Sunday, January 26, 2025

 TUAN PUTERI BAJU HANGUS

Yang aku nak cerita kali ini bukan cerita Raja-raja dan Puteri Raja pada zaman dulu kala tetapi hendak menceritakan tentang kreatifnya orang Melayu mencipta kuih dan memberikan nama kuih yang diciptakan mereka. Biasanya rakan-rakan bukan Melayu hanya mengenali kuih-kuih sedemikian sebagai  kuih Melayu, sedangkan ada berbagai-bagai nama yang sedap bunyinya diberikan kepada kuih Melayu.

Jikalau hendak aku senaraikan nama kuih-kuih Melayu yang terdapat di negara ini tentunya akan memakan halaman yang banyak. Cukup sekadar aku ceritakan mengenai kuih-kuih yang pernah dibuat oleh Opah dan emak aku, terutama pada bulan Ramadhan, bulan puasa. Hanya pada bulan Ramadhan sahaja, Opah dan emak dan orang kampung yang lain akan membuat bermacam-macam jenis kuih untuk juadah berbuka puasa. Pada  tahun-tahun awal 50an, mana ada Pasar Ramadhan seperti sekarang. Untuk juadah berbuka puasa terpaksalah buat kuih dan makanan sendiri. Namun begitu dapat juga menikmati berbagai jenis juadah ketika berbuka puasa. Itu disebabkan adanya pertukaran juadah berbuka puasa menjelangnya waktu berbuka puasa antara jiran-jiran terdekat.

Opah dan emak selalu membuat kuih ‘Dokok-Dokok’ untuk juadah berbuka puasa. Emak tahu yang aku amat suka kepada kuih ‘Dokok-Dokok’. Kadang-kadang Opah membuat kuih ‘Dokok-Dokok’ hanya semata-mata untuk ‘menyogok’ dan merasuah aku dengan harapan aku akan berbuat apa saja yang disuruhnya selepas itu. Opah  tahu kesukaan aku. Jikalau dituliskan mengikut priority maka kuih ‘Dokok-Dokok’ di tempat teratas sekali dan diikuti dengan kuih ‘Koci’, ‘Badak Berendam’, ‘Puteri Mandi’, ‘Ketayap’, dan seterusnya….

Itu kuih-kuih yang aku minati pada bulan Ramadhan. Pada hari-hari biasa, lain pula kuih yang aku minati. Sehingga kini, kuih ‘Tuan Puteri Baju Hangus’ masih ‘bertakhta’ di hati aku. Hampir setiap dua minggu, isteri aku akan menghidangkan ‘Tuan Puteri Baju Hangus’. Kuih ‘Tuan Puteri Baju Hangus’ (TPBH)  ini juga sentiasa digunakan sebagai senjata oleh ‘isteri’ aku untuk memujuk aku ketika aku dalam ‘suasana yang tidak tenteram’. Pastinya aku akan gembira melihatkan TPBH dihidangkan dengan secawan Kopi O.

Konon ceritanya……..nama Tuan Puteri Baju Hangus ini adalah nama yang diberikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Sultan yang mana tidak pula aku ketahui. Tetapi pastinya Sultan sebelum Sultan Nazrin Syah yang ada sekarang, kata yang empunya cerita. Bagindalah yang memberikan gelaran demikian. Yang dapat aku pastikan bahawa kuih Tuan Puteri Baju Hangus ini amat popular di negeri Perak. Di sekitar Kuala Kangsar sampai ke Parit dan terus ke Teluk Anson ( Teluk Intan). Namun begitu tidak pula terdapat kuih Tuan Puteri Baju Hangus di jual di pekan Kuala Kangsar. Mungkin sekarang sudah ada. Itu aku tak tahu ler…

Kuih Tuan Puteri Baju Hangus sememangnya tidak membahayakan kesihatan. Apa tidaknya. Gula tidak diperlukan untuk menghasilkannya. Minyak masak juga tidak digunakan untuk memasak. Keenakannya terletak pada pisang lecek yang dibakar atas daun pisang. Intinya pula ialah kelapa parut. Bayangkan aroma pisang yang dibaluti oleh daun pisang dan dibakar hampir hangus atas kuali. Alangkan enaknya jika dimakan ketika masih panas dan minumannya pula kopi O. Suasana yang amat sesuai untuk menikmati kuih Tuan Puteri Baju Hangus ialah waktu pagi ketika hujan renyai-renyai ataupun pada waktu petang (ketika hujan renyai-renyai juga!)

Aku hairan mengapa kuih Tuan Puteri Baju Hangus tidak terjual di pasar-pasar Ramadhan di sekitar Lembah Kelang. Aku pasti ramai ‘ orang Perak’ ( orang lama ) yang sedang mencari-carinya terutama pada musim bulan puasa. Mungkin ada terjual agaknya di sekitar Kuala Lumpur dan hanya aku yang tidak diketemukan.

Persediaan menyediakan kuih-kuih Melayu sememangnya ‘renyah’ dan ‘leceh’. Jangankan untuk membuat dodol , halua dan  lemang, untuk membuat Dokok-Dokok pun memerlukan masa yang begitu lama. Berbanding dengan membuat ‘Burger’ atau ‘ayam goreng’.  Membuat kuih Puteri Mandi atau Badak Berendam memerlukan ketekunan dan kesabaran yang bukan kepalang. Memang sedap untuk dimakan, namun disebabkan orang Melayu dulu mementingkan seni untuk membuat kuih itu dan juga rasa, maka untuk membuatnya mengambil masa yang agak lama. Berjam-jam.

Tidak ada jalan ringkas untuk menghasilkan kuih Melayu. Untuk menyediakan dodol misalnya ( dodol yang aku fahami yang dimasak oleh orang kampung aku ketika mngadakan sesuatu khenduri)  memerlukan masa sekurang-kurangnya satu hari, tidak termasuk menyediakan bahan dan ramuannya. Terpaksa menunggu separuh hari untuk dimakan. Begitu juga untuk menghasilkan lemang, kuih Bahulu, Kuih Bangkit dll. Malah yang paling rumit untuk menghasilkannya ialah berbagai jenis halua – halua Betik, Selimapt dll. Perlu mengambil masa berhari-hari untuk menghasilkannya untuk mendapatkan hasil yang betul-betul baik dan sedap.

Dengan sendirinya menunjukkan bahawa orang Melayu pada zaman dahulu mempunyai banyak masa lapang. Mereka tidak perlu tergesa-tergesa untuk menghasilkan sesuatu. Dan mereka melakukannya secara bergotong royong. Membuat dodol misalnya memerlukan tenaga yang agak ramai untuk menghasilkannya. Mengacau dodol yang sedang dimasak memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang. Dan ini juga tidak termasuk tenaga yang diperlukan untuk menyediakan ramuan sebelum dodol itu sedia untuk di masak.

Disebabkan ‘kelecehan’ sebeginilah maka lama kelamaan kuih-kuih Melayu akan lenyap. Sekiranya kuih-kuih sebegini masih boleh ‘survive’, maka rasa dan kenikmatannya telah hilang. Di pasar-pasar Ramadhan aku masih bertemu dengan Kuih Koci tetapi rasanya tidak seenak sebagaimana yang dibuat oleh emak aku. Inti kelapa yang menjadi inti Kuih Koci sudah tidak asli lagi. Dan cara Kuih Koci itu dimasak juga terlalu ringkas mungkin. Maka dengan demikian tentulah sudah hilang rasa dan keasliannya.

Kuih-kuih Melayu memang sedap. Ini diakui sendiri oleh ramai rakan-rakan aku yang terdiri dari kaum bukan Melayu – Cina dan India. Malah rakan-rakan ‘mat salleh’ dari luar negara juga mengakui keenakannya. Buktinya. Sekiranya kuih-kuih Melayu itu tidak enak dan lazat, tentu sekali tidak mungkin golongan bukan Melayu di Lembah Kelang berpusu-pusu pergi ke pasar Ramadhan pada setiap menjelangnya bulan puasa. Pasar Ramadhan bukan lagi dikunjungi oleh orang Islam yang membeli belah juadah untuk berbuka puasa tetapi dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat dari berbagai keturunan, lebih-lebih lagi yang tidak berpuasa. Malah mereka menunggu kedatangan bulan Ramadhan. Inilah hebatnya dan uniknya penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat hidup bersatu padu.

Percayalah…..tidak lama lagi Pasar Ramadhan akan menjadi medan selera antarabangsa yang terkenal. Tarikannya tentulah kuih Tuan Puteri Baju Hangus, Dokok-Dokok, Puteri Mandi, Badak Berendam, Ketayap, Lopeh, Limas, Anak Dara Dua Sebilik, Tahi Itik, Cucur Badak dan lain-lain…

Aku berdoa agar resepi kuih-kuih ini akan terus dipertahankan…

abuhassanadam

26 Januari 2025











No comments:

Post a Comment