Tuesday, December 24, 2013

EKORAN ISU KES DS AHMAD ZAHID HAMIDI – NEGARA AKAN AMAN SEKIRANYA PRINSIP DEMOKRASI ITU DIPATUHI


EKORAN ISU KES DS AHMAD ZAHID HAMIDI –
NEGARA AKAN AMAN SEKIRANYA PRINSIP DEMOKRASI ITU DIPATUHI

Malaysiakini bertarikh 23 Disember 2013 melaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar semula petisyen yang difailkan oleh PKR bagi kerusi parlimen Bagan Datoh. Puncanya…….Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Umi Kalthum Abdul Majid pada 15 Ogos lalu memutuskan bahawa petisyen oleh Calon PKR Madhi Hassan gagal mematuhi Peraturan 9 kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Peraturan itu menetapkan nama peguam bagi pihak yang memfailkan petisyen perlu dinyatakan dalam dokumen itu dan mahkamah tidak menerima sekiranya petisyen difailkan oleh firma-firma undang-undang. Itu ‘ kata’ Umi Kalthum…

‘Kata’ panel lima orang hakim yang diketuai oleh TS Raus Sharif pulak ialah bahawa sesiapa sahaja boleh memfailkan petisyen. Dilihat dari kacamata ‘orang kampung’ lagi bodoh seperti aku ini tentulah ‘kecil’ benar isunya. Dan Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan supaya mendengar semula petisyen dari Lubuk Merbau sementara menolak rayuan oleh BN bagi kerusi Lembah Pantai dan Batu. Semacam ada sesuatu yang tak kena pulak….

Timbulnya keadaan semacam ‘kucar-kacir’ di Malaysia sekarang mungkin disebabkan kita tidak mengikuti lunas-lunas demokrasi dengan betul. Mungkin….Ada tuduhan dan tohmahan yang mengatakan bahawa Badan Kehakiman kita tidak telus dan tidak berlaku adil dalam kes-kes tertentu. Itu tuduhan dan tohmahan. Cakap-cakap luar. Sembang kedai kopi. Aku tidak dapatlah membuktikan. Cuma yang boleh aku katakakan disini ialah aku berpegang kepada kata-kata datuk nenek kita dulu iaitu ‘sekiranya tidak ada angin tidak akan bergoyang pokok’. Itu saja yang dapat aku pastikan.

Sekiranya sistem pemerintahan demokrasi itu dipraktikkan dengan betul maka pastinya tiidak timbul keadaan yang agak ‘kucar kacir’ itu. Sistem pemerintahan demokrasi bermula di Athens dalam zaman tamadun Yunani yang diperkenalkan 3000 tahun dahulu dan digunakan sampailah zaman sekarang dan diamalkan dihampir seluruh negara dunia. Maknanya dari segi teorinya sistem ini amatlah sesuai dengan prinsip ketamadunan manusia.

Negara kita Malaysia juga mengamalkannya. mengamalkan konsep pengasingan kuasa. Mengikut konsep pengasingan kuasa ini pula ia itu kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang,

1.   Badan Perundangan
2.   Badan Pelaksana
3.   Badan Kehakiman

Macam menyampaikan ceramah pulak….

Sebenarnya konsep pengasingan kuasa itu cukup molek jika diamalkan sebenar-benarnya. Apa tidaknya. Badan Perundangan, itu ialah Parlimen yang mana kita tahu bahawa ‘kerja’nya ialah membuat undang-undang. Tugas pembuat undang-undang  ( law maker) ini adalah tanggungjawab wakil parlimen yang kita lantik melalui pilihan raya.

Tugas ahli parlimen yang kita lantik itu adalah amat penting. Mereka seharusnya terdiri dari individu yang cerdik yang boleh mentafsirkan undang-undang yang hendak diluluskan di parlimen itu. Maknanya mereka bukanlah setakat hadir di parlimen itu untuk tidur dan mendapat elaun.Maknanya mereka hadir bukan untuk ‘bergaduh’, terpekik dan terlolong sehinggakan menjadikan parlimen seolah-olah sebagai sebuah circus. Maknanya mereka hadir di parlimen bukan untuk bergesel bahu dengan Menteri untuk melobi kontrek untuk isteri dan anak-anak mereka. Bukan begitu…..

Tugas Badan Pelaksana pula ialah melaksanakan segala undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Menerajui Badan Pelaksana ialah Perdana Menteri. Dan dikuti oleh Menteri-Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan seterusnya sampailah ke peringkat pegawai bawahan. Matlamat akhirnya ialah agar-agar undang-undang yang diluluskan di parlimen itu dipraktikkan yang melibatkan rakyat biasa.

Badan Kehakiman pula ialah menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan. Diketuai oleh Ketua Hakim Negara. Sepatutnya bebas sebebasnya. Tidak ada siapa yang boleh ‘mengawal’ mereka. Tidak ada siapa yang boleh mengarahkan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Perdana Menteri pun tidak boleh campurtangan dalam urusan keputusan yang mereka buat apatah lagi ‘orang lain’.

Seingat akulah keadaan Badan Kehakiman yang begitu kuat dan bebas ialah pada zaman pentadbiran bila mana Tun Sufian menjadi Ketua Hakim Negara dan Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.  Mungkin disebabkan oleh latar belakang kedua-dua tokoh ini sebagai pengamal undang-undang yang menyebabkan tidak ada campurtangan dalam urusan antara satu cabang dengan yang lain. Mungkin pada zaman selepas itu begitu juga keadaannya.

Kesimpulan yang hendak aku sampaikan ialah supaya urusan Badan Kehakiman tidak ‘diganggu’ oleh ‘orang luar’. Maknanya Badan Perundangan ‘menjalankan’ kerja ‘dia’ dan Badan Pelaksana pula menjalankan tugas masing-masing. ‘Jangan duk kacau daun’ kata orang Utara. Dengan demikian barulah sistem pemerintahan demokrasi di negara ini dapat berfungsi dengan betul.

Rakyat mengharapkan sangat negara ini ditadbirkan dalam suasana yang betul-betul beradab sopan.

abuhassanadam
24 Disember 2013

No comments:

Post a Comment