MELECET PADA
HARI PERTAMA
Hari
Sabtu pada minggu pertama pada bulan Ramdhan tahun 1953, aku dan bapa aku pergi
ke Kuala kangsar untuk mebeli kasut baru. Kasut Bata. Kasut jenama Bata tidak
terdapat di Kedai Joo Onn di Padang Rengas. Terpakslah kami ke Kuala Kangsar.
Pada
ketika itu kedai menjual kasut Bata terletak berhadapan dengan stesen bas lama.
Jalan Kangsar. Berhadapan dengan Panggung Wayang Grand dimana ditayangkan
filem-filem keluaran Cathay Kris. Kedai kasut Bata yang aku maksudkan sederet dengan
Restoran KFC kini. Kedai kasut Bata adalah kedai Chng Wah yang menjual ala-alat
tulis kini. Jadi tak jauhlah aku terpaksa berjalan kaki untuk menuju kedai
kasut Bata. Turun bas sahaja dan terus ke kedai berkenaan.
Memang
sudah lama aku mengidam untuk mendapatkan kasut Bata. Bukan kasut kulit pun.
Kasut getah berwarna putih. Bertumit. Puas aku mengumpulkan wang untuk
mendapatkan kasut Bata. Akhirnya berjaya juga. Mendapat ‘sponsorship’ dari bapa
juga. Harganya RM3.20sen. Dan tidak mudah untuk mengumpulkan wang sebanyak itu
semata-mata untuk membeli sepasang kasut. Dan memiliki kasut Bata sama seperti
memiliki kasut ‘Russel and Bromley’ yang dibeli di New Bonds Street, London.
Hampir
setiap malam dalam bulan Ramadhan aku mencuba memamakai kasut itu. Pendek kata
aku tak akan tidur kalau tidak mencuba kasut Bata terlebih dahulu.
Sekurang-kurangnya aku akan kenakan kasut berkenaan pada kaki aku dan lihat
kiri kanan dan tanggalkan semula untuk disimpan di tempat yang selamat. Ada
juga ‘nasihat’ dari kawan-kawan yang ‘menasihatkan’ aku agar kasut berkenaan
harus disimpan di tempat yang selamat, takut-takut digigit tikus. Ini
menambahkan lagi kebimbangan aku takut terjadi sedemikian.
Lantas
aku menjaga kasut Bata seperti ‘menatang minyak yang penuh’. Setiap malam aku
gosok dengan kain buruk untuk menghilangkan habuk yang melekat walaupun tidak
langsung terdedah kepada habuk. Emak sentiasa memerhatikan perangai aku
sedemikian tetapi tidak pula dia menegur atau memberikan sebarang komen.
Mungkin dia faham agaknya tentang betapa ‘sayang’nya aku pada kasut berkenaan.
Maklumlah tidak senang bagi aku untuk mendapatkan sepasang kasut Bata pada
ketika itu. Yang biasa aku pakai ke sekolah hanyalah kasut yang berjenama
tulisan Cina dan harganya pun murah. RM 1.05 sen sepasang. Boleh didapat di
kedai Joo Onn di Padang Rengas.
Pada
hari raya nanti pasti yang memakai kasut Bata hanya aku seorang. Sebagai
kanak-kanak tentulah ada juga perasaan untuk menunjuk-nunjuk pada rakan-rakan
lain tentang kasut Bata yang aku miliki itu. Ramai di antara mereka tidak
berkasut pun, walau pun berharga RM1.05 sen. Abang Manaf , Zainal, Karim
kebiasaannya tidak berkasut. Kaki ayam saja ke sana ke mari walaupun pada hari
raya. Mereka anak yatim dipelihara oleh ibu tunggal, Wan Munah.
Ani,
Ngah, Mat Rofek biasanya ada pasangan baju raya mereka walaupun mereka dijaga
oleh ibu tunggal juga. Mereka dari keluarga yang agak berada. Tetapi tentang
kasut masih kasut berjenama tulis Cina. Yang boleh ‘menandingi’ aku ialah
Mohamed. Dia ada kasut Bata. Aku dapat memiliki kasut Bata bukan kerana bapak
aku berada tetapi disebabkan adik beradik aku tidak ramai berbanding dengan
keluarga lain di kampung. Kami hanya berdua saja. Aku dan adik aku. Jadi
dapatlah bapa menyediakan sepasang pakaian baju baru yang agak sempurna.
Kebiasaannya
baju raya kami di kampung tidak akan melebihi sepasang. Ramai yang terpaksa
memakai baju raya tahun sebelumnya. Terlalu miskin. Untuk menyediakan makanan
pada hari raya pun kadang-kadang tidak dapat disediakan dengan sempurna.
Lemang
adalah satu kemestian untuk hari raya di kampung aku. Dapat diadakan disebabkan
hampir seluruh penduduk di kampung aku bersawah padi. Beras pulut untuk membuat
lemang memang tersedia. Cuma yang terpaksa disediakan ialah lauk lemang. Dan lauk
lemang yang dapat membezakan antara sebuah keluarga dengan keluarga yang lain.
Sekiranya lemang berlaukkan rendang daging atau rendang ayam maka sudah dikira
sebuah keluarga berada. Sekiranya berlaukkan rendang udang maka ‘tarafnya’
berada di tempat kedua. Yang berlaukkan ‘rendang kerang’ sudah jatuh ke taraf
ketiga. Dan ramai penduduk kampung aku yang hanya menyediakan gula sahaja untuk
menjadi ‘lauk’ lemang disebabkan ketidakmampuan mereka walaupun menyediakan
rendang kerang (yang pada ketika itu hanya berharga 20 sen se kati ( setengah
kilo).
Kasut
Bata aku sudah berubah tempat pada malam raya. Jikalau dulu aku simpan dalam
almari Opah aku, tetapi pada malam raya sudah aku letakkan di atas peti sabun
yang terletak betul-betul dihadapan tempat tidur aku. ‘Takut dicuri orang’…….
Pagi-pagi
lagi aku sudah bangun. Bersedia untuk ke rumah Pak Haji Sulaiman, guru Quran
yang mengajar kami di kampung. Begitulah jadualnya setiap tahun. Lepas beraya
dengan Pak Haji Sulaiman, kami akan ‘berarak’ beramai-ramai ke masjid Kampung
Keroh Hilir yang tidak jauh dari rumah Pak Haji Sulaiman. Masalah yang akan aku
hadapi seterusnya ialah dimana akan aku letakkan kasut Bata aku. Bukan sebarang
tempat untuk ditempatkan. Hendak aku letakkan bersama dengan kasut rakan-rakan
lain, tentulah akan dipijak sepertimana kasut-kasut lain juga. Kotorlah dia.
Satu masalah ‘besar’ pula yang aku hadapi. Aku berjaya menyelesaikan masalah
demikian dengan meletakkannya dicelah rasuk rumah Pak Haji Sulaiman. Selamat
buat sementara waktu.
Satu
‘problem’ lain akan timbul selepas itu. Apabila di masjid nanti, dimana pulalah
akan aku letakkan kasut Bata aku tu. Sepanjang berada di rumah Pak Haji
Sulaiman aku sentiasa memikirkan masalah ‘penempatan kasut Bata’ aku. Ketika
kawan-kawan lain bergelak ketawa dan bergembira aku masih memikirkan tentang kasut
Bata. Tetapi rakan-rakan aku tak tahu apa yang aku fikirkan. Aku pula tidak
menceritakan kepada mereka tentang ‘problem’ yang aku hadapi. Malulah kalau aku
ceritakan kepada mereka. Dan bukan pula mereka akan menolong menyelesaikan
masalah aku tu.
Lebih
kurang satu jam berada di rumah Pak Haji Sulaiman, kami berangkat ke masjid
untuk menunaikan solat Aidilfitri. Disamping itu dalam perjalanan ke masjid
kami akan melagukan nasyid yang diajar oleh Pak haji Sulaiman. Aku masih
memikirkan tentang kasut Bata aku. Dengan bangganya aku memakai kasut Bata. Dan
tidak pula aku menghina kawan-kawan lain yang tidak memiliki kasut seperti aku.
Emak aku pesan jangan bersikap begitu. Dan aku patuh. Sampai kini aku ingat
pesan emak dan bapak.
Dalam
perjalanan ke masjid, separuh perjalanan aku terasa sakit di tumit aku. Baru
separuh perjalanan ke masjid. Sampai satu ketika aku sudah tidak terdaya
menderuskan perjalanan. Aku berhenti dan duduk di atas batang kelapa tumbang berhampiran
rumah Pak Teh Wahab. Aku menanggalkan kasut Bata aku. Kaki aku melecet
disebabkan kasut Bata.
Malangnya
nasib aku. Pada hari pertama sudah melecet……
abuhassanadam
11 Julai 2015
No comments:
Post a Comment