Saturday, March 2, 2019

ORANG MELAYU/ ISLAM NAK 'LETAK MUKA' DIMANA..

            Apakah para pemimpin PAS dan UMNO ( yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan) sedar bahawa orang bukan Melayu yang bukan beragama Islam kini melihat dengan perasaan ‘hina’ terhadap orang Melayu yang beragama Islam disebabkan perbuatan jelek setengah pemimpin PAS dan UMNO yang langsung tidak mempedulikan kesan buruk yang ditimbulkan oleh tindakan mereka? Orang bukan Melayu /bukan beragama Islam melihat orang Melayu yang beragama Islam yang sentiasa mengamalkan falsafah ‘cakap tak serupa bikin’.

            Orang Melayu di Malaysia kini sudah sampai kepada suatu tahap ‘tak tahu nak letak muka dimana’. Kita berada dalam masyarakat yang majmuk, berbilang kaum dan sentiasa berinteraksi antara satu dengan lain. Dan disebabkan beberapa ‘ekor kerbau’ yang membawa lumpur semacam habis kesemuanya orang Melayu terpalit dengan lumpur.

            Bertahun-tahun lamanya kita ‘menyamar’ diri sebagai ‘bukan orang Melaysia’ ketika berada di luar negara khususnya jika berada di London atau di New York disebabkan kemelut IMDB. Kita malu menyatakan yang kita dari Malaysia. Agak sedih dan malu kerana bersikap sedemikian. Tetapi hakikatnya ialah bangsa Malaysia seolah-olah ditertawakan oleh orang luar kerana ‘membiarkan’ bermaharajalelanya pelaku-pelaku  dalam kemelut IMDB sehinggakan negara hampir menjadi muflis. Mereka sering mempersoalkan ‘takkanlah kesemua orang yang bertanggungjawab kepada negara hanya membiar dan menutup sebelah mata apabila berlakunya penyelwengan dalam IMDB/’

            Orang luar negara merasa hairan dengan sikap dan tindakan para pegawai di negara kita yang hanya memejamkan mata dan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menyekat agar keadaan sedemikian tidak berlaku. Apakah pihak para pegawai di negara kita hanya memejamkan mata dan ‘mengunci mulut’ dan tidak peduli langsung tentang berlakunya perkara sedemikian. Lantas orang-orang di luar negara terus hilang hormat kepada pemimpin negara Malaysia yang berkunjung ke negara luar.

            Soalan-soalan yang dikemukakan oleh pegawai imigresen ketika di pintu masuk ke sesuatu negara juga melihat pemegang passport Malaysia dengan penuh sinis. Bermakna bahawa mereka tahu apa yang berlaku di Malaysia. Seolah-olah pada ketika itu ( sebelum Mei 2018)  seluruh dunia mentertawakan Malaysia akibat kebodohan rakyat yang senang ditipu ‘hidup-hidup’ oleh pemimpinnya yang tidak bertanggungjawab.

            Jikalau beberapa tahun dahulu rakyat Malaysia ‘dihina’ ketika berada di luar negara, kini orang Melayu beragama Islam ‘dihina’ pula oleh orang bukan Melayu yang bukan beragama Islam. Walaupun hinaan mereka tidak terang-terangan namun ‘lirik mata dan jelingan’ sudah cukup untuk memberikan isyarat kepada kita bahawa mereka sedang ‘menyindir’ dan mentertawakan kita. Ini bukan salah mereka tetapi salah kita juga. Perbuatan pemimpin kita tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang mengamalkan apa yang diajarkan oleh Islam. Perbuatan pemimpin Islam yang kononnya memperjuangkan Islam sebenar tetapi telah menyeleweng dari ajaran sebenarnya. Dan kesannya telah ‘terpalit’ ke muka kita.

            Perbuatan dan tindakan setengah pemimpin kita dari UMNO dan PAS sudah cukup untuk membuat orang Melayu yang beragama Islam merasa amat malu. Namun yang anihnya pula para pelaku yang membuatkan orang Melayu malu tidak pula menunjukkan rasa segan dan malu atas perbuatan mereka. Malah golongan ini dengan bangganya pula cuba ‘menegakkan benang basah’ mereka dan cuba meyakinkan rakyat bahawa apa yang diperkatakan dan tuduhan yang dilemparkan kepada mereka adalah sebagai fitnah.

            Malangnya masih ada lagi rakyat Melayu/Islam yang merelakan diri menjadi pengikut mereka dan tentunya rela ‘dicucuk hidung’. Masih ada yang sanggup ‘ke hulu dan ke hilir’ mempertahankan mereka dengan anggapan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap mereka adalah sebagai satu fitnah. Mereka seolah-olah lupa bahawa ‘perbuatan terkutuk ’ yang mereka lakukan adalah seperti ‘merompak di saing hari’ di mana seluruh dunia sudah memperkatakannya.

            Sebahagian besar rakyat Malaysia amat malu kini dengan perbuatan terhina setengah pemimpin kita dan ‘di manalah nak diletakkan muka kita.

            MALU!….

abuhassanadam
2 Mac 2019


No comments:

Post a Comment