Friday, March 29, 2019

PARLIMEN MALAYSIA MACAM CIRCUS – KATA SEORANG KAWAN

                  Seorang kawan ku baru saja pulang dari luar negara setelah beberapa tahun tinggal di London. Setelah dua minggu berada di Malaysia, dalam satu perbualan santai di sebuah warong aku bertanya dia apa pandangannya mengenai negara Malaysia kini. Jawabnya ringkas, ‘Parlimen Malaysia macam circus’. Kami sama-sama tertawa terbahak-bahak. Berair mata. Bukanlah semua ahli parlimen yang berlagak seperti itu, katanya mengendurkan sedikit kenyataannya yang agak keras itu.

                  Melihat gelagat setengah ahli parlimen  samada dari pihak kerajaan atau pembangkang, aku semacam nak bersetuju dengan kenyataan kawanku itu apatah lagi jikalau dibandingkan perwatakan ahli parlimen di Parlimen Britain dengan ahli parlimen kita di Malaysia. Terlalu jauh bezanya. Sekiranya untuk dilemparkan keritikan terhadap ahli parlimen kita, tentulah terlalu banyak contoh untuk diketengahkan dan terlalu banyak juga hal-hal untuk diperkatakan.

                  Yang agak menghairankan aku ialah tentang ketidak-pedulian setengah ahli parlimen tentang kehadiran anak-anak sekolah yang menyaksikan persidangan di Parlimen kita. Apakah mereka tidak merasa malu terhadap anak-anak yang memerhatikan gelagat mereka ketika berada di dewan yang mulia ini. Dan kadang-kadang kelihatan seola-olah mereka berbangga dengan sikap yang cuba ditunjukkan oleh mereka ketika membahaskan sesuatu. Terpekik dan terlolong bagaikan kera di hutan belantara Afrika.

                  Apakah mereka lupa diri bahawa apa yang dilihat oleh anak-anak sekolah ini akan ‘dibawa pulang’ dan akan ‘disebarkan’ kepada orang kampung tentang sikap dan perangai mereka ketika berada di parlimen. Ada juga segelintir wakil rakyat yang cuba ‘menunjuk-nunjuk’ akan ‘perangai’ mereka ketika berada di Lobby parlimen seolah-olah memberitahu kepada anak-anak, ‘ lihatlah..inilah keadaan wakil rakyat di sini’.

                  Tentulah rencana ini tidak dapat memuatkan berbagai kritikan yang boleh dilemparkan terhadap wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat itu. Aku merasa sungguh jelek apabila melihatkan gelagat ahli parlimen yang semacam langsung tidak mempedulikan arahan Speaker Dewan rakyat apatah lagi menghormati kedudukannya sebagai Speaker. Ada terdapat wakil parlimen yang langsung tidak mempedulikan arahan Speaker apabila diperintahkan duduk. Mereka terus menerus bersikap degil seolah-olah hati kecil mereka berkata,’ persetankan arahan speaker..’

                  Sekali lagi mereka lupa bahawa tindakan dan kelakuan mereka membelakngkan arahan speaker itu diperhatikan oleh rakyat Malaysia dan bukan sahaja anak-anak sekolah yang mengikuti rombongan melawat parlimen. Sebenarnya seolah-olah ahli parlimen berkenaan ‘mengajar’ anak-anak sekolah supaya bersikap biadap kepada pengerusi mesyuarat. Dan tidak hairanlah kalau akan muncul dan ada anak-anak di sekolah yang bersikap berani menentang pengerusi pertubuhan/ persatuan disekolah dalam satu mesyuarat yang mereka adakan nanti. Jangan salahkan mereka disebabkan ada ‘cikgu’ di parlimen yang mengajar mereka berbuat demikian.

                  Agak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada diantara ahli parlimen samada dari pihak kerajaan ataupun dari pihak pembangkang datang ke parlimen semata-mata untuk ‘memanaskan’ kerusi. Apa tidaknya. Dapat diperhatikan bahawa isi persoalan dan perbincangan di parlimen itu agak dangkal dan ramai ahli parlimen yang amat berminat untuk ‘menjerit dan melolong’. Dan diperhatikan juga masa yang berguna seharusnya membincangkan sesuatu yang bermakna kepada negara dihabiskan hanya untuk menyelesaikan ‘pertelagahan’ yang tidak bermakna antara waklil kerajaan dan pembangkang. Seolah-olah wakil parlimen kita berbangga menunjukkan aksi sedemikian.

                  Jelas menunjukkan bahawa ada diantara mereka yang menghadirkan diri di parlimen hanya semata-mata untuk ‘memanaskan’ kerusi dan menuntut ‘habuan-habuan’ yang disediakan dan langsung tidak membuat persediaan tentang isu yang sepatutnya dibangkitkan. Lantas apabila diadakan perbahasan, jelas menampakkan kedangkalan ilmu ketika berhujah.  Mereka lupa bahawa di parlimen bukanlah tempat pertandingan dimana siapa yang mempunyai suara yang kuat dan petah untuk ‘mencarut’ mendapat pujian rakyat. Tidak begitu.

                  Tentulah ramai rakyat Malaysia kini merindui zaman emas Parlimen Malaysia dimana wakil-wakil rakyat seperti Tunku Abdul Rahman, Zulkifli Muhammad, Dr Ismail Abdul Rahman, Tan Chee Khoon berdebat dan mempamerkan kecemerlangan mereka sebagai wakil rakyat yang benar-benar menepati ertikata yang sebenarnya.

abuhassanadam

29 Mac 2019

Wednesday, March 27, 2019

MENGAPA NURUL BERTINDAK DEMIKIAN?

            Terlalu banyak interpretasi yang diberikan ekoran daripada tindakan YB Nurul Izzah, Ahli Parlimen Permatang Pauh meletakkan jawatan dalam PAC disamping kenyataannya yang tersiar di akhbar Singapaura yang mengaitkan Tun Mahathir sebagai Diktator.

            Menggelarkan Tun Mahathir sebagai Diktator adalah ‘mainan’ mulut para pembangkang ( kini sudah menjadi Menteri, Timbalan Menteri dan ahli parlimen kerajaan) pada tahun-tahun 1990an dan sehingga awal Kurun ke 20. Dan aku yakin bahawa Tun Mahathir juga tidak ‘ambil kesah’ dengan gelaran seperti itu seperti mana gelaran ‘Mahafiraun’ yang diberikan oleh mereka kepada Tun Mahathir pada awal zaman perjuangan ‘Reformasi’ dahulu.

            Mungkin apa yang dilakukan oleh Nurul merupakan sesuatu yang bertentangan dengan norma-norma politik kuno yang berpasakan kepada prinsip ‘yes-man’ dan ‘mengangguk’ kepada apa saja yang dilakukan oleh pemimpin. Menentang pemimpin merupakan satu ‘taboo’ pada pandangan pemimpin-pemimpin kuno. ‘Perjuangan’ Hang Tuah kena sentiasa diikuti dan dipatuhi walaupun seseorang pemimpin itu melakukan sesuatu yang agak bertentangan dengan prinsip perjuangan parti.

            Tun Dr Mahathir pernah berbeza pendapat dengan Tunku Abdul Rahman dalam hal-hal yang berkaitan dengan pentadbiran negara. Tun Dr Ismail pernah bertelagah dan tidak sependapat dengan Tunku Abdul Rahman sehinggakan beliau bertindak meletakkan jawatan Menteri. Sebenarnya hakikat sebegini merupakan ’pemakaian’ dan prinsip perjuangan pemimpin yang sebenar dan bukan pemimpin plastik sebagaimana yang terdapat ‘berselerak’ di negara ketika ini.

            Nurul boleh dikatakan sudah mendahului zamannya. Beliau tidak lagi terikut-ikut dengan rentak dan tempo sebagaimana pemimpin lain. Beliau merupakan seorang pemimpin muda. Betul. Tetapi ramai juga pemimpin muda yang masih terus menerus mengikut sosok pemimpin tua. Dan tidak berlaku kepada Nurul. Bagi aku beliau merupakan pemimpin Kurun ke 21 yang sentiasa di nanti-nantikan oleh golongan muda di Malaysia kini. Inilah corak kepimpinan yang diperlukan oleh golongan muda. Berani menyatakan sesuatu walaupun akan menghadapi tentangan dan kecaman dari pihak kawan dan lawan.

            Kekecewaan Nurul harus difahami oleh rakyat Malaysia. Bagi segelintir yang melemparkan tuduhan melulu terhadap YB Nurul, perlu juga menoleh ke belakang melihat dan merenung akan sejarah perjuangan yang dilalui oleh Puteri Reformasi ini. Selama 20 tahun beliau berada dalam kancah perjuangan untuk ‘menegakkan’ prinsip Reformasi dalam erti kata yang sebenar. Tidak salah jikalau dikatakan bahawa perjuangan beliau adalah untuk membebaskan ayahanda beliau, DS Anwar Ibrahim, namun perjuangan yang lebih besar ialah untuk membebaskan negara dari cengkaman pemimpin yang kebanyakan perjuangan mereka sudah lari dari perjuangan sebenar.

            Lantas “Reformasi’ menjadi ‘the battle cry’ golongan reformis. Selama 20 tahun golongan reformis ini mengharap dan bermimpi agar negara dikembali dan diletakkan diatas landasan sebenar yang bebas dari rasuah dan penyelewengan. Hasrat sedemikian seolah-olah akan tercapai. Namun bagi kebanyakan anak muda yang seperti ‘ binatang jalang yang menendang dan menerajang’ semacam tidak berpuas hati dengan tempo perjalanan pentadbiran kini yang dianggap oleh mereka terlalu perlahan, dan tidak selari dengan konsep reformasi yang diharapkan. Mungkin itu pandangan mereka.

            Mungkin suara anak muda Malaysia ‘disuarakan’ oleh YB Nurul Izzah dengan mengambil tindakan meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan baru-baru ini telah mengambil tindakan lebih drastik lagi ia itu dengan melafazkan ‘ikrar’ bahawa ini merupakan penggal terakhir beliau menjadi ahli parlimen.

            Anak muda memang begitu lagak dan gayanya. Mungkin beliau lupa bahawa rakyat Malaysia umumnya dan anak muda Malaysia khususnya menunggu-nunggu kemunculan yang sesuai puteri reformasi ini yang diharapkan oleh mereka untuk memimpin negara ini pada suatu masa yang akan datang. Orang tua-tua pernah berkata, ‘benih yang baik kalau jatuh dilaut akan menjadi pulau….’

abuhassanadam
27 Mac 2019


Wednesday, March 6, 2019

TIDAK SEMUA  MELAYU MENGUNDI UMNO DAN PAS

            Ekoran kemenangan di Semenyeh menyebabkan keyakinan kedua-dua pemimpin UMNO dan PAS begitu yakin untuk bergabung. Terlalu senang nampaknya bagi kedua-dua pemimpin itu untuk mengadakan pergabungan. Tak perlu teliti dan tak perlu fikir panjang. Tup tup terus bergabung. Terus ‘kahwin’ kata  pemimpin UMNO dan PAS. Macam ‘main pondok-pondok’ pula.

            Mereka merasakan bahawa mereka cukup yakin yang gabungan itu nanti akan dapat menawan hati orang Melayu. Orang Melayu pastinya akan memberikan sokongan padu kepada UMNO dan PAS kerana orang Melayu akan hanya membuat perkiraan atas dasar kaum dan bangsa sahaja. Asalkan calon itu dari parti PAS dan UMNO pasti akan diberikan sokongan. Itulah tanggapan mereka dari kumpulan yang agak sempit pandangannya.

            Para pemimpin PAS dan UMNO akan mengetahui ‘tinggi rendahnya langit’ apabila menghadapi PRK di Rantau yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Mungin BN akan menang. Mungkin. Dan mungkin juga akan kecundang. Mereka tidak harus begitu yakin dengan kemenangan yang akan dicapai. Walau apa pun keputusan yang menanti pastinya PRK Rantau adalah sesuatu yang menarik. Mungkin perpahwinan ini hanya sebagai ‘marriage of convenience’.

            Tuan Guru Haji Hadi pernah melafazkan, walau dalam keadaan apa sekalipun PAS tetap akan tetap menentang UMNO terutamanya akan tetap menyuarakan kritikan berkaitan dengan isu IMDB. Kini mereka ( UMNO dan PAS ) telah ‘diijab-kabulkan’ dan akan tinggal serumah.  

            Lagi pun apakah para pemimpin dan ahli PAS telah lupa tentang isu ‘kafir-mengkafir’ yang pernah ‘didendangkan’ oleh pemimpin PAS tidak berapa lama dahulu. Apakah para pengikut PAS sudah lupa akan keadaan sedemikian sehinggakan sanggup dengan ‘membabi-buta’ mengikut sahaja telunjuk para pemimpin PAS. Dan pastinya masih diragukan juga tentang kesetiaan ahli PAS terhadap gabungan baru ini. Dan bukan semua ahli PAS yang boleh ‘dicucuk hidung’ dan melupakan prinsip perjuangan sebagaimana yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu. Sebagaimana yang dkatakan oleh Tun Mahathir dalam blognya, ‘PAS tidak pernah menarik balik “fatwa” tersebut. Sudahkah PAS Islamkan UMNO?

            Para pemimpin PAS, UMNO merasakan bahawa asal namanya ‘Melayu’ maka akan terus menyokong UMNO atau PAS. Tidak begitu. Kemenangan UMNO di Cameron Highlands bukanlah disebabkan atas dasar perkauman tetapi berpunca dari banyak faktor. Begitu juga kemenangan di Semenyeh bersumberkan banyak faktor juga dan bukan di atas dasar undi Melayu menyokong UMNO.

            Sekiranya PAS-UMNO menggunakan asas ini untuk ‘bertempur’ di Rantau nanti besar kemungkinannya mereka akan kecundang. Orang Melayu bukan semuanya bodoh dan tidak boleh berfikir. Hanya segelinitr sahaja pengundi Melayu yang agak fanatik terhadap fahaman mereka. Pemimpin UMNO harus sedar dan  ingat semula bagaimana BN kecundang dalam PRU 14 yang lepas. Bukankah mereka begitu yakin bahawa sekiranya diadakan pertandingan tiga penjuru maka BN pasti akan berjaya kerana berjaya memecahkan undi kepada Pakatan Harapan. Akhirnya strategi sedemikianlah yang ‘makan diri’ sendiri yang menyebabkan BN mengalami kekalahan teruk.

            Begitu jugalah keadaan yang wujud kini mengenai penggabungan PAS-UMNO. Walaupun kedua-dua parti yakin bahawa mereka akan dapat menawan dan ‘merampas’ undi Melayu, namun bukan semua Melayu boleh dibeli dan dipengaruhi, apatah Melayu yang berada di Rantau Negeri Sembilan yang terkenal sebagai Melayu yang bukan sebarang Melayu.

abuhassanadam
6 Mac 2019




Monday, March 4, 2019

ANWAR GANTI  MAHATHIR – MENGAPA MASIH BERDOLAK-DALIK?

            Berbagai sebab diketengahkan mengapa Pakatan Harapan kalah di PRK Semenyeh. Tidak perlulah dikupas satu persatu tentang kekalahan demikian. Dan terpulanglah kepada pakar analisis untuk menganalisis secara terperinci mengenai kekalahan demikian.

            Mungkin salah satu faktor yang terlepas pandang yang menyebabkan dan menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan di Semenyeh ialah faktor ‘perasaan yang memberontak’ dikalangan pengundi di Semenyeh. Tidak perlu disembunyikan hakikat bahawa rakyat telah dicanangkan pada PRU 14 yang lalu bahawa Tun Mahathir akan dijadikan Perdana Menteri Malaysia selama lebih kuang dua tahun sebelum diserahkan pucuk pimpinan negara kepada Saudara Anwar Ibrahim. Lantas rakyat memberikan sokongan padu kepada Pakatan Harapan dengan tidak berbelah bagi. Persetujuan itu merupakan janji yang amat mengembirakan rakyat Malaysia dari semua kaum sehinggakan Barisan Nasional ‘ jatuh tersungkur’.

            Rakyat Malaysia kini yakin dengan apa yang telah dipersetujui. Tun Mahathir juga bersetuju. Saudara Anwar juga berulang kali menyatakan yang beliau akan bersabar menunggu dan yakin dengan janji-janji yang telah dipersetujui. Tetapi soalnya kini ialah banyak sangat terdapat cakap-cakap yang akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir nanti bukannya Saudara Anwar Ibrahim tetapi tokoh yang langsung tidak berwibawa yang amat jauh menyimpang dari kehendak rakyat sekiranya dibandingkan dengan ketokohan Saudara Anwar Ibrahim.

            Tokoh yang dicanangkan itu tidak pula menafikan berita yang membabitkan dirinya  malah semacam berusaha untuk mendapatkan jawatan berkenaan. Berbagai cara digunakan untuk meyakinkan rakyat bahawa beliaulah sebenarnya yang layak untuk jawatan berkenaan. Atau mungkin juga tokoh berkenaan tidak pun berusaha untuk berusaha ke arah ‘memadamkan’ spkelulasi berkenaan. Usaha lobi-melobi berkenaan mungkin juga datangnya dari ‘tentera upahan’nya atau pun mungkin juga tidak berlaku keadaan seperti itu.

            Bagi kebanyakan rakyat yang mengikuti perkembangan sedemikian melalui media sosial sudah merasa gusar melihatkan perkembangan sedemikian terutamanya penyokong tegar Saudara Anwar Ibrahim yang masih berdiri teguh di belakang beliau yang berselerak di seluruh negara kini. Mereka mula berbincang melalui face-book dan Watsapp tentang nasib yang akan menimpa Anwar Ibrahim sekiranya keadaan sebegitu berlaku.

            Golongan ini sudah menunjukkan ‘belang’ mereka pada PRK Cameron Haighlands. Mereka agak kecewa dengan perkembangan yang berlaku dalam Pakatan Harapan itu sendiri. Golongan ini mula berasa kecewa apabila melihat YB Nurul Izah semacam ‘mengundur’ diri dari arena pentadbiran negara. Berbagai interpretasi dikemukakan yang menyebabkan Nurul mengundur diri. Antaranya ialah ‘kekecewaan’ beliau tentang kelemahan Pakatan Harapan dalam melaksanakan program ‘Reformasi’ yang diwar-warkan semenjak beberapa tahun yang lampau.

            ‘Penyakit’ yang berlaku di Cameron Haighlands merebak ke Semenyeh dan mungkin akan terus merebak di Rembau nanti sekiranya tidak dibendung dan disekat. Tun Mahathir seharusnya mengambil langkah drastik untuk menghentikan ‘cakap-cakap’ yang mengatakan bahawa ada tokoh lain yang menggantikan beliau selain dari Saudara Anwar Ibrahim.

            Janji yang termetrai dikalangan pemimpin Pakatan Harapan harus ditepati. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa ‘kerbau pegang pada talinya dan manusia pegang pada katanya’. Sememangnya tidak pula dinafikan tentang kepimpinan Pakatan Harapan berpegang pada janji. Dan entah berapa kali ditegaskan oleh Tun Mahathir bahawa yang menggantikan beliau adalah Saudara Anwar Ibrahim. Yang merunsingkan rakyat yang menyokong Pakatan Harapan pada PRU 14 yang lalu dan terus menewaskan Barisan Nasional ialah adanya anasir yang cuba memecah belahkan Pakatan Harapan khususnya yang berkaitan dengan isu kepimpinan.

            Mungkin pada pandangan masyarakat di Semenyeh bahawa Pakatan Harapan harus ‘diajar’. Bukanlah bermakna tidak sayang kepada parti yang baru berkembang ini tetapi agak ‘meluat’ melihatkan percaturan yang sedang berlaku khususnya berkaitan dengan perpindahan kuasa dari Tun Mahathir kepada Saudara Anwar Ibrahim. Kedua-dua tokoh harus menghantar ‘isyarat’ bahawa peralihan kuasa nanti akan berjalan dengan licin dan hanya masa yang menentukan. ‘Padamkan’ segera segala spekulasi yang mengatakan bahawa sudah wujud orang ketiga dan keempat yang akan mengambil alih jawatan Tun Mahathir itu.

            Rakyat perlu diyakinkan segera sebelum berlakunya PRK Rembau yang bakal diadakan.

abuhassanadam
4 Mac 2019