Tuesday, July 7, 2015

PENYELEWENGAN MARA – MENGKHIANATI AMANAH DATO ONN DAN TAN CHENG LOCK

            Anak-anak zaman ini jangan hendaknya memperkecilkan peranan MARA yang merupakan satu amanah bukan sahaja amanah orang Melayu tetapi juga golongan bukan Melayu khususnya Kaum Cina. Jangan hendaknya anak-anak zaman ini bersikap ‘buta sejarah’ dan lantas sewenang-wenangnya mengeksploitasi dan menyelewengkan amanah rakyat ini. Jangan hendaknya anak-anak zaman ini digelar sebagai ‘Pengkhianat Amanah Rakyat’ (PAR).

            Golongan PAR ini mungkin hanya tahu tentang adanya bangunan MARA yang berdiri tersergam di Jalan Tuanku Abdul Rahman kini. Mereka juga mungkin tahu bahawa MARA telah membantu ratusan ribu anak Melayu dalam bidang pendidikan. Dan golongan ini amat tahu bahawa MARA memiliki dana ratusan juta ringgit (mungkin berbilion ringgit) demi untuk memajukan perniagaan orang Melayu. Dan kesempatan yang sebeginilah yang dieksploitasi golongan PAR demi untuk mengkayakan diri dan keluarga. Sebagaimana kata orang putih, “ make hay while the sun shine’.

            Nama MARA tercetus ekoran daripada satu resolusi ekonomi bumiptera yang diadakan pada 5 Jun 1965, menggantikan nama RIDA (Rural Industrial Development Authority) yang ditubuhkan pada bulan Oktober 1950 yang mana tujuan penubuhannya adalah untuk memajukan ekonomi dan pendidikan masyarakat luar bandar khususnya orang Melayu yang dipengerusikan oleh Dato’Onn Ja’afar.

            Yang lebih penting yang perlu diketahui dan dihayati oleh anak-anak zaman ini yang masih lagi buta sejarah ialah bahawa ‘status’ MARA di hati orang Melayu dan rakyat Malaysia ialah sama tarafnya dengan kedudukan hak istemewa orang Melayu. Orang bukan Melayu (yang mengenali sejarah tanah air) tidak pernah mempersoalkan peranan MARA yang bertujuan untuk memajukan orang Melayu. Pemimpin parti pembangkang DAP yang selalu ditempelak sebagai  anti Melayu tidak pernah mengkhianati MARA sebagaimana yang dilakukan oleh golongan pengkhianat amanah rakyat ini yang terdiri dari orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu sendiri yang kononnya berjuang untuk bangsa dan negara yang sanggup dan sampai hati mengkhianati amanah orang Melayu.

            Penubuhan RIDA adalah merupakan persefahaman yang mengikat perpaduan kaum di Tanah Melayu bermula daripada usaha peraduan kaum yang dilakukan oleh Dato Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock yang mewakili masyarakat Cina pada tahun 1950 lagi. Bermakna MARA atau RIDA adalah tonggak yang diharapkan akan berperanan memajukan orang Melayu terutama orang Melayu luar bandar hasil rundingan antara UMNO dan CLC (Communities Liason Committee) atau Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum.

            Bermula tahun 1949, kedua-dua pemimpin ini telah mula membincangkan mengenai arah tuju negara dalam merangka kemerdekaan. Mereka telah mulai cuba menyelesaikan  isu yang agak rumit yang merupakan isu ‘ duri dalam daging’ yang berkaitan dengan kerakyatan orang golongan imigran. Walaupun belum mendapat pengesahan raja-raja Melayu namun mereka telah nampak jalan penyelesaian bagaimana untuk menyelesaikannya.

Penubuhan RIDA ( Rural Industrial Development Authority) adalah idea cetusan daripada perbincangan dalam CLC. Mereka telah mula sedar tentang betapa pentingnya orang Melayu di luar bandar dibela dan dimajukan dalam era kemerdekaan. Usaha sebegitu dipersetujui dengan sepenuh hati oleh kaum Cina yang diwakili oleh Tan Cheng Lock dalam CLC. Mungkinlah agaknya disebabkan keyakinan yang begitu tinggi terhadap kejayaan CLC dan kesediaan kaum Cina untuk sama-sama merangka kemerdekaan yang menyebabkan Dato Onn ‘melagang’ ke langkah seterusnya – menyatukan kaum dan mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mungkin…

            Ada asas yang cukup kuat tentang mengapa orang bukan Melayu’ khususnya masyarakat Cina yang begitu marah juga terhadap tindakan segelintir golongan yang mengkhianati perjuangan MARA. Apabila masyarakat Cina di Malaysia ini tidak menentang pelaksanaan RIDA dan kemudiannya MARA untuk memajukan masyarakat Melayu, bermakna bahawa mereka juga menyokong apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Dan sumbangan mereka sebagai pembayar cukai juga merupakan sumbangan rakyat Malaysia terpenting dalam memajukan MARA.

            Kini MARA yang merupakan tonggak perjuangan orang Melayu untuk memajukan masyarakat Melayu di luar bandar semacam dikhianati. Dan yang paling malangnya ialah orang Melayu sendiri yang mengkhianati perjuangan orang Melayu itu. Dan bertambah malangnya nasib orang Melayu ialah golongan yang mengkhianati perjuangan MARA itu adalah terdiri dari golongan muda yang seolah-olah tidak tahu menghormati perjuangan orang lama….

            Apakah sistem pendidikan kita harus dipersalahkan yang menyebabkan anak-anak kita jadi begini…….

abuhassanadam
7 Julai 2015



No comments:

Post a Comment