Friday, January 17, 2025

 MENGHAYATI PERJUANGAN MENENTANG MALAYAN UNION

Konsep perjuangan amat rapat kaitannya dengan orang muda. Malah konsep perjuangan hampir sama dengan konsep nasionalisme yang dipopularkan Barat. Memperkatakan mengenai pemuda atau orang muda seolah-olah tidak lengkap jika tidak disertakan dengan perkataan ‘perjuangan menentang Malayan Union’. Perkataan 'perjuangan' seolah-olah bermula dan dicetuskan apabila orang Melayu berjuang menentang 'Malayan Union' dan menuntut kemerdekaan.

Persoalannya ialah apakah orang muda kini atau lebih tepat lagi dipanggil generasi muda  kini sudah tidak mempedulikan nasib bangsa kita. Orang muda kini seolah-olah sudah tidak lagi menghayati erti perjuangan. Seolah-olah anak muda kini suda tercerai daripada apa yang disebut sebagai 'perjuangan'. Mereka semaacam tidak betul-betul memahami perjuangan sebagai mana kefahaman yang dianuti oleh generasi lama ( yang mungkin sudah tidak ramai lagi yang berada di dunia ini). 

Dulu, anak muda ( Melayu) sentiasa dikaitkan dengan dasar 'Malayan Union' yang dipopularkan oleh pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu.. Apakah apabila tidak ada Malayan Union, maka sudah tidak ada perjuangan bagi anak muda? Jangan dilupakan bahawa salah satu daripada sebab yang membawa kepada penubuhan UMNO ialah wujudnya Malayan Union yang diperkenalkan oleh British pada 1946. Tahukah anak muda kini apa itu Malayan Union dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Fahamkah anak muda kini bahawa sekiranya Malayan Union dipraktikkan dengan jayanya oleh British, maka akan hilanglah warisan Melayu yang berkait rapat dengan Kesultanan Melaka keturunan Bukit Seguntang.

Orang Melayu berjuang habis-habisan menentang gagasan yang cuba merendah-rendahkan dan menghina bangsa Melayu. Dalam keadaan yang serba daif anak muda Melayu (yang dikira amat miskin) telah bergabung tenaga menentaang Malayan Union. Bermulalah satu perjuangan anak muda Melayu menegak dan menebus maruah bangsa Melayu yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah Malaysia sehingga tercapainya kemerdekaan pada 1957.

Apakah perjuangan orang Melayu sudah selesai? Dengan kata-kata lain apakah perancagan konkrit orang muda kini  untuk mengharungi Kurun ke 21. Pemuda dan pemudi era 1940an, 50an telah berjaya menumpaskan Malayan Union. Apakah sumbangan anak muda era kurun ke21 dalam meningkatkan taraf dan maruah bangsa Melayu di persada antarabangsa. Aku nampak masih kosong. Mungkin ada tetapi belum sampai kepada ‘pencapaian’ anak muda 1940an dan 1950an. Belum….

Dilihat dari persepektif sejarah, persiapan yang telah disiapkan oleh pemimpin terdahulu agak lengkap atau hampir lengkap. Bermula dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak sehinggalah kepada kepimpinan Tun Mahathir seolah-olah telah menyediakan tapak yang cukup kukuh bagi anak muda untuk melonjak ke hadapan. Dan kita tidak merasa agu-ragu melihatkan 'persediaan' yang disediakan oleh Saudara Anwar Ibrahim menghadapi masa depan Malaysia

Anak muda harus meneruskan perjuangan yang terhenti itu. Konsep anak muda di Malaysia tidak lagi terhad kepada panak muda Melayu tetapi sudah merangkumi anak muda Cina, India dan lain-lain. Anak muda Malaysia seharusnya mempunyai agenda yang tersendiri bagaimana untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bermaruah. Anak muda Melayu, Cina dan India harus berfikiran sebagai anak muda Malaysia dan bukan sebagai anak muda Melayu yang berjuang untuk menentang Malayan Union pada 1946 dahulu. Hakikat ini harus disedari oleh semua anak muda Malaysia.

Masyarakat Malaysia seolah-olah menunggu agenda besar yang harus diperjuangkan oleh generasi muda Malaysia kini. Apakah generasi muda kini masih belum bersedia untuk merangka satu agenda besar untuk kepentingan rakyat Malaysia. Apakah belum cukup ilmu di dada dan belum ‘terasah keris di pinggang’ untuk melancarkan satu perjuangan Abad ke 21.

Satu hakikat yang perlu ditegaskan juga walaupun amat pahit untuk ditelan ialah masih ada – atau sebenarnya masih ramai – anak-anak muda Malaysia ‘terikut-ikut’ dengan rentak ‘orang tua’ di negara ini. Maknanya apa yang telah dirangka oleh ‘orang tua’ terus menerus diikuti secara membuta tuli tanpa memikirkan baik buruknya ‘langkah’ yang telah diatur oleh orang tua ( yang terlebih dahulu makan garam) itu. Bak kata orang sekarang – tidak begitu ternampak satu anjakan paradigma.

Anak muda Malaysia kena berfikir tentang masa hadapan yang akan mereka lalui. Masa hadapan adalah milik anak muda kini bukan milik ‘orang tua’ kini. Dan malangnya apa yang ‘diperjuangkan’ oleh anak muda kini tidak dapat dihayati oleh keseluruhan anak muda. Apakah tidak adanya ‘ Malayan Union’ maka anak muda kini sudah hilang arah dan tujuan dan seolah-olah mereka hilang pedoman. Seolah-olah anak-anak muda seperti layang-layang putus tali.

Sudah tentulah tidak ada masa bagi memikirkan soal perjuangan sekiranya kebanyakan masa dihabiskan untuk membicarakan perkara remeh dan tidak menguntungkan. Generasi muda harus mempersiapkan diri menempa dan berusaha untuk mengukir satu perjuangan yang boleh mengakngkat martabat bangsa di hari muka.

Tugas itu bukan senang. Ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang bukan kepalang. Walaupun ‘ribut dan taufan’ yang melanda, ‘orang tua’ masih yakin bahawa anak muda Malaysia yang terdiri Melayu, Cina dan India dapat melakarkan satu perjuangan besar yang boleh dibanggakan oleh bangsa Malaysia dan generasi tua yang bakal meninggalkan dunia ini.


abuhassanadam

17 Januari 2025



No comments:

Post a Comment