Wednesday, September 23, 2015

PAKATAN HARAPAN SUATU HARAPAN BARU BAGI RAKYAT MALAYSIA

            Sebenarnya kemunculan Pakatan Harapan (PH) telah seolah-olah memberikan suatu nafas baru kepada rakyat Malaysia yang kini dalam ‘kesesakan’ disebabkan oleh keadaan ‘bala’ yang menimpa negara kini. Rakyat Malaysia kelihatan amat kecewa dengan keadaan yang berlaku dalam negara kini dengan berbagai kerenah yang amat kusut untuk diselesaikan.

            Seingat aku tidak pernah negara kita mengalami keadaan sepertimana yang dialami kini. ‘Gambaran’ yang kelihatan mengenai negara kita Malaysia adalah amat ‘gelap dan kabur’ di mata dunia. Tidak diketahui samada apa yang dilaporkan oleh The wall Street Journal, The New York Times, The Guardian London dan akhbar-akbar lain itu sahih atau tidak, namun disebabkan kuatnya pengaruh akhbar demikian di mata dunia maka tidak dapat tidak masyarakat dunia meyakini dan mempercayainya.

            Apatah lagi tidak ada penafian dibuat oleh Perdana Menteri kita tentang ‘penglibatan’ yang mencemarkan nama baiknya. Selagi DS Mohd Najib tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar-akhbar demikian, maka selagi itulah masyarakat dunia akan meyakininya. Namun dikukuhkan lagi dengan peribahasa Melayu,’ jikalau tidak ada angin takkanlah pokok bergoyang’. Orang Putih juga ada mengatakan,’ there is no smoke without fire’.

            Rakyat Malaysia sememangnya sudah cukup malu di mata dunia. Nama negara Malaysia yang sentiasa dsanjung dan dipuja pada tahun-tahun 80an dan 90an kini sudah amat tercemar. Mungkin sudah ada yang mentertawakan. Aku dapat bayangkan tentang ‘penderitaan’ rakan-rakan yang berkhidmat di kedutaan luar negar tentang ‘azab sengsara’ yang mereka alami dalam menjalankan tugas ‘memikul’ nama Malaysia kini. Walaupun tidak ditertawakan, sekurang-kurangnya akan terasa ‘bahangnya’.

            Hampir setiap hari dan ketika nama Malaysia dan IMDB ‘naik’ dan muncul di dada-dada akhbar di dunia dengan berita-berita yang amat memalukan kita. Dan entah bilalah agaknya keadaan sebegini akan selesai. Tetapi yang menyedihkan kita ialah adang segelintir orang Melayu di negara ini yang semacam langsung tidak percaya tentang apa yang berlaku kini. Aku tidak pula menyarankan agar Perdana Menteri kita harus ditentang secara habis-habisan. Tidak begitu. Tetapi sekurang-kurangnya segelintir orang Melayu yang menyokong UMNO harus merenungkan sejenak dan tidak menyokong secara melulu apa yang telah berlaku. Sekurang-kurangnya berikan pertimbangan dan diadili betul-tidaknya isu-isu yang berbangikit.

            ‘Wabak’ yang melanda negara kini semacam tidak diketahui dimana titik noktahnya. Sepatutnya DS Najib memberikan ruang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan dan keputusan tentang arah tuju negara ini. Dan jalan yang sebaik-baiknya bagi beliau ialah dengan meletakkan jawatan (sementara) dan memberi peluang penyiasatan terperinci untuk membersihkan namanya. Sepatutnya begitu. Namun melihatkan kepada keadaan yang tidak menentu ini, memberikan satu bayangan kepada rakyat bahawa keadaan sedemikian berkemungkinan besar tidak akan berlaku. Seolah-olah tidak akan bertemu dengan garis penamatnya.

            Justeru kelahiran Pakatan Harapan yang ‘mendendangkan’ nama DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ( sekiranya memenangi PRU 14) amat tepat pada masanya. Rakyat Malaysia sudah hampir ‘tenggelam punca’ mengenangkan nasib yang akan menimpa negara ini. Kini sekurang-kurangnya rakyat Malaysia menaruh harapan yang begitu tinggi kepada PH untuk membetulkan keadaan yang agak ‘rosak’ di negara ini.

            Mungkin rakyat Malaysia boleh bersabar menantikan PRU 14 itu. Dan mungkin juga sudah ada golongan yang sudah ‘tidak sabar-sabar’ lagi mengenangkan keadaan negara kini.Tetapi sekuarng-kurangnya dengan adanya Pakatan Harapan, dapat juga memberikan harapan tentang berkemungkinan terjelmanya suatu ‘cahaya baru’ yang akan menerangi negara Malaysia pada masa akan datang, apatah lagi nama Anwar Ibrahim telah ditonjolkan sebagai Perdana Menteri negara baru.

            Apa yang aku perkatakan ini mungkin hanya sebagai suatu harapan dan impian dan terpulanglah kepada rakyat keseluruhnya untuk merealisasikannya. Kepada kepimpinan Pakatan Harapan, hendaklah bersedia medokong cita-cita dan harapan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini. Dan sesuatu yang harus jangan dilupakan bahawa negara Malaysia adalah milik Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dll.

            Wujudkan bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenar-benarnya.

abuhassanadam
23 September 2015





Saturday, September 19, 2015

KUMPULAN ‘BAJU MERAH’ TIDAK MEWAKILI MELAYU KURUN KE 21

            Mungkin ada yang merasakan bahawa beberapa ‘tindakan’ yang dilakukan oleh golongan ‘Baju Merah’ dengan mengadakan Perhimunan Baju Merah pada 16 September 2015 lalu merupakan tindakan orang Melayu umumnya yang sepatutnya disokong oleh orang Melayu. Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa itulah sebenarnya ‘perangai’ orang Melayu. Dan ada juga pemimpin secara terang-terangan dan secara ‘diam-diam’ memuji tindakan golongan Baju Merah sebagai satu perbuatan yang beradab!. Apakah orang Melayu secara umumnya bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh golongan Baju Merah demikian?

            ‘Disumbatkan’ ke dalam pemikiran rakyat Malaysia dengan mengatakan bahawa diadakan perhimpunan Baju Merah ada lah berpunca daripada Perhimpunan Bersih 4 yang dikatakan dianjurkan oleh orang Cina yang menyebabkan orang Melayu merasa terancam. Itu merupakan suatu pembohongan terang-terangan. Namun begitu ‘anggapan’ sedemikian terus mendapat sokongan dari setengah pemimpin negara (yang memejamkan mata agaknya). Majoriti rakyat Malaysia semacam bingung dengan kenyataan demikian. Tun Dr Mahathir hairan dengan kenyataan demikian. Tun Abdullah Badawai juga terkejut dengan kenyataan demikian. Begitu juga dengan beberapa orang pemimpin Melayu lain yang ditemui.

            Dalam satu kenyataannya yang dipetik oleh Malaysiakini Tun Abdullah menyatakan,“Malay pride is not under threat, said former prime minister Abdullah Ahmad Badawi."I don't think so... Nothing has led to (Malay pride being challenged) as far as I know…….Maybe some feel that way on the left or right side. As far as I know, it has not caused any fight," he told reporters in Kuala Lumpur today.

            Kononnya golongan ‘Baju Merah’ mewakili golongan orang Melayu yang tertindas. Dan majoriti orang Melayu yang rasional di negara ini tidak begitu bersetuju dengan beberapa tindakan yang dilakukan oleh kumpulan ini yang amat bertentangan dengan cara dan tindakan orang Melayu sebagaimana yang digambarkan oleh Sasterawan Negara Usman Awang melalui sajaknya berjodol ‘MELAYU’.

            Melayu itu orang yang bijaksana
            Nakalnya bersulam jenaka
            Budi bahasanya tidak terkira
            Kurang ajarnya tetap santun

            Aku tidak dapat membayangkan tentang jauhnya beza antara “Melayu’ yang digambarkan oleh Usman Awang dengan Melayu berBaju Merah (yang kononnya mewakili Melayu) yang digambarkan oleh Ketua Polis Negara. Kenyataan TS Khalid Abu Bakar menyatakan,
            “ …..has expressed regret over the racial slurs and provocative banners during the red shirt rally…He also criticised protesters who pelted his personnel with bottles and refused to heed orders to disperse at Petaling Street. ‘ I warned them before the rally that they should not cross the line by making racial insults or carry banners that disparage  other races and undermine peace….Unfortunately some of them chose not to heed the warning”  Malaysiakini 17 September 2015

            SN Usman Awang ada juga menyatakan,
           
            Malangnya Melayu itu kuat bersorak
            Terlalu ghairah pesta temasya
            Sedangkan kampung telah tergadai
            Sawah sejalur tinggal sehengkal
            Tanah sebidang mudah terjual
            Meski telah memiliki telaga
            Tangan masih memegang tali
            Sedang orang mencapai timba
            Berbuahlah pisang tiga kali


            Sepatutnya kumpulan Baju Merah fikirkan juga hal ‘tanah sebidang mudah terjual’. Harus dipersoalkan juga oleh kumpulan Baju Merah tentang golongan mana yang menjual tanah rizab Melayu di negara ini. Dan baru kini kedengaran sibuk berita tentang usaha pihak tertentu untuk mempertahankan Tanah Rizab Melayu setelah entah apa yang telah terjadi kepada tanah rizab Melayu akibat kerakusan pentadbiran dan pemerintahan yang kononnya memepertahankan hak Melayu. Sekurang-kurangnya penjajah British peka dan sedar tentang ‘tanggungjawab’ mereka untuk menjaga tanah orang Melayu dari berpindah tangan, dijual kepada bukan Melayu dan lantas dilindungi dengan meletakkan tanah Rizab Melayu’ dalam geran-geran tanah orang Melayu.

            Dan sepatutnya golongan Baju Merah memikirkan juga tentang kelemahan orang Melayu yang sehingga kini masih ketinggalan dalam bidang berbagai bidang berbanding dengan kaum lain. Dan golongan Baju Merah sepatutnya mempersoalkan tentang berkesan tidaknya pemerintahan Barisan Nasional (UMNO) dalam memajukan orang Melayu. Hendaknya janganlah sentiasa menyalahkan orang lain, kaum lain yang menyebabkan orang Melayu masih lemah dan ketinggalan.

            Dan hendaknya janganlah ada lulusan pusat pengajian tinggi yang merusuh dan melanggar peraturan sebagaimana yang telah dianjurkan oleh pihak polis di petaling Street itu. Sekiranya terdapat para anak muda lulusan universiti maka tentulah amat malang sekali peristiwa sebegini yang telah menimpa bangsa kita yang bernama Melayu. Kita ‘jenguk’ lagi bait-bait sajak SN Usman Awang,

            Melayu itu masih bermimpi
            Walaupun sudah mengenal universiti
            Masih berdagang di rumah sendiri
            Berkelahi cara Melayu
            Menikam dengan pantun
            Menyanggah dengan senyum
            Marahnya dengan diam
            Merendah bukan menyembah
            Meninggi bukan melonjak.

            Apakah orang Melayu namanya jika tindakan yang dilakukan oleh Baju Merah amat jauh menyimpang dari amalan-amalan orang Melayu sebagaimana yang dilukiskan oleh sastarawan Negara Usman Awang itu.

            Maknanya golongan Baju Merah, samada pemimpin atau pengikut setianya tidak layak mewakili golongan Melayu Kurun ke 21.

abuhassanadam
19 September 2015



Thursday, September 17, 2015

ORANG MELAYU TIDAK AKAN MAJU HANYA DENGAN MEMUSUHI KAUM LAIN

            Sehingga Tun Mahathir sendiri merasa hairan tentang matlamat dan tujuan diadakan Perhimpunan Baju Merah. Aku merasakan sebahagian besar rakyat Malaysia juga akan terpinga-pinga melihatkan segelintir orang Melayu terjerit dan terlolong dengan tidak tentu tujuan dan matlamat mengapa mereka berhimpun. Aku merasa yakin bahawa orang Cina ataupun khususnya parti DAP tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ‘tindakan’ golongan Baju Merah itu kerana apa yang disuarakan sebagai tentangan mereka sebenarnya tidak berkaitan.
           
            Kata Dr Mahathir BERSIH 4 bukanlah perhimpunan bersifat rasis kerana ia disertai pelbagai kaum."Mereka (kumpulan baju merah)mahu BERSIH menjadi rasis supaya mereka boleh mempertahankan Melayu…..(Bagaimanapun) mereka bukan mempertahankan Melayu. Ia (Himpunan Rakyat Bersatu) tak perlu," 

            Seorang lagi pemimpin negara yang menyatakan rasa kecewa terhadap perhimpunan Baju Merah ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam perutusan sempena Hari Malaysia beliau berkata, sambutan detik penting negara wajar dizahirkan dengan acara yang melambangkan perpaduan rakyat."Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya," kata beliau.
           
            Kumpulan Baju Merah menentang Perhimpunan Bersih 4 dengan alasan ia dianjurkan oleh parti DAP dan kaum Cina. Bagi siapa saja yang benar-benar hadir di Perhimpunan Bersih 4 tempoh hari merasakan anggapan yang Perhimpunan Bersih 4 itu dimonopoli oleh orang Cina amat meleset sekali. Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan bukan perhimpunan anjuran DAP atau orang Cina tetapi sebenarnya perhimpunan rakyat Malaysia yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan pemerintahan di Malaysia kini.

            Sebagai orang Melayu tulin, tentunya aku merasa amat sedih melihatkan tentang keadaan orang Melayu yang menghadiri Perhimpunan Baju Merah di Kuala Lumpur pada 16 September 2015. Melihatkan raut muka mereka yang hadir jelas menampakkan bahawa mereka tidak tahu apakah tujuan sebenar mereka hadir di perhimpunan demikian. Tidak salah jikalau ada yang mengatakan bahawa tujuan mereka hadir hanyalah untuk ‘merehatkan badan’ buat seketika setelah penat membanting tulang di ladang (buat peserta FELDA).

            Yang agak merunsingkan fikiran aku ialah tentag adanya sepanduk-sepanduk yang tertulis perkataan yang agak menyentuh perasaan sesuatu kaum yang pada pandangan aku harus dielakkan perkara-perkara sedemikian. Inilah jadinya sekiranya sesuatu perhimpunan itu tidak jelas matlamat dan tujuannya. Dan kehadiran para peserta juga tidak tentu hala dan tujuannya.

            Apakah tidak terguris hati kaum bukan Melayu apa bila melihat tulisan sepanduk yang berbunyi, ‘Malaysia Melayu Punya’ atau ‘Pantang Dicabar’ atau ‘Maruah Melayu jangan Dicabar’ dan berbagai ‘cogankata’ yang berbaur perkauman. Untuk apa ‘dipamerkan’ kata-kata sedemikian. Sebagai peserta yang hadir di perhimpunan Bersih 4 berkenaan dapat aku katakan bahawa tidak ada langsung kata-kata dari peserta yang boleh ‘mengguriskan’ hati orang Melayu. Tidak ada. Jikalau pun ada peristiwa ‘memijak gambar’ pemimpin yang dilakukan, berkemungkinan juga itu merupakan tindakan yang dilakukan oleh kumpulan ‘provokasi’. Dan kepimpinan Bersih 4 mengalu-alukan tindakan terhadap individu yang melakukannya. Memaparkan dengan jelas tujuan dan matlamat diadakan Perhimpunan Bersih 4 yang tidak bertujuan langsung menyakiti hati kaum-kaum yang ada di Malaysia.

            Sekiranya diperhalusi tentulah amat menyedihkan apabila mengenangkan ramai yang datang dari luar Kuala Lumpur yang terpaksa ‘bermalam’ dalam bas, semata-mata untuk ‘memperjuangkan’ satu matlamat yang tidak tentu ‘hujung-pangkal’nya. Apakah para penganjur perhimpunan  tidak merasa sedih dan pilu melihatkan keadaan orang Melayu yang begini yang tidak jauh pemikiran mereka darpada orang Melayu tahun 1950an dan 1960an. Harus disedari bahawa masih lagi ramai orang Melayu yang tidak boleh berfikir secara rasional untuk membuat pertimbangan ‘buruk-baik’ sesuatu keputusan, tentulah diharapkan kepada para ‘pemimpin’ untuk tolong membuat pertimbangan dan keputusan bagi pihak orang Melayu yang sebegini. Hendaknya janganlah para ‘pemimpin’ pula yang mengeksploitasi suasana mengalakkan orang Melayu dari kampung hadir ke perhimpunan Baju Merah ini dengan matlamat dan tujuan yang tidak jelas. Tidak salah sekiranya perjuangannya jelas demi kebaikan bangsa dan negara. Negara yang mengamalkan prinsip demokrasi memang menggalakan kegiatan yang sedemikian.

            Ekoran dari keghairahan peserta Perhimpunan Baju Merah yang terpekik dan terlolong telah menyebakan aku sebagai orang Melayu tulin berfikir panjang dan merenung jauh kehadapan memikirkan tentang nasib bangsa ku yang bernama Melayu. Apakah ada suatu bangsa di dunia yang boleh mencapai kemajuan hanya dengan terpekik dan terlolong dan memusuhi kaum lain bagi menempa sesuatu kejayaan. Sepanjang yang aku kaji dan pelajari tidak ada bangsa lain di dunia yang bersifat demikian.

            Yang tentunya memilukan hati ini lagi ialah mengenangkan tentang keadaan yang berlaku di Syria, Iraq dan Palestine yang semacam lebih kurang sama dengan keadaan yang dilakukan oleh orang Melayu kini. Disebabkan aku juga beragama Islam maka apa yang berlaku di negara berkenaan samalah seperti peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa, ‘cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya’. Tetapi kini ibarat nasi telah menjadi bubur. Negara-negara berkenaan telah hancur berkecai menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ dan rakyatnya mencari perlindungan di negara-negara maju di Eropah yang rakyatnya tidak terpekik dan terlolong sepertimana yang cuba diamalkan oleh bangsa Melayu di Malaysia kini.

            Para pemimpin Melayu harus merenungkan kembali hakikat bahawa tidak ada bangsa di dunia yang memperolehi kemajuan dengan memaki hamun, mengutuk dan memushi kaum lain.

            Renungkanlah…..

abuhassanadam
17 September 2015



Tuesday, September 15, 2015

PERPADUAN KAUM- JANGAN RETAK MENUNGGU BELAH

            Tajuk yang aku berikan ini mungkin keterlaluan bunyinya. Namun sekiranya tidak dibendung dan ‘disekat’ tidak mustahil ia kan berlaku memandangkan kepada ‘keghairahan’ setengah pihak yang cuba mengadu-domba dan mengapi-apikan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dan kadang-kadang kelihatan juga seolah-olah kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu semacam sengaja mahu memecah-belahkan kaum-kaum di Malaysia yang telah terbina sekian lama.

            Perpaduan kaum di Malaysia nampak ‘keretakkannya’. Tentulah peristiwa sebegini dirasakan amat malang terutama bagi ‘orang tua’ seperti aku yang telah sekian lama melihat bagaimana perpaduan kaum itu terbina. Dan bukan satu perkara yang mudah dan enteng membina perpaduan kaum di negara ini. Namun berkat hasil usaha para pemimpin kita yang terdahulu, maka akhirnya terjelma satu masyarakat Malaysia yang agak padu di negara yang tercinta ini.

            Kini kelihatan bahawa perpaduan yang agak utuh itu cuba diruntuhkan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak bertanggung jawab. Golongan yang tidak bertanggungjawab ini telah mengguna dan ‘memperdagangkan’ orang Melayu demi mencapai agenda mereka yang tersembunyi. Aku yakin bahawa bukan Komunis yang menjadi dalang untuk merosakkan perpaduan kaum di Malaysia kini. Dan aku yakin juga bahawa bukannya puak Yahudi yang berada di belakang untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara kita. Aku amat yakin ‘usaha’ memecah-belahkan perpaduan kaum di Malaysia berpunca daripada ‘usaha’ segelintir manusia yang mahu meneruskan penguasaan mereka terhadap negara ini.

            Rakyat Malaysia dari semua kaum, khususnya orang Melayu harus sedar tentang agenda tersembunyi golongan tertentu ini yang semata-mata menggunakan sentimen perkauman demi mencapai cita-cita mereka. Orang Melayu harus sedar bahawa mereka kadang-kadang tidak sedar yang mereka telah dipergunakan bersendikan slogan-slogan yang menyentuh dan ‘menghiris’ perasaan orang Melayu. Orang Melayu yang hidup dalam Kurun ke 21 harus memahami hakikat sedemikian. Anak-anak muda yang ‘bergelumang’ dalam dunia arus globalisasi harus sedar tentang peranan mereka kepada bangsa dan negara dan tidak harus mudah ‘digula-gula’.

            Sejarah telah membuktikan bahawa proses pembentukan perpaduan kaum di Malaysia mengambil masa yang agak panjang. Peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969 seolah-olah telah menyedarkan kaum-kaum di Malaysia bahawa sebenarnya pada ketika itu hubungan kaum di negara ini amat rapuh. Orang Melayu, Cina, India amat sedar tentang perkara itu dan lantas berusaha dengan gigih untuk memupuk perpaduan sedemikian.

            Kita tahu dari mana puncanya tentang tidak wujudnya perpaduan kaum yang mantap sebelum Peritiwa 13 Mei 1969. Kita ‘sepakat’ meletakkan kesalahan kepada pihak penjajah yang sengaja membahagikan kaum-kaum di negara ini. Kita tahu tentang hakikat bahawa British menjalankan dasar ‘pecah dan perintahnya’ yang membawa kepada perpecahan kaum yang cukup parah. Walaupun berada dalam keadaan sedemikian dapat juga pemimpin kita meyakinkan pihak British bahawa sebenarnya rakyat negara ini ‘bersatu hati’ dalam soal menuntut kemerdekaan negara. Ketokohan dan keikhlasan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, Sambanthan ( pemimpin tiga kaum terbesar pada ketika itu) telah dapat menebus kemerdekaan negara dari pihak British.
           
            Selepas mencapai kemerdekaan, seolah-olah pemimpin negara berada dalam zon selesa dengan tidak menyedari bahawa ‘api sedang merebak dalam sekam’. Rupa-rupanya isu perpaduan kaum tidak ditangani dengan berkesan oleh pemimpin-pemimpin kita pada ketika itu. Persoalan ‘orang Melayu tinggal di kampung’, ‘orang Cina tinggal di bandar dan lombong’ dan ‘orang India tinggal di estet’ tidak ditangani dengan berkesan. Malah dianggap sebagai isu enteng yang tidak perlu diambil perhatian segera.

            Lantas tercetuslah peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969. Dan selepas teretus peristiwa itu telah betul-betul menyedarkan rakyat dan pemimpin tentang pentingnya perpaduan kaum di negara demi untuk kemajuan bangsa dan negara yang tercinta ini. Berbagai usaha dilaksanakan ke arah pemupukan kaum itu.

            1970an, 1980an dan 1990an merupakan usha yang begitu gigih dilakukan oleh kepimpinan negara untuk mengkuhkan perpaduan kaum di negara ini. Jelas terbukti bahawa kaum-kaum di Malaysia sememangnya mahu bekerjasama demi pembangunan bangsa Malaysia. Satu contoh yang amat membanggakan ialah dengan keikhlasan dan kerelaan hati kaum bukan Melayu menerima dan menyokong pelaksanaan Dasar Ekonomi  Baru yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1970. Menampakkan dengan jelas bahawa kaum bukan Melayu menyedari tentang kelemahan orang Melayu dalam berbagai bidang dan semacam dipersetujui bahawa DEB lah ubatnya untuk memajukan orang Melayu.

            Tiga puluh tahun selepas Peristiwa 13 Mei 1969  memperlihatkan satu keadaan ‘zaman emas’ di negara ini dari sudut perpaduan kaum. Dan dapat dirasakan bahawa usaha pemimpin yang terdahulu sedikit sebanyak membuahkan hasil dalam melahirkan satu bangsa Malaysia yang betul-betul utuh dan kukuh. Bangsa Malaysia telah mula ‘disebut’ dan ‘diperkatakan’ di mana saja kita berada. Rakyat Malaysia begitu bangga sekali ketika berada di luar negara kerana ‘semerbaknya’ keharuman bangsa Malaysia di mata dunia.

            Malangnya kini semacam sudah ada usaha untuk meruntuhkan terus bangsa Malaysia. Bibit keruntuhan sudah terbayang yang semacam menunggu masa untuk ‘menjelma’. Ibarat kata peribahasa Melayu, sudah nampak keretakkannya dan hanya menunggu belah’. Diharapkan anak-anak bangsa Malaysia terus selamatkan keadaan negara ini dari perpecahan. Di tangan anak-anak mudalah diserahkan nasib bangsa Malaysia.

            Dan orang Melayu janganlah terlalu mudah ‘diperdagangkan’!!

abuhassanadam
15 September 2015
( Diambang kemerdekaan Malaysia)