JANGAN
DIRAGUKAN KERJASAMA MAHATHIR-ANWAR
Walaupun sudah beberapa kali
dijelaskan bahawa tidak ada perselisihan faham antara Tun Dr Mahathir dan DS
Anwar kini, namun masih ada pihak-pihak tertentu yang terus menerus cuba
melaga-lagakan kedua-dua pemimpin ini. Dan yang menyedihkan ialah peristiwa
sebegini berlaku dalam suasana negara sedang dalam merangka satu Malaysia baru
sebagaimana yang diidamkan oleh rakyat ekoran daripada keputusan mandat yang
diberikan oleh rakyat dalam PRU14 yang baru lalu.
Kadang-kadang hasutan dan
tohmahan yang dilemparkan terhadap Saudara Anwar agak membimbangkan walauun
harus ‘dicampakkan’ sahaja ke tepi. Namun mungkin disebabkan dilakukan
berulang-ulang yang mungkin juga ‘termakan’ oleh pihak-pihak tertentu yang
mudah percaya kepada fitnah dan hasutan. Begitulah keadaannya pada penghujung
tahun-tahun 1990an dahulu yang menyebabkan berlaku satu peristiwa pahit dalam
sejarah Malaysia dimana Saudara Anwar difitnah dan seterusnya dipenjarakan.
Mungkin peranan pemfitnah yang sebeginilah yang menyebabkan beliau merengkok
dalam penjara dan kesan yang paling ketara ialah bangsa Malaysia kehilangan
tokoh yang boleh membawa gah kepada dunia.
Mungkin ramai yang tidak tahu
tentang ikatan persahabatan akrab antara Dr. Mahathir dan Saudara Anwar
Ibrahim. Pertama kali aku melihat gandingan mereka berdua ialah ketika
menghadiri satu seminar di bilik Kuliah F University Malaya pada tahun 1972
dimana pada ketika itu Saudara Anwar yang merupakan pemimpin muda yang sedang
meningkat naik telah digandingkan dengan Dr Mahathir yang merupakan ‘orang
buangan’ dalam arus negara yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.
Dan aku terbaca juga tentang
penglibatan Saudara Anwar dalam satu forum di Singapura ( pada tahun 1971
sekiranya tidak tersilap) yang juga dihadiri oleh Dr. Mahathir dan Saudara Lee
Kuan Yew yang merupakan Perdana Menteri Singapura pada ketika itu. Berasaskan
beberapa peristiwa ini menggambarkan tentang berputiknya persahabatan yang
akrab antara Dr. Mahathir dan Anwar sehinggakan pada tahun 1982 Dr Mahathir
(Perdana Menteri ketika itu) telah ‘memujuk’ Saudara Anwar untuk menyertai UMNO
dan seterus bertanding di Parlimen Permatang Pauh untuk menentang Tuan Haji
Zabidi dari PAS.
Sememangnya hasrat Dr Mahathir
‘memujuk’ Anwar adalah untuk ‘melarikan’ Anwar dari genggaman PAS yang
kelihatan pada ketika itu amat condong kepada perjuangan PAS yang pada ketika itu dipimpin oleh Dr Fadhil
Noor yang merupakan sahabat karib beliau. Pujukan Dr Mahathir menelurkan
kejayaan dan seterusnya diberikan kepercayaan untuk bertanding dalam PRU pada
ketika itu untuk menentang calon PAS.
Permatang Pauh adalah
merupakan kawasan pengaruh PAS. Majority yang diperolehi calon PAS dalam PRU
sebelumnya adalah dalam lingkungan belasan ribu. Namun disebabkan pengaruh dan
kredibility Saudara Anwar telah dapat menewaskan calon PAS (Tuan Haji Zabidi) dengan
majority yang agak besar juga. Lantas Saudara Anwar dilantik sebagai Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Menteri Pertanian
dan Menteri Pendidikan beberaa tahun selepas itu.
‘Biduk lalu kiambang bertaut’.
Tepat peribahasa Melayu ini. Walaupun terdapat ‘titik hitam’ dalam melakar perjuangan membina bangsa dan negara namun
keyakinan kepada ‘silver lining’ itu terpancar juga. Kini dua orang tokoh yang
disayangi oleh rakyat Malaysia ini sudah berada di persada perjuangan yang
sama. Dan kelebihannya ialah kedua-duanya merupakan tokoh yang sudah ‘tepu’
dengan pengalaman dan sudah bersedia untuk melakukan dan menyudahkan ‘agenda’
yang belum selesai.
Antara ‘assignment’ yang telah diberikan (mungkin) oleh Tun Mahathir
kepada Saudara Anwar ialah untuk meyakinkan YDP Agung dan Majlis Raja-Raja
Melayu tentang pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara. “Tugas saya sebagai orang awam dengan sedikit pengaruh
adalah untuk membincangkan (dengan Raja-raja Melayu) dan menyakinkan
baginda.Apa yang saya sampaikan kepada baginda adalah: Dalam tempoh 60 tahun,
keluarga diraja bekerjasama dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional
(BN).Sekarang situasi sudah berubah. Tetapi Perlembagaan tidak berubah. Status
Raja-raja Melayu tidak berubah. Hal (seperti pelantikan peguam negara) boleh
dibincangkan difahami,” kata Anwar seperti dilapor The Malaysian
Insight.
Yang
di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas
sebagai Peguam Negara. “Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa
pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum
atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa
mengira bangsa dan agama,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara
Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Jangan
dipersoalkan sumbangan siapa yang lebih besar dalam menjayakan persetujuan dan
perkenan dari YDP Agung ini. Lagi pun Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan
Ahmad Dahlan Abdul Aziz jelas mengatakan bahawa perkenan YDP Agung itu adalah
‘atas nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Agong telah menitahkan
perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan”
Yang
pentingnya ialah ‘kayu tidak patah, tanah tidak lebam dan ular dapat dibunuh’.
Peristiwa sebegini juga yang selalu disebut-sebut oleh datuk nenek kita dahulu
‘seperti mengambil rambut dalam tepung – rambut dapat diambil dan tepung tidak
berserak’.
abuhassanadam
5 Jun 2018
No comments:
Post a Comment