Saturday, July 4, 2015

ISU IMDB, FELDA, MARA,TH - RAKYAT HANYA MAMPU MERINTIH

            Akhirnya barulah kedengaran ‘suara-suara’ penguat kuasa undang-undang di Malaysia yang merasa ‘simpati’ dengan rakyat Malaysia yang sentiasa ‘merintih, merayu’ agar sesuatu tindakan dilakukan untuk membetulkan persepsi rakyat tentang beberapa penyelewengan yang dikatakan berlaku di peringkat tertinggi negara. Rakyat tertanya-tanya tentang betul tidaknya isu sebegini berlaku dilakukan oleh para pemimpin kita. Jikalau tidak betul-betul berlaku masakan ‘pokok bergoyang’ atau pun kata orang putih,’ there is no smoke without fire’.

            DS Mohd Najib ada menjelaskan sesuatu mengenai IMDB namun penjelasannya semacam ‘tersangkut-sangkut’ yang menyebabkan rakyat masih terus keliru dengan penjelasan itu apatah lagi disusuli pula dengan berbagai tuduhan yang membabaitkan IMDB itu. Tambahan pula kini telah timbul isu baru yang dikemukakan oleh akhbar berpengaruh dunia, ‘ Wall Street Journal’. Malaysiakini telah melaporkan bahawa, ‘…dalam satu lagi pendedahan sensasi, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

            Dakwaan sedemikian telah ‘dijawab’ oleh DS Najib dengan ‘…….menuduh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di belakang dakwaan terbaru yang beliau mengambil wang dari 1MDB. Katanya, dakwaan terbaru ialah beliau (Najib) telah mengambil dana negara untuk kepentingan peribadi.Menurut Najib, beliau percaya Mahathir, dengan bekerjasama dengan rakyat asing, termasuk Sarawak Report, adalah di belakang pembohongan terbaru itu”Malaysiakini 4 Julai 2015.

            Rakyat pastinya masih menunggu jawapan sebab rakyat percaya ‘two wrongs do not make a right’. Dan tepat dengan masanya pihak MACC segera campurtangan bagi menyelesaikan kemelut yang amat runcing ini. Rakyat Malaysia mahu tahu kedudukan sebenarnya. Malah dalam kenyataannya ‘Wall Street Journal’ ada menyatakan bahawa,  "maklumat perbankan itu telah diterima baru-baru ini oleh beberapa penguat kuasa undang-undang utama Malaysia, termasuk peguam negara". Maknanya sudah berada dalam pengetahuan Peguam Negara. Tetapi soalnya mengapa tidak ada tindakan daripada pihak Peguam Negara ataupun pihak Polis atau pun MACC. Dan baru kini ‘dilihat’ ada sedikit ‘usaha’ uang akan dilakukan oleh MACC bagi membetulkan persepsi rakyat terhadap penyelewengan IMDB ini.

            Rakyat sebenarnya begitu ‘runsing’ mendengar berbagai isu yang ‘tidak sedap didengar’ yang membabitkan kepimpinan negara kini. Malangnya kesemua isu yang berlegar membabitkan tentang penglibatan orang Melayu. Disamping isu IMDB, isu yang membabitkan Tabung Haji adalah isu yang terkena ‘batang hidung’ orang Melayu. Isu yang berhubung kait dengan FELDA juga merupakan isu ‘hidup mati’ orang Melayu yang ‘menghuni’ tanah-tanah FELDA di seluruh negara. Dan baru-baru ini telah timbul pula dakwaan penyelewengan dalam hal pembelian hartanah di Melbourne Australia oleh MARA.

            Kesemua isu ini membabitkan orang Melayu. Harta orang Melayu. Harapan orang Melayu. Dan yang kelihatan memusnahkan harapan orang Melayu adalah terdiri dari pemimpin Melayu juga yang ada diantaranya semacam bukan Melayu tulin. Amat menyedihkan.

            Paling menyedihkan lagi ialah adanya usaha kepimpinan negara yang cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat. Menutup ‘bangkai gajah dengan nyiru’. ‘Menegakkan benang basah’ dengan mengenengahkan berbagai alasan dan hujah semata-mata untuk mengabui mata rakyat. Dan seolah-olah sudah wujud suatu keadaan kini di mana rakyat  berusaha membendung tetapi para pemimpin negara (politik dan perkhidmatan awam) berusaha untuk mengaut keuntungan dan akhirnya memusnahkan. Semacam begitu.

            Rakyat sebenarnya mengharapkan kepada penguasa undang-undang negara untuk mentadbirkan negara ini supaya maju seperti negara lain. Mengharapkan kepada pihak Polis, MACC, Peguam Negara untuk bertindak bagi pihak rakyat. Tetapi ada terdengar juga pihak berkenaan yang mahukan laporan dibuat terlebih dahulu sebelum sesuatu tindakan dijalankan. Selalu sangat kedengaran kenyataan dari pihak Polis atau MACC ataupun badan-badan kerjaan lain. Maknanya tanpa sebarang laporan dibuat oleh rakyat maka tidak akan ada tindakan daripada pihak-hak jabatan berkenaan.

            Sebagai seseorang yang tidak tahu hal peraturan dan undang-undang negara telah menyebabkan aku berfikir bahawa sekiranya tidak ada laporan yang dibuat oleh rakyat, maka pihak-pihak tertentu tidak perlu menjalankan siasatan walaupun sesuatu isu itu hangat diperkatakan. Aku memikirkan selama ini bahawa tugas badan-badan berkenaan adalah untuk membantu rakyat untuk menyelamatkan negara.

            Nampaknya sudah ramai juga rakyat Malaysia kini yang mengamalkan apa yang disbut sebagai ‘ silence is golden’. Walaupun negara sudah berada diambang kemusnahan, masih ramai lagi yang merasakan bahawa, ‘ ada mata tengok, ada telinga dengar’ dan memikirkan juga tentang ‘apa perlunya menjaga tepi kain orang lain’.

            Walau apa pun nasihat Edmund Burke elok juga dihayati oleh kita semua rakyat Malaysia apabila beliau menyatakan,’"The only thing necessary for the triumph of evil is for good men to do nothing."

abuhassanadam
4 Julai 2015



No comments:

Post a Comment