Thursday, October 31, 2019

KERJASAMA UMNO-PAS-MCA DI TANJUNG PIAI


KERJASAMA UMNO-PAS-MCA DI TANJUNG PIAI

            Awal-awal lagi sudah menampakkan kerjasama antara UMNO-PAS-MCA terburai dan begitu juga dengan kedudukan MCA dalam Barisan Nasional. Tidak mudah menyatukan parti-parti yang berlainan fahaman dan perjuangan dalam satu wadah untuk memperjuangkan sesuatu. Di atas kertas memang senang tetapi apabila cuba dilaksanakan akan menempuh berbagai halangan dan masalah.

            Tanjung Piai akan menguji banyak perkara terutama yang membabitkan parti UMNO dan PAS. Pada peringkat kepimpinan tertinggi sememangnya kelihatan semuanya OK tetapi di peringkat bawahan akan terus bercakaran antara satu sama lain. Ibarat itik yang sedang berenang di air tenang. Di permukaan air sememangnya kelihatan tenang, diselang seli dengan ‘gelak ketawa’ tetapi dalam air sebenarnya mereka bercakaran antara satu dengan yang lain.

            Begitulah ibaratnya keadaan yang berlaku di Tanjung Piai kini antara UMNO dan PAS dan antara UMNO dan MCA. Puncanya ialah ketiadaan pemimpin yang berkeliber seperti kepimpinan Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim. DS Zahid Hamidi cuba menjadi pemimpin yang menyatukan UMNO dan PAS tetapi tidak harus dilupakan bahawa beliau sendiri terpalit dengan berbagai skandal rasuah. Walaupun belum dibuktikan bersalah tetapi kebiasaanya manusia yang bernama “Melayu’ akan terpengaruh juga dengan peribahasa yang mengatakan bahawa, ‘takkanlah pokok bergoyang jikalau tidak ada angin yang meniupnya’. Dan peribahasa orang putih juga berkata, ‘ there is no smoke without fire’.

            Belum apa-apa lagi sudah menampakkan keretakan dalam kesatuan UMNO-MCA-PAS terutama dalam menentukan calon yang akan bertanding dalam PRK Parlimen Tanjung Piai. Dilaporkan oleh akhbar Berita Harian bahawa ahli UMNO memboikot majlis pengumuman calon Barisan Nasional PRK Parlimen Tanjung Piai, DS Wee Jeck Seng. Dari tinjauan oleh Berita Harian mendapat hampir 90 peratus kehadiran di Rumah UMNO adalah dalam kalangan ahli MCA. Membuktikan ‘tidak sebulu’nya kepimpinan dalam BN dalam menentukan calon. Belum apa-apa lagi sudah bertelagah dan keadaan ini diperhatikan oleh pengundi dan memberi impak juga keputusan pilihanraya nanti.

            Itu baru antara UMNO dan MCA. Bagaimana pula persefahamannya nanti antara MCA dan PAS. Setelah bertautnya PAS dan UMNO, dan intimnya UMNO dengan MCA, maka PAS secara naturalnya ‘bertaut’ juga dengan MCA. Apakah ahli PAS diperingkat bawahan membenarkan keadaan sedemikian berlaku. Sedangkan kerjasama PAS dan UMNO pun masih ramai ahli UMNO dan PAS peringkat akar umbi yang masih meragui kerjasama sedemikian, inikan pula kerjasama antara PAS dengan MCA?

            Pastinya akan memeningkan kepala kepimpinan tertinggi parti UMNO, PAS dan MCA. Dan yang paling merunsingkan mereka pastinya dalam keadaan negara yang diledak oleh media sosial. Tidak ada satu perkara yang boleh disembunyikan kini berbanding dengan keadaan zaman lampau sebelum ledakan media sosial dan internet. Paling merunsingkan kepimpinan kini ialah kenyataan-kenyataan liar yang pernah dilafazkan oleh pemimpin mereka ketika bermusuhan antara satu dengan lain pada suatu ketika dulu. Kini mula ‘dikorek’ dan diketengahkan

            Paling merunsingkan sekiranya dikemukakan soalan yang berkaitan dengan persoalan Islam dan bukan Islam. Apakah hukumnya kerjasama erat antara pemimpin Islam (PAS) dengan pemimpin yang bukan Islam (MCA). itu persoalan pokok yang mesti diselesaikan. Pasti ramai akan mengatakan ‘dulu lain kini lain’

            Pemimpin PAS dan UMNO sebenarnya terpengaruh dengan sindrom ‘syok sendiri’. Kepimpinan tertinggi UMNO-PAS sebenarnya tidak dapat merasakan ‘denyut nadi’ ahli akar umbi samada dari UMNO mahu pun PAS. Betul lah mereka boleh bergelak ketawa dan bergurau senda dihadapan camera namun mereka tidak tahu perasaan golongan di bawah yang masih terasa ‘pahit maung’nya ketika ‘bermusuhan’ suatu ketika dahulu. Tentlah tidak mudah untuk menghilangkan perasaann dendam kesumat sedemikian.

            Dan di PRK Tanjung Piai inilah akan teruji kehebatan pemimpin-pemimpin UMNO-PAS-MCA dalam menangani masalah rumit yang dihadapi. Aku yakin bahawa BN tidak sukar menghadapi calon PH disebabkan rakyat sudah mula meragui kepimpinan PH kini terutamanya adanya menteri-menteri yang tidak menampakan kehebatan dalam melaksanakan tugas. Ada diantaranya yang gairah untuk melaksanakan kereta terbangnya dan ada juga menteri yang sibuk dengan kasut hitamnya dan ada juga menteri yang sepatutnya membantu rakyat luar bandar tetapi masih berdiam diri dan ‘berkhayal’.

            Rakyat juga terpengaruh dengan cakap-cakap yang meragui kedudukan DS Anwar Ibrahim samada berjaya menjadi Perdana Menteri ke Lapan atau sebaliknya. Rakyat Malaysia memberikan kemenangan dalam PRU 14 kepada Pakatan Harapan disebabkan untuk menewaskan Barisan Nasional dan untuk memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim memimpin negara ini setelah negara diselamatkan oleh Tun Mahathir. PH harus bijak mengatur strategi menghadapi PRK Tanjung Piai ini. Tun Mahthir dan DS Anwar Ibrahim tentu lebih arif dalam menetukannya.

abuhassanadam
31 Oktober 2019 



Wednesday, October 30, 2019

MASIH ADA YANG KATA MELAYU MALAS….


MASIH ADA YANG KATA MELAYU MALAS….

            Hampir ‘muntah’ kita membincang dan menyentuh isu ‘Melayu malas’ ini. Semenjak zaman tahun-tahun 1920an, semenjak Rahim Kajai dan Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas kita dah bincangkan tajuk ini. R.O. Winstedt kata orang Melayu malas dan sukakan hiburan. Kita nafikan. Kita kata tak benar kenyataan itu sedangkan ‘orang putih’ berkenaan ada bukti dan melalui pemerhatiannya menampakkan semacam betul orang Melayu agak malas dan sukakan hiburan.

            Kalau tanya aku, pasti aku kata orang Melayu (suku sakat aku) tidak malas tetapi ada yang ‘tak kena’ yang menyebabkan orang Melayu mundur di tanah air sendiri. Aminuddin Baki ( seorang pejuang Melayu 1940an /50an) pernah berkata, ‘ ayam mati di kepuk padi dan itik mati kehausan di air tenang’.  Itulah gambaran mengenai orang Melayu di Tanah Melayu (Malaysia) pada ketika itu. Mungkin jikalau beliau masih hidup, beliau akan terkejut melihatkan orang Melayu masih di ‘takuk lama’ dan hampir tidak banyak berubah.

            Bapak aku seorang petani. penoreh getah dan bersawah. Pokok getah yang ditorehnya bukan kepunyaan dia tetapi dimiliki oleh orang lain. Begitu juga dengan sawah padi yang dikerjakannya bukan milik kami. Jadi terpaksalah dibahagi dua hasil yang diperolehi. Maknanya bapak terpaksa bekerja kuat untuk menampung kehidupan kami sekeluarga ( aku dan adik ku) Dan sememangnya bapak bekerja keras membanting tulang empat keratnya. Pagi menoreh dan apabila petang bercucuk tanam secara kecilan di kawasan rumah. Apabila sampai musim ke sawah, bapak akan ke sawah dengan bantuan ibu. Aku tak nampak langsung yang bapak aku seorang yang pemalas tetapi dia tidak kaya hanya hidup selesa setelah anak-anak berjaya dalam pelajaran. Sampai waktu tuanya keadaan tidak banyak berubah dan banyak bergantung kepada kebahagiaan yang diberikan oleh anak-anak.

            Di mana silapnya? Mungkin kehidupan bapak dan orang kampung ku yang senasib dengan bapak tidak merancang kehidupan dengan sempurna. Atau mungkin juga mereka tidak tahu dan tak ‘nampak’ langsung bagaimana nak merancangang kehidupan yang sempurna. Mungkin? Mungkin juga disebabkan  taraf pendidikan dan pendedahan yang terhad menyebabkan mereka tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan yang mereka alami.

            Kejayaan bapak aku yang boleh aku banggakan ialah kesanggupan beliau menghantar aku dan adik aku belajar di sekolah Inggeris sedangkan hampir tidak ada penduduk kampung ku pada ketika itu yang sanggup menyekolahkan anak di sekolah Inggeris. Bapak aku memang seorang yang ‘berani’. Berani menempuh ‘gelombang’.

            Ada tindakan yang dilakukan oleh bapak yang mungkin orang lain di kampung ku tidak melakukannya ia itu disamping menoreh dan bersawah, dia membela ayam dan kambing. Menurutnya kambing dan ayam itik yang dibelanya itu digunakan untuk perbelanjaan membeli buku teks sekolah aku dan adikku apabila dijual.Setahun sekali akan dijualnya dan wang hasil jualan itulah untuk perbelajaan membeli buku dan peralatan sekolah. Tidak mudah untuk menanggung perbelanjaan belajar di sekolah Inggeris apatah lagi sekolah itu pula terletak di bandar – Kuala Kangsar yang jauhnya sepuluh kilometer dari kampung ku.

            Sepanjang hidup mereka, orang kampung aku hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka bukan tak rajin bekerja tetapi tentu ada yang ‘tak kena’ yang menyebabkan kehidupan mereka tidak berubah. Masih di takuk lama. Hanya yang berani menanam modal melalui pelajaran sahaja yang dapat mengubah cara hidup dan nasib mereka.

            Ada dua orang anak muda dari kampung aku yang menceburkan diri dalam menternak ayam secara besar-besaran setelah mereka pulang dari kursus di Jabatan Pertanian terdekat. Begitu bersemangat sekali pada mulanya mereka memulakan perusahaan berkenaan. Kebiasaannya tentulah dimulakan dengan khenduri doa selamat ketika ‘merasmikan’ pembukaan ladang ayam berkenaan. Dijemputlah ‘orang masjid’ bagi merasmikan perusahaan berkenaan.

            Hanya beberapa bulan sahaja ‘umur’ ladang berkenaan sebelum ‘ditutup’.Bukan ‘malas’ si pengusahanya yang menyebabkan ladang ditutup. Semua orang kampung memujnya ketika menjalankan perusahaan berkenaan. Tetapi mengapa gagal juga. Bukan disebabkan oleh malas pengusahanya tetapi ada sesuatu yang ‘tak kena’ yang menyebabkan keadaan terjadi demikian. Aku tidak pasti ada usaha penyelidikan dari jabatan pertanian untuk mengkaji mengapa para pengusaha penternakan ayam sedemikian selalu kecundang di tengah jalan. Mengapa? Jabatan Pertanian harus ada jawapannya. Dan harus ada pula tindak ikutnya supaya keadaan kegagalan itu dapat dibetulkan.

            Mengapa ladang yang diusahakan oleh pengusaha Cina berjaya? Cina ada caranya yang tersendiri yang menyebabkan mereka berjaya. Persoalannya mengapa pengusaha Melayu tidak meniru cara Cina menternak ayam. Buat macam mana yang dilakukan oleh pengusaha Cina berkenaan.

            Harus dikaji sehalus-halusnya permasalahan sebegini. Walaupun sudah agak terlambat kita menjalankan kajian terperinci, namun tidak salah sekiranya dimulakan dari awal. Kerajaan hendaknya janganlah melakukan sesuatu itu hanya sebagai melepaskan batuk di tangga saja. Perlu ada ‘overhaul’ dalam beberapa aspek kehidupan orang Melayu yang menyebabkan orang Melayu masih tidak maju seperti orang lain.

            Yang aku sentuh kini ialah  dalam bidang pertanian, yang kelihatan jelas berlaku dihadapan mata aku. Bagaimana dengan aspek pendidikan dan ekonomi. Orang Melayu masih ketinggalan. Ini hakikatnya. Yang boleh menyebabkan orang Melayu bangga dengan pencapaian anak-anak mereka mungkin disebabkan markah peperiksaan diturunkan untuk membolehkan pencapaian maksimum orang Melayu. Mungkin?

            Orang Melayu zaman penjajahan tidak perlu kepada forum dan seminar untuk menyuntik semangat supaya belajar bersungguh-sungguh. Tidak ada seminar menebus maruah kepada orang Melayu namun orang Melayu zman penjajahan tetap menjaga maruah Melayu dan Islam. Orang Melayu tidak seghairah sekarang dalam hal merompak dan mencuri wang negara. Orang Melayu zaman penjajahan tahu erti ‘malu’ jika melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan budi Melayu itu sendiri. Orang Melayu tahu erti ‘malu muka’ apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan budaya Melayu.

            Tidak dapat diceritakan perit dan derita yang dialami oleh pelajar Melayu miskin dari kampung yang belajar di sekolah-sekolah Inggeris pada zaman penjajahan. Namun ‘perjuangan’ tetap diteruskan sehingga berjaya walaupun ramai juga yang gagal. Yang mahu dijelaskan disini ialah kesanggupan anak Melayu kampung zaman penjajahan ‘berlumba’ dan bersaing dengan rakan-rakan Cina yang serba mewah kehidupan mereka di bandar. Ramai anak Melayu yang berjaya. Dapat menewaskan rakan Cina di bandar yang lebih mewah. Mengapa?

            Tidak ada Dasar Eknomi Baru untuk melindungi anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris. Tidak ada kedudukan istemewa yang diberikan kepada anak Melayu yang menduduki peperiksaan Senior Cambrige atau Lower Certificate of Education (LCE). Anak Melayu miskin dari kampong dianggap sama dengan anak Cina atau anak India di bandar. Dan yang jelasnya ada anak Melayu dari kampung yang serba kekurangan dapat menewaskan anak Cina. Mengapa?

            Untuk lulus sesuatu peperiksaan yang dianjurkan oleh penjajah British seharusnya mesti lulus Bahasa Inggeris dengan kepujian. Dan ramai juga anak Melayu yang miskin lulus dengan cemerlang walaupun tidak ada ‘tongkat’ yang membantu anak Melayu pada ketika itu. Anak Melayu dari kampung sentiasa dibiarkan ‘keseorangan’ mengharungi perjuangan yang getir pada zaman penjajahan. Dan ramai anak Melayu yang berjaya. Menagapa?

            Apakah Melayu malas?

abuhassanadam
30 Oktober 2019

PERANAN ANWAR MEMENANGKAN PRU14


 PERANAN ANWAR MEMENANGKAN PRU14

            Rakyat Malaysia dari semua kaum memberikan mandat kepada kepimpinan Pakatan Harapan dalam PRU14 yang lalu adalah disebabkan keyakinan mereka bahawa tapuk pemerintahan negara akan digalas oleh Tun Mahathir dan kemudiannya ( selepas beebrapa ketika) menyerahkan kepada DS Anwar Ibrahim. Maknanya kedua-dua tokoh ini penting di hati dan rakyat. Kurang tepat sekiranya dikatakan bahawa pada Tun Mahahir terletaknya kunci kemenangan PRU 14 yang lalu. Atau sokongan kepada DS Anwar Ibrahimlah yang menyebabkan Barisan Nasional kecundang. Senario ini harus difahami betul-betul oleh rakyat Malaysia.

            Rakyat diyakinkan bahawa Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri buat seketika sementara menunggu usaha ‘mengeluarkan’ Saudara Anwar dari penjara. Rakyat begitu yakin yang DS Anwar akan menerima pengampunan dari YDP Agung yang membolehkan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil yang lemudiannya melayakkan dirinya menjadi pengganti Tun Mahathir.

            Rakyat Malaysia yakin dengan percaturan sedemikian ia itu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sementara menunggu pengambil-alihan kepada DS Anwar. Dan yang menyebabkan rakyat Malaysia ‘bermatian’ mengundi Pakatan Harapan adalah harapan menggunung agar cita-cita reformasi yang dilaung-laungkan oleh gerakan reformasi akan terlaksana. Para otai reformasi menunggu dengan penuh debar agar akan sampai masanya DS Anwar Ibrahim akan menjadi peneraju negara ini.

            Ini tidak pula bermakna bahawa para pejuang yang berjuang mati-matian itu tidak mengiktiraf kepemimpinan Tun Mahathir. Mereka juga yakin bahawa tanpa adanya Tun Mahathir memimpin Pakatan Harapan( yang kemudiannya menumbangkan BN) besar kemungkinan negara ini akan terus berada dibawah Barisan Nasional, kepimpinan kleptocrat yang dilaung-laungkan itu. Kehadiran Tun Mahathir amat penting sebagai penyatu kepada parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan. Dengan kepimpinan beliaulah Parti Amanah, DAP, PKR bersatu hat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional.

            Membuktikan ketulusan para pemimpin Pakatan Harapan pada ketika itu yang semata-mata untuk menumbangkan Barisan Nasional, mereka sanggup ‘bernaung’ di bawah logo Parti Keadilan Rakyat ia itu ‘mata lebam’. Begitulah rupa hasrat yang menggunung para pemimpin yang disokong oleh rakyat terbanyak yang amat ‘meluat’ dengan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.

            Keadaan dan senario yang harus difahami oleh banyak pihak ialah bahawa rakyat Malaysia menyokong Pakatan Harapan bukan hanya disebabkan kepimpinan Tun Mahathir seorang tetapi ‘penyertaan’ DS Anwar juga yang memainkan peranan begitu penting, walaupun beliau berada di penjara pada ketika itu. Itu merupakan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Kerana menyedari hakikat bahawa mahu tidak mahu nama DS Anwar perlu diketengahkan, maka Tun Mahathir sanggup berjumpa dengan DS Anwar ketika beliau masih dipenjara, menunjukkan kepada rakyat bahawa Tun Mahathir bukan keseorangan dalam perjuangan menumbangkan kerajaan Barisan Najib tetapi bersama-sama  dengan DS Anwar.

            Ramai yang tidak menyedari ataupun sengaja tidak mahu menyedari bahawa walaupun berada di penjara, DS Anwar mempunyai pengikut yang masih ramai. Jikalau mahu menggunakan istilah yang selalu dipakai oleh para artist ialah bahawa DS Anwar Ibrahim memang ramai peminat. Bukan sahaja peminat dalam negara tetapi di luar negara pun. Samalah seperti Tun Mahathir yang disanjung oleh kebanyakan pemimpin dunia.

            Kini sudah mula kedengaran dan kelihatan tentang adanya golongan yang cuba menganggu gugat tentang peralihan kuasa sebagaimana yang telah diputuskan oleh kepimpinan Pakatan Harapan menjelang PRU14 yang lepas. Matlamat ‘puak-puak’ yang cuba mengganggu-gugat itu mempunyai semacam matlamat serampang dua mata. Pertama ialah untuk menggagalkan peralihan kepimpinan dari Tun Mahathir kepada DS Anwar Ibrahim dan yang kedua ialah memecahbelahkan perpaduan dalam Pakatan Harapan.

            Melihat kepada usaha-usaha yang dilakukan ke arah itu jelas menampakkan bahawa golongan sedemikian lebih mementingkan perut daripada kepentingan negara. Mengapa dikatakan begitu?  Jelas menampakkan keghairahan usaha ke arah itu adalah untuk mendekati pihak-pihak tertentu dengan harapan menerima habuan yang lumayan. Golongan ini tahu dan sedar bahawa tindakan mereka itu merupakan sesuatu yang boleh dianggap tidak begitu cerdik memandangkan tentang adanya peraturan-peraturan tertentu dalam berpersatuan. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Tun Mahathir dan DS Anwar juga bahawa penentuan kepimpinan negara akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

            Tetapi soalnya mengapa timbul lagi riuh rendah  tentang isu peralihan itu. Masyarakat Malaysia sebenarnya sudah amat faham tentang kewujudan golongan yang boleh ditakrifkan sebagai golongan ‘cari makan’ ini. Jikalau zaman-zaman sebelum ini ‘dedak’ bertaburan merata-rata tetapi kini mungkin sudah agak kekurangan. Lantas golongan ini mencari sumber-sumber yang boleh menampung keperluan mereka. Mungkin!

            Persoalan peralihan ini harus dirujuk dan difahami mengikut fahaman budaya dan adat Melayu. Ia merupakan satu janji yang didimeterai bersama oleh kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan ketika menjelangnya PRU 14 dulu. Tentulah tidak timbul usaha ‘khianat’ yang cuba digembar-gemburkan ketika ini. Negara Malaysia akan ‘hancur’ sekiranya perjanjian sedemikian cuba dikhianati. Manusia biasanya dipegang pada janji. Dan setiap janji semestinya ditepati.


abuhassanadam
30 Oktober 2019




Tuesday, October 29, 2019

DESA PINGITAN


DESA PINGITAN

            Desa Pingitan yang aku maksudkan adalah Kampung Ulu Mengkuang. Sebuah kampung dipedalaman terletak di daerah kecil Selama Perak. Di kampung inilah juga terdapat sebuah sekolah rendah yang dinamakan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang, tempat aku mula-mula menjejakkan kaki sebagai seorang pendidik ketika berumur 21 tahun.

            Sangat sukar bagi aku untuk melupakan ‘desa pingitan’ ini walaupun sudah puluhan tahun aku meninggalkannya, namun kenangan lama masih segar di ingatan sehingga kini. Ulu Mengkuang bukan tempat kelahiran aku tetapi entah macam mana hati ini ‘terpikat’ dan ‘terikat’ dengan kampung yang indah permai ini dari kaca mataku.

            Aku mencintai alam yang menghiasi desa pingitan ini
            Aku suka mendengar siulan burung-burung pada waktu pagi
            Aku terpikat dengan budi bahasa orang kampung
            Aku kagum dengan air sungai yang jernih berkaca
           
            Lebih kurang tujuh kilometer jauhnya dari pekan Rantau Panjang. Pekan kecil ini terletak antara jalan raya yang menghubungkan pekan Selama Perak dengan Sungai Bayor. Di Pekan Rantau Panjanglah  penduduk Ulu Mengkuang membeli belah barang keperluan dapur. Pada ketika itu (tahun 1965) tidak ada jalan bertar yang menghubungkan Ulu Mengkuang dengan Rantau Panjang.

            Gelabah juga hatiku apabila dapat surat arahan bertukar ke Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Pastinya sekolah di luar bandar kata hati kecilku. Takut juga aku mengenangkan kehidupan yang akan aku lalui walaupun aku lahir dan dibesarkan dalam suasana kampung. Suasana kehidupan di kampung tentulah merupakan kebiasaan pada kehidupan aku. Tapi ini sebuah kampung yang amat asing bagi aku.

            2 Januari 1965 satu tarikh keramat bagi aku ia itu tarikh aku menjejakkan kaki di Ulu Mengkuang. Dari pekan Selama Perak aku menaiki kereta sewa (sapu) pergi ke Ulu Mengkuang. Akhirnya sampailah aku ke Kampung Ulu Mengkuang. Mataku mencari-cari dimana sekolahnya. Kelihatan dari jauh papan tanda menyatakan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang. Amat jauh bezanya sekolah Ulu Mengkuang kini dengan Sekolah Kebangsaan Ulu Mengkuang tahun 1965 ketika aku mula-mula mengajar di situ.

            Hanya ada 68 orang murid ketika itu. Guru Besarnya Cikgu Ismail bin Ahmad (orang kampung panggil Pak Da). Hanya terdapat empat orang guru penolong termasuklah aku. Ada enam kelas. Darjah satu sampai Darjah Enam. Seingat aku Pak Da sebagai guru besar dan juga guru Darjah 4. Aku mengajar Darjah Satu dan Darjah Dua ( pegang dua kelas). Cikgu Jaafar pegang dua kelas – Darjah Lima dan Darjah Enam. Cikgu Talib (guru sementara) pegang DarjahTiga.

            Kedatangan kami (aku dan Jaafar) disambut meriah oleh orang kampung. Maklumlah sekolah berkenaan tidak pernah diajar oleh guru terlatih (lepasan DTC seperti kami) melainkan sepanjang hayatnya diajar oleh guru sementara. Maka bagi orang kampung ( pada ketika itu) Ulu Mengkuang, kedatangan kami merupakan sesuatu yang luar biasa.

            Sejak dari mula aku tidak merasa kesal mengajar di Ulu Mengkuang malah aku berasa begitu seronok sekali mengajar dan bergaul mesra dengan anak-anak dan orang kampung disini walaupun ramai rakan-rakan guru yang memandang rendah kepada aku kerana mengajar di sebuah sekolah pedalaman seperti Ulu Mengkuang. Aku tidak pernah ambil pusing dengan sindiran mereka yang dilemparkan terhadap aku. Malah aku menyimpan suatu dendam.

            Dendam yang aku maksudkan itu ialah akan aku buktikan bahawa aku akan berada di Ulu Mengkuang (UM) selama lima tahun dan selepas itu aku akan melanjutkan pelajaran di University Malaya (UM). Maksudnya dari UM ke UM juga. Rupa-rupanya hasrat terpendam itu dimakbulkan oleh Allah juga akhirnya.

            Sepanjang aku berada di Ulu Mengkuang, murid-murid lah sebagai ‘teman hidup ku’. Sejak dari  pagi sehinggalah terbenam mata hari aku akan bersama murid-murid – belajar dan bermain. Kadang-kadang pada waktu malam aku sentiasa berada di sekolah dan ramai juga murid-murid yang ingin belajar di sekolah. Seronok sekali. Apa tidaknya. Itulah hiburan yang ada pada seorang guru muda untuk menghabiskan waktu siang dan malamnya dalam suasana ketiadaan bahan hiburan lain, kecuali radio transistor kecil yang menjadi ‘teman’ sebelum mata terlelap.

            Kampung Ulu Mengkuang amat sunyi di waktu malam. Hanya kedengaran suara jengkerik memecah sunyi malam ‘mendendangkan lagu riang mereka’ menyambut malam tiba. ‘Duniaku’ akan gelap gelita setelah anak-anak muridku pulang ke rumah masing-masing dari sekolah setelah penat belajar. Mereka datang ke sekolah pada malam hari ditemani oleh ibu bapa mereka. Begitu bersemangat sekali ibu bapa di desa pingitan ini. Itu jugalah yang memberikan rangsangan untuk aku mencurahkan jasa baktiku kepada anak-anak di kampung ini.

            Menjelang tengah malam aku keseorangan di rumah guru (rumah yang dibina oleh orang kampung bertiangkan batang pinang). Tidak ada teman untuk berbicara sementelahan pula ketika itu tidak ada TV untuk ditonton. Mahu tak mahu hanyalah radio kecil jadi teman penghibur mendengar suara lunak juruhebah bertugas dari corong Radio Malaysia seperti Zulkifli Amin, Azhar Ahmad, Mahani Ujang yang memainkan lagu-lagu romantis dendangan M Bakri, Taufik Haji Ali, Wan Salman Ahmad, Nik Hasni.

            Lima tahun aku berada di Ulu Mengkuang (1965-1970). Dalam jangka masa itu ramai juga anak muridku yang berjaya dan ada yang menjejakkan kaki ke menara gading. Dan aku juga telah ditakdiran berjaya juga lulus Senior Cambridge dan Higher School Certiificate ( yang diusahakann secara bersendirian) ketika mengajar di desa pingitan – Ulu Mengkuang.

            Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
            jikalau tidak dipecahkan ruyung bagaimana mendapat sagunya.

abuhassanadam
29 Oktober 2019