Friday, May 19, 2017

PERISTIWA ‘LEMPANG-MELEMPANG’ - BANGSA MELAYU SEMACAM UNDUR KE BELAKANG!!...

Dengan hanya ‘satu lempang’ dari seorang penggiat seni dihadapan Perdana Menteri Malaysia semacam telah ‘menggugurkan’ taraf bangsa Malaysia di mata dunia yang selama ini sentiasa didendangkan sebagai bangsa yang ‘peace-loving’, suka berhibur dan juga yang kita sudah mula berada di tahap dunia moden – Dunia Pertama kononnya.

Para pemimpin Melayu sentiasa ‘menjeritkan’ di perhimpunan Agung UMNO misalnya mengatakan bahawa bangsa Melayu khususnya sudah sampai ke peringkat global dan setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Sama seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun. Malah dilaungkan juga oleh pemimpin Melayu bahawa satu masa nanti bangsa Melayu akan sama tarafnya dengan bangsa Amerika, German, dll.  Kemudian akan disambut dengan pekikan yang mengatakan bahawa ‘ takkan Melayu hilang di dunia’.

Dengan berlakunya peristiwa ‘lempang dihadapan PM’ baru-baru ini sudah cukup memalukan bangsa Malaysia khususnya orang Melayu yang aku juga tergolong dalamnya. Ramai juga yang merasakan peristiwa sebegini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi dalam satu majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia. Dan boleh juga ‘diterjemahkan’ peristiwa sebegini semacam ada dikalangan masyarakat Malaysia yang tidak begitu menghormati Perdana Menteri kita. Tentulah amat malang bangsa Melayu jika diperhalusi tentang tindakan ‘beberapa ekor kerbau yang membawa lumpur hampir kesemuanya terpalit’.

Sejujurnya aku memang sudah begitu lama tidak melihat orang bergaduh atau lebih tepat lagi ‘melempang’ orang lain. Kadang-kadang dalam perbincangan atau perbualan dengan kawan-kawan, selalu aku bertanyakan kepada mereka samada mereka pernah diketemukan dengan peristiwa pergaduhan samada di kedai-kedai atau di tempat kerja atau dimana saja. Mereka mengatakan bahawa mereka juga hampir tidak nampak suasana bergaduh dikalangan masyarakat Malaysia sebagaimana yang pernah ditonton oleh mereka dalam filem atau drama TV.

Yang menyebabkan aku menimbulkan persoalan demikian ialah tentang perbezaan yang digambarkan oleh filem atau drama tentang masyarakat Malaysia adalah amat berbeza. Hampir setiap drama TV yang aku tonton, mesti diselitkan dengan adegan pergaduhan sedangkan realiti masyarakat di Malaysia tidak begitu. Itu yang ‘memeningkan’ aku. Mengapa perlu dimasukkan adegan pergaduhan sedangkan masyarakat di negara ini mahu hidup dengan aman dan damai.

Sehinggalah muncul tahun 2016 dan 2017 barulah kelihatan kekerapan suasana ketegangan dikalangan masyarakat Malaysia yang ditimbulkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu yang kononya memperjuangkan orang Melayu dan agama Islam. Pada hakikatnya jika diperincikan ‘kegelisahan’ mereka itu tidak lain daripada hanya mencari publisiti murahan yang diadu-domba oleh pihak-pihak tertentu. Itu persepsi yang dapat aku simpulkan.

Bagi aku, peristiwa ‘lempang’ adalah merupakan satu ‘watershed’ dalam sejarah Malaysia. Awal tahun 2017 merupakan satu ‘turning point’ dalam tindak tanduk orang Melayu yang ‘berani’ (mungkin juga boleh diiktiraf sebagai kurang sopan) melakukan perbuatan kurang sopan di hadapan pemimpin negara. Tidak pernah berlaku peristiwa sebegini sebelum ini. Amat memalukan. Tun Mahathir sendiri mengatakan bahawa tidak pernah berlaku peristiwa sebegini ketika dia menjadi Perdana Menteri atau pun Perdana Menteri sebelumnya.

Ketika aku bertugas di London pada tahun-tahun 1990an, hampir setiap hari Ahad aku akan berada di Hyde Park London untuk menyaksikan perdebatan di situ. Sesiapa yang pernah hadir di perdebatan demikian akan faham apa yang aku maksudkan. Setiap pagi Ahad akan adalah ‘ Speakers Corner’ dimana siapa sahaja boleh menyatakan pandangan dan pendapatnya mengenai sesuatu isu. Apa saja isu yang ingin disuarakan. Mereka mengamalkan kebebasan bersuara dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Setiap pandangan yang disuarakan pastilah ada pihak yang membangkang pendapat berkenaan. Dan kesannya berlakulah perdebatan. Sepanjang pemerhatian aku di situ ( sehingga kini aku tidak akan melepaskan peluang menghadiri perdebatan di Hyde Park setiap hari Ahad, sekiranya aku ke sana) tidak pernah aku lihat peristiwa ‘lempang-melempang’ seperti mana yang berlaku di hadapan Perdana Menteri tempoh hari.

Dan ketika ‘Speakers Corner’ di hadapan Perpustakaan University Malaya masih wujud ( dalam awal tahun-tahun 1970an), tidak juga pernah berlaku pergaduhan antara para pelajar walaupun mereka berlainan pendapat. Agaknya kekuatan para mahsasiswa ketika itu dipamerkan melalui kekuatan mereka berhujjah dan bukan menunjukan kekuatan fizikal sepertimana yang berlaku peristiwa ‘lempang-melempang’ di hadapan Perdana Menteri.

Peristiwa yang berlaku baru-baru ini amat malang dan menyedihkan. Jikalau dulu aku sentiasa mempertahankan bahawa bangsa Melayu (seperti aku) adalah suatu bangsa yang pelembut, bertimbang rasa, tak suka gaduh (peace- loving) sebagaimana yang dikatakan oleh R.O.Winstedt tetapi dengan peristiwa ‘lempang-melempang’ baru-baru ini persepsi aku terus berubah.

Tentulah aku teringat kepada Allah Yarham A.Rahim yang sentiasa memainkan watak jahat dan kaki  gaduh demikian dalam filem Melayu lama yang menggambarkan suasana masyarakat Melayu tradisional pada ketika itu.

Apakah bangsa Melayu sudah mahu kembali ke zaman itu? Entahlah…

abuhassanadam
19 Mei 2017



4 comments:

  1. Itu lah budaya sebenar UMNO.
    Lihat lah kelakuan Jamal, PM//TPM tidak berani menegur kerana ianya sebahagian drpd agenda pemimpin.

    ReplyDelete