Sunday, January 13, 2013

Anak Muda Pulang Bertandang


ORANG MUDA PULANG BERTANDANG

Kembalinya anak muda dari menghadhiri perhimpunan HKR 112 di Stadium Merdeka saya ibaratkan seperti anak muda pulang bertandang. Ada yang pulang ke kampung dan ada juga yang kembali pulang ke pusat pengajian tinggi masing-masing. Masing-masing dengan seribu kenangan sarat dengan pengalaman-pengalaman yang tidak akan mudah dilupakan. Akan terpahatlah buat selama-lamanya dalam benak masing-masing tentang pengalaman manis yang dilalui. Dan yang paling manisnya ialah, anak muda ini dapat melafazkan ayat yang menyatakan bahawa ‘ aku berada di situ ketika itu’ pada anak cucunya pada suatu masa nanti. Mungkin tiga puluh tahun akan datang.

Kehadhiran anda di peristiwa HKR 112 itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Amat berharga. Serupalah dengan pengalaman datuk neenk anda yang sentiasa menceritakan tentang  ‘ aku berada di situ ‘ ketika menceritakan pengalamannya berada bersama Dato’ Onn Jaafar dalam satu demonstrasi menentang Malayan Union pada tahun 1946 dulu.

HKR 112 bukan demonstrasi menentang kerajaan. Hanya menyedarkan pihak tertentu  dalam pentadbiran kerajaan tentang wujudnya  perkara yang tidak berapa kena berlaku. Misalnya adalah dirasakan bahawa  kegiatan rasuah dan penyelewengan sudah menjalar dan meliar. Dan perlu dihentikan demi menjamin kehormatan dan keutuhan negara.

Aku benar-benar kagum dengan penglibatan orang muda. Dari semua bangsa dan kaum. Tidak kira kaya dan miskin. Semacam semuanya mengarah kepada suatu matlamat. Kesejahteraan Malaysia. Pertama  kali dalam sejarah Malaysia (mungkin!) keadaan sedemikian wujud muhibbah dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

DS Anwar Ibrahim, DS Haji Hadi Awang dan Saudara Lim Guan Eng berucap dihadapan para hadhirin yang terdiri berbagai bangsa dan kaum tidak perlu berselindung-selindung. Bercakap dengan penuh ikhlas tentang arah tuju Malaysia yang hendak dicapai. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang perlu dirahsiakan. Dan yang paling pentingnya pula para hadhirin menerima kenyataan mereka dengan hati terbuka. Samada Melayu, Cina, India  dll menerima mereka dengan hati terbuka. Sudah betul-betul wujud bangsa Malaysia yang merdeka.

Orang muda yang hadhir memerhatikan gelagat para pemimpin mereka. Gelagat dan tindakan ‘orang tua-tua’. Itu penting. Pasti mereka akan mengingati dan mencontohi apa yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka. Pasti mereka mencontohi. Seolah-olah tidak ada ‘ barrier’ antara Melayu, Cina, India dll. Betul-betul satu bangsa. Malaysia.

Inilah yang dibawa balik oleh ‘ anak muda pulang bertandang’ – satu kenangan yang amat manis, yang akan diingati oleh mereka sampai bila-bila. Mereka pasti tidak akan lupa bahawa

·      Mereka pulang dari satu ‘pesta’ kebangsaan yang julung-julung kali diadakan di negara ini di Stadium Merdeka di mana Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman pernah suatu masa dahulu melafazkan kata ‘ Kemerdekaan’.
·      Mereka mendukung satu azam menjadikan bangsa Malaysia satu bangsa yang kuat pada masa akan datang. Di atas bahu merekalah terletaknya tanggungjawab untuk membina negara dan bangsa ini tanpa rasuah dan penyelewengan.
·      Melayu, Cina dan India mesti terus bersatu dan menjadikan bangsa Malaysia satu bangsa yang boleh dicontohi dunia dari segi keharmonian antara kaum-kaum – dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

Banyak lagi perkara yang mereka bawa pulang. Tetapi bagi saya yang paling saya bangga ialah berubahnyanya persepsi saya tentang orang muda. Mengapa?. Orang muda selalu sangat dikaitkan dengan gejala yang tidak sihat – Mat Rempeit, dadah dan sebagainya. Tetapi dengan kehadhiran begitu ramai orang muda di perhimpunan HKR 112 telah mengubah persepsi saya. Rupa-rupanya orang muda yang terlibat dengan gejala negatif hanya segelintir sahaja dan orang muda terbanyak  tidak akan melupakan tanggungjawab mereka kepada negara dan bangsa.

Orang mudalah yang memenuhi ruang stadium Merdeka semalam. Ini bermakna orang muda sedar akan tanggungjawab mereka kepada negara. Mereka sedar bahawa orang tua seperti DS Anwar Ibrahim, DS Haji Hadi Awang, Sdr. Lim Kit Siang lambat laut pasti akan meninggalkan mereka. Dan akan menyerahkan kepimpinan ini kepada mereka. Saya yakin dan pasti mereka akan mampu memikul tanggung jawab ini berdasarkan kepada tindakan dan penglibatan mereka. Tahniah orang muda!!

Tidak berlakunya sebarang kekecohan dalam perhimpunan yang begini besar menunjukkan kehebatan pesertanya. Orang muda.Mereka dapat mengawal keadaan agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini walau sekecil mana sekalipun. Bagi saya sudah ada pertemuan dan jalinan perasaan yang tulus ikhlas antara peserta ( orang muda kebanyakannya) denga pihak PDRM.

Saya pernah menyatakan dalam artikel sebelumnya ( dalam blog ini ) bahawa saya yakin yang polis tidak akan bertindak sewenang-wenangnya sekiranya tidak menerima arahan yang melulu kerana mereka juga adalah manusia yang berhati dan perasaan. Pihak polis juga sayangkan negara dan bangsa mereka. Sekiranya mereka melakukan kekasaran, seolah-olah mereka mengkasari adik-adik dan abang-abang mereka juga.

Akhir sekali bagi ‘anak muda yang pulang bertandang’ ini, sibarkanlah kepada rakan-rakan yang tidak berpeluang hadhir di majlis yang bersejarah ini tentang mesej yang disampaikan oleh perhimpunan bersejarah ini. Ajak mereka berganding bahu untuk menuju ke satu era yang penuh bermakna. Katakan kepada mereka yang tidak sempat hadhir bahawa sememangnya ‘ pemuda harapan bangsa’ dan ‘ pemudi tiang negara’

Sukarno kata, ‘ berikan saya 10 pemuda, akan ku bebaskannya sebelum ayam berkokok’. Tetapi di Malaysia sudah tersedia 100,000 untuk 'berpencak dan bersilat 'selepas ‘anak muda pulang bertandang’

Abuhassanadam
13 Januari 2013



1 comment:

  1. sayangnya aku ni org kampung.....dok nonton tv ajelah...Tv 3 pulak tu...

    ReplyDelete