Saturday, September 5, 2015

BUDAYA SAMSENG -  APAKAH MILIK ORANG MELAYU?

            Akhir-akhir ini sudah mula wujud suatu budaya baru yang dilahirkan oleh segelintir orang Melayu yang boleh disifatkan sebagai ‘budaya samseng’. Pastinya tidak mempunyai ramai pengikutnya disebabkan kelahirannya tidak bertepatan dengan zaman kwujudannya. Maksud aku bahawa Kurun ke 21 bukanlah merupakan zaman atau kurun untuk mempamerkan kekuatan fizikal tetapi kurun ini adalah zaman manusia mempamerkan kekuatan mental. Orang putih kata ‘knowledge-based society’. Kurun yang mementingkan masyarakat berilmu pengetahuan.

            Justeru sekiranya masih ada lagi orang Melayu yang mahu menunjukkan ‘kekuatan’ melalui kekuatan fizikal, bermakna orang Melayu amat ketinggalan zaman sedangkan bangsa-bangsa lain di dunia sudah mengubah haluan, mementingkan ilmu pengetahuan dan pemodenan. Maknanya cara berfikir segelintir orang Melayu yang demikian, yang masih mahu mengamalkan budaya samseng itu samalah seperti keadaan masyarakat Melayu purba yang digambarkan oleh P.Ramlee melalui watak A.Rahim dan Sharif Dol dalam filem-filem Melayu lama.

Orang Melayu seolah-olah sudah ‘kekeringan’ untuk menunjukkan sesuatu yang boleh menyebabkan mereka merasa bangga dengan ‘kebolehan’ dan ‘kemampuan’ mereka. Seolah-olah orang Melayu terpaksa memilih ‘budaya samseng’ untuk ditunjukkan kepada orang lain bagi meyakinkan bahawa inilah ‘pusaka’ yang dimilki oleh orang Melayu dari datuk nenek mereka. Semacam begitu keadaannya kini. Sebenarnya tidak begitu sikap dan tindakan datuk nenek kita zaman dahulu.Tidak begitu…..

            Dan seiring dengan kewujudan budaya samseng dikalangan segelintir orang Melayu itu lahir pula ‘tentera upahan’ yang akan melakukan apa saja yang diperintahkan oleh ‘boss’nya dengan bayaran yang agak malu untuk dinyatakan dalam rencana ini. Semacam terlalu hina bagi anggota ‘tentera upahan’ sanggup dan rela menerima bayaran yang sedikit itu demi untuk menyara ‘sesuap nasi’ keluarga dan anak-anak di rumah. Namun pada hakikatnya begitulah yang berlaku. Mereka semacam sanggup ‘menggadai’ maruah orang Melayu dengan tindakan yang mereka lakukan. Walaupun golongan yang sedemikian amat kecil namun kaum lain di negara ini akan menyimpulkan bahawa golongan sedemikian mewakili orang Melayu. Ini yang dikatakan ‘beberapa ekor kerbau membawa lumpur’ hampir semua orang Melayu terpalit.

            Yang menghairankan juga ialah bahawa isu yang diperjuangkan oleh mereka adalah amat remeh dan kadang-kadang tidak masuk akal bagi masyarakat yang rasional. Dan paling terhina ialah apabila ‘tentera upahan’ ini merasa begitu bangga dengan tindakan mereka ‘memperjuangka’ isu yang remeh. Sanggup muncul dihadapan kamera TV, ‘mendabik dada’ memperjuangkan isu yang tidak patut diperjuangkan.

            Berbanding dengan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu lama seperti Dato Bahaman, Mat Kilau  (Pahang), Dato Maharajalela  (Perak),  Tok janggut (Kelantan), Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu, maka ‘perjuangan’ ‘tentera upahan’ yang mengamalkan budaya samseng ini adalah seperti membandingkan malam dengan siang. Orang Melayu khususnya sehingga kini masih mengagungkan perjuangan pahlawan-pahlawan Melayu sedemikian kerana mereka sanggup ‘bergalang nyawa’ demi mempertahankan rakyat dan negeri mereka.

            Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung amat jelas perjuangan mereka membela orang kampung yang dikenakan cukai tanah oleh British. Mereka sanggup mengangkat senjata (keris, pedang dan parang) menentang penjajah dengan senjata moden mereka demi mempertahankan rakyat (bangsa) dan negeri (negara). Itu baru dapat dibanggakan oleh orang Melayu dan bukan mengamalkan budaya samseng dengan menjadi ‘tentera upahan’ yang dibayar dengan bayaran ‘tak berapa sen pun’ tetapi sanggup mencalarkan maruah orang Melayu dan bangsa Melayu.

            Yang amat menghairankan lagi ialah bahawa ‘tentera upahan’ yang wujud di Malaysia kini tidak pun menyentuh langsung isu-isu besar negara yang membabitkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Mereka tidak ‘berdetik’ untuk menentang pengenalan GST oleh kerajaan yang jelas menghimpit kehidupan rakyat. Tidak kedengaran pun suara golongan ini untuk bersama rakyat terbanyak menentang pengenalan GST itu. Sekurang-kurangnya rakyat mahu mendengar ‘suara’ mereka.

            Dan ketika seluruh dunia mempersoalkan tentang IMDB dan mengenai RM 2.6 billion yang berada dalam akaun peribadi DS Najib, Perdana Menteri kita, golongan ‘tentera upahan’ senyap sesepinya. Tidak berdetik walau sedikitpun. Lantas rakyat Malaysia pastinya mempersoalkan tentang kewujudan ‘tentera upahan’ ini. Untuk apa? Dan siapakah yang membiayai aktiviti mereka untuk ‘memekik’ dan ‘melolong’ di sana sini. Ke manakah arah tujuan mereka. Ataupun mungkinkah kewujudan golongan ini semata-mata untuk menunjukkan ‘kekuatan fizikal’ di era global sedangkan seluruh manusia di dunia sedang bertarung untuk menunjukkan kekuatan mental.

            Jikalau begitulah caranya maka amat malanglah bangsa Melayu yang masih tidak mahu berganjak dari ‘perjuangan’ asal mereka. Seolah-olah golongan ini masih mahu mempertahankan ‘kebodohan, kepandiran, kekolotan’ orang Melayu.

            Dan seharusnya yang berfikiran sedemikian harus ditentang habis-habisan.

abuhassanadam
5 September 2015





3 comments:

  1. Amat tepat sekali komen tuan. Tetapi yg jelasnya memang ada kelompok yg sgt menyukai golongan jahil ini kerana mudah diguna-gunakan kerana mereka ini amat kurang berfikir, otak mereka sangat selesa berfikir secara simple dan sehala dan golongan ini sentiasa menantikan laba yg akan mendatang. Inilah bangsaku yg cuba bersaing di abad ke 21 ini. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  2. Amat tepat sekali komen tuan. Tetapi yg jelasnya memang ada kelompok yg sgt menyukai golongan jahil ini kerana mudah diguna-gunakan kerana mereka ini amat kurang berfikir, otak mereka sangat selesa berfikir secara simple dan sehala dan golongan ini sentiasa menantikan laba yg akan mendatang. Inilah bangsaku yg cuba bersaing di abad ke 21 ini. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  3. Bagi pendapat saya , kekuatan mental dan kekuatan fizikal hendaklah berjalan seiiring . Bagaimana agaknya apabila kita hanya mempunyai kekuatan mental , sedangkan fizikal kita lemah dan sebaliknya kita hanya mempunyai kekuatan fizikal sedangkan mental kita lemah. Badan yang sehat dan mempunyai fizikal yg kuat akan menjana mental kita menjadi cerdas dan tak semestinya fizikal ygm kuat itu akan melahirkan budaya samseng.

    ReplyDelete