ucapan para 'pemimpin' ini disiarkan melalui siaran radio dan TV dan pastinya didengar oleh seluruh rakyat termasuklah kanak-kanak.

Seingat aku dalam budaya dan adat Melayu sememangnya  sesuatu yang amat dilarang bagi anak-anak (terutamanya) menyebut perkataan lucah dalam perbualan hari-hari. Ibu-ibu akan 'mencubit pipi' sekiranya didengarnya anak-anak melafazkan perkataan lucah sedemikian. Maknanya ada di antara anak-anak yang sudah di dewasa tetapi tidak tahu makna sesuatu perkataan lucah yang disebutkan itu. Sejujurnya dapat aku katakan bahawa tidak sepatah pun perkataan lucah yang pernah aku lafazkan ketika bercakap dengan arwah ibu sehinggalah arwah menghebuskan nafas akhirnya. Begitulah ajaran seorang ibu dalam masyarakat Melayu lama. Dan aku yakin ramai lagi para ibu yang bersikap sedemikian rupa yang berkaitan dengan persoalan perkataan lucah.

Kini menyebut perkataan lucah merupakan satu lumrah. Penceramah agama semacam tidak sah sekiranya ceramah mereka tidak dimasukkan perkataan dan gurauan lucah yang bertujuan kononnya untuk golongan muda supaya berminat kepada ceramah yang disampaikan oleh mereka. Kadang-kadang isu perkahwinan dan gurauan lucah merupakan inti pati yang amat penting dalam ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah agama. Dan kononnya untuk menarik agar lebih ramai yang akan mengikuti ceramah sedemikian.

Apa yang disuarakan oleh Ain Husniza itu harus mendapat perhatian oleh para guru, para pemimpin di parlimen dan golongan dewasa yang pada umumnya harus sedar bahawa perbuatan mereka sudah mendapat perhatian anak-anak. Harus diberhentikan dengan segera agar penghormatan mereka kepada golongan dewasa tidak terhakis.

Sedarlah diri...

abuhassanadam

Padang Rengas

8 Mei 2021


No comments:

Post a Comment