PERPADUAN KAUM- JANGAN RETAK MENUNGGU BELAH
Tajuk
yang aku berikan ini mungkin keterlaluan bunyinya. Namun sekiranya tidak
dibendung dan ‘disekat’ tidak mustahil ia kan berlaku memandangkan kepada
‘keghairahan’ setengah pihak yang cuba mengadu-domba dan mengapi-apikan antara
satu kaum dengan kaum yang lain. Dan kadang-kadang kelihatan juga seolah-olah
kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu semacam sengaja mahu memecah-belahkan
kaum-kaum di Malaysia yang telah terbina sekian lama.
Perpaduan
kaum di Malaysia nampak ‘keretakkannya’. Tentulah peristiwa sebegini dirasakan
amat malang terutama bagi ‘orang tua’ seperti aku yang telah sekian lama
melihat bagaimana perpaduan kaum itu terbina. Dan bukan satu perkara yang mudah
dan enteng membina perpaduan kaum di negara ini. Namun berkat hasil usaha para
pemimpin kita yang terdahulu, maka akhirnya terjelma satu masyarakat Malaysia
yang agak padu di negara yang tercinta ini.
Kini
kelihatan bahawa perpaduan yang agak utuh itu cuba diruntuhkan oleh
‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak bertanggung jawab. Golongan yang tidak
bertanggungjawab ini telah mengguna dan ‘memperdagangkan’ orang Melayu demi
mencapai agenda mereka yang tersembunyi. Aku yakin bahawa bukan Komunis yang
menjadi dalang untuk merosakkan perpaduan kaum di Malaysia kini. Dan aku yakin
juga bahawa bukannya puak Yahudi yang berada di belakang untuk memecah-belahkan
perpaduan kaum di negara kita. Aku amat yakin ‘usaha’ memecah-belahkan
perpaduan kaum di Malaysia berpunca daripada ‘usaha’ segelintir manusia yang
mahu meneruskan penguasaan mereka terhadap negara ini.
Rakyat
Malaysia dari semua kaum, khususnya orang Melayu harus sedar tentang agenda
tersembunyi golongan tertentu ini yang semata-mata menggunakan sentimen
perkauman demi mencapai cita-cita mereka. Orang Melayu harus sedar bahawa
mereka kadang-kadang tidak sedar yang mereka telah dipergunakan bersendikan
slogan-slogan yang menyentuh dan ‘menghiris’ perasaan orang Melayu. Orang
Melayu yang hidup dalam Kurun ke 21 harus memahami hakikat sedemikian. Anak-anak
muda yang ‘bergelumang’ dalam dunia arus globalisasi harus sedar tentang
peranan mereka kepada bangsa dan negara dan tidak harus mudah ‘digula-gula’.
Sejarah
telah membuktikan bahawa proses pembentukan perpaduan kaum di Malaysia
mengambil masa yang agak panjang. Peristiwa perbalahan kaum 13 Mei 1969
seolah-olah telah menyedarkan kaum-kaum di Malaysia bahawa sebenarnya pada
ketika itu hubungan kaum di negara ini amat rapuh. Orang Melayu, Cina, India
amat sedar tentang perkara itu dan lantas berusaha dengan gigih untuk memupuk
perpaduan sedemikian.
Kita
tahu dari mana puncanya tentang tidak wujudnya perpaduan kaum yang mantap
sebelum Peritiwa 13 Mei 1969. Kita ‘sepakat’ meletakkan kesalahan kepada pihak
penjajah yang sengaja membahagikan kaum-kaum di negara ini. Kita tahu tentang hakikat
bahawa British menjalankan dasar ‘pecah dan perintahnya’ yang membawa kepada
perpecahan kaum yang cukup parah. Walaupun berada dalam keadaan sedemikian
dapat juga pemimpin kita meyakinkan pihak British bahawa sebenarnya rakyat
negara ini ‘bersatu hati’ dalam soal menuntut kemerdekaan negara. Ketokohan dan
keikhlasan Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lock, Sambanthan ( pemimpin tiga kaum
terbesar pada ketika itu) telah dapat menebus kemerdekaan negara dari pihak
British.
Selepas
mencapai kemerdekaan, seolah-olah pemimpin negara berada dalam zon selesa
dengan tidak menyedari bahawa ‘api sedang merebak dalam sekam’. Rupa-rupanya
isu perpaduan kaum tidak ditangani dengan berkesan oleh pemimpin-pemimpin kita
pada ketika itu. Persoalan ‘orang Melayu tinggal di kampung’, ‘orang Cina
tinggal di bandar dan lombong’ dan ‘orang India tinggal di estet’ tidak
ditangani dengan berkesan. Malah dianggap sebagai isu enteng yang tidak perlu
diambil perhatian segera.
Lantas
tercetuslah peristiwa perbalahan kaum pada 13 Mei 1969. Dan selepas teretus
peristiwa itu telah betul-betul menyedarkan rakyat dan pemimpin tentang
pentingnya perpaduan kaum di negara demi untuk kemajuan bangsa dan negara yang
tercinta ini. Berbagai usaha dilaksanakan ke arah pemupukan kaum itu.
1970an,
1980an dan 1990an merupakan usha yang begitu gigih dilakukan oleh kepimpinan
negara untuk mengkuhkan perpaduan kaum di negara ini. Jelas terbukti bahawa
kaum-kaum di Malaysia sememangnya mahu bekerjasama demi pembangunan bangsa
Malaysia. Satu contoh yang amat membanggakan ialah dengan keikhlasan dan
kerelaan hati kaum bukan Melayu menerima dan menyokong pelaksanaan Dasar
Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Tun
Abdul Razak pada tahun 1970. Menampakkan dengan jelas bahawa kaum bukan Melayu
menyedari tentang kelemahan orang Melayu dalam berbagai bidang dan semacam
dipersetujui bahawa DEB lah ubatnya untuk memajukan orang Melayu.
Tiga
puluh tahun selepas Peristiwa 13 Mei 1969
memperlihatkan satu keadaan ‘zaman emas’ di negara ini dari sudut
perpaduan kaum. Dan dapat dirasakan bahawa usaha pemimpin yang terdahulu
sedikit sebanyak membuahkan hasil dalam melahirkan satu bangsa Malaysia yang
betul-betul utuh dan kukuh. Bangsa Malaysia telah mula ‘disebut’ dan
‘diperkatakan’ di mana saja kita berada. Rakyat Malaysia begitu bangga sekali
ketika berada di luar negara kerana ‘semerbaknya’ keharuman bangsa Malaysia di
mata dunia.
Malangnya
kini semacam sudah ada usaha untuk meruntuhkan terus bangsa Malaysia. Bibit
keruntuhan sudah terbayang yang semacam menunggu masa untuk ‘menjelma’. Ibarat
kata peribahasa Melayu, sudah nampak keretakkannya dan hanya menunggu belah’. Diharapkan
anak-anak bangsa Malaysia terus selamatkan keadaan negara ini dari perpecahan.
Di tangan anak-anak mudalah diserahkan nasib bangsa Malaysia.
Dan
orang Melayu janganlah terlalu mudah ‘diperdagangkan’!!
abuhassanadam
15 September 2015
( Diambang kemerdekaan Malaysia)
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete