Wednesday, October 30, 2019

MASIH ADA YANG KATA MELAYU MALAS….


MASIH ADA YANG KATA MELAYU MALAS….

            Hampir ‘muntah’ kita membincang dan menyentuh isu ‘Melayu malas’ ini. Semenjak zaman tahun-tahun 1920an, semenjak Rahim Kajai dan Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas kita dah bincangkan tajuk ini. R.O. Winstedt kata orang Melayu malas dan sukakan hiburan. Kita nafikan. Kita kata tak benar kenyataan itu sedangkan ‘orang putih’ berkenaan ada bukti dan melalui pemerhatiannya menampakkan semacam betul orang Melayu agak malas dan sukakan hiburan.

            Kalau tanya aku, pasti aku kata orang Melayu (suku sakat aku) tidak malas tetapi ada yang ‘tak kena’ yang menyebabkan orang Melayu mundur di tanah air sendiri. Aminuddin Baki ( seorang pejuang Melayu 1940an /50an) pernah berkata, ‘ ayam mati di kepuk padi dan itik mati kehausan di air tenang’.  Itulah gambaran mengenai orang Melayu di Tanah Melayu (Malaysia) pada ketika itu. Mungkin jikalau beliau masih hidup, beliau akan terkejut melihatkan orang Melayu masih di ‘takuk lama’ dan hampir tidak banyak berubah.

            Bapak aku seorang petani. penoreh getah dan bersawah. Pokok getah yang ditorehnya bukan kepunyaan dia tetapi dimiliki oleh orang lain. Begitu juga dengan sawah padi yang dikerjakannya bukan milik kami. Jadi terpaksalah dibahagi dua hasil yang diperolehi. Maknanya bapak terpaksa bekerja kuat untuk menampung kehidupan kami sekeluarga ( aku dan adik ku) Dan sememangnya bapak bekerja keras membanting tulang empat keratnya. Pagi menoreh dan apabila petang bercucuk tanam secara kecilan di kawasan rumah. Apabila sampai musim ke sawah, bapak akan ke sawah dengan bantuan ibu. Aku tak nampak langsung yang bapak aku seorang yang pemalas tetapi dia tidak kaya hanya hidup selesa setelah anak-anak berjaya dalam pelajaran. Sampai waktu tuanya keadaan tidak banyak berubah dan banyak bergantung kepada kebahagiaan yang diberikan oleh anak-anak.

            Di mana silapnya? Mungkin kehidupan bapak dan orang kampung ku yang senasib dengan bapak tidak merancang kehidupan dengan sempurna. Atau mungkin juga mereka tidak tahu dan tak ‘nampak’ langsung bagaimana nak merancangang kehidupan yang sempurna. Mungkin? Mungkin juga disebabkan  taraf pendidikan dan pendedahan yang terhad menyebabkan mereka tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan yang mereka alami.

            Kejayaan bapak aku yang boleh aku banggakan ialah kesanggupan beliau menghantar aku dan adik aku belajar di sekolah Inggeris sedangkan hampir tidak ada penduduk kampung ku pada ketika itu yang sanggup menyekolahkan anak di sekolah Inggeris. Bapak aku memang seorang yang ‘berani’. Berani menempuh ‘gelombang’.

            Ada tindakan yang dilakukan oleh bapak yang mungkin orang lain di kampung ku tidak melakukannya ia itu disamping menoreh dan bersawah, dia membela ayam dan kambing. Menurutnya kambing dan ayam itik yang dibelanya itu digunakan untuk perbelanjaan membeli buku teks sekolah aku dan adikku apabila dijual.Setahun sekali akan dijualnya dan wang hasil jualan itulah untuk perbelajaan membeli buku dan peralatan sekolah. Tidak mudah untuk menanggung perbelanjaan belajar di sekolah Inggeris apatah lagi sekolah itu pula terletak di bandar – Kuala Kangsar yang jauhnya sepuluh kilometer dari kampung ku.

            Sepanjang hidup mereka, orang kampung aku hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mereka bukan tak rajin bekerja tetapi tentu ada yang ‘tak kena’ yang menyebabkan kehidupan mereka tidak berubah. Masih di takuk lama. Hanya yang berani menanam modal melalui pelajaran sahaja yang dapat mengubah cara hidup dan nasib mereka.

            Ada dua orang anak muda dari kampung aku yang menceburkan diri dalam menternak ayam secara besar-besaran setelah mereka pulang dari kursus di Jabatan Pertanian terdekat. Begitu bersemangat sekali pada mulanya mereka memulakan perusahaan berkenaan. Kebiasaannya tentulah dimulakan dengan khenduri doa selamat ketika ‘merasmikan’ pembukaan ladang ayam berkenaan. Dijemputlah ‘orang masjid’ bagi merasmikan perusahaan berkenaan.

            Hanya beberapa bulan sahaja ‘umur’ ladang berkenaan sebelum ‘ditutup’.Bukan ‘malas’ si pengusahanya yang menyebabkan ladang ditutup. Semua orang kampung memujnya ketika menjalankan perusahaan berkenaan. Tetapi mengapa gagal juga. Bukan disebabkan oleh malas pengusahanya tetapi ada sesuatu yang ‘tak kena’ yang menyebabkan keadaan terjadi demikian. Aku tidak pasti ada usaha penyelidikan dari jabatan pertanian untuk mengkaji mengapa para pengusaha penternakan ayam sedemikian selalu kecundang di tengah jalan. Mengapa? Jabatan Pertanian harus ada jawapannya. Dan harus ada pula tindak ikutnya supaya keadaan kegagalan itu dapat dibetulkan.

            Mengapa ladang yang diusahakan oleh pengusaha Cina berjaya? Cina ada caranya yang tersendiri yang menyebabkan mereka berjaya. Persoalannya mengapa pengusaha Melayu tidak meniru cara Cina menternak ayam. Buat macam mana yang dilakukan oleh pengusaha Cina berkenaan.

            Harus dikaji sehalus-halusnya permasalahan sebegini. Walaupun sudah agak terlambat kita menjalankan kajian terperinci, namun tidak salah sekiranya dimulakan dari awal. Kerajaan hendaknya janganlah melakukan sesuatu itu hanya sebagai melepaskan batuk di tangga saja. Perlu ada ‘overhaul’ dalam beberapa aspek kehidupan orang Melayu yang menyebabkan orang Melayu masih tidak maju seperti orang lain.

            Yang aku sentuh kini ialah  dalam bidang pertanian, yang kelihatan jelas berlaku dihadapan mata aku. Bagaimana dengan aspek pendidikan dan ekonomi. Orang Melayu masih ketinggalan. Ini hakikatnya. Yang boleh menyebabkan orang Melayu bangga dengan pencapaian anak-anak mereka mungkin disebabkan markah peperiksaan diturunkan untuk membolehkan pencapaian maksimum orang Melayu. Mungkin?

            Orang Melayu zaman penjajahan tidak perlu kepada forum dan seminar untuk menyuntik semangat supaya belajar bersungguh-sungguh. Tidak ada seminar menebus maruah kepada orang Melayu namun orang Melayu zman penjajahan tetap menjaga maruah Melayu dan Islam. Orang Melayu tidak seghairah sekarang dalam hal merompak dan mencuri wang negara. Orang Melayu zaman penjajahan tahu erti ‘malu’ jika melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan budi Melayu itu sendiri. Orang Melayu tahu erti ‘malu muka’ apabila melakukan sesuatu yang bertentangan dengan adat dan budaya Melayu.

            Tidak dapat diceritakan perit dan derita yang dialami oleh pelajar Melayu miskin dari kampung yang belajar di sekolah-sekolah Inggeris pada zaman penjajahan. Namun ‘perjuangan’ tetap diteruskan sehingga berjaya walaupun ramai juga yang gagal. Yang mahu dijelaskan disini ialah kesanggupan anak Melayu kampung zaman penjajahan ‘berlumba’ dan bersaing dengan rakan-rakan Cina yang serba mewah kehidupan mereka di bandar. Ramai anak Melayu yang berjaya. Dapat menewaskan rakan Cina di bandar yang lebih mewah. Mengapa?

            Tidak ada Dasar Eknomi Baru untuk melindungi anak Melayu yang belajar di sekolah Inggeris. Tidak ada kedudukan istemewa yang diberikan kepada anak Melayu yang menduduki peperiksaan Senior Cambrige atau Lower Certificate of Education (LCE). Anak Melayu miskin dari kampong dianggap sama dengan anak Cina atau anak India di bandar. Dan yang jelasnya ada anak Melayu dari kampung yang serba kekurangan dapat menewaskan anak Cina. Mengapa?

            Untuk lulus sesuatu peperiksaan yang dianjurkan oleh penjajah British seharusnya mesti lulus Bahasa Inggeris dengan kepujian. Dan ramai juga anak Melayu yang miskin lulus dengan cemerlang walaupun tidak ada ‘tongkat’ yang membantu anak Melayu pada ketika itu. Anak Melayu dari kampung sentiasa dibiarkan ‘keseorangan’ mengharungi perjuangan yang getir pada zaman penjajahan. Dan ramai anak Melayu yang berjaya. Menagapa?

            Apakah Melayu malas?

abuhassanadam
30 Oktober 2019

No comments:

Post a Comment