Thursday, July 31, 2014

APAKAH ADA ‘TANGAN’ YAHUDI YANG MELAGAKAN KITA DI MALAYSIA

Apakah rakyat Malaysia tidak terfikir bahawa di negara kita Malaysia pun ada ‘tangan-tangan Yahudi’ yang merancang dan melaga-lagakan bangsa kita supaya berpecah supaya senang ditakluki oleh kuasa asing yang berminat untuk menguasai negara kita. Mungkin kita tidak terfikir kerana kita amat selesa kini dengan keadaan negara kita yang kononnya dalam keadaan aman dan damai. Namun dalam suasana ‘aman dan damai’ itu sedarkan kita bahawa seolah-olah ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang cuba melaksanakan dasar ‘pecah dan perintah’ ke atas rakyat negara ini, supaya matlamat akhirnya ialah kehancuran kepada negara.

Seingat aku, tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah Malaysia wujudnya ‘batu api’ yang sentiasa cuba ‘memanaskan’ isu hubungan kaum antara Melayu dan bukan Melayu dan antara Islam dengan bukan Islam seperti yang berlaku kini. Tidak pernah. Akhir-akhir ini ternampak dengan jelas elemen yang cuba mengadu domba, mengapikan perbalahan antara Melayu dan bukan Melayu ini. Seolah-olah usaha sedemikian nampaknya berterusan, lepas satu, satu.

Walaupun ada wujud perasaan ketidakpuasan antara satu kaum dengan kaum lain itu, namun tidak dinyatakan dengan jelas berbanding dengan sekarang. Sentiasa tersimpan demi untuk menjaga hati dan perasaan kaum lain yang mungkin terguris dengan kenyataan yang sensitif. Beberapa tahun kebelakangan ini, hal untuk menjaga hati dan perasaan orang lain (kaum lain) semacam tidak dipedulikan. Masing-masing mementingkan diri sendiri.

Ada terdapat dua tiga kerat golongan NGO yang sentiasa mendabik dada, seolah-olah merekalah jaguh yang mewakili kaum Melayu, yang akan sentiasa mempertahankan orang Melayu dan beragama Islam sehingga ke titisan darah terakhir (konon!!). Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka langsung tidak menggambarkan rasa hormat mereka kepada kaum-kaum lain yang ada di negara ini yang juga merupakan rakyat Malaysia sejati mengikut perlembagaan Malaysia.

Sememangnya ditegaskan oleh Perlembagaan Malaysia mengenai hak keistemewaan orang Melayu kerana syarat demikian menjadi tukaran dengan pemberian kerakyatan kepada kaum bukan Melayu yang ingin bermastautin di Tanah Melayu. Itu merupakan perjanjian kemerdekaan. Dan dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu. Dan diterima dengan senang hati oleh golongan bukan Melayu ( yang tahu tentang sejarah Malaysia).

Selepas 50 tahun merdeka, senarionya tentulah berubah dan keadaan bangsa Malaysia juga berubah. Peristiwa 13 Mei 1969, walaupun pahit untuk dikenangkan, tetapi telah memberikan berbagai pengajaran dan ingatan kepada rakyat Malaysia. Peristiwa itu telah menjadi ‘sempadan’ bagi bangsa Malaysia untuk terus maju berlandaskan perpaduan yang kukuh dan utuh. Sepatutnya Peristiwa 13 Mei 1969 diwar-warkan sebagai peristiwa yang telah mengubah ‘landskap’ hubungan antara kaum di Malaysia. Kewujudan sebuah bangsa Malaysia yang kukuh. Sepatutnya begitu.

Sememangnya terbukti bahawa bangsa Malaysia telah dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni selepas 1969. Tidak terdapat sebarang pergaduhan kaum ( yang mirip seperti persitiwa 13 Mei 1969). Semua kaum merasa selesa dan selamat berada dalam negara bertuah ini. Semua kaum terasa tentang kenikmatan tinggal di sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Tidak ada kaum yang merasa terhina dan tersisih. Malah dapat dikatakan bahawa tidak ada kaum yang merasa ‘menyesal’ hidup dan tinggal di Malaysia. Dan begitulah harapan bangsa Malaysia.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang merasakan bahawa suasana yang sedemikian agak berubah, apatah lagi apabila sudah ada kumpulan-kumpulan tertentu yang sudah tidak segan silu menyatakan sesuatu yang mungkin ‘mengecil dan melukakan’ hati kaum-kaum lain di negara ini.

Aku terpanggil untuk mempersoalkan mengapa terjadi sedemikian? Apakah ada pihak-pihak tertentu yang ‘membiayai’ kumpulan NGO ini yang tugasnya semata-mata untuk menimbulkan perbalahan antara kaum di negara supaya dengan demikian mereka akan dapat ‘menangguk di air keruh’. Aku tidak ada jawapannya.

Melihatkan gelagat dan tindakan beberpa kumpulan samseng yang agak bermaharajalela di negara ini, aku yakin dan pasti bahawa tentu ada ‘tangan’ yang ‘menggerakkan’ aktiviti yang sedemikian rupa. ‘Serangan’ ke atas Dewan Undangan Pulau Pinang misalnya adalah merupakan tindakan yang amat biadap. Bayangkan tempat mulia, merangka dasar dan undang-undang negeri berani dicerobohi. Tentu sekali hal yang sebegini tidak akan berlaku sekiranya tidak ada pihak-pihak tertentu yang mendalangi perbuatan sedemikian dan melindungi perbuatan sedemikian. Mungkin ada agaknya.

Beberapa peristiwa ‘luar biasa’ yang berlaku di negara ini yang tidak pernah berlaku pada zaman-zaman sebelumnya telah membuat aku terfikir bahawa apakah ada kemungkinan pihak Yahudi yang telah berjaya menyusup masuk dan mempengaruhi tindakan segelintir rakyat di Malaysia. Apakah begitu? Aku terpaksa beranggapan sedemikian disebabkan tindakan licik kaum Yahudi di mana-mana saja di dunia ini sehinggakan mereka berjaya dengan apa yang mereka kehendakki. Apakah Malaysia juga tidak terlepas dari perencanaan kaum Yahudi untuk menghancur-luluhkan bangsa Malaysia dan seterusnya meranapkan negara  Malaysia itu sendiri.

Sejarah telah membuktikan bahawa terkeluarnya Singapura dari Malaysia adalah sedikti sebanyak ekoran dari peranan yang dimainkan oleh Alex Josey (Yahudi) yang bertugas di bawah Lee KuanYew. JTA ( The Global Jewish News Source) bertarikh 8 Disember 1986 berjodol “ Flap over Herzog’s Visit to W. Germany’ ada menyatakan, ‘The Straits Times, an English-language daily in Singapore, reported that Mustapha Ali also charged that Singapore policy was influenced by a Jew, Alex Josey, the biographer of Singapore Prime Minister Lee Kuan Yew, whom he formerly served as press spokesman”

Sekiranya kaum Yahudi berperanan untuk menentukan pemilihan pemimpin-pemimpin dunia yang disukai oleh mereka, dan menjahanamkan puak-puak Islam yang tidak ‘direstui’ oleh mereka, maka apakah ada kekecualiannya kepada negara kita sekiranya mereka mahu berbuat demikian. Kadang-kadang aku terfikir bahawa apakah ada ‘tangan ghaib Yahudi’ yang cuba mengadu domba kaum-kaum di Malaysia yang sedang menikmati hidup secara aman dan damai ini.

Mungkin pihak NGO di Malaysia yang sedang dipergunakan untuk tujuan itu tidak sedar bahawa mereka sedang diperlatkan oleh golongan Yahudi. Dan eloklah pihak-pihak yang tertentu berhati-hati dengan tindakan halus pihak Yahudi ini. Kita mengharapkan janganlah ada ‘pisang yang berbuah dua kali’. Kita kini menangisi tentang nasib rakyat Palestin di Gaza. Takut kalau-kalau kita juga akan menangis, menerima nasib yang agak sama seperti rakyat Palestin.

Tanah milik Palestin semakin ‘mengecut’. Kita bimbang juga kalau-kalau  tanah Melayu milik kita juga akan mengecut satu hari nanti.

Takut jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai.
Takut jadi Mat Jenin yang mati dalam angan-angan.
Takut jadi Lebai Malang yang kelaparan disebabkan kebodohan.


abuhassanadam
31 Julai 2014




Wednesday, July 30, 2014

BALIK KAMPUNG: TIDAK ADA NOKTAH PENYUDAHNYA

Tahun 1980. Pernah pada ketika itu aku dan kawan-kawan berbincang pada suatu petang pada bulan Ramadan tentang hal balik kampung. Pada ketika itu kami merasakan bahawa ‘penyakit’ balik kampung akan berakhir apabila ‘budak kampung’ yang berada di Kuala Lumpur pada ketika itu sudah mempunyai anak cucu ( yang juga bekerja di Kuala Lumpur) dan apabila kedua ibu bapa di kampung sudah tidak ada lagi didunia ini. Dan pada ketika itulah ‘anak kampung’ ini akan berhenti balik ke kampung apabila menjelangnya Aidilfitri. Dan ‘anak kampung’ akan merayakan Aidilfitri bersama anak-anak di Kuala Lumpur. Itu anggapan ‘anak kampung’ pada tahun 1980.

Anggapan sedemikian rupanya meleset. Sehingga kini, ‘penyakit’ balik kampung kian merebak seolah-olah tidak ada ‘ubat’ yang boleh mengubatinya. Walau bagaimana hebat sekalipun ‘tarikan’ yang ada di Kuala Lumpur, namun tidak dapat menandingi ‘tarikan’ yang ada di kampung waktu Hari Raya. Malah kota London atau Sydney atau Los Angeles pun tidak dapat ‘menyekat’ anak kampung untuk pulang ke kampung menjelang Aidilfitri.

Bau lemang yang dibakar sudah cukup untuk menyegarkan ‘anak kampung’ yang baru pulang ke kampung. Apatah lagi apabila malam di desa diterangi dengan cahaya pelita panjut yang berbaris di halaman rumah kampung. Tegur sapa dan hilai ketawa Mak Ngah, Pak Long, Mak Long,Mak Usu, Pak Usu yang diselang selikan dengan ‘lawak kampung’ mereka sudah cukup untuk menghiburkan hati anak kampung yang setahun sekali menikmati ‘juadah’ sedemikian.

Tiga hari berada di kampung seolah-olah tidak memadai untuk ‘menyegarkan’ semula perasaan anak kampung. Seolah-olah belum puas menikmati lemang berlaukkan ‘Pindang Daun Seniye” Mak Cik Jah. Belum begitu terasa lagi ‘Halua Selimpat Betik’ Mak Cik Jerah. Dodol Pan Cu Lamah mesti dijamah, takut kalau-kalau dia berkecil hati. Kuih Kekaras Pan Ngah mesti dihabiskan untuk menyenangkan hati dan perasaannya apabila meninggalkan rumahnya. Sup tulang kerbau Pak Cu Dinah mesti dirasa juga.

Pada hari raya, rumah-rumah di kampung aku seolah-olah ‘tidak berpintu’. Setiap rumah akan sentiasa terbuka seolah-olah begitu bersedia untuk menyambut tetamu yang sudi hadir. Tidak perlu dijemput dan tidak perlu buat ‘appointment’. Boleh datang bila-bila masa saja. Tidak kira waktu. Akan tetap disambut dengan senyum riang dan gelak ketawa. Dan kedatangan tetamu bukan untuk makan atau untuk mendapatkan duit raya tetapi semata-mata untuk menziarahi kaum keluarga pada hari raya.

Suasana sebegitulah yang tidak ada di Kuala Lumpur, apatah lagi di London atau Sydney atau Los Angeles. ‘Jauh panggang dari api’. Izinkan juga aku menceritakan tentang bagaimana selama empat tahun aku merayakan Aidilfitri di kota London bersama-sama dengan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom. Walaupun berada di perantauan aku cuba menimbulkan suasana Hari Raya di sana dengan menjemput pelajar-pelajar Malaysia dan rakan-rakan yang berada di sana untuk merayakan hari raya di kediaman aku.

Walau bentuk manapun hari raya dirayakan, namun tetap tidak sama dengan suasana hari raya di kampung. Hakikat ini telah diakui oleh anak-anak kampung yang berhijrah ke luar negara. Tidak akan tercapai kenikmatan menikmati hari raya itu dirantau orang. Walau mengalami ‘traffic jam’ seteruk mana sekali pun mereka akan tetap balik kampung. Disamping ‘panggilan dan lambaian’ emak ayah, hasrat untuk menikmati ‘Pindang Daun Seniye” Mak Cik Jah,  ‘Halua Selimpat Betik’ Mak Cik Jerah, Dodol Pan Cu Lamah, Kuih Kekaras Pan Ngah dan Sup tulang kerbau Pak Cu Dinah mengatasi segala-galanya.

Aku yakin tradisi Balik Kampung pasti tidak ada noktah penyudahnya.

abuhassanadam
30 Julai 2014



Tuesday, July 29, 2014

PAS DI PERSIMPANGAN

Peribahasa Inggeris ada mengatakan,' a slip of the foot you may recover, but a slip of the tounge you may never recover". Peribahasa Melayu pula kata," terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'

Walaupun DS Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Pakatan Rakyat masih kukuh, namun sikap yang ditunjukkan setengah pemimpin PAS menggambarkan bahawa mereka tidak melihat senario politik secara keseluruhan (the big picture) dan berkemungkinan besar akan membawa perpecahan dalam PKR sebagaimana yang dilihat oleh setengah penganalisis. Dan sekiranya keadaan demikian berlaku, maka harapan rakyat untuk melahirkan Malaysia yang maju dan sejahtera akan berkecai. Akan hancur luluhlah perasaan rakyat yang meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat pada PRU 13 yang lalu.

Dalam kemelut politik di Selangor yang berlaku kini, menampakkan bahawa ada pemimpin yang sependapat bahawa TS Khalid Ibrahim tidak perlu ditukar berdasarkan perkhidmatannya yang cemerlang. Sekiranya dilihat dari satu sudut, apa yang diperkatakan oleh mereka itu ada betulnya. Namun sekiranya dilihat dari berbagai sudut lain mungkin pihak parti PKR, PAS dan DAP telah ternampak kecacatannya lantas berpandangan bahawa Selangor perlu mendapat Menteri Besar yang baru. Pertukaran tidak bermakna bahawa TS Khalid gagal dalam menjalankan tugasnya, tetapi lebih merupakan untuk memperelokkan lagi pentadbiran negeri Selangor disamping ‘mempertahankan kubu yang sentiasa diserang beberapa kali’. Jikalau adapun kecacatannya pentadbiran TS Khalid  tentulah tidak sebagaimana dan seteruk yang berlaku kepada pentadbiran setengah negeri dibawah pentadbiran Barisan Nasional. Negeri-negeri itu agak ‘selamat’ disebabkan mendapat perlindungan pusat.

Apa yang dikatakan oleh setengah pemimpin tentang TS Khalid Ibrahim itu ada yang betulnya. Tetapi apakah pandangan sebahgian besar kepimpinan PAS pusat mengenai TS Khalid Ibrahim itu salah belaka? Mengikut apa yang disuarakan oleh Dato Saifuddin Nasution, Setiausaha PKR bahawa dalam satu mesyuarat yang diadakan, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk menggantikan TS Khalid dengan seorang tokoh baru. Malah mengikut DS Anwar Ibrahim bahawa TS Khalid juga sedar bahawa perkhidmatannya akan diganti dengan tokoh lain. Dan menggambarkan bahawa TS Khalid bersetuju dengan perancangan itu. Malah dalam ‘Langkah Kajang’ TS Khalid sendiri selaku pengarah PRK berkenaan.

Kepimpinan PAS tentunya dalam dilemma untuk membuat keputusan dalam soal kemelut politik di Selangor ini. Perasaan ‘malu alah’ tetap timbul di hati setengah pemimpin berkenaan terhadap kedua-dua pandangan pemimpin atasan mereka. Namun sekiranya diteliti dan diperhalusi bahawa apa yang disuarakan itu hanyalah merupakan pandangan masing-masing.

Dalam parti Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) sememangnya menggalakkan percambahan fikiran. Dengan demikian apa yang disuarakan itu hanyalah merupakan pandangan peribadi mereka dan bukanlah merupakan keputusan kepimpinan tertinggi PAS. Semua orang berhak untuk menyatakan pendapat walaupun pendapat yang bertentangan dengan pemikiran ramai. Dan sepatutnya begitulah ‘treatment’ kepimpinan PAS pusat dalam menangani pandangan pihak yang bertentangan pendapat. Sekiranya dirasakan wajar dipatuhi, maka sewajarnyalah PAS mengambil keputusan sedemikian. Sekiranga dilihat secara keseluruhan dan merasakan bahawa pendapat sedemikian tidak wajar diambil kira maka  seharusnya ditolak dan diterima keputusan majoriy.

Tidak semestinya apa yang disuarakan oleh pemimpin atasan itu benar belaka. Lihat apa yang telah terjadi kepada Terengganu selepas PRU 12 yang lalu. Kepimpinan PAS perlu memikir dan merenung semula tentang mengapa PAS hanya dapat menguasai Terengganu dalam masa sepenggal sahaja. Dan begitu juga dengan negeri Kedah yang hanya berjaya ditadbir oleh PAS hanya untuk sepenggal sahaja selepas sahaja PRU 12. Dan dalam hal Kedah, PKR tidak nampak campurtangan dalam urusan pentadbiran PAS dalam menentukan urusan PAS di sana. Walaupun ada terdengar saranan yang mengatakan bahawa perlunya menukar Menteri Besar, namun kepimpinan PAS seolah-olah yakin dengan keputusan yang telah mereka buat dengan terus mengekalkan Menteri Besar yang mereka pilih. Dan akhirnya selepas PRU 13, Kedah terlepas dari tangan PAS.

Kepimpinan PAS harus sedar juga bahawa mentadbir sebuah kerajaan perlu memikirkan berbagai faktor dan sudut. Dan yang  perlu dilihat oleh pemimpin ialah sebarang tindakan haruslah menyeluruh dan dilihat dari berbagai-bagai aspek. Tindakan pihak lawan yang sentiasa mencarai peluang untuk mengambil kesempatan menjatuhkan, merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan. Jikalau tidak takkanlah Daniel P. Moynihan mengatakan bahawa, “politics as the art of the impossible’

Dan telah tersebar juga cakap-cakap yang mengatakan bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO untuk menerajui semula Selangor. Mungkin cadangan yang sedemikian datangnya dari golongan muda yang tidak tahu dan tidak pernah tahu bagaimana PAS telah dikecewakan oleh UMNO dalam kemelut Kelantan pada akhir tahun 1970an. Hanya TG Nik Aziz yang dapat memberikan penjelasan dalam hal ini. Mungkin pemimpin muda dari PAS tidak tahu tentang ‘sepak terajang’ dalam politik UMNO. Mungkin golongan muda dalam PAS mudah lupa tentang bagaimana UMNO ‘menghina dan mengherdik’ kepimpinan PAS. Mungkin juga golongan muda ini hanya memikirkan tentang ‘habuan’ yang akan diperolehi sekiranya mereka menyertai UMNO. Mungkin….

Mungkin pengalaman yang dilalui oleh Kelantan itulah agaknya yang menyebabkan kepimpinan Pakatan Rakyat mengambil langkah segera untuk menggantikan Menteri Besar Selangor dengan yang baru. Mungkin dari satu sudut kelihatan TS Khalid tidak banyak cacat celanya, namun dari sudut lain boleh membawa kepada terjatuhnya negeri Selangor ke tangan BN semula seperti yang berlaku di Terengganu dan Kedah. Ini tidak mungkin tidak akan berlaku. Tambahan pula, pada akhir-akhir ini sudah nampak ‘belang’ TS Khalid Ibrahim yang bertindak di luar batas-batas rasional. TS Khalid seolah-olah mahu mempertahankan jawatannya, walaupun parti PKR sudah menyatakan hasrat untuk menggantikan dengan calon lain. Dalam hal ini ternampak semacam TS Khalid sudah ‘terbuai’ dan terpengaruh dengan faktor-faktor luaran yang mungkin ‘membisikkan’ ke telinganya agar  terus mempertahankan jawatan Menteri Besar itu.

Aku kurang arif tentang mengapa TS Khalid mahu berterusan mempertahankan jawatan Menteri Besar itu. Atas dasar apakah TS Khalid mahu berpegang kepada jawatan berkenaan. Mungkin aku tidak arif dalam urusan undang-undang pentadbiran Selangor. Tetapi setahu aku, jawatan Menteri Besar yang dipegangnya itu adalah milik Pakatan Rakyat. Kerana persetujuan Pakatan Rakyat, khsuusnya PKR yang membolehkan TS Khalid berada di jawatan berkenaan. Benar bahawa TS Khalid adalah ADUN kawasan Kelang tetapi bukan rakyat Selangor yang memilih beliau ke jawatan Menteri Besar itu.

Mungkin apa yang berlaku di Selangor merupakan  ‘retak menunggu belah’. Mungkin keterlaluan jikalau dikatakan begitu kerana pintu rundingan masih tebuka. Semua perkara yang rumit dan kompleks ( walau serumit mana sekalipun) dapat diselesaikan melalui perbincangan terbuka dan ikhlas. Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat untuk terus menerus menerajui negeri Selangor dan sekiranya diizinkan Allah untuk terus menerus menerajui Puterajaya.

Rakyat hanya mampu berdoa.

abuhassanadam
29 Julai 2014



Monday, July 28, 2014





           SELAMAT HARI RAYA ADIDILFITRI
                  MAAF ZAHIR DAN BATIN

                                              Kepada

SEMUA YANG SUDI MELAYARI DAN BERTUKAR PENDAPAT DALAM BLOG abuhassanadam.blogspot.com.


Dari saya,

PAK ABU