NGO YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
LUNTURKAN PATRIOTISME DAN PERPADUAN DI MALAYSIA
Kata Sasterawan Negara Usman
Awang,
“ ……Perpaduan tidak
memberi erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata-mata. Perpaduan tidak
wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan
atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan suatu pihak atau golongan sahaja”
Awal tahun-tahun 1990an,
kebiasaannya ketika negara bersiap-siap menyambut ulang tahun kemerdekaan
negara (bulan Ogos ) kita akan melihat bendera negara berkibaran di mana-mana
saja. Di rumah, di kedai-kedai, shopping complex, bangunan kerajaan. Tak kira
di mana, akan berkibarlah ‘Jalur Gemilang’. Malah kita merasa amat bersalah
sekiranya kita tidak memacakkan ‘Jalur Gemilang’ di kereta kita. Dan sekiranya
kita melalui Lebuhraya Persekutuan dari Kuala Lumpyr ke Kelang, jarang sangat
kita melihat kereta yang tidak dihiasi dengan ‘Jalur Gemilang’. Itu dulu. Awal
dan pertengahan tahun-tahun 1990an.
Kini, awal Kurun ke 21
keadaan sedemikian tidak lagi sedemikian. Pada tahun 2014, jarang sangat
kelihatan kereta yang mengibarkan ‘Jalur Gemilang’. Ada, tetapi tak banyak.
Puas RTM berkempen agar rakyat mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ tetapi ramai
seolah-olah ‘memekakkan telinga’. Mungkin ada setengah kedai yang mengibarkannya
dan di kawasan perumahan pegawai kerajaan di Puterajaya, seolah-olah penghuni
kawasan berkenaan ‘dipaksa’ mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ di bangunan rumah
mereka.
Mengapa terjadi
demikian?
Tidak ada jawapan yang
konkrit untuk menyatakan sebab-sebab dan puncanya. Seolah-olah rakyat ‘merajuk’
dan ingin melahirkan perasaan dengan menunjukkan ketidakpuasan hati dalam
bentuk yang ‘tidak berapa kena’.Cuma yang boleh disarankan ialah bahawa keadaan
sebegini jika dibiarkan berterusan akan melunturkan semangat patriotisme
rakyat. Maknanya dalam bahasa senangnya lama kelamaan, perasaan cintakan negara
dikalangan rakyat Malaysia akan terhakis. Para pemimpin seharusnya mengambil
perhatian dan mengambil langkah-langkah tertentu bagi mengatasinya. Ini
merupakan perkara serious yang perlu mendapat perhatian segera.
Persoalannya ialah
mengapa pada awal tahun-tahun 1990an, rakyat Malaysia menunjukkan kecintaan
yang begitu tinggi kepada negara dan tidak begitu keadaannya kini. Mengapa dulu
ternampak perpaduan yang cukup erat dikalangan rakyat Malaysia dan mengapa
tidak sedemikian kini?. Mengapa?
Aku tidak ada juga statistik
yang konkrit untuk menyokong hujah berkaitan dengan tajuk di atas. Tapi aku yakin
apa yang aku rasa berkaitan dengan tajuk diatas adalah betul. Aku yakin ramai
rakyat Malaysia pun bersetuju. Dan ramai juga rakyat Malaysia dari berbagai
keturunan merasa amat kecewa dengan perkembangan di negara kita kini yang
seolah-olah sudah melupakan hasrat pemimpin kita yang terdahulu yang menganggap
bahawa perpaduan kaum adalah merupakan tunjang dan pasak kepada kemajuan negara
dan bangsa.
Kadang-kadang aku tidak
dapat memberikan jawapan mengapa keadaan jadi begini. Dan lebih membingungkan
aku ialah apabila ada golongan di negara kita yang seolah-olah tidak mahu perpaduan kaum itu wujud di
negara kita melalui tindak tanduk yang ditunjukkan oleh mereka. Sikap mereka,
kata-kata mereka dan tindakan mereka amat bertentangan dengan konsep perpaduan
yang hendak diwujudkan. Ada NGO yang amat tidak bertanggungjawab yang sengaja
menimbulkan isu agar ‘api perkauman terus membara’. Seolah-olah mereka amat
tidak senang dengan keharmonian yang dikecapi oleh rakyat di negara ini.
Apa tidaknya….
Lihat saja
golongan-golongan tertentu tanpa segan silu terus menerus ‘mengecilkan hati’
kaum-kaum di Malaysia. Mereka sedar bahawa tindak-tanduk mereka itu pastinya
akan mendapat reaksi yang negatif dari kaum-kaum tertentu, namun masih juga
diteruskan tanpa segan silu. Tanpa memikirkan hati dan perasaan kaum lain.
Tanpa memikirkan bahawa perbuatan mereka itu menyentuh sensitiviti kaum lain
sampai ke tulang sum-sum. Tanpa memikirkan bahwa tindakan mereka itu akan
mendatangkan kesan yang amat mendalam yang boleh mencetuskan perbalahan kaum
seperti yang pernah dialami oleh negara.
Janganlah diulangi lagi
Peristiwa 13 Mei 1969. Sudahlah. Biarlah persitiwa itu pergi dan terus
meninggalkan kita. Biarlah golongan tua yang mengalami peristiwa itu saja yang
terasa sedih dan pedihnya. Dan janganlah anak-anak dan cucu kita turut merasa
dan mengalaminya. Jangan. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa pahit negara
dan kesan daripada peristiwa itu lagi menyedihkan dan amat parit untuk
dideritai. Dan mengambil masa yang agak panjang untuk betul-betul memulihkan
keadaan itu. Mengapa perlu diungkit-ungkit lagi.
Mengikut pemerhatian aku
(mungkin aku tersilap) suasana negara menjelang PRU 13 yang lalu adalah
merupakan kemuncak semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.
Aku belum pernah lagi melihat semangat perpaduan yang begitu akrab dan jitu
yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dari semua kaum dan segenap lapisan
masyarakat terutama apabila menghadiri program-program yang dianjurkan oleh
BERSIH dan Pakatan Rakyat.
Beberapa program yang
dianjurkan oleh BERSIH pada
ketika itu amat menyentuh perasaan aku ditinjau dari sudut perpaduan yang telah
ditunjukkan. Aku melihat dan mengalami sendiri bagaimana konsep perpaduan kaum itu
telah dilahirkan oleh anak-anak bangsa Malaysia dalam berbagai bentuk dan
tindakan yang dijelmakan. Aku hampir mengalirkan air mata apabila anak-anak
muda dari keturunan Cina menghulurkan kepada aku sebotol air apabila melihatkan
mata aku berair akibat daripada terkena gas pemedih mata. Bukan itu saja. Si
anak muda terus berada disamping aku menanyakan soalan-soalan seperti ‘ Pakcik
Ok ke?” Soalan-soalan seperti itu sudah cukup untuk ‘mengubati’ mata aku yang
berair.
Apakah itu bukan
semangat perpaduan namanya?
Kenyataan-kenyataan dan
slogan-slogan perpaduan telah menarik perhatian semua kaum yang hadir dalam
perhimpunan sedemikian. Slogan-slogan itulah yang telah memuncakkan semangat
patriotisme dan cintakan bangsa dan negara golongan yang hadir. Dan apabila
tiba masanya untuk mereka menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku’ akan dapat
dilihat rakyat menyanyikan dengan kuat dan penuh semangat tanpa ada arahan dan
paksaan. Mereka menyanyikan dengan sepenuh hati dan perasaan. Semua kaum
menyayikannya. Tidak ada pula undang-undang dan peraturan yang mewajibkan
mereka menyanyi.
Sekali lagi aku
termenung memikirkan keadaan yang wujud kini. Kadang-kadang aku juga menyoal.
Kemana perginya ‘rakyat’ yang patriotik dan bersemangat menyanyikan lagu
kebangsaan ‘Negaraku’ itu. Di mana mereka berada sekarang? Apakah golongan ini
jugakah yang ’enggan’ mengibarkan ‘Jalur Gemilang’ dan ‘liat’ untuk menyanyikan
lagu kebangsaan ‘Negaraku’
Dan tentulah aku
terkejut apabila mendapati bahawa sudah ramai yang tidak mahu mengibarkan
‘Jalur Gemilang’ dan ramai juga yang enggan menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Aku
tentunya semacam tidak percaya keadaan sebegini boleh berlaku disebabkan apa
yang ditunjukkan oleh rakyat ketika menghadiri perhimpunan BERSIH dan ketika
menghadiri ceramah Pakatan Rakyat adalah sebaliknya. Aku bersetuju dengan
pendapat seorang menteri yang mengatakan bahawa seharusnya perbezaan politik
tidak seharusnya mempengaruhi perasaan patriotisme rakyat Malaysia.
Tetapi aku merasakan
bahawa bukan rakyat tidak patriotik dan tidak juga rakyat tidak sayangkan
negara ini. Mereka amat sayang dan cintakan negara yang tercinta ini. Mungkin
disebabkan ada terdapat rasa kecewa di hati mereka yang menyebabkan mereka
bertindak demikian. Aku tidak dapat merasakan kekecewaan mereka itu dan tidak
juga dapat meneka dengan tepat tentang kekecewaan yang macam mana yang
menyebabkan sebahagian besar rakyat bertindak sedemikan.
Diambang kemerdekaan
yang ke 57 ini seharusnya kerajaan sedar bahawa wujudnya NGO-NGO yang ekstreme
memperjuangkan bangsa dan agama itu mungkin salah satu faktor yang menyebabkan
lunturnya semangat perpaduan dikalangan rakyat yang berbilang kaum. Kerajaan
telah dituduh bersubahat dengan kumpulan-kumpulan ini, walaupun pihak kerajaan
seringkali menafikannya.
Mungkin keengganan
kerajaan untuk bertindak tegas membenteras kumpulan sedemikian yang menyebabkan
ada rakyat yang ‘merajuk’…..Mungkin.
abuhassanadam
30 Ogos 2014