Saturday, September 16, 2023

 

ALANGKAH HINANYA BANGSAKU – MELAYU

YAB Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri mahu mengangkat martabat Melayu yang nampaknya semacam hilang entah ke mana. Berbagai usaha dan ikhtiar dijalankannya bersama dengan anggota kabinetnya. Tidak jemu-jemu cuba melakukan perubahan walaupun kadang-kadang nampak semacam tidak dihargai dan sebaliknya hanya menerima cemuhan dan kutukan. Sebagai seorang pemimpin tulin yang sentiasa berjuang untuk memajukan rakyat keadaan itu tidak dipedulikan Malah terus berusaha.

Sehingga kini, masih lagi terdapat usaha yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba semacam menghasut rakyat agar menentang kepimpinan dan pentadbirannya melalu tunjuk perasaan yang dijalankan di Kauala Lumpur pada hari ini. Walaupun tidak mendatangkan kesan yang mendalam kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, namun tetap meninggalkan kesan kepada pihak yang sentiasa memerhatikan perjalanan pentadbiran di Malaysia kini. Itulah sebenarnya (agaknya) harapan para peserta perhimpunan demi cuba menggagalkan perjalanan kelicinan pentadbiran yang dilakukan kini.

Saudara Anwar Ibrahim dengan sesungguhnya cuba mengangkat martabat Melayu yang merupakan idamannya semenjak zaman berzaman tetapi ada juga kumpulan-kumpulan tertentu yang cuba 'menariknya' turun dari belakang. Sehingga kini beliau belum nampak tewas. Syabas!

Laporan ‘Malaysiakin’  bertarikh 24 Julai 2013 melaporkan tentang kisah pengundi di Kuala Besut yang berbaris dihadapan rumah dua orang ketua kampung untuk menagih wang saguhati. Kononnya wang itu adalah sebagai bayaran duit tambang bagi pengundi-pengundi yang berada di luar kawasan Kuala Besut. Dilaporkan juga wang yang diharapkan adalah antara RM 50 ( bagi yang tinggal disekitar Kota Baru dan RM 200 bagi yang datang dari Kuala Lumpur). Ini sudah merupakan amalan pihak tertentu untuk memberikan  ‘ sumbangan ‘ ketika diadakan PRU atau PRK.

Berbagai alasan boleh dikemukakan untuk meyakinkan kita bahawa wang sumbangan itu bukan digunakan untuk menyogok pengundi untuk menyokong parti-parti tertentu. Banyak alasan boleh diketengahkan. Namun rakyat tahu dan pasti bahawa ‘sumbangan’ sedemikian adalah untuk sogokan. Pasti. Sebab sudah banyak kali kedengaran peristiwa sedemikian dan majoriti rakyat amat tahu tektik sedemikian kerana ramai juga yang diketemukan dengan keadaan sedemikian.

Aku rasa bukan aku seorang yang sedih membaca kisah orang yang berbaris ( yang sebangsa dengan aku- Melayu ) di hadapan rumah Penghulu untuk menuntut ‘sumbangan ‘.  Sudah lama benar perasaan ‘terhina’ ini terbenam dalam benak kepala aku terutama apabila menjelangnya PRU atau PRK yang berkaitan dengan sikap pengundi yang sebangsa dengan aku- Melayu.  Ada juga pengundi kaum bukan Melayu yang berperangai sedemikian, namun mungkin bilangan mereka tidak ramai dan tidak begitu ketara perbuatan mereka itu.

Ada kaum Cina dan India yang berperangai sedemikian. Tetapi bilangan mereka tidak ramai. Dan  mengenai kaum Cina pula, umum merasakan bahawa mereka amat susah untuk ‘dibeli’ apatah lagi untuk  ‘dilelong’ seperti bangsa aku – Melayu. Liha sahaja keputusan PRU 13 yang lalu telah mempelihatkan sesuatu yang luar biasa sehinggakan DS Najib sendiri mengakui  tentang berlakunya ‘Tsunami Cina’ apabila pengundi Cina menolak BN dalam PRU 13 berkenaan, walaupun berbagai projek dan sumbangan diberikan kepada mereka. Maknanya mereka boleh membezakan antara prinsip perjuangan dan ‘pemberian sumbangan’. Mereka faham bahawa sememangnya tugas kerajaan yang memerintah untuk membantu rakyat dan tugas rakyat pula untuk menentukan parti yang sepatutnya memerintah. Mereka faham bahawa pilihan mereka adalah muktamad dan tidak boleh dipengaruhi oleh sumbangan dan sogokan.

Ini agak berbeza dengan sikap setengah orang Melayu. Aku tidak dapat menentukan jumlahnya – kecil ke atau besar ke. Tetapi hakikatnya umum merasakan memang agak ramai lagi orang Melayu yang bersikap demikian. Apa tidaknya. 

Kononnya dengan menerima sehelai kain batik atau sehelai kain pulikat sudah boleh mengubah pendirian seseorang pengundi Melayu – bangsa aku ler tu.

Ada juga aku dengar kisah pengundi yang sebangsa dengan aku – Melayu yang berkobar-kobar semangatnya  sebelum menerima seguni beras yang disumbangkan oleh parti politik tertentu. Tetapi setelah menerima sumbangan demikian, terus ‘cair’ dan ‘luntur’ dan terus pula boleh ‘dicucuk’ hidung.

Selama mana lagi agaknya bangsaku boleh dibeli dengan harga yang amat murah ini. Orang Melayu sudah terlalu lama dikenali sebagai satu bangsa yang amat ‘lembut’ hati dan perasaanya dan paling tinggi budi dan bahasanya. Mungkinkah atas faktor sedemikian ke agaknya yang menyebabkan orang Melayu boleh dibeli dan digadaikan dengan harga yang amat murah itu? Mungkin kah begitu. Dan orang Melayu juga tidak habis-habis dihina dan ‘terhina’ oleh orang lain disebabkan sikapnya yang ‘lemah-lembut’ dan tinggi budi bahasa itu. 

Orang Melayu adalah satu bangsa yang baik hati, berbudi tinggi…..

Seolah-olah itu saja lah perangai orang Melayu yang  boleh dicontohi. Sejak zaman berzaman orang Melayu dihina dan dicaci. Sekiranya ada pujian tentang orang Melayu oleh kaum yang bukan Melayu, hanya bermuka-muka sedangkan dibelakang penuh dengan cacian. Lihat saja apa yang telah diperkatakan oleh penulis-penulis Barat mengenai orang Melayu. Penuh dengan kutukan dan keji. Orang Melayu digambarkan sebagai bangsa yang suka kepada hiburan, sambil lewa, malas, tidak tekun dan serious dalam sesuatu kerja dan berbgai-bagai kutukan yang lain. Dan semuanya telah kita ‘telan’ dan kita terus bersabar menerima kutukan sedemikian.

Namun begitu, apabila kita lihat secara kritikal sememangnya ada juga benarnya kata-kata yang diperkatakan oleh penulis barat itu, walaupun tidak semua orang Melayu yang sedemikian. Sekurang-kurangnya ramai juga yang begitu. Kita merasa ‘terbela’ disebabkan kita tinggal di sebuah negara yang majoritinya orang Melayu yang menyebabkan orang bukan Melayu merasa segan silu untuk menyatakan sesuatu yang negatif  mengenai bangsa Melayu. Sekurang-kurangnya untuk menjaga hati. Dan kebanyakan pemimpin kita ( Melayu ) pula seolah-tidak ikhlas untuk menyatakan sesuatu yang benar mengenai bangsa Melayu. Sekurang-kurangnya mengenai sikap buruk orang Melayu. Ataupun mungkinkah pemimpin Melayu yang mengajar orang Melayu bersikap jelek itu.

Hanya Tun Dr. Mahathir yang pernah menyatakan pada suatu ketika yang beliau agak kecewa dalam pentadbiranya kerana tidak dapat membuat perubahan drastik kepada orang Melayu yang menyebabkan kebanyakan orang Melayu masih berada ditahap lama.

Oleh itu apakah sebenarnya erti ‘Melayu Baru’ yang pernah suatu ketika dahulu diwar-warkan oleh para pemimpin negara kita. Dari peringkat pusat sehinggalah ke ceruk-ceruk kampung terpencil, perkataan ‘Melayu Baru’ telah menjadi buah mulut masyarakat Melayu. Dari Perdana Menteri sehinggalah ke Pengerusi JKKK. Semuanya ‘mendendangkan’ slogan ‘Melayu Baru’

Kadang-kadang aku terfikir pula dan lantas menyoal diri aku,

Ke mana perginya ‘Melayu Baru’ itu?

Apakah ‘Melayu Baru’ itu sebenarnya terdiri dari orang Melayu yang sudah tidak segan-segan lagi bercakap bohong, menipu, bermuka tebal, tidak segan-segan mengambil wang haram, sudah tidak segan-segan menggunakan kedudukan dan pangkat menipu rakyat?..........

Sengaja aku paparkan kisah itu pada tahun 2023 ia itu ketika masih ada sekumpulan rakyat (para pemimpin parti pembangkang) yang tidak hais-habis cuba melemahkan kepimpinan DS Anwar Ibrahim yang sednag bersungguh-sungguh untuk memajukan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Namun begitu golongan ini masih terus menerus dengan agenda jelek mereka yang cuba menggagalkan apa yang dirancang.

Sebagai orang Melayu tulin, aku kadang-kadang merasa malu menjadi orang Melayu.

Abuhassanadam 

17 September 2023







No comments:

Post a Comment