PENYINGKIRAN TS MUHYIDDIN - DS NAJIB MENGENEPIKAN KEHENDAK AKAR UMBI
UMNO
Mungkin
DS Najib lupa bahawa TS Muhyiddin berada di jawatan Timbalan Perdana Menteri
adalah disebabkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO, lantas
membolehkan beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tanpa mandat
daripada akar umbi UMNO mungkin TS Muhyiddin Yassin tidak dapat berada di
kedudukan sedemikian. Begitu jugalah dengan kedudukan DS Najib sebagai Perdana
Menteri adalah juga disebabkan bahawa beliau dipilih oleh ahli UMNO untuk
jawatan Presiden UMNO.
Kini
TS Muhyiddin diketepikan oleh DS Najib. Apakah akar umbi UMNO akan berdiam diri
dengan tindakan DS Najib sedemikian? Apakah ahli UMNO sudah boleh
diperkotak-katikan begitu sahaja sehinggakan ahli UMNO sudah tidak ada maruah
lagi untuk mempertahankan tokoh yang dipilih oleh mereka. Ini bukan bermakna
bahawa TS Muhyiddin tidak boleh diketepikan tetapi seharusnya ‘diketepikan’
oleh ahli UMNO sendiri dan bukan oleh DS Najib yang pada dasarnya boleh diketepikan
juga sekiranya ahli UMNO merasakan bahawa beliau sudah tidak layak lagi
menduduki jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Itulah hakikat sebenarnya
jika UMNO mengikuti lunas demokrasi sebenarnya.
Sekalung
tahniah dan syabas diucapkan oleh rakyat Malaysia kepada TS Muhyiddin Yassin
dan DS Shafie Afdal kerana berani
mempertahankan prinsip perjuangan dengan menentang apa yang dirasakan tidak
kena yang telah dilakukan oleh kepimpinan negara berkait dengan isu IMDB. Sekurang-kurangnya
masih ada juga rupanya ‘species’ UMNO yang masih mahu mempertahankan prinsip
perjuangannya kerana mempertahankan negara yang tercinta ini.
Kenyataan
TS Muhyiddin Yassin memberikan gambaran sedemikian. Katanya,’Kecuali
dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam
mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana
pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka
saya redha’
Seluruh
dunia kini memperkatakan tentang IMDB. Negara Malaysia cukup ‘terkenal seantero
dunia’ ( meminjam kata-kata P.Ramlee) kini bukan kerana kejayaannya memerangi
rasuah dikalangan pemimpin negara dan bukan juga disebabkan berjaya
menghapuskan kegiatan memperdagangkan manusia. Tetapi Malaysia sudah terkenal
disebabkan ‘kehebatan’ pemimpinnya ‘mensonglap’ wang negara. Seluruh dunia
sudah tahu. Selagi tidak dijelaskan dan dikemukakan penafian dengan menunjukkan
bukti yang sahih, maka pemimpin Malaysia akan dilabel oleh dunia sebagai sebuah
negara yang pemimpinnya mengamalkan rasuah yang bukan kepalang.
Jikalau
dulu kita sering memperkatakan tentang bagaimana Presiden Marcos dari Filipina
menggunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya tanpa ‘segan silu’, dan bagaimana
isterinya Imelda ‘berpesta’ menggunakan wang titik peluh rakyat untuk
‘menghias’ dirinya dengan intan berlian dan kasut yang berbagai jenama, maka
kini perhatian dunia tertumpu ke negara kita Malaysia pula. Seluruh dunia
‘mentertawakan’ gelagat kita. Seolah-olah kita sudah memecahkan rekod yang dipegang
oleh Suharto dari Indonesia dan mungkin juga sudah berjaya memecahkan rekod
yang dipegang oleh Louis XVI dan isterinya Marie Antionette dari Perancis dalam
Kurun ke 18 dulu. Mungkin.
Rakyat
Malaysia kini seolah-olah menyerahkan kepada ahli UMNO untuk membuat penentuan
tentang nasib pemimpinnya dan seterusnya menentukan jatuh bangunnya negara
Malaysia. Samada nasib TS Muhyiddin ataupun nasib DS Najib adalah berada di
tangan ahli UMNO yang memberikan mandat kepada mereka untuk menerajui UMNO yang
kononnya memperjuangkan bangsa, agama dan negara. DS Najib tidak harus dengan
sewenang-wenangnya mengenepikan TS Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan
DS Shafie Afdal sebagai Naib Presiden UMNO kerana kedua-dua mereka dipilih
dengan cara terhormat oleh ahli-ahli UMNO.
Sekiranya
DS Najib memerlukan mandat baru untuk dipilih sebagai Presiden UMNO dan
seterusnya sebagai Perdana Menteri maka seharusnya beliau mengadakan
Persidangan Agung UMNO secara tergempar untuk menentukan kedudukannya yang sah.
Dan dengan berbuat demikian barulah rakyat akan melihat kepimpinan UMNO dan
kepimpinan negara berada di atas landasan demokrasi yang benar-benar tulin.
Pemecatan
TS Muhyiddin dan DS Shafie Afdal bukan merupakan isu kecil, apatah lagi yang
diperjuangkan oleh mereka ialah isu yang membabitkan kewangan dan maruah
negara. Mereka sedar bahawa pengorbanan yang mereka lakukan adalah untuk
kesejahteraan rakyat dan negara dan diatas landasan sedemikianlah mereka
mempertaruhkan jawatan yang mereka pegang.
Apakah
ahli UMNO akan sanggup membiarkan mereka ‘keseorangan’ dalam memperjuangkan
bangsa dan negara yang merupakan juga perjuangan parti UMNO semenjak zaman
berzaman.
Entahlah……..
abuhassanadam
29 Julai 2015
PEMIMPIN YANG MENGGUNAKAN KUASA UNTUK TERUS BERKUASA ADALAH PEMIMPIN YANG GILA KUASA........ ATAU PEMIMPIN YANG SUDAH TERPALIT DENGAN NODA YANG TAKUT HILANG KUASA.................. FIKIR-FIKIRKAN....
ReplyDelete