Sunday, September 30, 2018

UMNO KEHILANGAN ARAH

Aku semacam bersetuju pula dengan kenyataan KJ ( Saudara Khairi Jamaluddin) apabila beliau mengatakan bahawa UMNO semacam kehilangan arah. Orang putih kata ‘neither here nor there’. Orang Perak kata, ‘ tak tentu ketahuan, ke hulu ke hilir tak tentu tujuan’.

Sesebuah pertubuhan samada pertubuhan politik ataupun pertubuhan sosial banyak bergantung kepada kepimpinan sesuah oraganisasi itu. Terpulanglah kepada pemimpinnya untuk menentukan hala tuju parti berkenaan. Dengan sebab itulah seseorang pemimpin itu mesti (bukan seharusnya) mempunyai ‘tulang belakang’ yang cukup kuat, mempunyai perjuangan yang tidak boleh dilentur. Harus tegas dan kemas dalam melaksanakan prinsip yang diperjuangkan.

Dalam hal pepimpinan UMNO adalah dirasakan bahawa DS Zahid Hamidi tidak harus ‘berbolak-balik’ dari segi menyatakan hal tuju UMNO kini setelah tewas dalam PRU 14 yang lalu. Sebagai pembangkang UMNO harus tegas dalam menerajui parti. Semacam nak bersetuju pula kenyataan Saudara KJ apabila beliau mengatakan,
"Kamu memimpin parti, perlu jelas.Kamu tidak boleh kata minggu lalu meneroka kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dan hari ini pula kata nak lawan, zalimlah, macam-macam.Saya tidak keliru. Tetapi kamu perlu jelas ke mana arah tuju parti," kata Khairy yang juga bekas calon presiden Umno itu. ( petikan Malaysiakini 30 September 2018)
Dalam hal ini UMNO sepatutnya ‘belajar’ dari PKR (Parti Keadilan Rakyat) yang mempunyai prinsip perjuangan yang cukup jelas. Dengan sebab itulah sehingga hari ini setelah mengalami berbagai ‘ribut dan taufan’ dan ‘gelombang yang bukan kepalang akhirnya PKR menang juga. Slogan ‘REFORMASI’  dan “LAWAN TETAP LAWAN’ terus bergema sehingga hari ini, walaupun pada PRU 12, PKR hanya memenangi satu kerusi sahaja ( Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi oleh DS Dr Wan Azizah) dan walaupun Saudara Anwar Ibrahim berada di penjara dalam jangkamasa yang begitu lama. Ahli PKR terus menerus berjuang ‘tanpa henti’ sehinggalah apa yang diidamkan tercapai.
Saudara Zahid Hamidi selaku presiden UMNO sudah beberapa kali menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan UMNO atau parti-parti lain yang sanggup bersekongkol dengan UMNO. Begitu juga dengan pendirian PAS yang sanggup bekerjasama dengan UMNO. Bolehlah dianggap perjuangan parti yang sebegini sebagai parti yang tidak bertulang belakang. Seolah-olah mereka sanggup bekerjasama antara satu sama lain hanya untuk memerintah negara ini dan bukan untuk membela bangsa dan negara. Seolah-olah perjuangan membela bangsa (Melayu dan agama Islam) sudah dikesampingkan.
Menampakkan juga bahawa pemimpin muda dalam UMNO seolah-olah mempunyai pendirian dan hala tuju yang agak jelas. Berdasarkan laporan dari ‘Malaysiakini’ menampakkan bahawa perwakilan Pemuda UMNO agak kurang senang dengan rancangan Zahid, malah Ketua Pemudanya Datuk Asyeaf Wajdi membantah  cubaan kembali melalui jalan belakang. Ini merupakan satu sikap ‘anak jantan, sikap orang perjuangan’ yang sanggup meredah ‘ombak dan gelombang’ yang sanggup ‘membina rumah ditepi pantai walaupun sentiasa dilambung ombak’.
Kepimpinan UMNO harus juga sedar bahawa prinsip perjuangan yang sentiasa diwar-war oleh mereka mungkin sudah ketinggalan zaman, yang tidak begitu sesuai lagi dengan selera masyarakat Malaysia kini terutmanya ‘selera’ anak mudanya. Lantas UMNO seharusnya mengorak langkah membetulkan hala tuju parti berkenaan disamping mencari dan meneroka falsafah perjuangan UMNO yang sebenarnya.
UMNO bukannya mencari jalan selesa untuk memerintah negara tetapi harus mencari langkah dan tindakan sesuai untuk memajukan rakyat Malaysia berteraskan Melayu dan Islam.

abuhassanadam
30 September 2018


Saturday, September 29, 2018

SIAPA LAGI KALAU BUKAN ANWAR

Dikhabarkan ramai yang akan bertanding sebagai calon bebas di PRK Port Dickson yang akan diadakan tidak lama lagi. Barisan Nasional yang sepatutnya bertanding di kawasan berkenaan menjauhkan diri. Sebaliknya PAS pula yang bersungguh benar untuk menghantar calon. Namun begitu mungkin juga UMNO menghantar ‘proxy’nya untuk bertanding di situ memandangkan begitu ramai calon bebas yang telah menawarkan diri. ‘Kacau daun’.

Yang anihnya pula ialah, yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon bebas adalah terdiri dari mereka yang sememangnya tidak disikaui oleh rakyat ( pendek kata sebagi dibenci dan diherdik oleh rakyat) terpalit dengan berbagai skandal dan penyalahgunaan wang. Dan yang amat anihnya lagi ialah golongan ini sanggup menawarkan diri mereka sedangkan mereka sedar yang mereka sudah melakukan berbagai kesalahn yang bukan kecil. Mungkin mereka ‘beruntung’ kerana masih ada lagi ‘puak-puak’ tertentu yang memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka tergolong dalam golongan ‘kacang hantu’. Malangnya nasib segelintir Melayu yang sanggup ‘digula-gulakan’.

Satu perkembangan yang agak luar biasa ialah terdapatnya segelinitr masyarakat yang ‘menentang’ Anwar Ibrahim terutamanya golongan muda. Setelah difikirkan ‘masak-masak’ tidak pula harus dipersalahkan golongan muda berkenaan kerana mungkin mereka tidak ‘mengenali’ sebenar-benarnya siapa sebenarnya Anwar Ibrahim.

Mungkin ketika Anwar Ibrahim ‘sibuk’  dengan perjuangannya, golongan anak muda ini masih belum dilahirkan lagi dan ketika Anwar Ibrahim dizalimi, mereka masih anak-anak kecil yang masih belum tahu apa-apa. Dan sepanjang hayat mereka meniti zaman anak muda mereka hanya mengetahui bahawa Anwar Ibrahim berada dalam penjara. Lantas mereka tidak mengenali siapa sebenarnya Anwar Ibrahim. Tentang perjuangan dan liku-liku hidup yang dilaluinya  sebagai seorang pejuang.

Kini anak-anak muda inilah yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk ‘menentang’ Anwar Ibrahim. Dan menjadi tugas pimpinan yang ada sekarang untuk memberikan kesedaran kepada anak muda agar bersama-sama mempertahankan Anwar Ibrahim. Mungkinlah keterlaluan sekiranya dikatakan tidak ada tokoh lain di Malaysia kini yang boleh menandingi ketokohan Anwar Ibrahim selepas Tun Dr. Mahathir.

Di tangan anda semua terserahnya keputusan yang amat penting ini.

abuhassanadam
29 September 2018



Sunday, September 23, 2018

ANTARA AZMIN DAN RAFIZI

Kedua-duanya aku kenal rapat. Personal. Azmin ( Dato Seri Azmin Ali) pernah duduk bersebelahan  bilik dalam satu pejabat pada suatu ketika dahulu sedangkan Rafizi pula pernah berada ‘dibawah dagu’ ketika beliau masih pelajar di United Kingdom dan juga sebagai pemimpin UKEC ( United Kingdom Executive Council) mengambil alih kepimpinan daripada Arwah Adlan Benan bin Omar.  Tentulah banyak boleh diperkatakan tentang kedua-dua tokoh ini. Dan kini mereka ‘berentap’ untuk ‘menakluki’ jawatan sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kedua-duanya hebat. Noktah.

Ramai juga ‘di luar’ sana dan terutama yang berada ‘dipinggiran’ dan yang sentiasa memainkan peranan untuk ‘mengadu-domba’ antara pemimpin merasakan bahawa pertembungan antara kedua-dua tokoh muda ini akan membawa kepada perpecahan PKR. Dengan tegas aku katakan ‘TIDAK”. Malah aku yakin bahawa ‘pertempuran’ sebegini akan membawa kepada keutuhan yang benar-benar kepada parti PKR.

Sekiranya pertembungan kedua tokoh muda ini boleh memcetuskan perpecahan dalam PKR, pastinya DS Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan pertembungan sebegini berlaku. Tentunya beliau akan memujuk antara keduanya supaya jangan ada pertembungan dan tentunya juga beliau tidak mahu salah seorang ‘terlepas’ dari kepimpinan PKR. DS Anwar seolah-olah menggalakan pertandingan ini. Dengan jelas menunjukkan bahawa PKR mengamalkan sistem demokrasi sebenar dan bukan hanya sebagai ‘cakap-cakap’ seperti mana yang diamalkan oleh parti lain.

Lagipun sekiranyalah pemilihan yang diamalkan oleh PKR ini berjaya, maka PKR telah menempa sejarah yang merupakan parti pertama yang betul-betul mengamalkan prinsip demokrasi dalam pemilihan pemimpinnya. Disamping itu untuk menjayakan pemilihan yang begitu rumit ini semua pihak dalam PKR harus bekerjasama menentukan perjalanan pemilihan ini berjalan di atas landasan yang betul, samada pihak pemimpin atasan mahupun juga  di peringkat akar umbi.

Sebarang penyelwengan yang boleh mencacatkan prinsip pemilihan harus ditentang habis-habisan. Misalnya hal yang berkaitan dengan politik wang harus dibenteras habis-habisan. Hampir runtuhnya parti UMNO adalah berpunca daripada politik wang. ‘Cash is king’. Dengan demikian sekiranya ada kelihatan benih-benih politik wang yang cuba bercambah dalam PKR, maka para ahli harus membenteras dan melenyapkannya dengan segera.

Dan sekiranya ada pula para calon-calon yang bertanding ( disemua peringkat) cuba mengamalkan politik wang, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk mendedahkan dengan segera perbuatan yang terkutuk itu demi kelangsungan PKR. Dan perlu disedari juga oleh semua ahli bahawa PKR kini adalah dalam peringkat menyemaikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan dan kepimpinannya. Rakyat sedang memerhatikan dengan teliti terutama dalam pemilihan yang sedang diadakan kini.

Ahli PKR seharusnya sudah matang dalam soal pemilihan. Dalam hal menentukan antara Azmin dan Rafizi sudah barang tentu sekali pihak perwakilan tahu memilih antara intan dan intan yang bergemerlapan. Kedua-duanya adalah intan. Pastinya para perwakilan agak sukar untuk membuat pemilihan. Tentulah banyak kriteria yang akan digunakan bagi penentuan syarat untuk memilih sesuatu tokoh itu. Kedua-duanya telah menunjukkan kebolehan dan kekuatan masing-masing.

Pastinya DS Anwar Ibrahim tidak mahu kehilangan walau seorang pun. Dan diatas keyakinan inilah maka rakyat juga yakin bahawa tidak akan ada perpecahan dalam PKR. Jika salah seorang tewas dalam pertembungan ini pastinya tidak akan ‘dilepaskan’ oleh DS Anwar dan membiarkan terus ‘berkelana’. Malah akan terus ‘digembelingkan’ demi untuk keutuhan PKR. Ini bukannya ‘Zero-sum game’ di mana yang kalah akan kehilangan kesemuanya. Bukan. Tidak akan timbul ‘yang kalah’ akan ‘melompat’ kepada parti lain.

Ahli PKR diseluruh negara harus faham tentang hakikat ini. Yang menang tidak semestinya disanjung ‘melambung’ dan yang kalah tidak akan diketepikan dan ‘dibiarkan’. Terpulanglah kepada ahli untuk membuat penentuan antara Azmin dan Rafizi. Bagi mereka yang faham erti pertandingan sebenar (mengikut lunas demokrasi) pastinya akan tersenyum lebar melihat pertandingan ini. Cuma yang perlu diingat oleh setiap ahli yang menjalankan undian ialah jangan ada calon yang cuba mengamalkan rasuah dan politik wang. Hakikat ini amat ditentang oleh kepimpinan baru kepimpinan Harapan dan oleh bakal Perdana Menteri kelapan yang cuba diperjuangkan.

Selamat ‘bertarung’ antara Azmin dan Rafizi.

abuhassanadam
23 September 2018



Saturday, September 22, 2018

APA NAK JADINYA DENGAN SEGELINTIR MELAYU?

Mungkin betul juga agaknya apabila DS Mohd Najib, bekas Perdana Menteri mengatakan bahawa ‘Cash is king’. Keadaan sedemikian diperkukuhkan dengan melihat suasana masyarakat sekarang (terutamanya segelintir orang Melayu) yang masih yakin dan percaya apa yang dikatakan oleh Ds Najib berkaitan dengan IMDB. Tentulah ada sesuatu sebab yang menyebabkan segelintir orang Melayu sedemikian terus menerus semacam tidak mahu mempercayai bahawa sebenarnya beliau telah melakukan ‘malapetaka’ kepada negara dan rakyat Malaysia.

Mungkin jugalah falsafah ‘cash is king’ ini telah menular dengan begitu meluas dikalangan segelintir masyarakat Melayu yang menyebabkan mereka bertindak sedemikian ataupun mungkinkah segelintir orang Melayu sedemikian masih bodoh, tongong, tengin, pandir atau ‘bahlul’(meminjam kata-kata P. Ramlee dalam salah sebuah filem yang dilakonkannya). Kini sudah ramai yang hairan mengapa masih ada segelintir orang Melayu yang masih boleh ‘diperbodoh-bodohkan. Kemungkinan juga DS Najib sendiri ketawa sendirian mengenangkan tentang kebodohan orang Melayu ini yang boleh ‘digula-gula’ dan ‘ditpu hidup-hidup’.

Betulah bahawa mengikut perundangan, DS Najib belum lagi dikatakan bersalah sehingga ditetapkan bersalah oleh mahkamah. Namun seluruh dunia merasakan yang beliau telah melakukan satu kesalahan yang amat berat kepada negara berasaskan maklumat yang diperolehi oleh mereka. Rakyat Malaysia sudah cukup malu dengan tindakan DS Najib dan beberapa pengkhianat negara yalg lain yang telah mencemarkan nama negara Malaysia yang sebelumnya begitu harum di mata dunia. Dan kini menjadi bahan jenaka dan bahan tertawa oleh penduduk dunia sehinggakan kita merasa malu untuk berjumpa dengan rakan-rakan  dari negara lain – takut kalau-kalau mereka bertanyakan tentang Malaysia!

Tentulah aku merasa begitu sedih melihat segelintir orang Melayu (suku-sakat aku juga!) yang terpekik dan terlolong di kawasan mahkamah memperjuangkan isu yang boleh menyebabkan mereka ditertawakan. Mereka meneriakkan nama Allah yang maha besar sedangkan yang berada dihadapan mata mereka adalah kehendak Allah. Apakah mereka tidak sedar bahawa sekiranya tidak berlakulah perubahan pemerintahan negara Malaysia pada PRU 14 yang lalu maka kemungkinan besar negara kita akan menjadi ‘padang jarak padang terkukur’. Apakah ‘puak-puak’ ini tidak sedar apakah yang mungkin berlaku? Ataupun mungkin ada lagi saki baki ‘dedak’ yang mengisi ‘tembolok’ mereka. Mungkin!

Semalam, 22 September 2018, dalam temuramah dengan stesen TV Al-Jaseera, DS Anwar Ibrahim mengatakan, “This is one of the worst financial scandals involving any government. It is therefore imperative that stiff action be taken. But this new government has said and ecsured that investigations will be professional. Preosecution must not be malicious and the judiciary must be independent’.

Itu kenyataan terakhir yang aku ikuti dari seorang pemimpin. Sebelum ini semenjak beberapa tahun kebelakangan ini hampir seluruh dunia memperkatakan tentang penyelewengan yang terdapat dalam IMDB. Tapi malangnya pihak pemerintah sebelum ini (BN) dan para pegawai ‘yang sewaktu dengannya’ hanya memekakkan telinga dan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku dan menuduh pula apa yang disuarakan oleh pihak luar tentang IMDB semacam sengaja mahu memburuk-burukkan pemerintah yang ada. Tentulah agak memalukan juga apabila pihak Peguam Negara mengatakan bahawa tidak ada apa-apa yang tidak kena mengenai IMDB. Lantas tidak perlu diadakan penyiasatan rapi dan terperinci.

Yang anihnya juga ialah pernah pada suatu ketika para pemimpin tertinggi PAS telah begitu berpuas hati dengan penjelasan yang telah diberikan oleh pegawai eksekutif IMDB tentang perjalanan IMDB sehingga seolah-olah mereka pula menjadi jurucakap untuk menjelaskan kepada rakyat bahwa seolah-olah tidak ada cacat celanya IMDB itu. Seolah-olah tuduhan buruk terhadap IMDB dan kerajaan itu sengaja diada-adakan oleh pihak pembangkang.

Rakyat Malaysia ‘memaksa’ diri agar percaya apa yang dikatakan oleh pihak Peguam Negara dan pihak-pihak lain yang berwibawa di Malaysia pada ketika itu. Namun tekanan dan gesaan terhadap IMDB semakin kuat di seluruh dunia. Departmen of Justice (DOJ) Amerika bersungguh-sungguh benar untuk menyelamatkan wang IMDB. Begitu juga tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Switzerland, Singapura yang bersungguh-sungguh benar bertindak terhadap penyelewengan IMDB itu. Difahamkan terdapat usaha yang bersungguh-sungguh dari Switzerland untuk mengadakan rundingan dengan pihak peguam negara di Malaysia, namun tidak diendahkan oleh pentadbiran negara sebelum ini.

Tak usahlah dipanjangkan lagi tentang kisah IMDB dan DS Najib. Terlalu banyak telah diperkatakan. Cuma yang menghairankan  ialah segelintir manusia yang bergelar ‘Melayu’ yang masih merasakan bahawa  DS Najib tidak langsung bersalah dalam hal ini. Mereka masih mahu mempertahankan sedangkan seolah-olah sudah ‘diputuskan’ oleh sebahagian besar rakyat Malaysia bahawa DS Najib ‘bersalah’ dan sudah tidak dapat diterima sebagai pemimpin negara ini melalui PRU 14 yang baru lalu. Dan kini DS Najib menghadapi berbagai-bagai tuduhan di mahkamah.

Bagi golongan yang mahu berfikir secara rasional, tentulah ada asasnya mengapa pihak pendakwa sanggup mendakwa beliau sedemikian rupa. Dari puluhan tuduhan yang dilemparkan, takkanlah tidak ada satu pun tuduhan yang boleh disabitkan? Dan jangan lupa juga peribahasa datuk nenek kita,’ jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang’ dan kata datuk nenek kita juga, ‘ sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Peribahasa Melayu ini memang segar di sepanjang zaman.

abuhassanadam
22 September 2018