Sunday, March 5, 2023

 

'MUDAH LUPA' DAN 'MUDAH PERCAYA'

Tun Mahathir sentiasa mengatakan bahawa orang Melayu mudah lupa. Itulah merupakan dendangan Tun semenjak zaman berzaman. Asyik menyalahkan orang Melayu apabila mempersoalkan mengapa orang Melyu masih lemah. Dan begitu jugalah merupakan dendang pemimpin Melayu yang ada di negara ini yang sentiasa melepaskan 'geram' terhadap orang Melayu tanpa sedikit mahu mengaku kelemahan orang Melayu itu berpunca daripada tindakan pemimpin Melayu itu sendiri.

Tun M menyifatkan Kerajaan Perpaduan gagal membawa perubahan besar kepada rakyat, malah Anwar dianggap tidak beri apa-apa kesan untuk negara. Betulkah begitu pandangan Tun M sendiri terhadap DSAI. Bukankah sudah kelihatan jelas perubahan yang cuba dilaksanakann oleh DSAI dan cuma tentulah tidak terjelma sekelip mata. Begitu jugalah apabila beliau cuba membuat perubahan ketika zaman pemerintahannya dahulu dan tentulah menunggu buat sekian lama untuk menuai hasilnya. Tiada sebarang perubahan yang boleh dibanggap mampu ditonjolkan sepanjang 100 hari Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri dan menerajui negara, kata Dr Mahathir Mohamad.

Lantas bekas Perdana Menteri, itu mengorak langkah baru menegaskan penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Konon! Masih lagi menggunakan slogan 'memperjuangkan nasib orang Melayu'. Lagi 'memperjuangkan nasib orang Melayu' digunakan. Semenjak perjuanagan menuntut kemerdekaan lagi slogan 'memperjuangkan nasib orang Melyu ' sudah 'lunyai' digunakan. Itulah merupakan slogan paling 'laku' untuk menarik perhatian orang Melayu yang 'mudah lupa' dan 'mudah percaya'.

Orang Melayu sentiasa disogokkan dengan ketakutan Malaysia akan menjadi sebuah negara seperti Singapura pada satu ketika nanti. Salahkah kita menjadi sebuah negara seperti Singapura. Salahkah dan tidak berbanggakah kita  bangsa Malaysia, orang Melayu seperti orang Melayu Singapura. Hanya kita yang menganggap orang Melayu Singapura tidak bahagia hidupnya di negara berkenaan sedangkan mereka menikmati hidup bersesuaian dengan keadaan Kurun ke21. Berbanding dengan keadaan di Malaysia pastinya orang Melayu di Singapura lebih bahagia hidupnya dengan mendapat kemudahan-kemudahan yang sukar diperolehi di negara kita.

Aku berpeluang berbincang secara bebas dengan salah seorang orang Melayu Singapura pada suatu ketika dahulu, tahun 1986 ia itu ketika kami sama-sama menuntut di Stanford University, Palo Alto, California. Beliau ketika itu salah seorang penuntut Phd bidang Petroleum Engineering. Yaakub Ibrahim yang juga bekas seorang menteri kerajaan Singapura. Dalam perbualan kami ketika itu tidak pernah Yaakub merasa kecewa berada di bawah kerajaan Singapura. Malah dia merasa bertuah kerana dapat berada di bawah pentadbiran Lee Kuan Yew ketika itu.

Aku merasakan rakyat Malaysia  (Khususnya Melayu) harus meniru apa yang berlaku kepada orang Melayu di Singapura dan bukan menjauhkan diri. Orang Melayu harus berani menceburkan diri dalam lapangan yang sentiasa 'ditakut-takutkan' oleh pemimpin Melayu. Kadang-kadang sengaja pemimpin Melayu di Malaysia menggunakan 'fear-paradigm' untuk menakut-nakutkan orang Mlelayu, supaya orang Melayu sentiasa 'mengharapkan' pertolongan mereka. Inilah yang telah berlaku semenjak beberpa lama.

Sudah sampai masanya anak-anak muda menjauhkan diri dari pemimpin yang sebegini.


abuhassanadam

6 Mac 2023



No comments:

Post a Comment