Tuesday, May 4, 2021

 SOLAT TERAWIKH DI MALAYSIA HALL LONDON


Kebiasaannya pada setiap tahun, waktu bulan puasa begini fikiran aku menerawang ke sejarah lama yang telah aku lalui dan ingin sekali dikongsi kepada anak-anak yang membaca coretan atau 'sejarah' yang aku paparkan. Kadang-kadang ia hanya merupakan satu catetan ringkas tetapi pastinya satu ketika nanti menjadi satu dokumen sejarah yang amat penting untuk dijadikan panduan dan pedoman bagi anak-anak cucu pada masa hadapan.

Sebagai contoh tentunya apa yang aku cuba 'hidangkan' kepada anak cucu pada kali ini ia itu tentang kegiatan solat terawikh di Malaysia Hall London, yang terletak di 44-46, Bryanston Square London. Sesiapa sahaja yang melintasi Bryanston Square pada tahun-tahun yang akan datang ( mungkin 100 tahun yang akan datang!) pastinya mengingati apa yang sedang aku catetkan ini. Tentulah pada ketika itu tidak terfikir di benak mereka bahawa pada suatu ketika pernah diadakan solat terawikh sepertimana solat terawikh yang diadakan di kampung-kampung di Malaysia.

Mungkin rencana yang sedang aku tulis menjadi dokumen sejarah yang amat penting untuk anak-anak di zaman itu nanti menggunakan sebagai kajian sejarah mereka. Perlu disedari bahawa Malaysia Hall di Bryanston Square sudah tidak ada lagi sebab bangunan bersejarah itu bukan milik kerajaan Malaysia. Ia hanya disewa oleh kerajaan Malaysia semenjak tahun awal 1950an (sekiranya aku tak silap!). Dan kini bangunan bersejarah itu masih ada tetapi fungsinya sebagai Malaysia Hall atau sebagai tumpuan pelajar Malaysia sudah tidak ada lagi.

Hanya tinggal kenangan!!

Mengenang kembali peristiwa solat terawikh pada bulan Ramdhan pada tahun-tahun 1995-1998  merupakan kenangan yang amat manis bagi aku yang pada ketika itu boleh dianggap sebagai 'ketua kampung' menjaga anak-anak buah  (pelajar Malaysia yang berada di United Kingdom dan Eire). Berbagai kenangan menerpa benak yang kadang-kadang perlu dihamburkan keluar, dikisahkan  agar tidak terus 'beku' dalam ingatan. Kadang-kadang terfikir juga aku bahawa perlu dikongsikan setengah peristiwa yang tersimpan dalam lapan hati dan perasaan agar dpat dinikmati dan kadang-kadang boleh juga dijadikan panduan. Tentulah dipilih yang mana sesuai dan yang mana tidaknya.

Tentulah ramai juga yang merasakan bahawa sesuatu yang mustahil untuk mengadakan solat terawikh berjemaah di sebauh bangunan di London kerana bagi kebanyakan rakyat di Malaysia tentunya sentiasa menghubungkan London dengan Oxford Street atau Harrods atau London Bridge dll.Tentulah tidak terfikir bahawa jumlah jemaah yang hadir pada setiap malam hampir mencecah 300 orang yang terdiri dari kebanyakannya pelajar-pelajaar Malaysia yang menuntut di persekitaran London.

Aku memulakan tugas sebagai Pengarah Penuntut Malaysia di United Kingdom dan Eire  bermula daripada 1 Disember 1994. Masih terasa yang kedatangan aku  dan keluarga di London disambut oleh musim sejuk yang amat sangat. Winter. Dan beruntungnya ialah dapat puasa hanya beberapa jam sahaja kerana berbuka puasa di London pada musim winter ialah sekitar 3.45 petang sahaja. Jadi tidak hairanlah tidak ada sebab seseorang Islam berhasrat untuk tidak berpuasa.

Setelah dua bulan berada di negara orang putih itu maka menjelanglah bulan Ramadhan. Aku mula bertanya-tanyakan kepada para pegawai dan penduduk Malaysia yang biasa dengan keadaan di London tentang apakah yang sesuai diadakan pada bulan Ramadhan. Mereka menyatakan bahawa keadaan di Malaysia Hall tidak banyak berbeza dengan keadaan di Malaysia. Ada majlis berbuka puasa, ada solat terawikh dan sebagainya.

Malam pertama puasa aku menghadirkan diri untuk berbuka puasa dengan ahli jemaah. Lebih kurang 10 orang dan terus menyumpurnakan solat terawikh selepas itu. Tak silap aku waktu Isyak ialah pada pukul 7.30 petang. Winter. Terus mengadakan solat terawikh seringkas-ringkasnya. OK ler. Sekurang-kurangnya ada dilakukan. Sekurang-kurangnya ada kesedaran ke arah itu.

Persoalan yang berlegar di dihadapan ku ketika itu ialah bagaimana langkah ku seterusnya  untuk menarik ratusan pelajar Malaysia yang berada disekitar London untuk sama-sama memeriahkan bulan Ramadhan yang mulia itu. Jawabnya ialah MOREH!. Apabila disebut MOREH akan terbayanglah makanan.Tidak pula aku bermaksud bahawa pelajar Malaysia begitu 'kemaruk' untuk makan. Sebenarnya perkataan MOREH itu merupakan satu tarikan yang penting. MOREH ialah elemen budaya milik orang Melayu. Maknanya pada bulan Ramadhan mesti ada MOREH yang merupakan satu kemeriahan yang hanya wujud pada bulan puasa.

Tindakan yang aku lakukan ( dengan izin Allah juga!) tepat. Solat terawikh yang pada mulanya hanya disekitar 10 orang jemaah telah berkembang menjadi lebih kurang 300 orang yang menyebabkan aku 'membuka' tiga balik di Malaysia Hall untuk menampung jemaah yang begitu ramai.

Belum lengkap lagi kisah 'Solat terawikh di Malaysia Hall'. Akan aku ceritakan kisah menarik ini seterusnya...

abuhassanadam

Padang Rengas

4 Mei 2021

No comments:

Post a Comment