Thursday, September 7, 2023

 

KE MANA PAS HENDAK DIBAWA?

PAS berjaya menawan Terengganu dalam PRK yang lalu. Betul. Bermakna rakyat Terengganu amat secocok dengan perjuangan PAS. Lantas semacam wujud satu pengembelingan rakyat untuk menyokong pati PAS oleh para pemimpinnya. Persoalannya ialah apakah keadaan sedemikian akan terus berkekalan. Maknanya apakah rakyat di Terengganu akan terus menerus menyokong PAS. Orang muda akan menjawab 'ya' sebab orang muda belum tahu tentang 'sepak terajang' politik dalam negara ini.

Betul PAS menang dalam PRK lalu tetapi PAS mungkin kalah terus sekiranya pilihanraya diadakan selepas ini. Mungkin. Aku katakan mungkin dan 'mungkin tidak'. Sebagai orang tua (dalam politik) telah melihat perkembangan yang berlegar di hadapan mata, yang mana tidak terfikir sesuatu keadaan yang berlaku yang tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Sesuatu kemenangan atau sesuaatu kekalahan itu tidak semestinya berterusan dan berkekalan.

Aku tak tahu untuk menganalisis ke manakah arah tuju PAS. Bagi aku ( yang tidak secerdik kebanyakan pengikut PAS yang fanatik) PAS tidak akan ke mana-mana di bawah pimpinan DS Haji Hadi Awang. "Tidak ke mana-mana dalam ertikata bahawa PAS tidak mencapai hasratnya sebagaimana yang diharapkan). Sekiranya ada hasrat terpendam. Amat berbeza sekali parti PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Aziz atau sebelumnya di bawah pimpinan Ustaz Fadzil Noor, Dato Asri. Dan amat berbeza sekali sekiranya kita sorot hasrat pemimpin-pemimpin awal seperti Dr. Burhanuddin Hilmy atau Ustaz Zulkifly Mohammed dan lain-lain. Amat berbeza dan amat jelas arah tuju mereka, dan agak berbezanya hala tujunya seperti keadaan kini. Mungkin.

Yang harus dipersoal dan difikirkan oleh ahli PAS kini khususnya orang muda yang kononnya mendukung perjuangan itu ialah tentang soal 'pengisian'. Maksudnya apakah program yang sedang difikirkan oleh kepimpinan untuk merealisaikan hasrat sebagai sebuah pertubuhan yang kredible yang betul-betul berjuang untuk kemajuan bangsa dan negara. Pemimpin PAS tidak hanya pandai mengkeritik tetapi seharusnya mengemukakan satu cadangan yang konkrit tentang apakah yang hendak dilakukan sekiranya memenangi pilihanraya. Kini sudah menang di Terengganu dan sampailah masanya orakyat Terengganu 'meminta' pemimpin mereka melaksanakan hasrat yang diimpikan.

Apa maknanya PAS sekiranya asyik ‘dibelakang'’ parti-parti yang kononnya 'kuat' tetapi tidak mempunyai arah tuju yang jelas?. Maknanya apa peranan yang akan dimainkan oleh PAS pada PRU 16 yang akan datang sekiranya tidak langsung berhasrat untuk memerintah negara. Betul yang PAS telah mentadbir Terengganu. Tetapi soalnya hasrat PAS bukan sekadar untuk memerintah Terengganu. Ada dinyatakan hasrat untuk memerintah Malaysia  tetapi hanya sebagai satu mimpi di siang hari.

Kenyataan sebegini tentulah akan disangkal oleh pengikut PAS yang fanatik. Tentulah ada yang merasakan bahawa kenyataan aku agak keterlaluan kerana pada pandangan mereka PAS adalah merupakan parti yang kuat yang akan dapat ‘menakluki’ negara ini pada PRU16 yang akan datang. Mereka mungkin lupa bahawa PAS mungkin sesuai dalam suasana kini dan sudah semacam tidak relevan lagi di Malaysia pada masa-masa akan datang. Mungkin.Walaupun menerima ‘tempik dan sorak’ pada perhimpunan muktamar yang lepas namun itu hanya merupakan kegiatan syok sendiri (pada pandangan aku). Pada hakikatnya sebahagian besar rakyat Malaysia masih 'menolak' PAS ( buat sementara waktu mungkin).

Terkeluarnya golongan professional dari PAS dan membentuk Amanah sudah cukup jelas menunjukkan yang PAS sudah terhakis. Maknanya sebahagian besar ahli PAS (pengikut kumpulan professional yang membentuk Amanah) pasti sedikit sebanyak akan ‘mengekori’ ketuanya meninggalkan parti PAS. Dan terbukti jelas melihatkan kekuatan Amanah yang semakin mantap hari demi hari.

Para pemimpin PAS merasakan bahawa parti PAS masih kuat dan agung dan masih berpengaruh di negara ini. Atas dasar apa untuk bersandarkan hakikat sekiranya dengan jelas menunjukkan  sokongan rakyat terhadap PAS semakin berkurangan. PAS mendapat sokongan di kawasan Melayu tetapi hasrat PAS ialah untuk mentadbir Malaysia. Apakah mampu mencapai hasrat sedemikian. Tidak mustahil dengan syarat PAS mengemukakan cadangan yang konkrit yang boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan.

Hakikat yang sebenarnya kini ialah bahawa golongan bukan Melayu tidak lagi akan menyokong PAS atas faktor dan alasan yang pemimpin PAS amat sedar. Senario politik di Malaysia terutama dalam mengatur strategi untuk menang sesuatu pilihanraya, faktor kerjasama kaum untuk menang adalah merupakan priority. Maknanya tanpa sokongan berbagai kaum terhadap sesuatu parti, pastinya tidak akan mencapai kemenangan. Pendek kata tidak boleh mengharapkan suatu kaum sahaja untuk menang.Itu hakikatnya yang mesti diterima, walaupun agak ‘pahit’ untuk ditelan.

Pemimpin PAS mendabik dada meramalkan tentang kemenangan berpuluh-puluh kerusi PAS pada PRU 16 akan datang. Apakah ramalan itu suatu realiti atau hanya bermimpi di siang hari. Kadang-kadang kelihatan ramalan yang dibuat itu banyak menampakkan sebagai satu mimpi dan berkemungkinannya menjadi igauan yang menakutkan.

Sepintas lalu ingin juga aku memetik kata-kata Haji Ahmad Badawi melalui "Manifesto al-Badawi" dengan tema "Ulamak ke Jalan Allah" bagi menyambut persidangan untuk menubuhkan PAS pada 24 November 1951. Mereka memutuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah. Para ulamak menolak bentuk-bentuk perjuangan yang diasaskan berdasarkan ideologi ciptaan manusia yang dibawa masuk oleh penjajah. (Petikan dari Super User bertarikh 20 Mei 2011 berjodol,’ Sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

Bagi aku hasrat pengasas PAS pada ketika itu bukan sahaja untuk bekerjasama dengan UMNO (sekadar untuk bekerjasama) tetapi hasrat dan matlamat mereka ialah ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah. PAS kini seolah-olah berhasrat untuk bergerak ke arah itu? Kelihatan PAS hanya sentiasa mahu berada ‘dibelakang’ UMNO. Jikalau tidak pun dinyatakan secara jelas dan terang, namun pada hakikatnya semacam begitulah…

Dalam hal menjalinkan kerjasama dengan UMNO ingin aku memetik satu petikan lagi yang berkaitan dengan kerjasama demikian yang ditulis oleh Super User bertarikh 20 Mei 2011 berjodol,’ Sejarah Parti Islam SeMalaysia (PAS)”

“PAS memasuki era baru dalam politik negara apabila PAS mula meneroka kerjasama dengan Umno bagi menjamin kestabilan politik negara, mengekalkan ketuanan Melayu dan menyerapkan Islam dalam pemerintahan. PAS menyertai beberapa parti lain telah membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973, kemudian sama-sama mengasaskan Barisan Nasional (BN) pada 1974. 

BN mencapai kejayaan besar dalam pilihan raya 1974 dan PAS sendiri telah berjaya menembusi ruang-ruang yang baru sehingga membolehkan Islam di sampaikan ke corong telinga rakyat dengan lebih berkesan. Walau bagaimanapun, keterbukaan PAS dalam membentuk kestabilan politik negara telah disalahgunakan oleh musuh-musuh politiknya dengan melaga-lagakan pimpinan PAS sehingga terjadi krisis politik Kelantan pada 1977. Akibatnya, PAS telah menolak Akta Darurat (Kelantan) 1977 yang menyebabkan PAS bukan sahaja disingkirkan dari BN, tetapi turut kehilangan Kelantan”

Kesimpulannya ialah kemana PAS hendak dibawa selepas ini?


abuhassanadam

7 September 2023



No comments:

Post a Comment