GELAP
SEPANJANG ZAMAN
Semalam
aku cuba ‘merayakan’ Malam 27 atau Malam Tujuh Likor di rumah aku bersama
anak-anak. Tak sama seperti aku merayakan malam berkenaan ketika aku masih
kanak-kanak. Seronoknya lain macam. Aku faham bahawa tentulah tidak sama perasaan
orang tua dengan perasaan kanak-kanak. Aku faham. Tetapi aku merasakan
keseronokan merayakan Malam 27 di kampung aku dulu memang ‘lain macam’
seronoknya. Seronok sungguh!!.......
Boleh
dikatakan hanya satu hari dalam setahun sahaja orang kampung aku (Kampung Ekor
Dusun) menikmati suasana terang benderang. Hanya semalam. Malam 27 Ramadhan
atau Malam Tujuh Likor. Dengan sebab itulah seluruh penduduk kampung
menunggu-nunggu kedatangan Malam 27. Dan tambahan pula Pak Haji Sulaiman pernah
mengatakan bahawa kebiasaannya Malam Lailatul-Qadr akan jatuh pada malam 27.
Jadi semua orang menununggu….
Aku
dan rakan-rakan lain pada ketika itu (tahun-tahun 1950an) menunggu-nunggu
ketibaan Malam lailatul-Qadr dengan penuh harapan. Pak Haji Sulaiman mengatakan
sesiapa yang menemui malam berkenaan akan dikurniakan pahala dan ganjaran 1000
bulan. Itulah sahaja harapan dan angan-angan yang ada pada anak kampung seperti
aku – mengharapkan ganjaran daripada Tuhan.
Anak-anak
kampung seperti aku pada ketika itu semacam tidak ada cita-cita. Yang kami
nampak hanyalah sawah ‘sekangkang kera’ yang diusahakan oleh ibu bapa kami,
kebun getah yang merupakan punca pendapatan penduduk kampung dan beberapa orang
kampung yang memiliki kebun buah-buahan. Dari ladang-ladang berkenaanlah kami
mengharapkan akan dapat memberikan rezeki sesuap nasi apabila kami dewasa
kelak. Itu saja harapannya.
Aku
ke sekolah hanya sesuai dengan apa yang diungkapkan oleh R.O.Winstedt ia itu
‘untuk menjadikan aku petani yang lebih baik dariapada bapa aku’. Aku tidak
pernah dengar ada diantara rakan-rakan aku yang bercita-cita menjadi seorang
doktor atau jurutera atau peguam. Tidak pernah aku dengar. kalau ada pun hanya
bercita-cita menjadi seorang guru atau seorang posmen, ataupun menjadi polis.
Itu saja. Oleh itu Malam 27 menjanjikan satu ‘harapan’ ia itu untuk menemui
Malam Lailatul-Qadar.
Malam
27 sememangnya terang benderang di kampung aku yang diterangi oleh cahaya
pelita ‘panjut’. Setiap rumah diterangi oleh sekurang-kurangnya sebiji pelita
bersumbu bertenagakan minyak tanah (minyak gas kata orang kampung aku).
Kebanyakan rumah akan dihiasai dengan pelita panjut yang berbagai-bagai bentuk.
Ada yang diperbuat daripada buluh, ada juga panjut hasil dari susunan beberapa
tempurung kelapa yang dibakar dari sebelah atas susuanan tempurung berkenaan.
Pendek kata berbagai aktiviti yang ditonjolkan oleh penduduk kampung aku bagi
memeriahkan suasana Malam 27. Kadang-kadang aku terfikir juga tentang
kreatifnya orang kampung aku pada ketika itu. Mungkin sekarang pun begitu juga.
Bagi
aku tidak ada keseronokan yang boleh menandingi kerseronokan ‘menikmati’ Malam
27 di kampung aku. Aku merasakan bahawa keseronokan itu timbul disebabkan
kemunculan suasana yang terang benderang setelah bergelap sepanjang tahun. Kauasa
eletrik sampai ke kampung aku sekitar awal tahun 1980an. Oleh itu sebelum itu
suasana kampung hanya diselubungi suasana galap dan malap, kecualilah pada
malam-malam bulan mengambang.
Aku
dikurniakan Tuhan untuk ‘menikmati’ bulan mengambang di Las Vegas, di Los
Angeles, di London, dan banyak lagi tempat-tempat lain namun bagi aku
‘kenikmatan’ menikmati suasana bulan mengambang ( Bulan 14) di kampung aku,
Kampung Ekor Dusun tidak ada tolak bandingnya.
Dapat
aku bayangkan suasana menikmati bulan mengambang ketika berada dibawah pokok
Asam Jawa berhampiran dengan surau Ekor Dusun sambil melimparkan pandangan ke
arah Kampung Pulau yang dijarakkan oleh sawah padi yang terbentang luas, yang
dibarisi oleh pokok kelapa berlatarbelakngkan Gunung Pondok yang tersergam
indah. Melihat cahaya bulan yang sentiasa ‘mengintai’ dari celah-celah daun
kelapa berhampiran dengan rumah Pak Ajid merupakan satu panaroma yang tidak
dapat aku nikmati di tempat-tempat lain walaupun di Pantai Kuta di Bali ataupun
di pantai Wakiki di Hawaii.
Sepanjang
malam penduduk kampung Ekor Dusun, terutamanya orang muda dan kanak-kanak akan
mundar mandir, bersiar-siar menikmati suasana Malam 27 seolah-olah tidak mahu
‘melepaskan’ Malam 27 pergi meninggalkan kami. Aktivitinya hanyalah menikmati
suasana malam yang terang benderang disamping berbual-bual dan bergurau senda.
Suasana sedemikian berterusan sepanjang malam sehinggalah menjelangnya waktu
sahur apabila masing-masing pulang ke rumah.
Selepas itu masing-masing menunggu kehadiran Malam 27
bulan Ramadhan tahun hadapan.
abuhassanadam
14 Julai 2015
Pak Abu, mungkin boleh huraikan lagi apa sebenarnya keistimewaan malam lailatur qadar tu, yg selalu kita diberitahu. Adakah sesiapa termasuk Pak Abu yang selama ni dah temui gerangan malam lailatur qadar tu dan jika dah temui boleh ceritakan ala mudah apa dia keistimewaan itu, bukan mengulangi yg jika kita melakukan ritual ibadah dalam bahasa Arab yg rata2 ramai tak mengerti makna malahan nak menghayati surah atau ayat2 suci yg dibaca secara mekanikal tu akan dapat ganjaran ' divine' bersamaan pahala seperti beribadah 1000 malam.
ReplyDeleteKenapa kita diajar yg malam 27 ramadan itu begitu istimewa, pada hal malam itu mungkin sama aje dengan malam2 lain yg tertakluk pada daya2 klimatologi.
Saya pun hairan pada malam lailatur qadar alih2 kuantum pahala kita boleh dilonjakan berlipat2 ganda meskipun kita tidak dapat menghayati ritual2 ibadah yg dilakukan. Mungkin tradisi ini perlu dijelas dengan jernih lagi oleh Pak Abu.
Selamat menyambut Aidilfitri 1436.
Pak Abu, mungkin boleh huraikan lagi apa sebenarnya keistimewaan malam lailatur qadar tu, yg selalu kita diberitahu. Adakah sesiapa termasuk Pak Abu yang selama ni dah temui gerangan malam lailatur qadar tu dan jika dah temui boleh ceritakan ala mudah apa dia keistimewaan itu, bukan mengulangi yg jika kita melakukan ritual ibadah dalam bahasa Arab yg rata2 ramai tak mengerti makna malahan nak menghayati surah atau ayat2 suci yg dibaca secara mekanikal tu akan dapat ganjaran ' divine' bersamaan pahala seperti beribadah 1000 malam.
ReplyDeleteKenapa kita diajar yg malam 27 ramadan itu begitu istimewa, pada hal malam itu mungkin sama aje dengan malam2 lain yg tertakluk pada daya2 klimatologi.
Saya pun hairan pada malam lailatur qadar alih2 kuantum pahala kita boleh dilonjakan berlipat2 ganda meskipun kita tidak dapat menghayati ritual2 ibadah yg dilakukan. Mungkin tradisi ini perlu dijelas dengan jernih lagi oleh Pak Abu.
Selamat menyambut Aidilfitri 1436.