YEO BEE YIN DAN IMAM BAHARUDDI
JONO
Kisahnya
menarik perhatian. Bukan cerita seram dan bukan juga cerita luarbiasa. Dan
cerita yang biasa-biasa pun bukan juga. Banyak yang boleh ‘dilihat’ dan
dipelajari dari kisah ini.
Kisah
seorang orang tua dari kampung Parit Sakai di Muar yang telah mendermakan wang
RM 500 kepada bakal YB Yeo Bee Yin bagi Bakri ( pada ketika itu). Ini kisah ‘ a
man in need is a friend indeed’. Imam Baharuddin tidak pasti yang YB Yeoh akan
menang atau tidak dalam PRU14. Kebanyakan orang akan menderma dan memberikan
pertolongan kepada seseorang apabila dirasakan akan mendapat ‘balasan’ pada
suatu ketika apabila menang dalam PRU14.
Tetapi
ini tidak diamalkan oleh Imam Baharuddin. Agak pelik juga keadaan sebegini.
Seorang berketurunan Melayu yang kuat pegangan agamanya ( Imam!) sanggup
menderma kepada seorang calon (yang bukan Islam), dari parti DAP ( yang sering
dikaitkan dengan parti yang anti Melayu dan anti Islam oleh pemimpin dan
pengikut UMNO) yang jikalau mengiktu pengamatan ahli UMNO akan menentang orang Melayu dan agama Islam khususnya di
negeri Johor ( yang sememangnya kubu kuat UMNO sebelum PRU14).
Banyak
persoalan yang tidak terjawab.
· Apakah hasrat sebenar Imam
Baharuddin memberikan sumbangan kepada Yeo Bee Yin?
· Mengapa kepada Yeo Bee Yin (calon
DAP yang berketurunan Cina)
· Apakah marah benar Imam Baharuddin
kepada calon BN yang ditentang oleh Yeo Bee Yin itu?
· Apakah Imam Baharuddin benar-benar
inginkan satu pembaharuan dan sudah betul-betul ‘muak dan jelak’ dengan kerenah
dan pentadbiran yang dijalankan oleh Barisan Nasional dan UMNO?
Banyak
sangat persoalan yang perlu dijawab dan yang perlu diselidiki. Mari kita lihat
kepada sesuatu yang positif. Ringkasnya kisah ‘hero’ dan ‘heroin’ ini merupakan
kisah yang harus diteladani oleh rakyat Malaysia, khususnya anak-anak muda. Dan
bagi YB Yeo Bee Yin, kisah ini akan tersemat dan terpahat dalam sanubarinya
sampai bila-bila, selagi hayat dikandung badan. Mungkin beliau tidak terfikir
(mungkin!) bahawa ada insan yang bernama Melayu yang sanggup mendermakan wang
‘simpanan’nya (berdasarkan kenyataan Yeo yang mengatakan bahawa wang yang
didermakan kepadanya itu bukan baru dikeluarkan dari ATM) kepada seorang ‘anak
Cina’yang bertanding dalam PRU14.
Pastinya
YEO Bee Yin akan terus menerus menggunakan kisah ini untuk terus menerus
‘mendendangkan’ kisah ini agar dapat difahami dan dihayati oleh anak-anak muda
yang belum begitu mengerti tentang kisah hubungan ras di negara tercinta ini.
YB Yeo harus menerajui usaha pemufukan kaum ini disamping menerajui portfolio
yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Sebenarnya
kisah murni dan harmoni perhubungan kaum di Malaysia bukan cerita baru. Cuma
baru ‘dikeruhkan’ oleh setengah ahli politik yang cuba mengadu-domba antara
kaum-kaum di Malaysia demi untuk mencapai cita-cita politik sesuatu parti
berkenaan. Walaupun ‘kesalahan’ besar harus diletakkan kepada penjajah British
yang menjalankan dasar ‘Divide and Rule’ pada zaman penjajahan, namun sebelum
PRU14, isu perkauman terus menerus ‘dinyalakan’ agar memberikan keuntungan
kepada sesuatu parti.
Selepas
Peristiwa 13 Mei 1969, sebenarnya semua kaum di Malaysia amat sedar bahawa
tidak ada gunanya isu perbalahan antara kaum diapi-apikan. Ibarat kata
peribahasa Melayu, ‘ menang jadi abu dan alah jadi arang’. Lantas tidak
terdengar sebarang perbalahan kaum selepas peristiwa pahit 1969 itu. Sepanjang
empat dekad ( 1970an-2000an) bangsa Malaysia menikmati suatu keadaan yang
sungguh menyeronokkan, sehinggalah selepas itu suasana aman dan tenang itu cuba
‘dirungkaikan’.
Awal
tahun-tahun 2000an isu perkauman cuba ditimbulkan semula. Isu sedemikian amat ‘subur’
apabila digunakan untuk ‘membaja’ perasaan orang Melayu menjelang sesuatu
pilihanraya. Masih ada golongan Melayu yang ‘termakan’ dengan umpanan atau ‘dedak’
sedemikian. Namun ramai orang Melayu dan golongan lain juga sedar bahawa isu
sedemikian dipermainkan hanyalah untuk memberi keuntungan kepada golongan yang
mengamalkan pemahaman sempit. Lantas keputusan PRU14 sebagai jawapan kepada
usaha ‘buruk’ parti-parti tertentu untuk merosakkan keharmonian di Malaysia.
Peristiwa
yang terjalin antara YB Yeo Bee Yin dan Imam Baharuddin Jono boleh dijadikan
langkah permulaan untuk mengukuhkan lagi pemahaman mewujdukan satu bangsa
Malaysia untuk negara Malaysia tercinta.
abuhassanadam
15 Jun 2018
I Syawal - Aidifitri