Sunday, January 19, 2025

 APAKAH BEGITU SIFAT  ORANG MELAYU?

Beberapa tindakan yang dilakukan oleh beberapa NGO di negara ini pada akhir-akhir ini seolah-olah menampakkan semacam orang Melayu tergugat kedudukannya. Semacam orang Melayu yang beragama Islam terancam kedudukannya. Apakah betul anggapan sedemikian? Dan sekiranya diteliti dan diperinci, tidak menampakkan bahawa orang Melayu di negara ini tergugat. Golongan yang merasakan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam sedang digugat adalah sama seperti takutkan  bayang-bayang yang diciptakan untuk ‘menakutkan’.

Mungkin pihak-pihak tertentu di negara ini mempunyai agenda tertentu yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian. Agenda mereka yang tersendiri yang direka dan dicipta oleh mereka sendiri.  Tentulah tidak dapat memahami tindakan pihak-pihak tertentu yang terpaksa ‘mencipta’ sesuatu isu demi untuk menonjolkan diri mereka sebagai ‘hero’ memperjuangkan sesuatu isu yang berkaitan dengan agama. Terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hebat bagi menunjukkan bahawa mereka berbuat sesuatu untuk mempertahankan kesucian agama Islam. Hanya mereka sendiri yang tahu dan faham apa yang mereka lakukan.

Aku tidak faham dengan keadaan dan situasi yang berlaku kini. Semenjak zaman berzaman aku tidak pernah lagi melihat suasana dan ‘kelakuan’ yang sebegini yang dilakukan oleh rakyat Malaysia  berketurunan Melayu dan beragama Islam. Mungkin ada. Hanya aku yang tidak perasan perkara seperti itu berlaku. Semenjak zaman berzaman orang Melayu memang terkenal dengan bangsa yang bersopan santunnya, sehinggakan kita (orang Melayu termasuk aku) sangat dihormati oleh bangsa lain di negara ini. Orang Melayu sememangnya bersifat lemah lembut dan bersopan santun. 

Aku turunkan beberapa baris dari sajak dari sastrawan negara Dato’ Usman Awang berjodol “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan


Beberapa tindakan NGO yang kononnya memperjuangkan agama dan bangsa Melayu seolah-olah amat jauh menyimpang dari cara dan adat orang Melayu. Dengan sebab itulah segala tindakan mereka itu bukan sahaja tidak disukai oleh golongan bukan Melayu tetapi juga tidak langsung direstui oleh kebanyakan orang Melayu yang beragama Islam. Mungkin yang merestui akan tindakan yang sedemikian adalah golongan yang sudah lupa dan menyimpang agak jauh dari peradaban dan tata susila orang Melayu.Mungkin…

Kata SN Usman Awang, “bahawa Melayu itu orang yang bijaksana” yang membawa erti bahawa segala tindak-tanduknya tentulah menampakkan sebagai seorang yang cerdik dan pandai dan berhemah dalam melakukan sesuatu tindakan. Dan pastinya memikirkan kesan dan akibat daripada tindakan yang dilakukan. Lantas berfikir dua kali dan beberapa kali sebelum melakukan apa saja tindakan. Itu yang dimaksudkan dengan bijaksana dan tidak hanya memikirkan tentang mencari ‘sesuap nasi’ untuk menyarai keluarga tercinta.

“Kurang ajarnya tetap santun”Maknanya orang Melayu tidak akan bersikap kurang ajar. Pada pemerhatian aku bahawa sejarah kewujudan orang Melayu jarang sangat disebutkan bahawa orang Melayu sebagai bangsa yang sentiasa kurang ajar. Mungkin mereka bersikap kurang ajar tetapi disebabkan ‘bersantun’nya kurang ajar mereka itu sehinggakan tidak kelihatan dan terjelma sikap kurang ajarnya. Itulah dia orang Melayu.

Ini bermakana bahawa orang Melayu sentiasa memendam kemarahan mereka sekiranya mereka memarahi sesuatu. Orang Melayu akan ‘mengamuk’ sekiranya kemarahan mereka sampai ke kemuncaknya. Amuk atau mengamuk hanya sifat yang dimiliki oleh orang Melayu sahaja di dunia ini walaupun berbagai kamus antarabangsa telah mentafsirkan perkataan amuk dalam situasi yang berlainan dan berlaku kepada bangsa-bangsa lain juga di dunia. Apakah tindakan NGO-NGO yang  ada di Malaysia kini yang  kononnya memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam itu sudah lupa atau melupakan budaya dan adat santun orang Melayu itu?

Dan perlu diingat juga bahawa Islam itu menganjurkan perdamaian bukan sahaja antara penganutnya tetapi juga dengan penganut-penganut agama lain. Dan jikalau ditinjau sejarah perjuangan rakyat Malayisa yang terdiri dari berbilang kaum pun, tetap mengutamakan rundingan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Perdamaian ketiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang terdiri dari Melayu, Cina dan India berjaya mencapai kemerdekaan negara bertunjangkan pakatan antara kaum yang mereka usahakan sehinggakan British tidak ada alasan lagi untuk menidakkan kemerdekaan negara kita.

Cara pemimpin negara dan Sultan-sultan menyelesaikan masalah kerakyatan di negara ini juga adalah melalui tolak ansur politik. Lantas prinsip yang berasaskan perundingan harus diteruskan bagi menjamin negara Malaysia yang aman damai. Tindakan kekerasan ataupun kurang sopan pastinya tidak mendapat restu rakyat terbanyak. Sebab sifat orang Melayu adalah lemah lembut dan sentiasa memikirkan tentang perdamaian.

Kekalkanlah  cara dan tindakan orang Melayu sepertimana yang pernah diamalkan oleh datuk nenek moyang kita.


abuhassanadam

19 Januari 2025









No comments:

Post a Comment