Sunday, January 6, 2013

Darjah 1, 1951, Bahagian II


DARJAH 1 – 1951
BAHAGIAN 2

(Aku tujukan rencana ini kepada kaum keluarga Cikgu Mat Yassin ( Guru Besar ) yang telah mencurahkan jasa bakti yang bukan kepalang terhadap kemajuan anak Melayu di sekitar Padang Rengas)

Kata kawan aku ‘syarat’ nak masuk sekolah ( Darjah 1 ) ialah dengan cara  memegang telinga kiri dengan menggunakan tangan kanan melalui bahgian tengah kepala. Pegang ikut belakang kepala ‘ tak aci ‘ ( tidak sah ). Maknanya jikalau sudah boleh berbuat demikian, itu menandakan sudah ‘ dewasa’ untuk memulakan persekolahan Darjah 1.

Itulah ‘ cakap-cakap’ kami yang hendak memulakan persekolahan Darjah 1. Tetapi sebenarnya tidak begitu. Namun demikian, pihak pentadbiran British pada ketika itu agak longgar untuk menerima pelajar ke sekolah. Tidak seperti sekarang dimana untuk memasukki Darjah 1 semestinya berumur enam tahun lebih.

Ramai yang memasukki Darjah 1 pada ketika itu tidak mengikut umur. Ramai yang sudah terlebih umur ketika memasukki Darjah 1, terutama kawan-kawan ku yang datang dari Kampung Setor. Aku masih ingat namanya – Jama ( Jamaluddin ) dan  Nazeri. Kawan-kawan aku yang betul-betul ikut peraturan ( umur 6 tahun ) ialah Mat Ha ( Dato’ Khairuddin ), Ngah ( Radzi Jawi ) Di Pak Leman  ( Rashidi Sulaiman ) Busu ( Busu Piah ) Dollah ( Abdullah Zainun ), Man Pak Sam ( Rosli Shamsuddin – arwah ) Noor ( Muhammad bin Tahir – arwah ). Kebanyakan mereka menjadi guru. Ada juga yang jadi akauntan.

Bapak  menyandarkan basikal buruknya pada pokok cherry yang berdekatan dengan kelas aku. Menunggu dan melihat gelagat aku. Agaknya. Maklumlah baru masuk alam baru. Bimbang juga dia agaknya. Ramai juga ibu bapa lain yang bersikap begitu. Antara yang masih aku ingat berbbuat seperti bapak aku ialah Tokki Ketok ( Atuk Man ). Pak Sam ( bapak Man ) tak datang. Tokki Ketok memang sayang sungguh kepada Man. Cucu lah katakan.!

Pada ketika itu walaupun kami datang dari kawasan Padang Rengas tetapi dari kampung yang berlainan. Mat Ha, Busu, Dollah dari Paya Panjang; Ngah ( dua pupu aku dari Kampung Keroh Hilir), Noor  ( arwah ) dan Di Pak Leman dari Kampung Pondok; Man Pak Sam ( arwah )dari Kampung Pulau. Kami belum mengenali antara satu sama lain. Dan bermula dari Darjah 1 inilah, hubungan kami mula terjalin sehingga kini. Erat dan mantap.

( Untuk pengetahuan anak-anak semua di luar sana, persahabatan yang terpahat antara kami semenjak dibangku sekolah Darjah 1 inilah yang masih mantap dan jitu sehingga sekarang, walaupun kadang-kadang begitu lama tidak berjumpa)

Nama cikgu kami ialah Cikgu Rahman. Orang Sayong, Kuala Kangsar. Ada ‘tahi lalat’ disebelah atas bibirnya. ‘Handsome’ orangnya ( diukur pada zaman tahun 50an). Pakaiannya ke sekolah serba putih. Tiap-tiap hari begitulah. Seluar dan bajunya ‘ berkanji’ dan bergosok rapi ( dengan seterika arang tentunya ). Hampir tidak pernah aku lihat Cikgu Rahman dan Cikgu-Cikgu lain yang memakai pakaian selain dari warna putih ketika ke sekolah.Rambut nya setiap hari disikat rapi, ala remos P. Ramlee. Bujang pulak.

Cikgu Rahman datang ke sekolah menaiki masikal ‘ Raleigh’. Berkilat ( sentiasa dicuci) basikalnya. Ada mengeluarkan sejenis bunyi dari rodanya apabila bergerak. Tik….tik….tik. Cikgu-cikgu lain juga datang ke sekolah dengan basikal. Tidak seorang pun antara cikgu yang pakai kereta atau motor. Tak mampu. Lagipun kereta tidak banyak pada ketika itu. Yang ada pun adalah brand “Ford’ dan “ Austin’. ‘ Made in England’ la.

Guru Besar kami Cikgu Mat Yassin namanya. Putih kulitnya. Bersongkok selalu. Cikgu Mat Yassin juga tidak mempunyai kereta. Hanya berbasikal apabil hendak bergerak ke sana- kemari. Orang kampung disekitar Padang Rengas amat menghormatinya sehinggakan nama sekolah “ Malay Boys School Padang Rengas ‘ itu dipanggil oleh orang Kampung sebagai ‘ Sekolah Cikgu Mat Yassin ‘.

Di sekitar Padang Rengas, Cikgu Mat Yassin adalah semacam ‘ Gabenor daerah’ atau ‘ District Officer’ ataupun sebagai ‘ Penghulu’ atau apa saja yang berperwatakan baik dan hebat. Kedudukan Cikgu Mat Yassin dimata orang Padang Rengas hanya dibawah sedikit saja daripada kedudukan DYMM Sultan Perak. Pendek kata Cikgu Mat Yassin sangat-sangat dihormati. Begitu juga dengan Cikgu-cikgu lain sangat dihormati oleh orang kampung.

Ibu bapa kami amat berbangga kalau dapat bertemu dan bercakap dengan Cikgu Mat Yassin. Kata-kata Cikgu Mat Yassin akan sentiasa diingati dan dirujuk. Pesan Cikgu Mat Yassin akan didengar dengan teliti. Tidak akan ada yang membangkang. Jikalau ada diantara kami yang dirotan atau didenda oleh Cikgu Mat Yassin ( kerana kenakalan kami tentunya ), janganlah ‘ mengada-ngada’ nak beri tahu emak bapak. Nanti kesannya, ibu bapa kami akan membawa kami kepada Cikgu Mat Yassin sekali lagi dengan disediakan rotan yang lebih besar dan lebih segar supaya Cikgu Mat Yassin terus merotan kami yang nakal.

Itulah hebatnya Cikgu Mat Yassin dan guru-guru yang sezaman dengan beliau. Sekarang ada lagi ke keadaan sedemikian?. Orang muda-muda fikirkanlah……..

Abuhassanadam
6 Januari 2013

Jikalau ada permintaan ( dari orang muda-muda tentunya ) supaya cerita sebegini diteruskan maka akan aku sambung ke Bahagian 3. Boring juga membaca cerita-cerita begini !!

2 comments:

  1. Salam Pak Abu..Ringkas tetapi BEST betul la crita Pak Abu...Sehingga boleh membuatkan saya terbayang-bayang kemanisan zaman dulu yg tiada lagi pada zaman ini..Klu boleh teruskanlah crita mcm ni Pak Abu..x tertabas nilai kemanusiaannya...Keep it up !!!

    ReplyDelete
  2. saya nak baca lagi... pak abu.. tolong cerita lagi..

    ReplyDelete