Thursday, January 3, 2013

Darjah 1, 1951


DARJAH 1 – 1951
Bahagian 1

Lampu trafik di hadapan bertukar merah. Semua kereta berhenti. Keadaan trafik di Kuala Lumpur hari ini luar biasa sedikit. Sibuk. Hari persekolahan bermula. Tahun baru. Budak-budak mula masuk Darjah 1.

Ada sebuah kereta disebelah kereta aku. Sederhana besarnya. Aku pandang ke arahnya. Yang menarik perhatianku ialah tentang anak kecil yang duduk di belakang kereta. Sedang bermain Ipad. Confident. “ Baru nak masuk Darjah 1 agaknya’ kata hati kecilku.
Aku terbayang ketika aku baru nak masuk sekolah Darjah 1 pada tahun 1951. Tanah Melayu ( Malaysia sekarang ) masih di bawah penjajahan pentadbiran British. Orang Putih, kata Opah ( nenek ) aku.

Deraian kokok ayam yang ke berapa aku dah lupa. Tapi waktu itu lebih kurang pukul 5.00 pagi. Masa itu mana ada jam. Pakai agak-agak je. Namun begitu aku tak pernah lewat ke sekolah. Sentiasa ‘punctual’. Hari itu merupakan hari pertama aku ke sekolah. Baru mula bersekolah. Seronok ada, tak seronok pun ada.

Seronok kerana dapat pergi ke pekan. Sekolah aku ( Malay Boys School Padang Rengas ) terletak berhampiran dengan pekan Padang Rengas. Aku memang jarang-jarang pergi ke Padang Rengas, walaupun jaraknya hanya dua kilometer dari kampung aku. Jadi bila bersekolah dapatlah aku ke pekan Padang Rengas setiap hari, kecuali hari cuti. Dapatlah juga aku beli ais kepal dari kedai keling Majid ( dibawah pokok sena ). Dapatlah aku beli kundas ( sejenis kuih yang hanya terdapat di kedai mamak di Padang Rengas ! )
Aku ke telaga ditemani Opah. Mandi. Ketika itu masih gelap lagi. Telaga tu pulak lebih kurang 50 ela dari rumah. Mana ada lampu letrik. Opah pakai lampu minyak gas untuk menyuluh jalan. Air telaga pada ketika itu bukan main sejuk. Terpaksa mandi juga. ‘Gosok gigi dulu ‘ kata Opah memberikan arang yang sudah bertumbuk untuk gosok gigi. Pada ketika itu mana ada berus dan ubat gigi. Arang dapur itulah ubat giginya dan jari telunjuklah berus giginya !

Baju dan seluar aku telah siap digosok oleh emak dengan sterika yang ada patung ayam jantan di atasnya. Di dalam sterika dibubuh bara api untuk menghangatkan sterika. Mana ada ‘iron’ seperti sekarang. Aku rasa sangat ‘hebat’ apabila dikenakan baju dan seluar. Tak pakai seluar dalam. Zaman itu mana ada trend pakai seluar dalam. Tapi sekolah kami semuanya murid laki-laki. Tak hairan jikalau tak pakai seluar dalam.

‘Breakfast’ sudah tersedia. Emak yang sediakan. Pisang Emas muda yang direbus, dicicah dengan kelapa. Kopi O. Itu saja. Itulah sebagai pengalas perut ke sekolah. Berbanding dengan ‘ breakfast’ yang dinikmati oleh anak-anak aku dan cucuku ada lah seperti ‘ jauh panggang dari api ‘. Jauh benar bezanya.

Bapak beri aku duit belanja ( pocket money ) sebanyak 20 sen. Duit koin 20 sen itu disimpulkannya di penjuru sapu tangan, supaya tak mudah hilang. Mana ada wallet ! . Dengan wang sebanyak 20 sen dapatlah aku beli nasi lemak atau meehun yang harganya 10 sen. 5 sen untuk beli kuih. 5 sen simpan untuk beli ais kepal ( ice ball ) ketika dalam perjalanan pulang nanti. Bagaimana dengan air minuman? Jawabnya ialah air perigi Pak Mansur yang berdekatan dengan sekolah. Disitulah sumber ‘air mineral’ yang baik. Percuma.

Hari pertama persekolahan bapak hantar aku menaiki basikal tua.Mungkin dalam masa seminggu aku ke sekolah dihantar oleh bapak dengan menaiki basikal. ‘ Leps tu berjalan kaki bersama kawan-kawan ‘ kata bapak. Aku tak membantah. Seronok juga begitu. Dapatlah juga aku singgah-menyinggah dan menangguk ikan Sepilai ( ikan lawan ) ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Dalam suasana kedinginan pagi yang hening itulah bapak mengayuh basikal tuanya menghantar aku ke sekolah. Antara nampak dan tidak kami membelah kabus pagi – babak pertama aku dalam usaha mengejar ilmu.

Abuhassanadam
2 Januari 2013

Bahagian Kedua akan menyusul

1 comment:

  1. Wah...x sabar nak tunggu CERITA yg Seterusnya...

    ReplyDelete