Saturday, May 30, 2015

BUDAYA ‘TAK BOLEH BERTANYA’ SEDANG MEREBAK DI MALAYSIA

            Sebenarnya budaya ‘tak boleh bertanya’ sudah lama merebak dikalangan orang Melayu semenjak zaman dahulu lagi. Aku tak tahu pula samada budaya ini diamalkan juga oleh bangsa-bangsa lain. Tetapi yang nampak jelasnya amalan sebegini berleluasa diamalkan oleh orang Melayu.

            Jiwa dan naluri ingin tahu kanak-kanak Melayu misalnya sering ‘mati’ di separuh jalan disebabkan ‘dibunuh’ oleh anggota masyarakat yang mengamalkan bdaya ‘tak boleh bertanya’. Rata-rata masyarakat Melayu tidak menggalakkan ‘anak-anak’ untuk menanyakan sesuatu. Apabila belajar agama misalnya pernah dketemui guru-guru agama akan mengeluarkan ‘fatwa’nya menyatakan, ‘guru agama jangan disoal…berdosa’ Maka tidak adalah lagi soalan yang ingin disoalkan kepada ‘anak-anak’ kerana takut ‘dosa’ sebagaimana yang disarankan oleh “Ustaz’ berkenaan.

            Sehingga kini masih diamalkan oleh sebahagian besar guru-guru agama yang mengamalkan budaya’ tak boleh bertanya’ itu. Mereka langsung tidak memberi peluang kepada ‘pelajar-pelajar’ untuk bertanyakan sesuatu. Dan sekiranya dibenarkan bertanya dan jawapan yang diterima pula kadang-kadang amat menyedihkan. Misalnya ada Ustaz yang memulakan jawapanya dengan mengatakan, ‘ soalan sedemikian sepatutnya tidak diajukan yang berkemungkinan si penyoal terkeluar daripada akidah Islam…..”. Justeru jawapan sedemikian sudah boleh ‘menutup’ hati dan perasaan yang menyoal agar tidak meneruskan lagi soalan-soalan walaupun dalam benak penuh dengan soalan-soalan yang masih belum berjawab.

Rupa-rupanya keadaan sepertimana yang digambarkan di atas masih lagi berlaku pada Kurun ke21. Sekiranya betul apa yang tertulis dan dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 29 Mei 2015 dengan tajuk ‘Banyak bertanya, Jabatan agama dakwa’ maka itu merupakan sejarah hitam dalam perkembangan agama Islam di negara ini.

Malaysiakini melaporkan,’ 'Pencarian' seorang lelaki untuk mendalami Islam membawanya ke tempat yang tidak pernah diingininya - masalah.Wan Sulaiman Wan Ismail, 54, dari Perak, sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai perbezaan antara apa yang tertulis dalam al-Quran dengan amalan Muslim.Antara tempat yang dituju untuk mencari jawapan ialah pejabat Mufti Perak.

"Saya menganggap mereka sebagai guru. Sebab itu saya pergi ke sana untuk bertanya dan mendapatkan nasihat.Bagaimanapun mereka cuma memberitahu saya supaya ikut saja apa yang mereka kata," jelas Wan Sulaiman dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini” Malaysiakini 29 Mei 2015

            Sekiranya betul sebagaimana yang dilaporkan maka bolehlah dikatakan bahawa jabatan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPP) sedang ‘sakit tenat’. Dan turut ‘tenat’ juga ialah Mufti Perak. Berdasarkan kepada laporan yang dilaporkan seolah-olah mengemukakan soalan berkaitan dengan prisnsip agama Islam merupakan suatu kesalahan. Tentulah Islam tidak mengajar begitu. Aku yakin bahawa bahawa Nabi Muhammad sememangnya menggalakkan umat Islam supaya bertanya dan menyelesaikan masalah-masalah yang terpendam dalam jiwa.

            Awal Kurun ke 20, isu sebegini pernah juga dibangkitkan oleh Pendeta Za’ba dalam buku “Za’ba Patriot dan Pendeta Melayu’ karangan Adnan Haji Nawang. “Za’ba menyedari bahawa Islam sudah menjadi sebati dengan Melayu tetapi ia juga merasakan bahawa bangsa Melayu tidak mengikut ‘ajaran Islam yang sebenar’ berdasarkan al_quran dan Hadis yang sahih. Faktor ini dikatakan menjadi punca kepada kelemahan masyarkat Islam bukan sahaja di Tanah Melayu,malah di seluruh dunia Islam. Dalam hubungan ini, Za’ba lebih cenderung menyalahkan fahaman konservatif yang dikatakan tersalur melalui institusi formal dan ajaran oleh ulama Kaum Tua.

            Itu pandangan Pendeta Za’ba yang diluahkannya disekitar tahun-tahun 1920an.Dan malangnya suasana seperti yang digambarkan oleh Za’ba itu masih berlaku. Amat malang sekali kepada orang Melayu. Dan Pendeta Za’ba mengatakan, Faktor ini dikatakan menjadi punca kepada kelemahan masyarkat Islam bukan sahaja di Tanah Melayu,malah di seluruh dunia Islam” Pandangan sedemikian harus direnung dan ditilik sedalam-dalammnya oleh golongan peneraju agama Islam di Malaysia yang merasakan diri mereka ‘serba pandai dan serba tahu’ itu.

            Itu berkaitan dengan agama Islam. Namun begitu dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkara lain juga rakyat tidak digalakkan bertanya. Dan sekiranya ada pihak yang berani bertanya pula, maka tidak ada jawapan yang diberikan. Dan sekiranya ada jawapan yang diberikan, maka jawapan itu adalah berkaitan dengan isu lain yang dicipta sendiri.

            Rakayat Malaysia masih lagi tertanya-tanya tentang banyak perkara mengenai IMDB, Tabung Haji dan GST. Banyak sangat soalan yang belum dijawab dan kalaupun sudah ada jawapan telah menimbulkan lebih banyak soalan. Dan masih belum berjawab. Walaupun ada pengakuan tetapi kadang-kadang hanya merupakan pengakuan sebagai jawapan ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’.

abuhassanadam
30 Mei 2015



Wednesday, May 27, 2015

IMDB – SELURUH KABINET HARUS MELETAK JAWATAN           
            Walaupun sudah lama isu IMDB ‘berlegar’, namun masih ramai lagi rakyat yang tidak tahu tentang ‘biji-buah’nya. Mereka mendengar tentang kisah rakyat memberikan sokongan kepada DS Najib tetapi mereka tidak tahu ‘sokongan’ untuk apa. Mereka dengar ‘riuh-rendah’ tentang  hal Tabung Haji tetapi mereka tidak tahu yang wang ‘titik peluh’ mereka telah digunakan untuk membeli sebidang tanah yang kononnya hasil jualan harta berkenaan nanti akan mendatangkan keuntungan yang berlipat ganda. Mereka telah diberitahu begitu oleh akhbar dan TV arus perdana. Namun cerita sebenar tentang apa yang berlaku mereka tidak tahu. Lantas mereka masih menunggu dan menunggu jawapan……
           
            Sementara itu suku-sakat UMNO pula pasti sudah faham  ‘isi hati’ TS Muhyiddin Yasin berkaitan dengan IMDB ekoran daripada ucapannya pada satu majlis tertutup bersama pemimpin-pemimpin UMNO tidak berapa lama dulu. Dan yang diperbincangkan oleh mereka kini pastinya bukan sahaja mengenai IMDB tetapi mengenai perbezaan pendapat antara DS Najib dan TS Muhyiddin. Ringkasnya semacam ada ‘keretakan’ antara dua pemimpin atasan UMNO itu.

            TS Muhyiddin menyarankan agar semua pihak yang bertanggungjawab menyebabkan IMDB ‘merudum’ harus meletakkan jawatan. Cuma TS Muhyiddin tidak menyebutkan nama DS Najib supaya sama-sama meletakkan jawatan. Apakah beliau bimbang untuk mengaitkan nama DS Najib seorang dalam hal kemelut sebegni kerana mustahil beliau juga tidak mengetahui tentang selok belok IMDB ini. Tentu sekali DS Najib tidak keseorangan merangka dan melaksanakan tugas dalam IMDB. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pastinya beliau merujukkan juga hal IMDB ini kepada kabinet. Dengan demikian tentulah ‘tangan kiri’ tahu apa yang dilakukan oleh ‘tangan kanan’.

            Dalam hal ini YBM Tengku Razaleigh Hamzah ada menyarankan agar,’ "Everybody in the cabinet must be collectively responsible for this problem. You cannot say 'this is your problem, not my problem'," Malaysiakini May 25 2015. Maknanya bukan sahaja DS Najib yang harus dipersalahkan tetapi seluruh anggota kabinet termasuk juga TS Muhyiddin Yasin yang sama-sama berada dalam Kabinet untuk membincangkan isu-isu tertentu yang termasuk juga isu IMDB ini pastinya.

            Tambahnya lagi,’ …..the cabinet ministers were equally responsible, irrespective of whether they had knowledge of what transpired.He said ministers cannot hide behind the excuse of being ignorant about the matter, which is a public issue.If in the dark, Tengku Razaleigh said, the ministers should have raised it at a cabinet meeting” Malaysiakini 25 May 2015

            Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) TS Shahrir Samad menyokong kenyataan YBM Tengku Razaleigh itu yang seluruh kabinet harus mengambil tanggungjawab dalam skandal IMDB. Katanya, "Ia keputusan kolektif. Pilihan ada di tangan. Tiada siapa yang paksa. Kalau menteri itu tidak setuju (dengan keputusan Kabinet), maka boleh letak jawatan….Soalnya begitu mudah. Apabila keputusan itu berdasarkan kolektif dan tanggungjawab bersama, menteri Kabinet punyai peluang berbincang dan bertanya kalau tidak puas hati," Malaysian Insider 26 Mei 2015
            Ini bermakna bahawa TS Muhyiddin juga harus meletak jawatan sekiranya beliau tidak sependapat dengan apa yang diputuskan oleh kabinet. Berdasarkan ucapannya itu yang menekankan tentang pentingnya seluruh pengurusan IMDB meletak jawatan menampakkan perbezaan pendapat dengan tindakan YAB Perdana Menteri DS Najib sendiri. Dan sekiranya prinsip peraturan kabinet itu dipatuhi maka sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan keputusan kabinet seharusnya meletakkan jawatan.
            Membincangkan hal sebegini terutama yang berkaitan dengan prinsip perjuangan, tentulah rujukan kita ialah kepada tindakan Tun Dr. Ismail yang mengambil sikap meletakkan jawatan apabila bertentangan pendapat dengan Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri pada ketika itu. Pernah satu ketika beliau mengambil keputusan sedemikian hanya disebabkan oleh tindakan Tunku yang bersetuju dan menyokong agar negara Komunis China di senaraikan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hal ini berlawanan dengan persetujuan yang telah dipersetujui oleh Tunku dan Dr. Ismail (Menteri Luar) sebelum itu. Hanya dengan tindakan Tunku yang membelakangkan persetujuan awal sahaja menyebabkan Tun Dr Ismail  meletak jawatan. Dan kesilapan Tunku itu diakui oleh Tunku Abdul Rahman sendiri. Itulah yang dinamakan pejuang tulin yang semestinya dihormati dan disanjung oleh bangsa Malaysia.(Rujukan: Tunku Abdul Rahman,” LOOKING BACK’-1977)
            Rakyat Malaysia masih terus bingung mengenangkan nasib malang yang menimpa IMDB ini. Yang membingungkan ramai orang ialah tentang ‘kesanggupan’ dan ‘kerelaan’ pemimpin kita untuk tidak menyuarakan sesuatu tentang IMDB ini. Hanya pemimpin pembangkang yang sentiasa riuh rendah mempersoalkan tentang ‘ada yang tak kena’ mengenai IMDB sedangkan para pemimpin UMNO khususnya terus menerus menyepi diri. Wakil Parlimen menyepi diri. Para menteri kabinet juga menyepi diri. Ketua-ketua Bahagian UMNO juga menyepi diri. Dan Ketua Cawangan UMNO di kampung-kampung tidak perlu dipersalahkan disebabkan mereka sebenarnya tidak tahu menahu tentang ‘selok-belok’ IMDB.
            Pemimpin UMNO lain perlu dipersalahkan kerana semacam bersubahat dengan kepimpinan pengurusan IMDB. Tak mungkin mereka tak tahu. Tak mungkin mereka tak tahu kata YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Takkan lah mereka tak tahu kata TS Shahril Samad. Dan yang akhir sekali menyatakan ‘kehairanan’ ialah Dato Zaid Ibrahim, bekas Menteri Kabinet.

abuhassanadam
28 Mei 2015


Tuesday, May 26, 2015

APABILA ARUL DAN SHAHROL TAK ENDAH PAC

            Aku melihat keengganan dua ‘tokoh’ penting dalam IMDB, Arul dan Shahrul   yang enggan untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) sebagai suatu tindakan yang kurang beradab dan tidak menghormati Parlimen (yang bertanggungjawab menubuhkan jawatankuasa PAC berkenaan).

            Laporan dari Malaysiakini menyebut bahawa,”1Malaysia Development Berhad (1MDB) president and executive director Arul Kanda will not attend the Public Accounts Committee (PAC) meeting…..Earlier, sources told Malaysiakini that Arul and former chief executive officer (CEO) Shahrol Halmi, who was also slated to testify tomorrow, have asked for a time extension……the reason given for their absence was that the duo are currently on a working trip abroad”

            Alasan yang diberikan untuk tidak dapat menghadiri mesyuarat berkenaan adalah disebabkan mereka terpaksa menghadiri satu mesyuarat di luar negara. Maknanya dua orang ‘tokoh’ ini nampak lebih penting daripada PAC dan PAC terpaksa akur dengan alasan yang diberikan. Bermakna status dan kedudukan mereka adalah lebih penting daripada PAC yang dilantik oleh Parlimen dan di mana ahlinya terdiri daripada wakil parlimen yang dipilih oleh rakyat. Seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa kedudukan mereka adalah amat penting yang mana sehinggakan PAC juga harus menyesuaikan ‘jemputan mesyuarat’ dengan jadual mereka yang telah ditetapkan lebih awal.

            Rasa mahu bersetuju pula dengan kenyataan YB Rafizi Ramli yang mengatakan bahawa tindakan kedua-dua orang tokoh itu adalah sebagai satu penghinaan dan harus dpecat serta merta. Seterusnya beliau berkata,"This is ridiculous. It was bad enough in the past when they didn't openly come out to clarify and set the facts straight….But now their refuse to attend the PAC meeting […] that is the final insult and (Arul) should be sacked immediately……in any other parliament in the world, when the highest committee like a PAC summons you, because your actions have public impact, they would have to attend.” Malaysiakini 25 Mei 2015.

            Berbagai tuduhan dan tohmahan telah dilemparkan kepada mereka yang enggan menhadirkan diri di mesyuarat berkenaan sehingga akhirnya mencul kenyataan dari kedua-dua mereka yang menafikan yang mereka tidak mahu menghadiri mesyuarat berkenaan. Dalam satu kenyataannya Arul Kanda menyatakan,’ “Both, Arul Kanda and Datuk Shahrol Halmi, look forward to appearing before the committee and having the opportunity to clarify 1MDB's position," Malaysian Insider 25 May 2015
            Rakyat mungkin tidak tahu kedudukan sebenarnya. Dan rakyat tidak pula mahu melemparkan tuduhan melulu sehingga diketahui kedudukan sebenar-benarnya. Apakah sahih yang pada mulanya mereka tidak mahu menghadiri mesyuarat berkenaan sehinggalah mendapat tekanan yang begitu kuat daripada golongan ‘blogger’ yang amat perihatin tentang usaha untuk ‘menyelamat’ negara kini.
            Yang agak menghairankan ialah tentang ketidak-pekaan golongan rakyat Malaysia yang kononya sebagai ‘pejuang’ dan ‘pembela’ negara tetapi kini kelihatan agak ‘senyap’ dan semacam menyembunyikan diri. Ke manakah perginya PERKASA. Ke mana hilangnya ISMA? Ke manakah ghaibnya ‘pejuang-pejuang’ yang sanggup memikul kepala lembu dan menendang masuk Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang suatu ketika dulu. Apakah mereka tidak peka dengan ‘bahana’ yang akan ditimbulkan oleh IMDB ini. Ataupun apakah mereka bersetuju dengan tindakan IMDB yang dikatakan akan menghancurkan ekonomi negara dan ‘memufliskan’ negara Malaysia. Apakah golongan ini tidak yakin tentang apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir dan beberapa orang puak pembangkang (termasuk Blogger) yang sentiasa ‘terpekik terlolong’ memperkatakan sesuatu  mengenai keburukan IMDB itu.
            Turut diselubungi rasa sedih rakyat ialah tentang sikap sebahgian besar para pemimpin kita terutama para Menteri, Wakil Parlimen, Pemimpin-pemimpin UMNO peringkat Bahagian dan Cawangan yang turut juga ‘mengunci mulut’ berkaitan dengan isu IMDB. Rakyat tertanya-tanya mengapa keadaan terjadi demikian. Apakah mereka masih belum memahami isu ini dengan sejelas-jelasnya atau apakah mereka turut ‘bersubahat’ untuk menyembunyikan isu IMDB ini daripada diketengahkan. Tidak masuk akal sekiranya mereka tidak tahu langsung penyelewengan yang berlaku dalam IMDB ini. Mengapakah mereka tidak memainkan peranan mereka sebagai ‘suara dan lidah’ rakyat terbanyak. Mengapa?
            YBM Tengku Razaleigh Hamzah ada mengatakan, “The entire cabinet should be held responsible for the 1Malaysia Development Berhad (1MDB) imbroglio. The veteran Umno lawmaker said Prime Minister Najib Abdul Razak should not be solely blamed for this matter….Everybody in the cabinet must be collectively responsible for this problem. You cannot say 'this is your problem, not my problem'," Malaysiakini 25 Mei 2015.
            Kadang-kadang terfikir juga aku bahawa para pemimpin (kalau boleh dipanggil sebagai pemimpin) kita sudah seperti apa yang berlaku dalam cerita Si Luncai yang membiarkan ‘si Luncai terjun dengan labu-labunya’.
            Maka berteriaklah segala ‘pemimpin’ kita. “Biarkan…..biarkan……..”

abuhassanadam
26 Mei 2015


Monday, May 25, 2015

TUN MAHATHIR KATA DS NAJIB BERBOHONG

Melalui Blognya Dr.Mahathir Mohamad, Tun Mahathir menyatakan,’Amatlah menyedihkan apabila saya dapati saya tidak dapat elak dari kenyataan bahawa Perdana Menteri membohong . Dalam kes wang 1MDB yang dikatakan telah dibawa balik dari Cayman Islands dan disimpan dalam bank BSI Singapura, jawapan tertulis oleh Perdana Menteri kepada soalan Parlimen tidak menepati kebenaran sama sekali…..Pembohongan yang pertama ialah tidak ada wang tunai 1MDB yang dibawa balik…..Kedua, tidak ada wang tunai yang dimasukkan ke dalam bank BSI di Singapura.”

            Tuduhan Tun Mahathir yang sebegini pastinya amat menyedih dan memilukan perasaan rakyat Malaysia. Apa tidaknya. Seorang pemimpin negara, berjawatan Perdana Menteri telah dituduh berbohong dan menipu rakyat Malaysia oleh bekas erdana Menteri melalui jawpan parlimen yang disampaikannya. Rakyat mana yang tidak sedih mengenangkan hal sebegini yang dirasakan amat tidak patut seorang pemimpin negara berbuat sedemikian. Apalah agaknya kredibiliti yang tinggal kepada seorang Perdana Menteri jika beliau dituduh berbohong dan tidak bercakap betul. Rakyat past akan mengatakan bahawa, ‘jika guru kencing berdiri, maka pastinya anak murid kencing berlari’ Dan ‘jangan diharaplah ibu ketam untuk menyuruh anaknya berjalan betul, sekiranya perjalanan ‘si ibu’ pun juga senget (tidak betul).

            Ekoran daripada tuduhan sedemikian maka Kementerian Kewngan pula telah mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa DS Najib tidak berbohong. "Kementerian Kewangan telah meminda jawapan asal yang telah dibuat pada 10 Mac 2015 agar tidak timbul kekeliruan mengenai kedudukan kewangan 1MDB di BSI Singapura dan selaras dengan tuntutan urusan Parlimen…….Tindakan Kementerian Kewangan meminda jawapan asal adalah bukti ia tidak berniat sama sekali hendak berbohong mengenai perkara tersebut…Lantas, dakwaan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Datuk Seri Najib yang juga menteri kewangan telah berbohong adalah tidak wajar," Malaysiakini, 25 Mei 2015

Ada pihak tertentu yang akan menentukan berbohong tidaknya kenyataan DS Najib itu. Katakanlah jawapan asal DS Najib yang disampaikan di parlimen pada 10 Mac 2015 itu sebagai kenyataan yang tidak betul dan perlu dipinda sekarang, tentulah ramai yang bertanya pula mengapakah Kementerian Kewangan tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yanga amat penting itu. Isu yang berkaitan dengan IMDB adalah merupakan ‘isu hidup-mati’ yang sedang diperkatakan kini. Dan seharusnya para pegawai di kementerian Kewangan bertanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan yang mereka lakukan.

Dan semacam bukanlah DS Najib seorang yang patut dipersalahkan. Segala jawapan parlimen biasanya disediakan oleh para pegawai di kementerian tertentu. Dalam hal isu IMDB ini tentulah Kementerian Kewangan yang bertanggungajwab menyediakan jawapannya. Apabila timbul keadaan yang sebegini, tentulah nampak jelas kecuaian dipihak kementerian berkenaan. Bukan sahaja pegawai yang menyediakan jawapan itu yang patut dikenakan tindakan, tetapi Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan juga tidak harus terlepas daripada tindakan tatatertib. Beliau seharusnya tahu dan peka dengan apa yang dilakukan oleh anak buahnya kerana ini merupakan isu besar yang membabitkan maruah dan martabat negara.

            Dan rakyat pasti juga mempersoalkan tentang peranan Menteri Kewangan Kedua, Timbalan Menteri Kewangan dalam hal menyemak dan ‘meluluskan’  jawapan di parlimen. Dan akhirnya tentulah DS Mohd Najib selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri sendiri tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab berkenaan. Walau apa pun alasan diberi dan dikemukakan maka jelasnya semua pihak di Kementerian Kewangan dianggap bertanggungjawab.

            Jikalau mengikut Tun Mahathir, “Adalah jelas bahawa dalam kes wang tunai yang didakwa oleh Perdana Menteri dan pegawai-pegawai Kerajaan, Bank Negara dan 1MDB telah dibawa balik dari Caymans Islands dan disimpan di BSI bank di Singapura serta pindaan kepada jawapan pertama bahawa bukan wang tunai yang dibawa balik dan disimpan di Singapura, tetapi dokumen, kesemuanya tidak benar. Mereka yang membuat lapuran yang salah ini telah melanggar undang-undang jenayah Seksyen 218”

            Dengan pendedahan ini, tentulah rakyat Malaysia merasa amat sedih dengan tindakan sedemikian. Sedih disebabkan sudah ‘terlalu jauh’ rupanya tindakan para pemegang amanah negara menyimpang daripada harapan dan hasrat rakyat. Rakyat Malaysia telah meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada para pemimpin negara untuk menerajui negara ini dan membawa kemajuan yang sepatutnya dibanggakan agar kita tidak ketinggalan berbanding dengan pencapaian negara-negara lain. Rakyat menyerahkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada pemimpin yang diharapkan tidak akan mengecewakan harapan rakyat, terutamanya rakyat miskin luar bandar.

Rupa-rupanya ‘harapkan pagar, pagar makan padi’

abuhassanadam
25 Mei 2015