Monday, January 21, 2013

Tun M, Jangan Dirungkai Sejarah Lama


Tun M, Jangan Dirungkai Sejarah Lama

Walau ditinjau dari sudut mana sekalipun saya tak layak memberikan komen mengenai pendapat Tun Mahathir. Dari segi pendidikan, Tun M jauh lebih pandai dari saya. Doktor perubatan pula. Dari segi pengalaman, Tun M adalah dianggap sebagai tokoh politik bertaraf dunia. Dari segi sumbangannya kepada negara Malaysia, Tun M amat banyak memberi sumbangan kepada negara.

Namun begitu tak salah rasanya kalau saya  berbeza  pendapat dengan Tun M dalam perkara tertentu. Tak salah kalau saya merasakan ada sesuatu yang tak berapa kena dengan pendapat yang dikemukakan oleh Tun M terutama apabila baru-baru ini Tun M ada mengatakan

            “One should also look back and remember that Tunku Abdul Rahman was worse than me, he gave one million to citizenships to people who are not qualified and not  even tested. Why is it when he does it, it is not wrong, and when I do it, it’s wrong?”

Saya tak begitu pandai berhujah tentang perkara sebegini. Cuma ada beberapa perkara yang terlintas di benak saya yang menyebabkan saya memberanikan diri berhujah tentang perkara ini.

·      Mengapa sekarang baru timbul isu Tunku Abdul Rahman memberikan kerakyatan ini setelah muncul isu RCI mengenai pemberian kerakyatan di Sabah.
·      Mengapa diungkit perkara yang sudah lama selesai – dan diselesaikan dalam suasana yang penuh persefahaman. ( mengikut pendapat saya)
·      Tentulah timbul juga rasa kecil hati pihak yang ada kena mengena dengan isu ini terutamanya kaum-kaum bukan Melayu.
·      Dengan timbulnya isu ini seolah-olah menoreh luka yang telah lama sembuh ( yang mana parutnya masih ada). Dan boleh juga menyebabkan orang muda mula mempersoalkan kesahihan fakta sejarah yang dipelajari mereka di sekolah melalui buku teks sejarah mereka.

Buku Teks Sejarah Tingkatan Lima untuk sekolah-sekolah menengah di Malaysia ada menyatakan  pada muka surat 126
perenggan akhir,

            “ Satu isu hangat ialah kerakyatan jus soli. Kerakyatan ini yang menjadi tuntutan orang dagang tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Ini adalah kerana prinsip  kerakyatan jus soli memberikan hak sama rata kepada  semua kaum dan ini dianggap boleh melemahkan lagi  kedudukan orang Melayu. Namun selepas beberapa rundingan dibuat, Raja-Raja Melayu telah menerima kerakyatan jus soli dengan syarat orang bukan Melayu  mengiktiraf kedudukan istemewa orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Dengan tolak ansur ini satu pakatan murni antara kaum telah terbina di Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Perkara             lain yang telah dipersetujui termasuklah agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan Tanah Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan’

Semenjak 2003 ( ketika Tun M masih menjadi Perdana Menteri) buku teks sejarah ini telah dibaca oleh ratusan ribu pelajar-pelajar kita dari semua keturunan yang mengambil peperiksaan SPM. Dan sehingga kini masih dibaca lagi oleh anak-anak kita. Saya hanya mampu merujuk buku-buku yang agak setaraf dengan pemikiran saya.

Persoalan yang ingin saya kemukakan ( dengan izin ) ialah

·      Apakah Tun rela melihat sejarah yang terpahat padat ini dirungkai semula?
·      Apakah Tun tidak memikirkan hati dan perasaan Raja-Raja Melayu yang telah bersetuju  dengan kerakyatan jus soli itu. Kerakyatan jus soli telah diterima oleh Raja-Raja Melayu setelah beberapa rundingan dibuat. Dan ‘tukaran’nya ialah orang bukan Melayu mengiktiraf kedudukan  istemewa orang Melayu.

Semenjak 2003, perenggan yang saya sentuh di atas telah dibaca oleh ratusan ribu pelajar - Melayu dan bukan Melayu.Dan tidak timubul sebarang rungutan daripada pihak bukan Melayu tentang perkara yang diputuskan oleh Raja-Raja Melayu itu. Mereka akur dengan kedudukan istemewa orang Melayu. Mereka setuju agama Islam dijadikan agama Persekutuan. Mereka tidak menentang bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan.

Persetujuan ini dibuat secara bermuafakat. Berunding. Berbincang antara kaum-kaum terbesar di negara ini – Melayu, Cina dan India ( pada ketika Malaysia belum tertubuh). Itu sebab dinamakan Pakatan Murni.

Manusia yang kerdil ini amat merayu kepada Tun agar perkara ini tidak diperbesarkan. Dan sekiranya ada pihak-pihak lain yang ‘berkepentingan’ saya sarankan utamakan kepentingan negara dan bangsa Malaysia dari perkara-perkara lain.


Abuhassanadam

21 Januari 2013



No comments:

Post a Comment