TAHUN 2014 DAN ZAMAN ALANG ISKANDAR
Arwah Opah selalu
menyebut ungkapan ‘zaman Alang Iskandar dulu semuanya elok belaka. Buah kayu
berbuah belaka, padi menjadi…”. Selalu sangat aku dengar dia menyebut ungkapan
sedemikian. Tetapi aku tidak tahu ‘biji buah’nya tentang apa yang
dimaksudkannya. Ketika itu aku masih kecil lagi dan hanya mendengar sahaja
ungkapan tersebut diperbualkan oleh Opah dan rakan-rakan yang ‘sama waktu
dengannya’ ketika itu.
Kerap kali aku
dengar ungkapan sebegini apabila menjelangnya musim buah-buahan, terutamanya
apabila musim buah-buahan pada tahun berkenaan tidak menjadi. Maka akan
kedengaranlah Opah mengungkapkan, ‘ …zaman Alang Iskandar dulu, semua menjadi.
Apabila sampai musim buah-buahan, akan melimpah ruah buah-buahan di kampung
kita. Durian, manggis, langsat…..mewah ‘bebenor’…. Tak laku…... Cina tak hendak
beli. Jikalau beli pun murah ‘bebenor’….
….begitu sekali mewahnya pada zaman Alang Iskandar…..” Begitulah lebih kurang
kata Opah menggunakan loghat Perak.
Aku masih ingat juga
tentang musim kemarau yang melanda kampung aku, kampung Keroh Hilir, Padang
Rengas, Perak. Pada ketika itu bukanlah kampung aku saja yang mengalami kemarau
sedemikian. Hampir seluruh daerah Kuala Kangsar ( mungkin juga seluruh negeri
Perak ) mengalami keadaan kering kontang. Sungai-sungai kecil kekeringan. Dan
kebanyakan telaga dan perigi juga kekeringan. Tidak dapat dibayangkan kesusahan
yang dialami oleh orang kampung untuk mendapatkan air. Dan pada ketika itu
kebanyakan kawasan kampung hanya mengharapkan telaga dan perigi untuk
mendapatkan ‘air bersih’.
Sekali lagi aku
mendengar Opah mengungkapkan, ‘ zaman Alang Iskandar dahulu tak pernah berlaku
kemarau serupa ini. Ada hujan, ada panas…..buah-buah kayu juga mewah….’peramah’
untuk berbuah…’ Berbagai usaha dilakukan oleh orang kampung aku untuk ‘meminta’
hujan diturunkan. Khidmat bomoh juga digunakan untuk memohon hujan. Aku masih
ingat lagi bagaimana Tok Ki Pandak ( bomoh) menulis sesuatu di atas daun kelapa
dan mencampakkan daun kelapa itu ke dalam sungai. Untuk memohon hujan katanya.
Dan tulisan yang dilakarnya di atas daun kelapa itu adalah ayat-ayat dari
Rasulullah mengikut katanya.
Berdoa sudah, solat
Hajat juga sudah dan menggunakan khidmat bomoh juga sudah dilakukan. Namun
hujan masih belum turun juga. Semakin banyak telaga dan sungai yang kekeringan.
Ada penduduk kampung aku yang terpaksa berbasikal berbatu-batu ke Batu Hampar,
Paya Lintah semata-mata untuk mandi di sana. Sungai di Paya Lintah, Laneh masih
berair. Itu pun entah berapa lama lagi akan bertahan. Sekiranya air sungai itu
juga kekeringan aku tidak dapat membayangkan kesusahan yang akan dialami oleh
orang kampung di daerah ini.
Opah kata, keadaan
kemarau sebegitu tidak pernah berlaku pada zaman Alang Iskandar. Tak pernah.
Dan mengikut kata Opah juga (sebagaimana yang di ‘sosek-sosek’ dengan
rakan-rakannya) berlakunya kemarau ini adalah disebabkan oleh adanya penduduk
kampung yang melakukan perbuatan ‘sumbang’. Ini merupakan balasan Tuhan kepada
seluruh masyarakat kampung akibat daripada perbuatan terkutuk seorang anggota
masyarakat di situ. Dan sememangnya ada berlaku perbuatan ‘sumbang’ antara bapa
dengan anaknya sendiri di kampung pada ketika itu.
Jikalaulah Opah
masih ada kini, dan melihat malapetaka yang menimpa negara kini, maka pasti Opah
akan menyebut ungkapan ‘peribadinya’ itu ia itu, ‘zaman Alang Iskandar……..’.
Pasti Opah akan menggelengkan kepala melihat berbagai peristiwa malang yang
menimpa negara, yang berlaku bertubi-tubi pada tahun 2014 – kemarau panjang
yang menyebabkan catuan air untuk beberapa hari di kawasan yang ketiadaan air,
peristiwa kehilangan kapal terbang MH 370, kemalangan pesawat MH 17 dan kini
telah berlaku pula kehilangan pesawat Airasia (walaupun bukan merupakan milik
negara secara langsung).
Dan peristiwa
banjir besar yang berlaku di pantai timur kini dan yang terus merebak ke
negeri-negeri lain pasti juga akan menyebakkan Opah menggelengkan kepala. Sudah
pernah berlaku banjir pada tiap-tiap tahun di negeri-negeri berkenaan tetapi
tidak sebesar ini. Maka Opah akan terus mengatakan bahawa, “ zaman Alang
Iskandar dulu tidak seperti ini…..”
Rupa-rupanya yang
disebut-sebut oleh Opah ‘Alang Iskandar’ itu sebenarnya adalah Sultan Iskandar
Shah, Sultan Perak yang pernah memerintah negeri Perak pada suatu ketika
dahulu. Dan sememangnya zaman pemerintahan Sultan Iskandar kononnya adalah
merupakan zaman emas di negeri Perak yang penuh dengan berbagai-bagai
kemewahan. Zaman Alang Iskandar itu sentiasa diingati oleh penduduk kampung di
negeri Perak. Sultan Alang Iskandar menjadi sebutan penduduk di negeri itu pada
ketika itu.
Kini sebagaimana
yang aku dengar nama Sultan Nazrin Shah pula menjadi sebutan rakyat Perak
khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Sifat terpujinya melangkaui dan
merentasi berbagai aspek. Bukan sahaja tentang kelulusan luar biasanya (Doktor
Falsafah dari university ternama) tetapi kepintarannya dalam mengeluarkan hujah
dan pendapat. Malah dari segi tindakannya juga telah mendapat sanjungan yang
luar biasa dari penduduk negeri Perak.
Daulat Tuanku.
Dan suatu perkara
yang agak unik lagi ialah bahawa penduduk kampung pada ketika itu sentiasa
menghubungkaitkan sesuatu keadaan yang berlaku dalam negara atau negeri dengan
tampuk pemerintahan negara atau negeri. Sekiranya negara sentiasa dalam keadaan
aman dan bahagia maka punca yang terjadi demikian adalah disebabkan
pemerintahannya yang direstui oleh Tuhan dan begitu juga sekiranya negara dalam
keadaan yang tidak aman, sentiasa berlaku malapetaka yang tidak menentu, maka
rakyat selalu mengatakan bahawa kepimpinan negara atau negeri juga yang patut dipersalahkan.
Itu pendapat dan pandangan rakyat zaman dulu.
Zaman Opah aku dulu….
abuhassanadam
30 Disember 2014.