Monday, May 17, 2021

 SUMBANGAN GURU ASING KEPADA PELAJAR MELAYU

Sejujurnya sememang sudah lama terpendam di perasaan ku tentang hasratku untuk menulis tentang tajuk di atas. Memang tidak dapat dinafikan tentang sumbangan yang begitu besar yang telah diberikan oleh guru-guru bukan Melayu, khususnya guru dari kaum Cina dan India terhadap kemajuan anak Melayu. Maksudnya dalam zaman penjajahan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Tahun 1955 aku diterima masuk ke 'sekolah orang putih' - Special Malay Class 1. Maknanya SMC1 - kelas 'sekolah orang putih' untuk anak Melayu sahaja. Sekolah berkenaan terletak di Padang Assam. Dah tak ada dah sekolah berkenaan dan diganti dengan Sekolah Kebangsaan Padang Assam. Kami berada di sekolah berkenaan hanya tiga tahun ia itu SMC1, SMC2 dan Standard VI. Setelah lulus Standard VI Entrance Examinations, dinaikkan ke Form 1 ia itu di Clifford School, Kuala Kangsar untuk meneruskan pelajaran menengah seterusnya.

Aku masih ingat lagi guru-guru yang mengajar di sekolah Padang Assam berkenaan. Guru besarnya bernama Mr Ang Chui Pek dan dibantu oleh Mr Lee Siew Wah, Mr Muthusamy dan Cikgu Wan Omar. Setiap kelas terdapat 30 orang pelajar. Kesemuanya Melayu dan ramai yang telah berjaya akhirnya menyandang berbagai jawatan penting dalam kerajaan dan swasta. Mahu tidak mahu perlu ditegaskan juga bahawa kejayaan anak Melayu berkenaan adalah juga merupakan sumbangan guru-guru bangsa asing yang tidak pernah kelihatan menganaktirikan pelajar-pelajar Melayu yang diajar pada waktu itu. Malah mereka dengan penuh dedikasi mengajar kami yang menyebabkan kami berjaya lulus peperiksaan dan berjaya ke sekolah menengah.

Satu perkara lagi yang tentunya menarik perhatian ialah tentang kesediaan penjajah Inggeris untuk membina sekolah Inggeris dan bersedia untuk memberikan pelajaran kepada rakyat Malaya (Melayu, Cina dan India) pada ketika itu. Walaupun sebagai penjajah, Inggeris seharusnya dikutuk, namun harus juga dipuji tentang kesediaan penjajah Inggeris untuk memberikan pelajaran kepada anak-anak Melayu pada waktu itu.

Terdapat dua buah sekolah Inggeris yang dibina semata-mata untuk memberi peluang kepada anak Melayu dari kawasan luar bandar mendapat didikan Inggeris di daerah Kuala kangsar. Government English Schoola Padang Assam dan Government English School, Sayong Kota Lama Kanan. Kedua-dua sekolah inilah adalah sebagai 'feeder school' kepada Clifford School Kuala Kangsar, disamping memberi peluang kepada pelajar luar bandar mendapat didikan sempurna.

Di Clifford School Kuala Kangsar, pada ketika itu ( 1950an) hanya terdapat tiga orang guru Melayu ia itu Cikgu Mokhtar, Ckgu Sharbi dan Cikgu Syed Jaafar. Selebihnya terdiri guru-guru keturunan Cina, India. Dan Pengetuanya ialah Mr Karam Singh. Yang mahu aku tegaskan disini ialah bahawa sungguhpun kebanyakan guru-guru dari keturunan bukan Melayu dan ramai anak melayu yang menunutut di sekolah ini, namun guru-guru asing tidak pernah menunjukkan pilih kasih terhadap pelajar Melayu apa lagi menampakkan kebencian terhadap pelajar Melayu.

Jasa mereka sebagai guru tetap dikenang kerana atas sumbangan yang berharga merekalah ramai anak murid yang berjaya. Terima kasih Cikgu!

abuhassanadam

Padang Rengas

17 Mei 2021

2 comments:

  1. Sentiasa seronok bila membaca sorotan lalu. Terima Kasih Pak Abu..

    ReplyDelete
  2. Entah bagaimana saya teringat ttg blog Pak Abu Hasan beberapa minit yg lalu, dan terpanggil untuk memberi komen. Dahulu, saya aktif membaca tulisan Pak Abu, dan telah berlalu beberapa tahun dah. Pak Abu, you are one Malaysian and more specifically a Malay (whom you referred yourself as a Melayu totok - a pure specie, who is special in my heart). Special, because from your writings, I found you to be a rare human being devoid of racist tendencies, and I presume you don't understand what "Ketuanan Melayu" is all about. I salute you, Pak Abu!

    ReplyDelete