Tuesday, September 8, 2015

APA SALAHNYA KUMPULAN ‘BAJU MERAH’ BERHIMPUN?

            Tidak salah rasanya sekiranya Kumpulan ‘Baju Merah’ mahu mengadakan perhimpunan sepertimana yang dilakukan oleh Kumpulan Bersih 4 baru-baru ini. Setiap negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara tidak menghalang rakyatnya menyuarakan sesuatu pandangan dan pendapat malah adalah digalakan rakyat mengadakan ‘percambahan fikiran’ demi untuk menyuburkan demokrasi di negara itu sendiri.

            Malangnya di negara ini perhimpunan sedemikian tidak medapat kebenaran dan kelulusan dari pihak berkuasa. Semacam pemerintah di negara ini amat takut dan bimbang dengan sebarang perhimpunan dan tunjuk perasaan yang dijalankan. Lihat sajalah apa yang berlaku di pusat-pusat pengajian tinggi awam di negara ini. Para pelajar yang sepatutnya terdedah dengan berbagai pendedahan telah tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang ‘percambahan fikiran’ atau perdebatan yang mempersoalkan hal-hal berkaitan dengan negara. Lantas para pelajar terus menerus ‘tertutup’ fikiran mereka dan ‘terciptalah’ pemimpin-pemim masa depan kita sebagai pemimpin ‘yes-man’.

            Kumpulan Bersih 4 telah berhimpun pada 29 dan 30 Ogos yang lalu. Tidak mendapat kebenaran polis. Lebih kurang 500,000 hadir. Berani buat berani tanggung. Dan Kumpulan ‘Baju Merah’ pula akan mengadakan perhimpunan ‘besar-besaran’ pada 16 September 2015 nanti. Dan difahamkan mereka juga tidak mendapat kebenaran pihak polis. Dan kononnya mereka juga akan meneruskan program yang telah sedia dirancang walaupun tidak ‘berketua’ dan tidak tahu siapa yang menjadi ketuanya. Yang dapat diketahui bahawa seorang Menteri dari Pahang telah menggalakkan ahli UMNO dari kawasannya supaya hadir pada perhimpunan berkenaan. Apakah beliau yang merupakan ketua dan perancangnya? Entahlah.

            Inilah perbezaan yang jelas antara ‘Bersih’ dan ‘Baju Merah’. Kumpulan ‘Bersih’ dilihat agak tersusun dan bertanggungjawab tentang apa yang hendak dilakukan. Jelas matlamatnya. Mungkin dengan sebab itulah ramai yang hadir ‘menunjukkan muka’ diperhimpunan demikian dengan tidak sedikit pun memikirkan samada perhimpunan Bersih itu dianjurkan oleh Cina atau oleh Melayu atau oleh India. Tidak ada perasaan sedemikian. Yang penting matlamat dan tujuannya jelas. Sesuai dengan tuntutan keadaan semasa.

            Hanya segelintir masyarakat di negara ini yang menuduh mengatakan bahawa Perhimpunan Bersih 4 adalah anjuran masyarakat Cina untuk ‘menghina’ masyarakat Melayu. Bagi aku satu fitnah yang amat serious. Mungkin jugalah ‘puak’ yang menuduh itu tidak hadir pada perhimpunan Bersih demikian dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana bersatunya rakyat Malaysia menentang kezaliman dan penyelewengan yang sedang berlaku di Malaysia kini. Ada ‘episode’ di perhimpunan berkenaan yang amat ‘menyentuh’ perasaan sesiapa yang melihat tentang keintiman ikatan bangsa Malaysia. Mengapa ada pihak yang memutarbelitkan hubungan kaum yang begitu murni itu? Apakah untungnya pihak yang cuba melaga-lagakan antara kaum itu sedangkan tidak wujud walau sedikit pun ketegangan antara kaum itu. Mengapa?

            Bagi pihak yang membuat tuduhan, apakah mereka mempunyai statistik yang konkrit menyatakan bahawa majoriti yang hadir itu adalah kaum Cina dan terlalu kurang kaum Melayu. Mungkin betul terdapat perbezaan kecil tentang kehadiran antara kaum Melayu dan bukan Melayu? Mungkin. Apakah tidak dirasionalkan mengapa terdapat perbezaan sedemikian? Sekiranya pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi  awam dibenarkan hadir maka besar kemungkinannya Kuala Lumpur akan ‘banjir’ dengan anak-anak muda dari semua kaum yang bakal menentukan masa depan kehidupan mereka di negara yang tercinta ini. Malangnya golongan ini dihalang dan disekat. Itupun masih ramai yang berjaya ‘melepaskan’ diri untuk hadir.

            Hadirnya peserta ke Perhimpunan Bersih 4 adalah jelas tujuan dan matlamatnya. Dan telah terbukti bahawa Bersih 4 telah berjaya  mengukuhkan pembentukan sebuah bangsa Malaysia yang harmoni dimana semua kaum dapat wujud seiringan dan bekerjasama dalam menuntut keadilan di negara ini. Dan tentulah terfikir bahawa apakah Kumpulan ‘Baju Merah’ juga mempunyai matlamat dan tujuan sebagaimana yang dilakukan oleh Bersih 4.

            Suatu hal yang amat ketara yang kelihatan amat tidak sesuai tentang kewujudannya ialah tentang peserta yang akan hadir yang terdiri semata-mata dari kaum Melayu sahaja. Mungkin orang Melayu ahli UMNO. Dan semacam ada usaha untuk menandingi kumpulan Bersih 4. Dengan jelas juga menampakkan bahawa tidak ada matlamat yang jelas mengapa diadakan perhimpunan ‘Baju Merah’ itu. Larangan yang dikenakan oleh pihak polis itu terhadap perhimpunan itu ada asasnya.

            Namun sekiranya pihak Kumpulan ‘Baju Merah’ yang dirasakan ramai antara pesertanya terdiri dari ahli UMNO Melayu dapat menjemput ahli-ahli MCA (Cina) dan MIC (India) untuk bersama-sama memperjuangkan sesuatu, maka tentulah tidak ada sebab mengapa pihak polis tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan demikian. Kumpulan ‘Baju Merah’ harus dengan segera menyatakan tujuan dan matlamatnya mengadakan perhimpunan sedemikian dan dinyatakan dengan jelas organisasi yang menganjurkan perhimpunan demikian.

            Aku merasakan bahawa tidak ada sebab mengapa Kumpulan ‘Baju Merah’ tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan pada 16 September yang akan datang. Aku merasakan amat meriah keadaan sedemikian, apatah lagi pada hari menyambut kemerdekaan dalam Malaysia. Yang penting perhimpunan itu bukan sahaja dihadiri oleh orang Melayu (UMNO) tetapi juga mesti disertai bersama oleh kaum Cina (MCA) dan India (MIC). Dan tidak salah sekiranya rakyat Malaysia lain juga menyertai bersama.

            Yang penting ialah dijelaskan matlamat dan tujuan perhimpunan berkenaan. Untuk apa dan ke mana arah tujunya. Selamat berhimpun……

abuhassanadam

8 September 2015

No comments:

Post a Comment