Saturday, September 27, 2014

AZMIN MESTI BERTINDAK SECARA ‘OFFENSIVE’ – MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH

Sudah agak lama pembangkang (BN) di Selangor ‘menganggu’ pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor. Semenjak tahun 2008, pihak pembangkang (BN) tidak henti-henti menganggu-gugat apa saja rancangan yang dijalankan pleh Pakatan Rakyat untuk memajukan rakyat Selangor. Seolah-olah begitu banyak masa terbuang menangani kerenah yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang matlamatnya mengagagalkan pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor. Malangnya diperhatikan bahawa sepanjang pentadbirannya, TS Khalid Ibrahim banyak mengambil sikap berdiam diri ataupun bersikap ‘defensive’ menangani kerenah-kerenah yang ditimbulkan oleh pihak-pihak berkenaan.

Mungkin dengan kemunculan kepimpinan baru di bawah YAB Azmin Ali, suasana di Selangor akan berubah wajah. Mungkin hati kecil Saudara Azmin akan mengatakan bahawa, ‘enough is enough’ kepada pihak yang cuba mengganggu-gugat pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor. Mungkin YAB Saudara Azmin akan berpegang kepada peribahasa Melayu,’ membujur lalu melintang patah’ kerana beliau yakin bahawa sekiranya beliau takut ‘bermain ombak takkan lah beliau berani berumah di tepi pantai’. Aku amat mengenali siapa Azmin sebenar. ‘Kata akan dikotakannya’.

Maknanya rakyat Selangor akan menempuh zaman yang penuh cabaran untuk menempa kegemilangan. Mungkin pada peringkat awal pentadbirannya, rakyat Selangor masih mengamalkan sikap tunggu dan lihat tentang arah tuju dan ‘lintuk-lingguk’ pentadbirannya sebelum membuat sebarang kesimpulan. Yang jelasnya bahawa pada permulaan pentadbirannya sudah menampakkan sokongan yang padu daripada parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PKR,DAP dan PAS) mengenai pelantikan barisan exsconya. Dan yang paling terserlah ialah kejayaan beliau mendapatkan persetujuan DYMM Sultan Selangor mengenai barisan exconya.

Masih ramai kini yang mempersoalkan tentang mengapa TS Khalid perlu ditukar dan digantikan dengan orang lain sedangkan beliau telah memberikan perkhidmatan yang tidak banyak cacat celanya kepada rakyat negeri Selangor. Aku tidak akan menyentuh isu ini kerana aku merasakan bahawa pasti ada perkara ‘yang tidak kena’ yang dilakukan oleh TS Khalid Ibrahim yang memerlukan pihak PKR ‘terpaksa’ membuat perubahan. Dan yang pasti juga bahawa setiap keputusan yang diambil oleh PKR adalah keputusan ‘consensus’. Maknanya bukan keputusan DS Anwar Ibrahim seorang ataupun keputusan DS Wan Azizah. Bukan. Barisan kepimpinan merasakan bahawa  pentadbiran TS Khalid Ibrahim di Selangor belum dapat lagi memenuhi hasrat PKR untuk memajukan Selangor walaupun sudah sepenggal menerajui negeri itu.

Tugas yang akan dipikul oleh YAB Saudara Azmin adalah berat. Amat berat. Beliau terpaksa membuktikan kepada rakyat, khususnya kepada Pakatan Rakyat bahawa corak pentadbiranya adalah lain daripada yang lain. Saudara Azmin terpaksa membuktikan bahawa Pakatan Rakyat adalah jauh lebih hebat daripada Barisan Nasional dalam mentadbirkan sesebuah negeri. Apatah lagi negeri yang ditadbirakn adalah negeri Selangor, negeri yang serba serbi maju dalam segala aspek. Selepas setahun pentadbirannya nanti, diharapkan rakyat Selangor akan ‘membuka mata’ dan memberikan ‘markah’ kepada pentadbiran Pakatan Rakyat. Sekiranga rakyat Selangor memberikan markah kecemerlangan kepada pentadbiran Saudara Azmin (Pakatan Rakyat) maka tidak ada sebab yang rakyat seluruh negara akan memberikan undian mereka untuk Pakatan Rakyat mentadbirkan seluruh Malaysia yang berpusat di Putrajaya.

Persoalannya ialah apakah Saudara Azmin sudah bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang ini?

Mengenali Azmin, aku yakin yang beliau akan melakukannya. Tambahan pula apabila melihatkan barisan exco yang baru dilantik yang pastinya sudah bersedia untuk memikul tugas yang amat berat ini. Dan setiap Exco yang dilantik seharus sudah bersedia dengan ‘blueprint’ masing-masing tentang rancangan yang hendak dilakukan. Aku amat yakin bahawa Saudara Azmin tidak akan menunggu bulan hadapan untuk para exconya meneyerahkan ‘blueprint’ berkenaan. Dan pastinya juga tidak ada istilah ‘honeymoon’ bagi Saudara Azmin dalam melaksanakan tugas yang amat berat ini. Dan orang putih kata,’ it’s the body that wags the tail’. Mungkin Saudara Azmin akan berpegang kepada falsafah ini.

Dalam usaha untuk melaksanakan pentadbiran di Selangor yang bermatlamat menjadikan Selangor sebuah negeri maju dalam ertikata sebenarnya pasti akan ada halangan-halangan atau gangguan-ganggunan sepertimana yang dialami oleh TS Khalid Ibrahim. Rakyat Selangor yakin bahawa sekiranya ada juga gangguan sedemikian, tentulah tidak sebagaimana yang berlaku pada zaman pentadbiran TS Khalid Ibrahim. Pasti. Ini disebabkan Saudara Azmin amat yakin bahawa sekiranya ada gangguan sedemikian akan menerima tentangan yang sama kuat atau lebih kuat daripada gangguan yang datang.

Bak kata peribahasa Melayu, ‘ Membujur lalu melintang patah’.

abuhassanadam
27 September 2014





Friday, September 26, 2014

PAS  KENA TERIMA HAKIKAT MENGENAI KEKALAHANNYA DI PENGKALAN KUBUR

Disebabakan sikap dan tindakan sebahagian kecil pemimpin tertinggi PAS telah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap PAS, khususnya bagi pengundi Pengkalan Kubur yang telah memberikan kemenangan besar kepada BN. Ini tidak bermakna bahawa pengundi Pengkalan Kubur begitu sayang dan sudah berubah hati kepada BN. Tidak. Masih ramai yang tidak ‘berminat’ kepada BN. Namun disebabkan sikap kepimpinan tertinggi PAS yang dianggap bertindak diluar batas-batas kepimpinanan maka seolah-olah pengundi telah menghukum mereka.

Tentulah tidak adil menuduh PAS secara keseluruhannya yang menyebabkan kekalahannya di Pengkalan Kubur dan kesalahan itu sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada setengah pemimpin tertinggi yang telah ‘melukakan’ hati dan perasaan ramai orang khususnya ahli PAS itu sendiri.

Biarlah aku berterus terang dalam mengemukakan pandangan dan pendapat aku mengenai keadaan PAS kini. Telah banyak aku hubungi rakan-rakan yang merupakan ahli PAS tegar merasa begitu kecewa dengan tindakan beberapa orang pemimpin tertinggi PAS yang sentiasa merasakan bahawa mereka adalah sentiasa berada di landasan yang betul sedangkan mereka sudah jauh menyimpang dari ‘landasan yang sebenar’. Dan yang menjadi ‘the straw that broke the camel’s back’nya ialah apabila TG Haji Hadi Awang mengeluarkan perkataan “BARUA’ dalam Muktamar PAS yang diadakan di Johor tempoh hari. Seolah-olah mereka tidak percaya yang perkataan sedemikian boleh terkeluar dari mulut seorang pemimpin tertinggi PAS.

Bukan sahaja rakyat umum yang amat kecewa dengan tindakan sedemikian, tetapi ramai ahli PAS yang sudah merasa agak ‘fed-up’ dengan kepimpinan tertinggi PAS. Ini merupakan luahan hati kebanyakan rakyat terutamanya yang sentiasa taat dan setia kepada perjuangan PAS. Mereka merasakan bahawa sekiranya PAS masih diterajui oleh pemimpin yang sebegini, PAS juga akan menjadi ‘dinosaur’ lamabt laun.

Yang anihnya pula terdapat juga beberapa orang ‘pengikut’ yang sentiasa membuta tuli dalam ‘menegakkan benang basah’ yang berkaitan dengan tindakan kepimpinan tertinggi PAS itu. Bagi mereka apa yang disarankan oleh pemimpin mereka adalah betul belaka dan tidak berani untuk ‘membetulkan’ kesalahan pemimpin mereka. Tindakan sebegini sudah tidak dapat diterima lagi oleh masyarakat yang hidup dalam Kurun ke 21. Mereka harus faham bahawa rata-rata golongan muda kini adalah golongan terpelajar yang sekurang-kurangnya memiliki kelulusan bertaraf Sijil Pelajaran Malaysia. Dan sudah ramai anak muda kita yang berkelulusan Diploma dan Ijazah. Justeru tentulah mereka dapat berfikir dan dapat berfikir dengan waras dan kritikal.

Saranan Tuan Haji Mat Sabu (Abang Mat) Timbalan Presiden PAS agar PAS seharusnya membuat perubahan mendapat reaksi yang berbagai-bagai. Tinjauan rambang yang dibuat merasakan bahawa apa yang disuarakan oleh Abang Mat itu agak bersesuaian dengan keadaan yang dilalui oleh PAS kini. Namun saranan itu telah disanggah dan ditentang habis-habisan oleh sebahagian ahli PAS dalam muktamar yang diadakan. Malah ada sebahagian kecil ahli PAS yang telah berani memecah tradisi PAS dengan mengadakan ‘tunjuk perasaan’ dengan cara keluar dari dewan ketika Abang Mat menyampaikan ucapannya. Apakah ‘sehebat’ itu PAS kini yang pimpinan oleh golongan ulamak?

Apa yang berlaku dalam PAS kini tidak ubah seperti apa yang berlaku pada masyarakat Melayu/Islam pada awal kurun ke 20 apabila berlaku pertentangan pendapat antara Kaum Muda dan Kaum Tua. Kaum Muda yang dipelopori oleh Syed Sheikh Al Hadi, Dr Burhanuddin Hilmy dan beberapa orang tokoh lain telah berusaha untuk membuat perubahan kepada masyarakat Melayu sepertimana yang disarankan oleh Tuan Haji Mat Sabu dan rakan-rakannya dalam PAS sekarang. Namun apa yang disarankan oleh Kaum Muda telah ditentang habis-habisan oleh Kaum Tua yang juga mendapat sokongan dari pihak British dan istana. Golongan Kaum Tua merasakan apa yang disarankan oleh Kaum Muda itu tidak sesuai dengam mansyarakat Melayu ketika itu.

Tentulah ada perbezaan antara konflik ‘Kaum Muda-Kaum Tua’ awal Kurun ke 20 itu dengan konflik “Konservatif-Progresif’ yang berlaku dalam PAS kini. Namun begitu ternampak juga bibit-bibit persamaannya. “Kedegilan’ pihak Konservatif dalam PAS mempertahankan ‘keulamakan’nya begitu jelas dan seolah-olah tidak boleh diubah dan dirungkai. Mereka seolah-olah tidah faham dan tidak mahu faham bahawa  masyarakat Malaysia kini sedang berubah dan ‘berputar’ dengan cepat dan rancak.

Apakah mereka tidak sedar dan nampak tentang suatu perubahan yang cukup besar berlaku dalam PRU 13 yang lalu dimana kelihatan golongan bukan Melayu ‘berlumba-lumba’ untuk menyokong Pakatan Rakyat walaupun calonnya dari parti PAS. Apakah itu bukan merupakan satu pertanda yang psoitif yang sepatutnya dihayati oleh golongan Konservatif dalam PAS. Apakah golongan ulamak dalam PAS ini tidak melihat bagaimana petugas-petugas PRU 13 yang terdiri dari golongan bukan Melayu sanggup mengibarkan bendera PAS dan sanggup memacakkan bendera PAS pada kereta dan kawasan rumah mereka. Apakah itu bukan perubahan drastik yang perlu diperhati dan difikirkan secara serious oleh kepimpinan PAS.

PAS masih mahu ‘menegakkan benang basah’nya dengan mengatakan kekalahan PAS di Pengkalan Kubur bukan disebabkan oleh konflik yang berlaku dalam PAS kini. Mereka masih mengatakan  bahawa kekalahan PAS itu bukan disebabkan tindakan kepimpinan PAS yang ‘tidak patut’ dalam menyelesaikan konflik pelantikan Menteri Besar Selangor. Pengundi Pengkalan Kubur tentu juga mahu memberi isyarat kepada PAS terutamanya kepada kepimpinan tertingginya agar menghormati prinsip setiakawan terutama ketika rakan seperjuangan dalam keadaan kesusahan dan memebrlukan pertolongan.

Tindakan PAS yang seolah-olah menikam kawan dari belakang dalam kemelut politik di Selangor itu telah dizahirkan oleh sebahagian pengundi Pengkalan Kubur yang memberikan isyarat jelas kepada PAS bahawa perbuatan yang sedemikian tidak harus diamalkan oleh pemimpin tertinggi PAS yang sentiasa mendasarkan tindakan mereka kepada prinsip keislaman

abuhassanadam
26 September 2014




Thursday, September 25, 2014

KEBOCORAN UPSR: MUNGKINKAH SOP KURUN KE 20 DIGUNAKAN UNTUK  PEPERIKSAAN KURUN KE 21

Sebenarnya pihak berwajib seolah-olah sudah tidak mahu lagi menghebuhkan mengenai kebocoran kertas peperiksaan UPSR baru-baru ini walaupun sudah ada tambahan dua kertas lagi yang bocor. Aku terpanggil pula untuk memberikan pendapat mengenai kebocoran ini apabila ternampak imej YB DS Idris Jusuh, Menteri Pelajaran Malaysia bersama-sama dengan para pemimpin  lain sedang menghadhiri satu perjumpaan di Amerika Syarikat bersama dengan Perdana Menteri Malaysia.

Mungkin agaknya mesyuarat yang dihadhiri oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia di Amerika Syarikat itu jauh lebih penting daripada menangani kebocoran kertas soalan UPSR di negara sendiri agaknya. Mungkinlah agaknya YB Menteri Pelajaran Malaysia ‘terpaksa’ juga menghadirkan diri di mesyuarat berkenaan, takut kalau-kalau terbatal mesyuarat berkenaan dengan ketiadaan beliau. Mungkin begitu agaknya.

Aku tergerak hati menulis isu ini disebabkan kesedihan dan pilunya hati apabila melihat ‘kesengsaraan’ yang dialami oleh anak-anak yang terpaksa mentelaah semula buku-buku pelajaran disebabkan kebocoran kertas soalan peperiksaan UPSR. Aku merasa begitu sedih melihatkan anak-anak sekecil itu sudah mula tahu menyebut perkataan ‘stress’ sedangkan pada zaman aku kanak-kanak dahulu tidak pun tahu dan pernah merasakan apa yang dimaksudkan dengan ‘stress’. Mungkin agaknya pada ketika itu ‘stress’ sentiasa menguasai kehidupan kami yang miskin dan tidak dapat merasakan bilakah keadaan yang tidak ‘stress’.

Dan yang peliknya bukan sahaja si anak yang ‘stress’ tetapi ibu bapa yang terpaksa menanggung derita yang amat sangat disebabkan peperiksaan UPSR yang terbatal. Berbagai-bagai keluhan dan rintihan yang aku dengar ekoran daripada keobocoran kertas soalan ini.

Sebenarnya bagi aku kebocoran kertas soalan ini adalah merupakan malapetaka negara seperti juga peristiwa malang MH 17 dan MH 370. Ia sebenarnya membabitkan maruah negara. Apa tidaknya. Maruah dan kredibiliti negara bergantung kepada cara dan bagaimana pepepriksaan kita ditadbirkan. Dan sudah sekian lama peperiksaan yang kita adakan di Malaysia mendapat pengiktirafan dari negara-negara luar. Apatah lagi apabila disedari bahawa sistem peperiksaan yang kita jalankan di Malaysia adalah warisan daripada sistem peperiksaan Cambridge yang telah terbukti keutuhan dan kecekapannya.

Cuma yang terlintas di fikiran aku ialah tentang cara kita melaksanakan peperiksaan itu kini. Apakah SOP (Standard Operating Procedure) yang kita gunakan kini di Lembaga Peperiksaan itu masih lagi mengikuti SOP yang digunakan oleh Lembaga Peperiksaan semenjak tahun 1970an? Sekiranya Lembaga peperiksaan masih menggunakan SOP sedemikian, maka amat wajarlah difikirkan bahagian-bahagia yang sesuai untuk ditukar.

Awal tahun 60an atau 70an tidak wujud lagi telefon atau kamera canggih yang boleh ‘memporak-perandakan’ kehidupan mmasyarakat moden walaupun faedah dan kegunaannya juga banyak. Persoalannya ialah apabila ada diantara masyarakat kita yang menyalahgunakan fungsi alat eletronik berkenaan. Dan keadaan sebeginilah yang telah mencemarkan kredibiliti peperiksaan awam kita kini apabila berlaku kebocoran kertas soalan.

Aku kira penyelesaian kepada masalah ini bukan mudah.

·      Apakah Lembaga Peperiksaan pernah terfikir untuk menggantikan peperiksaan awam seperti UPSR, PMR (sudah pun dimansuhkan) SPM dan STPM dengan bentuk ujian cara moden dengan mengambil kira kwujudan peralatan moden yang boleh menjejaskan kredibiliti peperiksaan apabila berlaku kebocoran.
·       Sekiranya ada tentulah Lembaga Peperiksaan telah pun membuat kajian terperinci dan mengadakan ‘Try-out Project’nya bagi memastikan pelaksanaannya nanti bukan merupakan tindakan yang ‘flip-flop’.
·      Menggantikan peperiksaan PMR dengan ujian bentuk lain telah menimbulkan ‘hiruk-pikuk’ yang bukan sedikit daripada masyarakat yang belum begitu terdidik untuk berdepan dengan perkara-perkara baru. Bukan sahaja ibu bapa yang ‘bising’ dengan kehadiran perkara-perkara baru itu, malah para guru juga turut sama mempersoalkannya.
·      Menteri Pelajaran harus komited dan harus menumpukan sepenuh perhatian ke arah ‘mendaulatkan’ semula sistem peperiksaan negara yang agak tercemar ini. Menteri Pelajaran Malaysia seharusnya berganding bahu  dengan pegawai-pegawai Pelajaran di Kementerian Pelajaran dalam mempersiapkan diri menembusi era baru ini.

Justeru aku fikir, tugas Menteri Pelajaran harus disandang oleh seorang menteri yang betul-betul faham tentang perjalanan pendidikan negara. Tidak pula bermakna aku memperkecilkan kemampuan Timbalan Perdana Menteri kini yang juga menjawat jawatan Menteri Pelajaran. Namun rakyat mengharapkan sangat agar sistem pendidikan di negara kita menepati ertikata yang sebenarnya bahawa kualiti dan integritinya betul-betul terjamin.

Negara ini pernah dipandang begitu tinggi dari segi pendidikan oleh negara luar. Malah kita jauh terkehadapan berbanding dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Kedudukan kita adalah lebih kurang sama dengan Singapura yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Hanya pada akhi-akhir ini sudah kelihatan tentang penurunan itu, walaupun ada pihak yang masih mendabik dada mengatakan bahawa sistem pendidikan kita adalah antara yang terbaik di Asia Tenggara.

Walau apa pun orang lain kata, tugas kita ialah memelihara kredibiliti peperiksaan kita. Kita harus menjaga kedudukan peperiksaan kita disamping kita memastikan bahawa tidak ramai rakyat kita yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah swasta ataupun ke sekolah-sekolah antarabangsa.

Sayup-sayup telah mula kedengaran bahawa ramai para menteri kita telah menghantar anak mereka belajar disekolah swasta. Apakah mereka sudah tidak yakin lagi dengan kemampuan dan  kredibiliti sistem pendidikan yang ada di negara ini, yang mana mereka adalah antara yang menentukan maju mundurnya pendidikan negara.

Kita amat bimbang takut kalau-kalau sistem pendidikan negara ini hanya sesuai untuk golongan yang berpendapatan rendah yang masih ramai lagi tinggal di kampung-kampung….

abuhassanadam

25 September 2014

Wednesday, September 24, 2014

ERA AZMIN – KEMUNCULAN ‘RENAISSANCE’

Setelah dua bulan ‘bergelut’ dalam kemelut politik yang semacam tidak nampak kesudahannya, kini Selangor telah diberikan sedikit ‘cahaya’ dengan kemunculan Saudara Azmin yang bergelar YAB Menteri Besar Selangor. Sejurus sahaja ‘dinobatkan’ ke jawatan berkenaan, beliau seolah-olah tidak sabar-sabar untuk menjalankan tugas membela rakyat Selangor yang telah agak terbiar selama dua bulan selama berlakunya kemelut politik di negeri itu.

Apabila dihasratkannya bahawa pentadbirannya adalah untuk membela rakyat, maka dengan sendirinya akan membuka mata rakyat Selangor untuk terus memberikan sokongan kepadanya, walaupun mereka sedar bahawa semua ‘penyapu baru’ akan berkata demikian. Kenangkanlah balik apa yang telah dilafazkan oleh menteri besar yang terdahulu. Hampir semuanya berkata demikian. Malah ada  menteri besar  terdahulu yang sanggup secara sukarela menunjukkan kepakarannya dengan mencabut gigi.

Azmin yang aku kenal tidak begitu. YAB Azmin adalah seorang ‘workaholic’.Beliau akan terus menerus menjadi ‘penyapu baru’ dan tidak akan seperti ‘hangat-hangat tahi ayam’. Kemampuannya untuk terus menerus berada bersama DS Anwar Ibrahim sebagai Setiusaha Sulit bermula daripada awal 1980an sehingga 1990an telah dapat membuktikan bahawa sememangnya beliau tahan diuji. Tidak mudah untuk melaksanakan tugas dibawah DS Anwar Ibrahim jikalau seseorang itu lembik dan tidak bermaya. Dan Saudara Azmin berjaya. Bukan sekadar bersama ketika ‘senang’ malah ketika DS Anwar Ibrahim dalam ‘kesusahan’ pun (selepas 1998) Saudara Azmin tetap bersama sebagai rakan yang setia. Menepati peribahasa Inggeris, ‘ a friend in need is a friend indeed’.

Walaupun DS Dr Wan Azizah tidak berpeluang untuk menjawat jawatan Menteri Besar Selangor, namun hasrat dan cita-cita sebagaimana yang digambarkan oleh Pakatan Rakyat akan dapat dilaksanakan melalui Saudara Azmin. Apa yang ‘terdenyut’ di hati kepimpinanan Pakatan Rakyat akan dapat direalisasikan oleh Azmin . Dengan sebab itulah agaknya, DS Dr. wan Azizah rela mengundur diri, dan demi kepentingan rakyat Selangor,menyeru agar sokongan padu yang diberikan oleh ADUN PKR dan DAP kepadanya itu dipindahkan kepada Saudara Azmin.

Suatu hal yang jelas dapat aku bayangkan tentang Selangor di bawah pentadbiran YAB Azmin ialah tentang kesukaran dan kesushan pihak Pembangkang ia itu Barisan Nasional untuk memperkotak-katikan pemerintahan di Selangor. Sekiranya pihak pembangkang BN mahu meneruskan kerja-kerja ‘jahat’ sebagaimana yang pernah mereka lakukan semasa pentadbiran TS Khalid Ibrahim sebelum ini, maka mereka perlu memikirkan banyak kali sebelum menjalankan tindakan sedemikian semasa pentadbiran Saudara Azmin.

Rakyat tahu dan rakyat Selangor sedar bahawa TS Khalid Ibrahim amat ‘menderita’ ketika menjalankan tugasnya di Selangor disebabkan adanya berbagai ‘gangguan’ yang diusahakan oleh anasir-anasir tertentu yang sentiasa menghasut rakyat supaya membenci pentadbiran Pakatan Rakyat. Walaupun berbagai usaha pembangunan dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebelum ini, namun sentiasa diperlekehkan dengan berbagai-bagai tuduhan dan gangguan yang melambatkan proses pembangunan di negeri Selangor.

Dan kemunculan Saudara Azmin boleh dianggap seperti akan ‘bertemu buku dengan ruas’. Maknanya sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu pentadbiran di negeri selangor akan mengahadapi laluan yang sukar. Seingat aku Saudara Azmin sudah ‘bersepak terajang’ dalam politik semenjak awal tahun 1980an. Dan semestinya beliau ‘tahu akan jantan dan betinanya’ sekiranya ada percubaan untuk menganggu gugat pentadbirannya. Diharapkan dengan pengalaman yang berbagai-bagai itu beliau akan dapat menangkis sebarang percubaan untuk memperlekehkan pentadbiran yang diterajui di negeri Selangor.

Saudara Azmin akan sedaya upaya membuat perubahan. Sesuai dengan usianya yang masih muda, yang sudah berpeluang menrajui sebuah kerajaan negeri pastinya beliau akan melakukan satu perubahan besar kepada negeri Selangor. “Renaissance’. Kehidupan dan cara hidup rakyat di negeri Selangor perlu ditingkatkan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi secara rohaninya. Rakyat di negeri Selangor boleh disifatkan terkehadapan berbanding dengan rakyat di negeri-negeri lain disebabkan jaraknya yang tidak jauh dari Puterajaya. Lantas peluang untuk melakukan perubahan tentunya amat terbuka luas.

Selangor perlu melangkaui Puterajaya. Saudara Azmin perlu meletakkan sasaran, ke arah mana negeri ini hendak di bawa. Tidak salah beliau meletakkan sasaran sepuluh atau dua puluh tahun kerana pastinya rakyat akan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui negeri ini sekiranya rakyat dapat diyakinkan bahawa Pakatan Rakyat boleh melakukan sesuatu perubahan besar.

Anjakan paradigma perlu dilakukan di bawah pimpinan Azmin. Bukan sahaja para barisan Exco yang perlu diorientasikan pemikiran mereka, malah rakyat Selangor keseluruhannya harus dipersiapkan bagi menghadapi masa hadapan yang amat mencabar ini.

Selangor akan menghadapi satu ‘Renaissance’. Satu kebangkitan!!!   Insyallah.

abuhassanadam

24 September 2014