MELAYU HARUS MENIRU DAN BUKAN MEMUSUHI ORANG CINA
Sudah
hampir muak kita orang Melayu membincangkan mengenai maruah. Dah nak muntah.
Kesannya masih tidak begitu ketara. Pi mai, pi mai tang tu jugak. Dan berseminarlah saban kali orang Melayu
membincangkan tentang maruah dan ‘dignity’. Tidak putus-putus mempersoalkan
tentang kelunturan maruah Melayu. Tentang soal mengapa orang Melayu semakin
hari semakin semacam kehilangan maruah. Dan mahu tak mahu apabila menyentuh isu
sebegini, maka golongan bukan Melayulah yang menjadi sasaran, khususnya orang Cina. Orang Cinalah yang akan dipersalahkan.
Kononnya
orang Cinalah yang menyebabkan orang Melayu jadi miskin papa kedana. Kononnya
orang Cina yang menyebabkan orang Melayu gagal dalam pelajaran dan ekonomi.
Orang Cina juga yang menyebabkan banyak tanah rizab Melayu tergadai dan
terserah kepada orang asing dan khususnya orang Cina. Yang anihnya ramai
pemimpin Melayu tidak menyentuh tentang peranan golongan Chettiar yang banyak
‘menipu’ orang Melayu dan ‘membeli’ tanah mereka denga harga yang amat tidak
berpatutan. Ringkasnya orang Melayu kebanyakannya ‘ditipu’ oleh golongan
Chettiar itu.
Keadaan
sedemikian telah ‘diselamatkan’ oleh British dengan memperkenalkan Tanah Rizab
Melayu semata-mata untuk menyelamatkan tanah orang Melayu terjual kepada orang
asing. Ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa ada tujuan lain British
memperkenalkan Tanah Rizab Melayu itu. Mungkin perbincangan sedemikian
diperkatakan dalam rencana seterusnya.
Amalan
menyalahkan orang asing, orang Cina khususnya yang menyebabkan orang Melayu
lemah memang sudah diamalkan sejak turun temurun. Sama jugalah dengan seminar
untuk membincangkan tentang usaha orang Melayu menebus maruah. Dan memang ada
sebuah buku yang aku tulis berjodol ‘MENEBUS MARUAH’ pada tahun 1994. Maknanya
usaha ‘menebus maruah’ Melayu ini sudah rancak dijalankan pada tahun-tahun 1990an lagi dan berterusan
sehingga ke hari ini.
Yang
amat ghairah memperkatakan tentang maruah orang Melayu kini ialah golongan
pemimpin Melayu yang seolah-olah amat bimbang dengan kelunturan maruah Melayu.
Tentang ke mana arahnya hendak dituju oleh orang Melayu memandangkan ‘asakan’
dari segenap sudut oleh orang Cina (ahli DAP!) yang datangnya dari berbagai
sudut – ekonomi, politik, pendidikan. Orang Melayu yang masih ‘separuh tidur’
terus yakin dan percaya tentang tohmahan itu yang mengatakan bahawa orang
Melayu dalam bahaya. Maruah Melayu perlu dipulihkan segera.
Yang
anihnya golongan yang merasa bimbang tentang terhakisnya maruah Melayu ialah
para pemimpin Melayu sendiri yang telah pun berkuasa dalam negara dan yang
telah sama-sama mentadbirkan negara ini sejak zaman berzaman. Yang anihnya juga
ialah tidakkah golongan ini merasa malu mengenangkan tentang kegagalan mereka
memertabatkan maruah Melayu ketika mereka berkuasa. Apakah mereka tidak ‘malu
muka’ apabila hadir di majlis yang kononnya bertujuan untuk memulihkan maruah
Melayu.
Sebenarnya
orang Melayu atau khususnya pemimpin Melayu merasa ‘lega’ apabila dapat
menyalahkan orang Cina yang menyebabkan orang Melayu gagal. Sepatutnya
Rancangan Malaysia Kedua pada awal 1970an dulu, yang menggalas Dasar Ekonomi
Baru sudah cukup kuat dasar dan prinsipnya untuk memajukan orang Melayu dari
segenap segi sekiranya para pemimpin Melayu (kerajaan) pada ketika itu
betul-betul cekap dan komitted untuk memajukan orang Melayu. Aku tidak
menafikan tentang sedikit kemajuan yang telah dicapai. Memang ada tetapi belum cukup mantap.
Sepatutnya sekiranya para pemimpin Melayu yang menjulang prinsip perjuangan dan
memertabatkan maruah Melayu sudah boleh berbangga dengan pencapaian ketika itu.
Malangnya ataupun yang untungnya adalah segelintir pemimpin Melayu yang
bertopengkan perjuangan telah menimba segala kekayaan negara atas nama Melayu
dan Bumiputera. Mereka menjadi kaya raya atas keringat dan perjuangan rakyat.
Dasar
Ekonomi Baru kononnya untuk memajukan orang Melayu dalam segenap lapangan
khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan orang Melayu dan meningkatkan
taraf hidup orang Melayu khususnya di kalangan penduduk luar bandar. Ada
kemajuan tetapi tidak menepati hasrat DEB itu sendiri. Para pemimpin Melayu
harus menyoal diri mereka dulu – MENGAPA BEGITU JADINYA? Golongan pemimpin
Melayu yang memerintah negara ini tidak bersifat begitu, malah terus menuding
jari kepada bangsa asing. Kononnya orang Cinalah yang menyebabkan keadaan jadi
sedemikian. Mereka tidak menyatakan dengan terus terang tetapi sebaliknya
berselindung disebalik parti DAP. Maknanya orang Cinalah.
Biar
aku katakan terus terang bahawa aku orang Melayu totok. Tidak setitik pun darah
Cina yang mengalir dalam tubuhku, tetapi sebagai seorang yang telah terdidik
tentulah dapat aku merasa dan berfikir bahawa bukan salah Cina yang menyebabkan
orang Melayu mundur dan maruah Melayu akan tertebus sekiranya orang Melayu itu
sendiri berusaha dengan gigih menebusnya dan jangan mengharapkan orang lain untuk
menebus maruah Melayu.
Salahkah
kalau orang Melayu ‘mengalah’ dan meniru kejayaan yang telah dicapai oleh orang
Cina. Belajar melalui pengalaman yang dilalui oleh orang Cina yang menyebabkan
mereka berjaya, tentulah bukan merupakan satu kesalahan. Lagi pun tentulah
tidak malu jika sesuatu bangsa itu belajar dengan suatu bangsa lain yang
peradabannya sudah memakan ribuan tahun.
Pernah
Tun Mahathir ketika zaman pemerintahannya pada tahun-tahun 1980an menyarankan
satu dasar ‘Pandang ke Timur’ yakni meniru kejayaan bangsa Jepun dan Korea dari
segi nilai yang diamalkan oleh mereka. Jika pernah dijalankann dasar meniru
bangsa asing sedemikian, apakah salahnya orang Melayu bekerjasama sepenuhnya
dengan kaum-kaum lain demi kemajuan orang Melayu itu sendiri dan kemajuan
bangsa Malaysia keseluruhannya. Tentu tidak salah agaknya. Dan pastinya orang
Cina dan India juga bersedia untuk kerjasama
sedemikian.
Melalui
pengamatan, pernah kelihatan suatu keadaan yang cukup harmoni di Malaysia pada
tahun-tahun 1990an di Malaysia, dimana terdapat kemesraan yang cukup intim
dikalangan kaum-kaum di Malaysia. Melalui pengamatan dan pemerhatian. Jangan pula
ditanya tentang kajian yang aku gunakan untuk membuat kesimpulan sedemikian. Tidak ada. Hanya bersandarkan kepada pemerhatian. Seolah-olah terdapat satu jalinan kerjasama yang erat antara kaum-kaum di
Malaysia. Dan pada ketika itu jugalah Malaysia sudah mula dianggap sebagai
‘harimau’ yang sedia untuk mengaum, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa
lain di Asia.
Malangnya
ibarat kata peribahasa Melayu, ‘ diharapkan panas sampai ke petang rupanya
hujan di tengah hari’.
abuhassanadam
27 Oktober 2019
thank you sir
ReplyDelete