RAKYAT MALAYSIA GELISAH
Seingat
aku, belum pernah berlaku lagi dalam sejarah di Malaysia rakyatnya dalam
keadaan yang amat gelisah, tertekan, ‘kacau-kena’ ( meminjam loghat orang
Perak) sepertimana yang dialami kini. Tentulah agak keterlaluan aku membuat
kesimpulan yang sebegini dengan tidak mendasarkan hujah aku kepada kajian dan
fakta-fakta yang konkrit. Namun aku merasakan bahawa dengan melihat dan
memerhati keadaan ‘pergolakan’ dalam masyarakat kini maka dapat dibuatkan
kesimpulan sedemikian.
Dimana-mana
saja akan kedengaran rakyat mengeluh dan mempersoalkan tentang ‘arah tuju negara
Malaysia’. Mereka tertanya-tanya ke mana agaknya negara hendak dibawa oleh para
pemimpin negara kini. Apakah para pemimpin negara kini memikirkan tentang
keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara ataupun hanya memikirkan tentang
usaha untuk menyelamatkan diri dan hanya mementingkan diri dan keluarga.
Rakyat
Malaysia ‘gelisah’ mengenangkan video
yang memaparkan tentang kenyataan TS Muhyiddin Yassin yang menjelaskan tentang
perbualannya dengan DS Najib yang mengakui bahawa wang sebanyak RM 2.6 billion
telah dimasukkan ke dalam akaun beliau. Dan kisah ‘tayangan video’ itu telah
merebak seperti api yang membakar hutan di kawasan hutan Yosemeti di
California. Bukan sepertimana kebakaran yang merebak di bangunan milik Polis di
Bukit Aman. Lebih dari itu. Rakyat hanya mampu ‘gelisah’ dan menunggu apakah
tindakan seterusnya yang sepatutnya dilakukan oleh pihak berwajib.
Tengah
malam kelmarin aku dikejutkan dari tidur oleh rakan karib dari kampung yang
bertanya tentang samada aku sudah tonton video tentang perbualan TS Muhyiddin
mengenai akaun milik DS Najib. Lantas fikiran aku terus memikirkan bahawa
sekiranya orang kampung aku, kampung pingitan dan pendalaman sudah mula
‘bangun’ membicarakan kisah DS Najib dan IMDB maka aku amat yakin seluruh
negara kini sedang membincangkan isu yang sama. Maknanya seluruh negara sedang
dalam keadaan ‘gelisah’, tertekan dan amat kecewa dengan keadaan yang berlaku
kini.
Isu
IMDB dan ‘wang RM 2.6 billion’ bukan isu biasa yang ‘bangkai gajah boleh
ditutup dengan nyiru’. Angka 2.6 billion sudah merupakan angka sebutan rakyat
seluruh Malaysia sehinggakan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun pun sudah
mula menyebutnya (walaupun mereka tidak tahu tentang biji buahnya). Angka
sedemikian tidak mudah untuk ‘dipadamkan’ di hati dan fikiran rakyat Malaysia
walaupun berbagai usaha ‘pengalihan’ dan ‘penafian’ dilakukan. Namun ia tetap
‘menghantui’ pemikiran rakyat Malaysia.
Media
sosial dengan berbagai saluran maklumat yang meledak pemikiran rakyat telah
memperkatakan tentang wang 2.6 billion ringgit. Di mana saja kita berada isu
ini diperkatakan. Betul kata peribahasa Melayu, ‘ mulut tempayan boleh disumbat
(ditutup) tetapi mulut manusia tidak boleh ditutup dan disumbat’. Nampaknya
semakin hari semakin ghairah rakyat Malaysia memperkatakannnya. Ada juga
asasnya mereka berbuat demikian. Rakyat sedar bahawa wang sebanyak itu adalah wang mereka. Titik peluh mereka.
Dan rakyatlah yang akan bertanggungjawab terhadap apa saja yang akan berlaku
kepada wang sebanyak itu. Rakyat sebagai pembayar cukailah yang akan membayar
segala hutang piutang negara nanti. Lantas ada asasnya mereka gelisah.
Ada pula
golongan ‘hingusan’ dalam UMNO mempersoalkan tentang apa perlunya TS Muhyiddin
mengambil tahu hal mengenai akaun peribadi DS Najib. Maknanya pada pandangan
golongan ini, mengapa TS Muhyiddin ‘menyebuk’ dan terlalu ‘gatal’ mendedahkan mengenai akuan berkenaan. Dalam
hal ini ada dua perkara yang aku lihat amat tidak kena dilakukan oleh golongan
‘hingusan’ dalam UMNO ini.
·
Sikap yang
agak ‘biadab’ yang ditonjolkan oleh golongan ini kepada ‘orang tua’ yang baru
sahaja ‘lekang dari jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dulunya merupakan
boss mereka juga yang sentiasa ‘dicium’ tangannya. Baru sahaja tidak pun sampai
48 jam, golongan berkenaan telah sanggup ‘biadap’. Apakah cara sedemikian yang
diajar oleh ibu bapa mereka atau para guru mereka ketika disekolah dulu?
·
Rakyat mahu
ambil tahu mengenai akuan peribadi DS Najib disebabkan oleh jumlah wang yang
agak luar biasa tersimpan dalam akaun berkenaan. Luar biasa. RM 2.6 billion.
Bukannya 26 ribu atau 260 ribu atau pun 2.6 juta atau 26 juta atau 260 juta
tetapi jumlahnya ialah 2600 juta – 2600,000,000.00 (mungkin aku tersilap
menuliskan angka demikain).
Rakyat
Malaysia mahu tahu hal sedemikian disebabkan DS Najib adalah ‘milik’rakyat Malaysia.
Rakyat tidak peduli sekiranya orang lain yang tidak ada kena mengena dengan
kerajaan Malaysia melakukannya. Dan sebenarnya, rakyat Malaysia sudah agak
‘letih’ dengan cerita-cerita yang berlegar berkaitan dengan IMDB ini. Sudah
jemu dan meluat dengan pendedahan tanpa tindakan ini. Dan aku yakin bahawa
sekiranya DS Najib berdepan dengan rakyat secara jujur dan menjelaskan juga
secara jujur sebagai seorang pemimpin yang ikhlas, aku yakin rakyat akan pasti
menerima penjelasan berkenaan.
Selagi
tidak mendapat penjelasan yang berbentuk ‘ya’ atau ‘tidak’ maka selagi itulah
rakyat Malaysia akan terus gelisah.
Sampai
bila agaknya…….
abuhassanadam
31 Julai 2015