Sunday, May 7, 2017

TIBA-TIBA KAK MINAH MEMBUKA BAJUNYA …

Apa yang dilakukan oleh Kak Minah dalam tahun-tahun 1950an adalah merupakan perkara biasa. Tidak mendatangkan aib atau pun malu sebab semua kaum wanita dalam keadaan seperti yang dialami oleh Kak Minah akan berbuat sepertimana yang dilakukan oleh Kak Minah. Perkara biasa.

Pada ketika itu semua orang sibuk membuat persiapan khenduri kahwin di rumah Ayah Kotek. Kahwin Kak Timah dengan abang Mat Godang. Kebiasaannya di kampung aku, pada ketika itu satu minggu sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan / pernikahan sebenar, di rumah khenduri sudah sibuk membuat persiapan. ‘Kendara’ istilahnya. Maknanya keluarga terdekat sudah mula ‘berkampung’ dengan ‘anak bini’ mereka sekali.

Maknanya pihak yang mengadakan khenduri terpaksaalah menyediakan ‘makan-minum’ keluarga yang datang ‘berkampung’ dan membantu dalam kerja kahwin berkenaan. Sebenarnya itu sudah merupakan satu ‘pesta’ kecil-kecilan. Dan tugas tuan rumahlah untuk menyediakan makan minum tetamu yang datang membantu dalam menguruskan kerja kahwin berkenaan.

Walaupun nampak berat tanggungjawab tuan rumah menyediakan segala persiapan makan minum ketika ‘kendara’, namun tidaklah sesusah mana kerana tanggungjawab tuan rumah dipikul bersama oleh kaum keluarga yang datang. Konsepnya ialah ‘berkerja bersama dan makan bersama’. Berasaskan fahaman sedemikianlah maka tidak langsung memberatkan tuan rumah semata-mata.

Apa tidaknya. Kaum keluarga yang datang untuk memberikan pertolongan itu bukanlah datang dengan tangan kosong. Ada yang datang dengan membawa seguni beras, berpuluh-puluh biji kelapa, bertandan-tandan pisang, berpuluh-puluh biji buah labu (untuk dibuat sayur dan pengat) dan berbagai-bagai keperluan lain. Pendek kata kedatangan kaum keluarga itu tidak langsung memberatkan tuan rumah, malah meringankan lagi urusan khenduri yang akan diadakan. Kesemuanya berjalan atas dasar bergotong royong.

Aku masih ingat lagi pada malam berkenaan. Ingat-ingat lupa. Pada ketika itu aku masih kanak-kanak dalam lingkungan umur lima tahun. Aku bersama Opah pergi ke majlis persiapan khenduri rumah Ayah Kotek. Kebiasaannya Opah akan bersama rakan-rakan lain berada di Lepau melakukan tugas seperti mengupas bawang, memotong cabai dan sebagainya. Ramailah orang kampung yang ada di situ. Pan Baayah ada. Pan Teh Mendek juga ada. Pan Tom pun ada. Pendek kata siapa sahaja yang kelapangan ada belaka di rumah Ayah Kotek termasuklah Kak Minah dengan anak kecilnya yang berumur dalam lingkungan satu tahun.

Sebenarnya ini kisah Kak Minah. Tidak ada cerita yang luar biasa mengenai Kak Minah. Aku memang kenal biasa dengan Kak Minah. Tetapi peristiwa yang nak aku lakarkan ini adalah satu kisah benar yang berlaku. Mungkin peristiwa yang berlaku pada Kak Minah ini juga berlaku pada wanita-wanita lain di seluruh Malaysia pada waktu itu. Tidak ada kecualinya.

Dengan tidak semena-mena, anak Kak Minah menangis sekuat-kuatnya. Mungkin lapar susu agaknya. Kak Minah dengan tidak teragak-agak terus membuka bajunya dan mengeluarkan ‘sumber susu’nya untuk dihisap oleh anaknya. Aku tidak terkesan apa-apa pun melihat tindakan Kak Minah itu.

Yang ingin aku ‘analisis’ mengenai tindakan Kak Minah itu ialah perbezaan budaya yang terdapat pada ketika itu berbanding dengan amalan sekarang. Kak Minah tanpa segan silu membuka baju dan mengeluarkan ‘sumber susu’nya di khalayak ramai tanpa segan silu menyusukan anaknya. Kak Minah tidak perlu ‘melindungi’ sumber susunya dan yang lain juga tidak merasa hairan melihatkan perbuatan Kak Minah berkenaan kerana iulah cara masyarakat kampung aku pada ketika itu menyususkan anak mereka.

Kak Minah tidak pula merasa malu dan segan apabila ‘dilihat’ oleh lelaki lain yang ada bersama-sama berhampiran dengan tempat Kak Minah menyususkan anaknya. Dan orang lain juga tidak ‘berminat’ untuk melhat ‘sumber susu’ Kak Minah.

Aku tidak tahu bilakah kegiatan sepertimana yang dilakukan oleh Kak Minah ini terehenti dan para ibu mula menyusukan anak mereka di tempat-tempat yang terlindung sepertimana yang diamalkan oleh ibu-ibu muda sekarang. Aku tak tahu bila. Yang aku ingat itulah caranya ibu-ibu pada ketika itu menyusukan anaknya. Tidak pula mendatangkan aib pada masyarakat persekitaran pada ketika itu. Mungkin disebabkan semua ibu melakukan perkara yang sama.

Aku terus memerhatikan anak Kak Minah menikmati susu ibunya dengan penuh perasaan. Kak Minah tidak pula merasa malu atau segan dan silu apabila aku meliaht sumber susunya. Pada ketika itu aku masih kecil lagi, berumur empat atau lima tahun…

abuhassanadam
7 Mei 2017



1 comment:

  1. pada era Kak Minah..wanita sebaya kak minah yang berkemban spt Biduanita Latifah Omar dalam filem Bawang Putih Bawang Merah, tidak bertudung TIDAK dianggap mengghairahkan. Tetapi sekarang era..gambar lucah boleh diklik sesiapapun dalam telefon bimbit dengan mudah...tidak menutup sebahagian aurat pun sudah dianggap 'Tabu" dan sememangnya haram; dilarang agama lslam. Apakah ini kerana persepsi? Atau kerana pemahaman hukum lslam yang mendalam? Baguslah. Tapi anehnya...wanita kini (lslam) yang bertudung telekung mini TETAPI memakai jean/seluar ketat atau berkebaya, berjubah ketat nampak punggung (butt) yang montok & seksi..apakah wanita lslam sekarang benar-benar faham pakaian menutup aurat yang sebenarnya? Dan faham apa itu aurat?

    ReplyDelete