Thursday, September 13, 2018

APA SALAHNYA TIGA BERANAK BERADA DI PARLIMEN?

            Lama juga aku memikirkan isu ini – isu ‘anak beranak’ yang akan berada diparlimen suatu hari nanti.  Ada juga pihak tertentu yang mempersoalkan secara serious tentang kemungkinan apabila  DS Anwar Ibrahim menang pilihanraya Kecil Port Dickson nanti maka akan adalah satu kumpulan ‘anak-beranak’ di parlimen. DS Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan ditambah dengan DS Anwar Ibrahim.

Ada juga pihak tertentu yang merasakan tidak senang dengan kedudukan sedemikian. Mereka merasakan agak mustahil mengapa  keadaan parlimen Malaysia menjadi begitu. Golongan ( yang mungkin diselimuti perasaan cemburu) yang sebegitu semacam tidak ‘senang duduk’ dengan keadaan sedemikian, apatah lagi dengan ‘kembalinya’ DS Anwar Ibrahim ke arena politik di negara ini.

Berbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan tentang mengapa DS Anwar mengambil sikap sedemikian. Ada yang merasakan bahawa DS Anwar ‘gopoh’ untuk meletakkan dirinya sebagi Perdana Menteri yang ke 8, walaupun sudah ‘berbuih’ mulutnya mengatakan bahawa beliau akan sentiasa berada ‘dibelakang’ Tun Mahathir dalam mentadbir negara ini. Tidak syak dan ragu lagi bahawa Tun Mahathir sendiri sudah menjelaskan bahawa DS Anwarlah yang akan menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri selepas dia dengan keizinan Allah.

Masih tak puas lagi. Masih ada lagi suara-suara sumbang yang menuduh bahawa Wakil rakyat Port Dickson telah dipaksa mengosongkan kerusinya demi untuk memberikan peluang kepada DS Anwar bertanding disitu. Dan telah dijelaskan dengan panjang lebar bahawa Waki rakyat berkenaan telah dengan rela hati mahu mengosongkan kerusi berkenaan dan amat berbesar hati DS Anwar Ibrahim menggantikan tempatnya. Hujjahnya amat bernas dan mengembirakan. Beliau yakin yang rakyat kawasan Dickson pastinya akan terbela dengan kehadiran DS Anwar Ibrahim kelak dan beliau yang sentiasa memikirkan tentang pembelaan terhadap rakyat akan memberikan sokongan dan bantuan padu di atasa usaha yang akan dijalankan oleh DS Anwar.

Yang menyedihkan lagi ialah ada antara kepimpinan tertinggi PKR yang mempersoalkan tentang kewajaran tindkaan DS Anwar bertanding di Port Dickson itu. Dengan menonjolkan sikap sedemikian jelas menunjukkan bahawa ‘tokoh’ ini kurang arif tentang hal-hal kepartian. Tentulah sudah dibincangkan secara telus oleh biro politik parti PKR sebelum sesuatu tindakan diambil. Dan sekiranya ‘tokoh’ berkenaan tidak diberitahu dan tidak dilibatkan dalam apa-apa perbincangan yang melibatkan presiden parti menunjukkan bahawa ‘tokoh’ berkenaan sudah semacam diketepikan. Dan janganlah pula hendaknya menyalahkan seluruh kepimpinan PKR yang dianggap tidak telus.

Ada terdapat segelintir yang marah-marah kenapa kerusi Pandan (Dr Wan Azizah) dan kerusi Permatang Pauh ( Nurul Izzah) tidak diksongkan untuk memberi laluan kepada DS Anwar Ibrahim. Pertimbangan politik tentunya berbeza dengan pertimbangan rakyat biasa. Banyak ‘tolak-campur’nya dalam menentukan sesuatu tindakan politik. Rakyat biasa hanya melihat dari luar tidak dapat meramalkan kesan dan akibatnya sekiranya sesuatu tindakan tersilap langkah. Tentulah isu sebegini sudah difikirkan ‘masak-masak’ oleh kepimpinan tertinggi PKR.

Rakyat umumnya merasakan satu kehilangan besar sekiranya DS Wan Azizah dan Nurul Izzah ‘digugurkan’. Tidak pula bermakna bahawa aku menganggap yang wakil rakyat Danyal Balagopal Abdullah tidak penting. Tetapi sekiranya dilihat dari sudut kepentinga politiknya maka tentulah ramai yang merasakan bahawa ‘sebutir permata’ seperti Nurul Izzah tidak harus diketepikan. Bakat dan kemampuannya berpolitik sudah terserlah. Sudah terbukti kecemerlanganya di peringkat negara dan antara bangsa malah sudah ramai yang meramalkan baahwa beliau akan menjadi calon Perdana Menteri Malaysia pada suatu ketika nanti, Insyallah.

Ada juga yang terus menerus memperkecilkan sumbangan DS Anwar Ibrahim. Malah ada yang masih ragu-ragu tentang kemampuan DS Anwar Ibrahim memikul tugas sebagai Perdana Menteri kelak. Kadang-kadang dilihat sikap yang sebegini semacam tidak ikhlas dalam mengemukakan sesuatu pandangan atau hujjah. Atau berkemungkinan juga disebabkan ada sesuatu agenda yang tersembunyi yang menyebabkan pandangan negatif sedemikian dikemukakan.

Aku yakin bahawa timbul isu DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Kelapan adalah diatas desakan dan dorongan rakyat terbanyak yang masih mengimpikan beliau menjadi Perdana Menteri. Sudah beberapa kali usaha ke arah itu terencat dan semacam tidak direstui. Rakyat akur dan redha dengan kehendak Illahi. Namun usaha rakyat semacam tidak terputus di tengah jalan. Rakyat masih mahu melihat negara ini dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim.

Bagi mereka yang pernah berjuang bersama-sama dengan beliau, semenjak dari bangku sekolah sehinggalah di peringkat universiti masih terus bersama dan berharap hasrat kumupulan  ini akan termakbul juga akhirnya. Golongan ini yakin bahawa, ‘ tidak lari gunung dikejar, hilang kabus nampaklah ia’.

abuhassanadam
13 September 2018








No comments:

Post a Comment