Saturday, May 2, 2015

PEMIKIRAN MENTERI PERTANIAN MASIH PADA TAHAP TAHUN 1950AN

Tentu ramai rakyat Malaysia yang masih ingat dan masih segar dalam ingatan mereka apabila Menteri Pertanian Malaysia, YB Ismail Sabri Yaakub telah menimbulkan kontroversi berkaitan dengan kenyataannya yang mencadangkan rakyat Malaysia memulaukan peniaga Cina. Pernah beliau menyatakakan, "Majoriti pengguna adalah Melayu, Cina adalah minoriti, kalau Melayu boikot perniagaan mereka, tentu mereka tiada pilihan untuk turunkan harga barang…… Saya tujukan kepada peniaga-peniaga Cina yang liat untuk turunkan harga barang walaupun minyak turun harga”( Malaysian Insider 2 Februari 2015)
Semalam beliau telah mengeluarkan satu lagi kenyataan yang bagi aku tidak berapa cerdik dan memperkecilkan pemikiran orang Melayu, khususnya kaum petani yang berada di luar bandar, di Permatang Pauh khususnya. Katanya,’ "Soal pertanian, calon kita akan boleh bangkitkan di Parlimen. Tambahan pula ini adalah kawasan pertanian….Saya pasti akan luluskan semua yang diminta Suhaimi, jika beliau minta…..Kalau Dr Wan Azizah, tak ada sebab pun untuk saya jumpa dia……Sampai lobi pun kita tak bagi dia masuk, sebab dia parti lain…..Dalam pilihan raya ini, jangan fikirkan sangat siapa calonnya….Sebaliknya, fikirkan apa yang kita boleh dapat jika calon tertentu menang," Malaysian Insider 1 Mei 2015.
Kenyataan Menteri Pertanian ini jelas mencabar minda orang Melayu khususnya masyarakat di Permatang Pauh yang dianggapnya begitu kolot dan terkebelakang sehinggakan tidak boleh berfikir untuk menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Pengundi Permatang Pauh tentunya faham bahawa wang kerajaan adalah wang rakyat dan bukannya wang milik peribadi menteri berkenaan. Walaupun sebagai pihak yang berkuasa (kini selagi BN memerintah) beliau boleh melakukan apa yang diperkatakannya, namun dari segi hakikatnya beliau hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh rakyat. Dan jikalau begitu sikapnya maka jelas menunjukkan bahawa beliau bukan seorang menteri yang amanah memikul tugas memajukan rakyat.
Kenyataannya yang menampakkan bahawa beliau kurang berbudi bahasa dalam tindak tanduknya ialah ketika mengeluarkan kenyataan yang agak tidak sopan terhadap Dr. Wan Azizah. Katanya,’ …..Kalau Dr Wan Azizah, tak ada sebab pun untuk saya jumpa dia……Sampai lobi pun kita tak bagi dia masuk, sebab dia parti lain…..” Agak memeranjatkan kenyataan seorang menteri yang bersifat demikian. Dapat dibayangkan sifat dan sikapnya terhadap rakyat marhaen yang mengharapkan pertolongan. Sedangkan dengan seorang pemimpin ( seperti Dr Wan Azizah) pun beliau tidak mempedulikannya inikan pula dengan rakyat miskin lain yang memerlukan pertolongan dan bantuan.
Berdasarkan keseluruhan episod ini memberikan gambaran  bahawa yang bergelar ‘pemimpin’ negara kini masih mengamalkan tektik kempen secara mengugut, menggertak disamping menganggap bahawa masyarakat luar bandar masih bodoh, tongong, bangang seperti masyarakat Melayu pada tahun-tahun 1950an dan 1960an dulu. Dengan sebab itulah agaknya pihak kerajaan BN kini masih merasakan bahawa orang kampung tidak perlu ‘dicerdikkan’ agar senang dan mudah untuk dieksploitasi. Lagi ramai ‘manusia’ yang masih bodoh dan tolol, maka mudahlah pihak kerajaan melaksanakan tugas untuk mengeksploitasi mereka. Mngkin begitu anggapan setengah pemimpin negara.
Dan terfikir juga aku bahawa apakah masih ada lagikah orang kampung, khususnya di Permatang Pauh ini yang ‘termakan’ dengan saranan menteri berkenaan. Setahu aku dan seingat aku, para petani di Permatang Pauh sudah cukup maju apatah lagi ketika berada di bawah ‘jagaan’ Saudara Anwar Ibrahim yang juga pernah pada suatu ketika menjadi Menteri Pertanian Malaysia. Dan aku masih ingat juga bahawa ketika berada dalam kerajaan Saudara Anwar telah berusaha sedaya upayanya membawa pembangunan di kawasan ini dan juga di kawasan-kawasan lain. Pernah pada suatu ketika peruntukan pembangunan kawasan Permatang Pauh diagihkan ke tempat-tempat lain disebabkan sudah tidak ada apa yang hendak dimaju dan dibangunkan disitu.
Yang ‘menakjubkan’ aku apabila meneliti kenyataan YB Ismail Sabri Yaakub ini ialah tentang anggapanya yang seolah-olah merendahkan mentaliti masyarakat Permatang Pauh. Seolah-olah beliau menganggap masyarakat Permatang Pauh masih ‘primitif’, ketinggalan, bodoh, bangang dan tidak menempuh arus kemajuan. Saranannya kepada petani Permatang Pauh adalah seperti sebagaimana wakil rakyat Perikatan (UMNO, MCA, MIC) memberi janji dan ‘ugutan’ kepada pengundi dalam PRU tahun-tahun 1950an dan 1960an.
Apakah beliau lupa dan tidak sedar bahawa Permatang Pauh terletak di Pualu Pinang, di sebelah pantai Barat Semenanjung dan boleh dikira sebagai salah sebuah kawasan pertanian termaju di Malaysia. Dan sekiranya beliau tahu dan faham tentang hakikat ini maka tentu sekali beliau tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh mengguris perasaan masyarakat petani di Permatang Pauh.
Yang harus disedari oleh YB Ismail Sabri Yaakub dan juga para ‘pemimpin’ lain yang datang berkempen di PRK Permatang Pauh ialah bahawa ‘pentas’ ini adalah ‘pentas’ kurun ke 21 dan bukan lagi ‘pentas’ 1950an atau 1960an. Lantas isu dan cara berkempen juga harus selari dengan peredaran dan pergerakan zaman apatah lagi dengan kemunculan media sosial yang boleh mengubah landskap politik negara dalam sekelip mata.
Para ‘pemimpin’ negara harus sedari hakikat ini.

abuhassanadam

2 Mei 2015

No comments:

Post a Comment