Friday, December 20, 2013


CARA ORANG PUTIH MENGHALAU MERPATI DI TRAFALGAR SQUARE

Semacam tidak sah melancong ke London sekiranya tidak melawat Trafalgar Square untuk ‘bergambar’ bersama-sama dengan burung merpati yang ‘menghiasi’ kawasan Trafalgar Square. Kini sudah tidak ada lbanyak agi burung merpati di situ. Sudah terbang entah ke mana. Seolah-olah ‘merjauk hati’ dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang merasa ‘rimas’ dengan kehadiran merpati berkenaan.

Namun pada suatu ketika dulu yang menjadi tarikan pengunjung ke Trafalgar Square ialah untuk memberi makan burung merpati  disamping ‘bergambar’ dengannya. Sehubungan dengan itu ada seorang watak penting di situ bernama Bernie Rayner yang menjalankan perniagaan menjual makanan merpati yang tentunya dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran biasa. Dan kesan buruknya pula ialah pihak berkuasa terpaksa membelanjakan jumlah wang yang agak besar disebabkan kerosakan akibat dari najis merpati berkenaan.

Bagi aku semacam tidak sah juga sekiranya tidak singgah sekejap di Trafalgar Square. Untuk sama ‘meraikan’ kawasan berkenaan bersama dengan ratusan ( mungkin ribuan ) pengunjung lain yang datang dari seluruh pelusuk dunia, aku pergi juga ke situ.

Memang sudah tidak banyak kelihatan burung merpati di Trafalgar Square kini berbanding dengan keadaan sepuluh tahun lampau dimana para pelawat merasa bimbang akan berada di situ, takut ‘dihujani’ najis burung merpati. Namun masih tetap mahu ke situ juga disebabkan ‘tarikan’ yang ada di Trafalgar Square – patung singa yang agak besar, pancutan air dan ‘pokok krismas’ (musim Krismas) yang dihadiahkan oleh kerajaan Sweden.

Keadaan ‘sunyi’ dengan ketiadaan burung merpati di Trafalga Square ini bermula semenjak tahun 2000 apabila Ken Livingstone dilantik menjadi Datuk Bandar London yang baru. Beliau telah mengambil langkah drastik untuk mencantikkan lagi bandar London termasuklah membuat beberapa perubahan mengenai Trafalgar Square supaya nampak lagi bersih dan cantik  dan dapat memikat hati bukan sahaja penduduk persekitaran tetapi juga para pelancong dari luar negara. Dan antara langkah yang dilaksanakannya ialah ‘memerangi’ burung merpati yang dianggarkan berjumlah 4000 ekor yang berkeliaran disitu.

Antara langkah awal yang dijalankan ialah meluluskan undang-undang yang melarang sesiapa sahaja untuk memberi makanan kepada merpati berkenaan disamping ‘menggunakan khidmat’ burung helang untuk menakutkan burung merpati berkenaan. Satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Harris Hawks Liam dan Jack merupakan pertubuhan awal yang ditubuhkan bertujuan untuk mengawal merpati dengan menggunakan burung helang itu. Kesan daripada tindakan yang mereka jalankan itu telah dapat mengurangkan jumlah merpati di kawasan Trafalga Square daripada 5000 ekor kepada lebih kurang 1000 ekor sahaja. Itu merupakan satu langkah yang berkesan dan mesra alam.

Tindakan yang dijalankan oleh Datuk Bandar London bukanlah tidak mendatangkan penentangan dari pihak-pihak tertentu. Apatah lagi keadaan di London yang amat biasa dengan penentangan atas sebarang perkara yang dilakukan. Antara yang menentang tindakan itu tentulah para pencinta alam  dan Bernie Rayner yang hilang punca pendapatanya dari hasil menjual makanan burung. Namun begitu Datuk Bandar berjaya menyelesaikan masalah penentangan itu dan Trafalgar Square memasuki era baru tanpa merpati di kawasannya.

Ketiadaan merpati tentulah ada juga pro dan kontranya. Tentu ada juga para pelancong luar negara yang merasakan bahawa merpati itu penting berada di situ kerana memunjukkan kelainannya tempat berkenaan berbanding dengan tempat-tempat lain. Mungkin ada yang berpendapat begitu.

Aku teringat pula keadaan di Kelang yang terdapat terlalu banyak burung gagak pada suatu ketika dahulu. Dan pihak berkuasa di Malaysia mengambil jalan mudah untuk ‘menghalau’ burung gagak berkenaan ia itu dengan menembak mati burung-burung berkenaan.  Senang dan mudah…..

Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa pihak berkuasa di negara kita sentiasa mengambil jalan mudah dan ringkas untuk menyelesaikan sesuatu isu. Kelihatan semacam para pegawai kita langsung tidak mahu berfikir untuk mencari penyelesaian yang terbaik sepertimana yang dilakukan oleh pihak berkuasa di London itu. Ternampak kreatif dan innovatifnya tindakan mereka itu. Mungkin tidak ramai yang terfikir bahawa antara langkah yang diambil ialah menggunakan ‘khidmat’ burung helang untuk menakutkan merpati-merpati yang berkeliaran di Trafalgar Square. Dan mereka tidak membunuhnya seperti yang dilakukan oleh pihak penembak yang membunuh gagak di Kelang dan di kawasan Bangsar pada awal tahun-tahun 1980an dulu.

Sehingga sekarang nampaknya bangsa Malaysia semacam agak malas berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam isu kenaikan toll dan pengurangan subsidi kini, jelas kelihatan bahawa pihak tertentu semacam tidak langsung berfikir untuk mengelakkan cukai berkenaan dikenakan kepada rakyat tetapi sebaliknya kepada rakyatlah diletakkan tanggungjawab memikul bebanan itu.

Apa nak dikatakan…..

abuhassanadam
London
21 Disember 2013

No comments:

Post a Comment