Monday, December 16, 2024

 

MAHASITUA (3)

Tentulah agak sukar bagi aku menghadapi masa hadapan yang cukup mencabar. Aku hanya berbekalkan sijil LCE ( Lower Certificate of Education). Pada ketika itu hanya berkelulusan LCE boleh diterima untuk mengikuti kursus perguruan di DTC (Day Training Centre). Dan aku adalah diantara calon yang mengikuti kursus perguruan di DTC Taiping pada tahun1962. Bermakna aku sudah menjadi guru sekolah rendah ketika berumur 17 tahun.

Sebenarnya bukan kehendak aku untuk mengikuti kursus perguruan dalam usia yang terlalu muda dan bukan juga kehendak bapa aku. Tetapi keadaan pada ketika itu yang memaksa aku mengambil tindakan sedemikian. Namun begitu aku faham bahawa bapak aku tentunya tidak termampu untuk membiayai pendidikan aku dan adik aku Latipah yang juga belajar di sekolah Inggeris (Government English Girl School, Kuala Kangsar) kini Sekolah Raja Perempuan Kalsom. Setelah aku tilik dan menongkan tentulah amat tidak patut untuk aku meneruskan pengajian aku ke tingkatan 4 dalam keadaan pendapatan bapak aku yang amat tidak termampu olehnya untuk meneruskan persekolahan aku dan adik aku.

Lantas aku mengambil keputusan untuk berhenti setakat tingkatan empat setelah lulus LCE. Itu membolehkan aku untuk meneruskan perjalanan pendidikan untuk menjadi seorang guru dan meneruskan pengajian di DTC  Taiping untuk mengikuti kursus perguruan. Sebenarnya aku telah ditawarkan ke Tingkatan empat alirann sains berdasarkan keputusan peperiksaan LCE yang aku perolehi. Aku memperolehi kepujian dalam semua matapelajaran. Yang pentingnya keputusan yang cemerlang yang membolehkan aku dimasukkan ke Tingkatan 4 aliran sains berdasarkan kepada keputusan Matematik dan Sains yang amat membanggakan. Kemasukan aku ke kelas Tingkatan Empat aliran sains adalah semacam satu mimpi bagi aku. Hanya aku seorang sahaja anak Melayu yang ditempatkan dan tentulah merasakan amat janggal bagi aku berada dalam kelas yang kebanyakannya terdiri dari kaum lain. Itu tidak bermakna yang aku di 'anaktirikan'. Hanya aku yang merasakan terasing.

Tetapi entah macam mana keadaan kehidupan aku bertukar menjadi keadaan yang amat gelap. Berdasarkan keputusan peperiksaan, aku hanya seorang (Melayu) yang ditempatkan di kelas Sains berkenaan. Daripada 30 orang pelajar hanya aku keserangan Melayu yang mengikuti kursus Sains di Clifford School Kuala Kangsar pada tahun itu.. "Science stream." Begitu hebatnya dan aku tidak tahu ke mana matlamatnya. Tidak ada tempat untuk aku mengadu dan bertanyakan khabar tentang tindakan yang harus aku ambil. Rakan-rakan kawan kaum Cina  tidak aku tanya dan mungkin mereka juga sibuk, Lantas aku tinggal keseorangan 'membawa diri''. Pada ketika itu aku betul-betul hilang arah untuk dituju.

'Stress'yang aku hadapi menyebabkan aku demam empat hari dan tidak ke sekolah. Puncanya adalah aku tidak tahu ke mana aku akan 'mendarat' dan tidak ada sesiapa tempat mengadu tentang apakah keputusan yang aku ambil bertepatan. Pada ketika itu aku sudah 'terbang' entah ke mana. Aku betul-betul rasa ketinggalan dalam hidupku.Aku tidak tahu ke mana arah tuju aku sebenar. 

Setelah aku agak sihat aku hadir di sekolah dan kehadiranku dalam kelas 'Empat Sains' adalah semacam tidak dipedulikan. Dan pada ketika itu aku sudah sedar bahawa kehadiran aku hanya sebagai 'melukut di tepi gantang'. Aku tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru dan tidak pula aku berjumpa dengan guru untuk mendapatkan penjelasan. Aku terus 'tenggelam'

Tindakan seterusnya adalah berjumpa dengan Pengetua, Mr Karam Singh menyatakan hasrat ku utnuk berhenti sekolah. Aku masih ingat 'nasihat' yang disampaikan oleh Mr. Karam Singh kepada aku. 'Mahu kahwin cepat kah?' katanya. Masih terngiang-ngiang ditelinga aku 'nasihat' beliau yang lebih merupakan satu penghinaan yang menunjukkan yang orang Melayu pada ketika itu hanya mementingkan perkahwinan daripada mengejar peluang pendidikan.

Terus terang aku nyatakan kepada Pengetua bahawa aku terlalu miskin untuk meneruskan pelajaran aku. Dan aku mahu menyelamatkan pendidikan adik aku juga dengan harapan bapak aku menanggung pelajaran adik aku. Kesannya aku amat putus asa dan terus bertekad untuk meninggalkan Clifford School (Form Four) dan kebetulan dapat diterima di DTC Taiping dibawah pentadbiran Mr Gordon Ward. Di Clifford aku telah cuba dinasihat oleh Mr Karam Singh agar jangan pergi tetapi nasihatnya agak kurang meyakitkan. Katanya 'mahu kahwin kah? apabila aku katakan hasrat aku untuk keluar dari sekolah itu.

Tidak ada sesiapa pun ( para guru di sekolah Clifford) yang menasihati aku agar terus berada di Tingkatan Empat Sains. Tidak ada sedangkan aku telah membuktikan yang anak Melayu boleh mendapat keputusan cemerlang dalam matapelajaran sains. Aku tentunya merasa kecewa kerana tidak mendapat simpati walaupun dari seorang guru.

Kemudian baru aku sedar bahawa mengapa begitu terjadinya nasibku. Tentulah tidak siapa yang peduli tentang nasib anak kampung seperti aku. Aku bukannya dari golongan pembesar negeri ataupun anak seorang pegawai kerajaan. Bapak aku hanya seorang penoreh getah yang kehidupannya ' kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.Keadaan 'miskin' yang aku lalui tidak ada tolak bandingnya dengan keadaan kemiskinan yang aku lalui kini. Namun begitu aku bersyukur kerana telah berjaya juga aku membela kehidupan ku dan keluargaku selepas itu.

Januari 1962 bermulalah fasa baru dalam hidupku - Menjadi pendidik anak bangsa dengan memasuki DTC, Pusat Latihan Perguruan di Taiping.


abuhassanadam

17 Disember 2024

Sunday, December 15, 2024

 

MAHASITUA (2)

Setahun sudah aku berada di Kampung Ulu Mengkuang. 

Mengajar di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Bagi rakan-rakan guru sentiasa bertanya tentang keadaan di Ulu Mengkuang. Bagi mereka tentulah keadaan kampung itu terlalu 'ulu'. Terlalu sukar bagi aku untuk meyakinkan mereka bahawa di tempat seperti di Ulu Mengkuang itulah sepatutnya mencurahkan bakti memajukan anak bangsa. Di situlah sepatutnya tumpuan para guru (muda) memajukann anak bangsanya.

Aku bertanya juga diriku. Apakah kesudahan aku. Apakah berpuas hati dengan gelaran cikgu yang hanya berkelulusan LCE (Lower Certificate of Education). Apakah berpuas hati dengan gaji bulanan yang diterima sebanyak RM 210.00. Tidakkah ada hasrat untuk menyambung pelajaran demi untuk memajukan diri, bisik hati kecilku.

Tidak banyak beza antara aku dan penduduk asal kampung Ulu Mengkuang setelah setahun aku 'bergelumang' dengan penduduk di sini - dengan orang dewasa, dengan pemudanya dan apatah lagi dengan anak-anak yang sudah cukup rapat pergaulan dengan aku. Sehingga kini hubungan (selepas 50 tahun) aku dengan bekas anak murid aku masih rapat. Aku masih ingat nama-nama anak muridku ketika mereka berada dalam Darjah 1 tahun 1965. Aku masih ingat anak-anak yang bernama Yahaya Hamid, Isa Md Noor, Zainab Pak Su Man, Md Zain Haji Nawi dan ramai lagi. Begitulah keakraban yang terjalin antara aku dengan anak murid aku.

Aku masih ingat juga nama-nama penduduk kampung Ulu Mengkuang (yang sudah tiada lagi) seperti Pk Ngah Ahmad, Pak Teh Derani, Tuan Haji Hassan ketua kampung, Pak Long Noor, Mak Teh Bedah, Md. Noor Haji Hassan (pemimpin belia), Pak Su Man (ketua kampung pada ketika itu) dan ramai lagi.

Masa dan ketika aku berada di Ulu Mengkuang pada tahun 1965 tidak terluang kosong. Hampir setiap petang anak-anak pelajar akan berada di sekolah dengan berbagai kegiatan yang mereka jalankan. Kegiatan permaianan bola sepak (untuk pelajar lelaki) dan Bola Jaring (untuk pelajar perempuan) walaupun gelanggang tempat mereka bermain adalah sangat tidak memuaskan (yang jauh panggang dari api) berbanding dengan  court netball di sekolah-sekolah bandar. Namun para pelajar sungguh seronok dan bergembira dengan permainan demikian.

Satu perkara yang betul-betul mengusik perasaan ku adalah tentang sikap anak-anak di kampung ini. Amat luar biasa sikap mereka terhadap pelajaran. Maksud aku adalah kesungguhan mereka mendapatkan pelajaran. Ibu bapa di sini sungguh menunjukkan minat terhadap pelajaran. Mereka mahu anak-anak mereka menjadi orang terpelajar walaupun mereka agak ketinggalan dalam mengejar pendidikan. Sebarang usaha ke arah memajukan pendidikan di sini pasti akan disokong sepenuhnya oleh para ibu bapa disini. 

Kehadiran guru terlateh sememangnya dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di Ulu Mengkuang. Cikgu Ismail yang digelar 'PAK DA" sudah telah bertungkus lumus menyesuaikann tugasnya sebagai guru besar dan juga kelas yang bercantum antara Darjah 111 dan Darjah 1V. Keadaan  sedemikian pastinya tidak wujud di sekolah-sekolah di bandar. Dan keadaan begitu tidak dapat dielakkan disebabkan kekurangan guru yang terlatih.

Dengan para belia dan tenaga muda tidak aku lepaskan peluang untuk bersama-sama mereka dalam banyak kegiatan (kegiatan pemuda kampung).  Tonggak perjuangan belia adalah Persatuan Belia. Hampir setiap pemuda di Ulu Mengkuang menganggotai dan bergiat cerges dalam persatuan Belia. Terus terang aku katakan bahawa aku amat terpengaruh dengan novel "DESA PINGITAN'  karangan Ibrahim Omar yang melakarkan kisah-kisah desa dan perjuangan persatun belianya, yang pada pandangan aku amat elok untuk dicontohi (mungkin pada waktu itu).

Kesan perhubungan rapat antara guru-murid ini dapat dirasakan sehingga kini (2024) walaupun bekas murid ku hampir keseluruhannya telah bergelar datuk (bercucu) dan ada juga yang telah meninggal.Dan bagi aku pula tidak pernah terlepas dari memikirkan tentang Kampung Ulu Mengkuang. Walau ke mana saja aku pergi aku tidak pernah terlupa untuk mengenangkan kampung yang banyak memberi erti dalam hidup ku.

Walaupun aku merasa cukup bahagia dan seronok berada di Ulu Mengkuang namun bila aku 'tersedar siapa diriku sebenar' ( seorang guru yang hanya berkelulusan LCE (PMR ketika itu),barulah mula aku memikirkan  tentang masa depan ku. Pernah terjadi ketika aku berada di Seoul Korea Selatan aku telah dijemput untuk menyampaikan ceramah di satu seminar. Kampung Ulu Mengkuang aku singgung dalam ceramah ku itu.

Tentulah banyak peristiwa  manis yang aku alami ketika berada di Ulu Mengkuang. Kisah pahit tentunya ada juga. Namun disebabkan terlalu banyak yang ‘manis’ maka yang ‘pahit ‘ itu akan hilang dengan sendirinya. Akan ku coretkan dari masa ke masa kisah-kisah manis ketika berada di kampung yang penuh nostalgia ini.

Suasana bersahur di Ulu Mengkuang meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam benak aku sampai kini. Pastinya aku akan mengembalikan ingatan aku kepada suasana bersahur di kampung Ulu Mengkuang ketika menjelangnya bulan Ramadhan. Walaupun di mana aku berada Suasana bersahur di Ulu Mengkuang menampakkan satu suasana yang cukup riang bagi penduduk. Walaupun dalam keadaan kegelapan menyelubungi kampung itu namun suasana riang itu tetap ada.

Setiap penghuni kampung mempastikan tidak seorang pun yang akan terlepas dari menikmati makan sahur. Pada ketika itu tentulah tidak ramai yang memiliki jam loceng untuk mengejutkan mereka dari tidur. Mungkin tidak ada langsung. Namun disebabkan kerjasama yang  begitu erat dari penduduk kampung, telah menyebabkan tidak ada seorang pun yang tidak akan terlepas dari bersahur.

Jiran-jiran akan mengejutkan antara satu sama lain. Dan pada malam itu saja aku masih ingat tidak kurang dari lima ‘panggilan’ yang aku terima untuk mengejutkan aku dan ibu dari tidur. ‘Cikgu…sahur Cikgu…’ Begitulah bunyinya panggilan mereka dengan penuh hormat. ‘Panggilan’ sedemikian akan terhenti setelah mereka melihat (agaknya) cahaya lampu pelita di pondok aku melalui lubang-lubang dinding buluh menandakan yang aku telah bangun dari tidur.

Begitulah keadaan penduduk Ulu Mengkuang pada malam-malam seterusnya pada bulan Ramadhan. Aku tidak dapat pastikan samada amalan sedemikian masih berterusan sehingga kini. Aku merasakan yang amalan sebegitu sudah tidak dapat diamalkan lagi terutama dengan berbagai pancaroba yang menghalang keadaan dan budaya sedemikian dapat diteruskan.

Sebelum melelapkan mata, aku terfikir juga tentang nasib dan masa depan aku walaupun tidak mengorbankan masa depan anak murid  yang aku sayangi di Ulu Mengkuang.

Aku perlu juga mengubah nasib aku dan masa depan aku.

abuhassanadam

16 Disember 2025







Saturday, December 14, 2024

 MAHASITUA (1)

Aku amat berbangga bergelar seorang 'Mahasitua'.

Sudah agak lama tidak kedengaran perkataan 'keramat' ini diungkapkan samada oleh 'yang empunyai diri' ataupun bagi sesiapa ingin memberikan ulasan berkaitan dengan 'MAHASITUA'.Tahun-tahun awal 70an, perkataan 'mahasitua' memang selalu 'didendangkan' bagi menggambarkan satu kumpulan manusia yang ingin 'menebus' kegagalan mereka kerana tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi yang sempurna sepertimana yang dinikmati oleh sekumpulan mahasiswa yang beruntung dan bernasib baik.

3 hb Januari 1965 adalah juga merupakan tarikh keramat dalam diari hidupku kerana tarikh itu merupakann hari aku melaporkan diri sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang Selama, Perak. Ramai kawan-kawan dikalangan guru amat bimbang untuk dihantar bertugas di Ulu Mengkuang disebabkan kedudukan pingitan yang terletak di sebuah kawasan pendalaman. Aku juga berasa enggan pada mulanya untuk bertugas di sini tetapi disebabkan sudah diarahkan maka aku terpaksa patuh kepada arahan kerajaan.

Sebenarnya tidak ada sebab yang ditakuti untuk berkhidmat di sini. Malah selepas lima tahun 'bergelumang' dengan anak-anak di sini aku merasa cukup selesa dan berbangga kerana dapat berkhidmat dengan anak-anak kampung (serupa keadaan aku juga sebagai anak akmpung). Lima tahun aku curahkan khidmat aku di SK Ulu Mengkuang yang berakhir dengan satu keadaan yang cukup manis apabila selepas lima tahun di Ulu Mengkuang aku 'berhijrah' menyambung kerjaya aku di University Malaya  Kuala Lumpur pada tahun 1971.

Ulu Mengkuang pada tahun 1965 adalah amat berbeza dengan Ulu Mengkuang tahun 2024. Bagi aku tidak ada cacat celanya kampung Ulu Mengkuang malah bagi aku boleh dianggap sebagai sebuah kampung contoh dengan keadaan masyarakat yang hampir sama dengan kampung-kampung lain di negara ini. Cuma pada ketika itu, Ulu Kampung adalahh dalam serba kekurangan. Maklumlah baru sahaja mencapai kemerdekaan dan dapat dianggap bahawa Ulu Mengkuang baru 'bangun dari tidurnya' yang pada anggapan aku sama seperti kampung-kampung lain juga pada ketika itu.

Aku merasa cukup bangga menjadi guru di Ulu Mengkuang . Ditinjau dari dikalangan saudara mara aku hanya aku yang dapat menjadi seorang guru berbanding dengan yang lain yang hanya sebagai penoreh getah atau pun berbendang. Oleh itu percampuran aku dengan orang kampung di Ulu Mengkuang memang tidak banyak perbezaan. Amat sesuai bagi aku bergaul dengan mereka. Anak kampung.

Aku mengambil masa yang cukup singkat bagi menyesuaikan diri aku dengan masyarakat di kampung Ulu Mengkuang. Begitu juga dengan penyesuaian aku dengan anak-anak di sini. Hanya mengambil masa yang begitu singkat untuk mereka bersama aku.

Kehadiran aku dan seorang guru lain (Jaafar bin Sidin) sememangnya di nantikan oleh anak-anak di sini dan yang lebih membanggakan dinantikan juga oleh para ibu bapa di sini. Susana penantian para ibu bapa itu tidak akan dapat dirasai oleh guru-guru yang mengajar di kawasan bandar misalnya. Sehingga kini hubungan aku dengan orang kampung Ulu Mengkuang masih erat dan berkekalan apatah lagi dengan anak-anak murid sekolah berkenaan yang ada diantara mereka sudah berjaya dalam pendidikan mereka.

Aku amat bangga dengan kejayaan mereka. Akan aku susuli dengan penceritaan aku di Kampung Ulu Mengkuang sektar tahun-tahun 1965-1970.

abuhassanadam

14 Disember 2024

Friday, December 13, 2024

 

MANIS ‘PEMBUKA MULUT’

Terlalu ramai kawan-kawan , anak-anak *rakyat Malaysia' yang dikasihi yang meminta aku mengabadikan apa yang telah aku tuliskan dalam blog (http://abuhasanadam.blogspot.com), demi untuk diketahui oleh ramai terutama golongan muda yang tidak dapat merasakan suasana masyarakat pada ketika yang aku gambarkan itu ia itu tahun-tahun 1950an dan 1960an. Disamping itu aku merasakan juga bahawa bahan-bahan tulisan yang terdapat dalam paparanku itu boleh juga dimanfaatkan oleh para mahasiswa yang ingin membuat kajian tentang masyarakat Melayu pada zaman yang aku sebutkan tadi. Apa yang aku ceritakan adalah merupakan cerita benar belaka dan watak-watak, tempat yang terpapar dalam penceritaan adalah fakta sebenarnya. Fakta yang boleh dijadikan bahan dalam pembentukan perspektif sejarah pada ketika itu kerana ia bukan rekaan.

Misalnya, mungkin ramai pembaca kini yang tidak mengetahui dengan mendalam tentang kuih orang Perak yang diberi nama ‘TUAN PUTERI BAJU HANGUS’. Mungkin sudah ramai yang pernah terjumpa kuih berkenaan tetapi tidak mengetahui dengan mendalam asal usulnya. Kemudian diceritakan juga tentang cara-cara ibu bapa zaman dahulu mengawal anak-anak mereka supaya segera pulang dari sekolah dengan mencipta watak yang dinamakan “NGAH LAOH TUKANG KERAT KEPALA’ yang kononnya mengerat kepala kanak-kanak untuk dijadikan pasak pembinaan sesebuah jambatan.

Kanak-kanak zaman ini tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘Canggung’. Apakah fungsi dan peranan ‘Canggung’ dan bagaimana permainan ‘Canggung’ merupakan permainan yang sangat disukai oleh anak-anak pada tahun-tahun 1950an. 

Mungkin juga ramai yang tidak dapat memahami bahawa belalang adalah sejenis makanan yang sedap dimakan tertutama apabila dibuat rendang. Samalah seperti rendang ayam atau rendang daging. Tetapi yang mungkin dipersoalkan oleh masyarakat kurun ke 21 ialah dari manakah sumber untuk mendapatkan bekalan belalang yang begitu banyak untuk dibuat rendang belalang. Apakah makanan rendang belalang masih terdapat di kawasan Padang Rengas / Kuala Kangsar sehingga kini. Cerita selanjutnya dapat diketahui melalui kisah ‘MENYULUH BELALANG’

Kisah persekolahan pada zaman penjajahan banyak dilukiskan melalui kisah, ‘CIKGU SAMAD’. Menceritakan tentang dedikasi dan pengorbanan seorang guru terhadap anak muridnya. Diceritakan dalam bentuk santai yang disulam dengan ayat-ayat yang menggelikan hati tetapi mengandungi pengajaran dan falsafah yang agak mendalam. Kisah pengorbanan seorang guru terhadap muridnya. ‘GURU MENANGIS!...’ adalah mengenai kekecewaan seorang guru tentang rasa bersalahnya dia yang menyebabkan ramai ‘anak murid’nya kini yang menjalani kehidupan yang amat bertentangan dengan apa yang diajarkannya kepada mereka pada suatu ketika dahulu.

Diceritakan juga tentang keadaan murid-murid yang memasuki Darjah 1 pada tahun 1951 dalam ‘DARJAH 1 – 1951”. Dijelaskan tentang bagaimana keadaan suasana pada hari pertama persekolahan zaman penjajahan. Diceritakan juga tentang para pelajar yang memasuki Darjah satu yang mana umur seseorang pelajar itu tidak dipertimbangkan asalkan seseorang pelajar itu mahu belajar. Para pembaca boleh bermenung dan bandingkan dengan keadaan pelajar Darjah satu kini dengan keadaan permulaan persekolahan pada awal tahun 1950an.

Kisah,’ ANTARA AYAM  MALAYSIA DENGAN  AYAM ENGLAND’ merupakan coretan yang amat menarik untuk dibaca oleh sesiapa pun khususnya anak-anak muda kini. Ini semacam kisah lucu, kisah anak kampung yang jakun totok yang belajar di sekolah Inggeris yang tidak tahu langsung tentang budaya orang Inggeris sebagaimana yang dibacanya melalui pembacaan buku Inggeris. Secara kebetulan pula guru Bahasa Inggeris ketika itu mahukan anak muridnya yang ‘berlidah Melayu’ menyebut perkataan Inggeris sebagaimana yang lumrah disebut oleh orang Inggeris. Untuk menyebut perkataan ‘G A R D E N’ mengambil masa satu waktu pembelajaran. Amat menarik untuk diselami falsafahnya. Lihat lah atikel berjodol,’ MR ANG CHUI PEK – “G-A-R-D-E-N”

Kisah guru yang penuh dedikasi dalam menyampaikan pelajaran kepada murid-murid boleh dilihat dalam’ ROBIN HOOD’. Mengkisahkan tentang seorang guru Mr. Muthusamy yang mengajar di Government English School Padang Assam, yang memperlihatkan kesungguhan yang bukan kepalang menyampaikan cerita Robin Hood kepada anak murid. Bukan itu sahaja malah beliau turut meminjamkan buku-buku Robin Hood yang berada dalam simpanannya supaya dapat dibaca oleh murid-muridnya yang rata-rata anak Melayu yang miskin yang tidak mampu untuk membeli buku-buku berkenaan.

‘JIKALAU AYAM TIDAK BERKOKOK’ pula tentunya mengkisahkan keadaan orang kampung, khususnya di kampung aku yang tidak mempunyai jam untuk menentukan waktu tetapi sebaliknya hanya mengharapkan kepada kokok ayam atau pergerakan matahari pada siang hari. Ketiadaan jam pada ketika itu mungkin juga disebabkan oleh kekurangan wang untuk membeli jam ataupun berkemungkinan mereka tidak memerlukan jam ataupun kebanyakannya pada ketika itu tidak pandai melihat waktu. Buta huruf.

‘RAYA CINA’ antara paling ‘ditakuti’ oleh orang kampungku berbanding dengan keadaan kini. Mungkin ramai yang  tidak dapat mengagak mengapa wujud ketakutan sedemikian. Sebabnya ialah pada hari ‘Raya Cina’ seluruh kedai di Padang Rengas akan tutup kecuali sebuah kedai Barakath Store. Oleh itu orang-orang kampung persekitaran tidak dapat membeli barang keperluan harian mereka yang biasanya mereka perolehi dari kedai Sin Soon Bee atau kedai Ah Soo. Atas sebab itulah orang kampung persekitaran amat bimbang dengan kedatangan Hari Raya Cina.

Kisah, ‘SOTONG BAKAR DAN BULAN PUASA’ juga hanya tinggal dalam lipatan kenangan. Anak-anak kini tidak akan dapat lagi berpesta makan sotong seperti yang dilalui oleh anak-anak tahun 1950an disebabkan harga sotong kering yang begitu tinggi kini berbanding dengan hanya 10 sen harga seekor sotong pada ketika itu. Sotong biasanya menjadi upahan sebagai balasan tugas membasuh pinggan pada bulan Ramadhan kepada anak-anak selepas jamuan berbuka puasa. Disitulah bermula ‘pesta’ makan sotong yang berlarutan sehinggalah menjelangnya malam raya.

Kolam mandi anak-anak kampung pada tahun-tahun 1950an adalah di ‘SUNGAI SAUK’. Mungkin anak-anak pada awal tahun 1950 biasa dengan ‘kolam renang’ yang mana air sungai diempang untuk disalurkan ke sawah-sawah padi. Air yang diempang itu menjadi sebuah kolam tempat anak-anak kampung mandi manda dan belajar berenang. Dari situlah mereka mahir berenang. Anak-anak kampung ini biasanya tidak pernah langsung menikmati suasana di kolam renang sehinggalah mereka dewasa dan dapat menikmati kolam renang di hotel-hotel tempat mereka menginap. Itu pun setelah ada yang berjaya dalam kehidupan dan dapat menikmati kemewahan sebagaimana yang dinikmati oleh orang lain.

Ada peribahasa Melayu yang mengatakan,’ jikalau tidak ada-ada, takkan tempua bersarang rendah’. Memang betul jika diperhatikan sememangnya burung Tempua tidak bersarang rendah. Kebiasaannya Tempua akan memilih pohon buluh dan pastinya ia membuat sarangnya di pucuk buluh. Kisah burung Tempua ini dipaparkan semula untuk mengenang keadaan burung Tempua yang bergayutan di pohon buluh yang kini sudah tidak ada lagi. Coretan ini dapat di lihat melalui paparan berjodol,’ MANA PERGINYA TEMPUA KU SAYANG’

'WAYANG ESTET DAN COKLAT CADBURY’ pula memaparkan kisah anak kampung yang tidak pernah merasai atau menikmati coklat yang berjenama. Bagi mereka coklat itu adalah gula-gula yang dijual di kedai-kedai kampung. Namun begitu anak-anak kampung ini dapat juga menikmati coklat sedemikian dengan cara yang tidak terfikir oleh fikiran yang biasa. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus menerus membaca dan mencari jawapan bagaimana anak-anak kampung dapat juga menikmati coklat-coklat berjenama sepert Cadbury.

Anak kampung pada zaman penjajahan juga tidak berpeluang untuk menonton wayang di panggung wayang disebabkan kesempitan hidup dan tempat tinggal mereka (di kampung-kampung ) yang terletak jauh dari bandar. Namun mereka dapat menonton wayang percuma  dengan adanya wayang yang disediakan oleh pengusaha-pengusaha estet getah pada ketika itu.

‘GURU MENANGIS!...” merupakan curahan hati seorang guru yang amat sedih mengenangkan keadaan ‘anak murid’ mereka yang telah menjadi pemimpin, pegawai kerajaan dan memegang berbagai jawatan penting dalam kerajaan tetapi telah melakukan berbagai penyelewengan dan rasuah. Guru menangis melihatkan seolah-olah para pemimpin ini mengabaikan ajaran guru dan tidak langsung menghormati ajaran-ajaran guru yang pada suatu ketika dahulu sentiasa berpesan supaya menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat dan negara. Guru menangis disebakan seolah-olah ajaran-ajaran mereka sudah tidak dipedulikan.

Ramai sudah tidak mengetahui apa yang dikatakan ‘PANJUT’ walaupun bagi mereka yang berasal dari daerah Kuala Kangsar. Cuba dijelaskan tentang apa yang dimaksudkan dengan panjut dan keseronokan yang boleh ditimbulkan ekoran mengadakan pesta panjut pada malam tujuh likor atau Malam 27 Ramadhan. Panjut lebih mirip kepada pelita yang dinyalakan dengan menggunakan minyak tanah dan tidak begitu sesuai gelaran panjut itu jika menggunakan lampu letrik. Namun begitu masyarakat kini masih menggelarkan  panjut juga walaupun menggunakan lampu letrik.

Cara berfikir anggota masyarakat tahun-tahun 1950an atau lebih awal daripada itu sememangnya luar biasa. Isu-isu yang berkaitan dengan hal ini dapat dilihat dalam paparan berjodol,’ ZAMAN ALANG ISKANDAR’. Pada ketika itu anggota masyarakat yakin bahawa pemerintah sesuatu zaman itu boleh menentukan keadaan yang wujud dalam negara. Misalnya ada pemerintah yang dianggap tidak mendatangkan keamanan kepada negara dan ada juga pemerintah yang betul-betul kelihatan mendatangkan kemakmuran kepada negeri. Misalnya dalam zaman pemerintahan Sultan Alang Iskandar Shah di negeri Perak, diperhatikan bahawa terdapat kemewahan yang luar biasa. Padi menjadi, pokok buah-buahan juga menjadi-jadi dan rakyat menikmati kebahagiaan.

‘MENGGOLEK’ adalah merupakan proses terakhir sebelum semaian padi di tanam. Proses awal dalam perusahaan menanam padi adalah menggunakan tenggala untuk menenggala sawah yang diikuti kemudiannya (selepas beberapa hari) dengan menyikat tanah dengan menggunakan sikat. Tujuannya ialah untuk menghancurkan tanah yang masih berbongkah-bongkah. ‘Menggolek’ adalah proses akhir dimana tujuannya ialah untuk meratakan tanah supaya semaian padi dapat ditanam dengan sempurna. Proses ‘Menggolek’ sangat ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak adalah disebabkan kegiatan menangkap ikan akibat digilis oleh golek.  Suasana yang sedemikian sudah tidak wujud lagi dimana-mana kampung pun di Malaysia setelah datangnya jentera tractor.

Tentulah tidak perlu aku huraikan satu persatu daripada paparan dalam naskah ini. Terpulanglah kepada para pembaca untuk terus membaca dan meneroka disamping terus memikirkan dan menganalisis keadaan yang wujud pada ketika itu.

Selamat membaca!


abuhassanadam

13 Disember 2024