Friday, February 13, 2026

 

MENYAMBUT DATANGNYA BULAN RAMADHAN

Melihat keadaan kini, aku tidak dapat membayangkan samada kanak-kanak kini (yang beragama Islam) gembira menyambut kedatangan bukan Ramdhan. Bulan puasa. Bagi kanak-kanak yang berada dalam tahun-tahun 1950an, pastinya bulan puasa disambut dengan keriangan dan keseronokan. Apa tidaknya. Banyak yang menyeronokan.

Sekolah Melayu cuti selama sebulan pada bulan puasa. Penjajah British seolah-olah ‘tahu mengambil hati’ orang Melayu pada ketika itu dengan cara memberi cuti sekolah selama satu bulan. Disebabkan cuti sekolah yang panjang, dapatlah kami sepuas-puasnya bermain pada bulan puasa. ‘Jadual’ kami ‘penuh’, dari pagi sampai ke petang. Malah sampai ke tengah malam, kami masih ‘bersiar-siar’ di perkarangan Surau Ekor Dusun ( nama kampung aku).

Bila aku renung kembali tentang kisah-kisah lama, terutama zaman kanak-kanak tentulah terjawab beberapa persoalan mengapa kami sentiasa berada di luar rumah – bermain. Tidak ada apa yang menariknya suasana di rumah. Maksud aku tidak ada permainan yang boleh ‘memikat’ untuk kanak-kanak berada di rumah berbanding dengan keadaan kini di mana anak-anak boleh ‘melekat’ di rumah disebabkan berbagai-bagai tarikan yang membolehkan mereka berada di rumah. Jangankan ‘Ipad’, radio pun tidak ada. Tidak ada buku atau novel atau majalah untuk dibaca. Suratkhabar pun tidak ada. Bahan bacaan yang ada untuk dibaca hanyalah buku teks sekolah seperti  ‘Canai Bacaan’. Memang tidak menarik langsung!!..

Dengan demikian, tidak hairanlah kanak-kanak kampung (termasuk aku) mencari ‘hiburan’ di luar. Pagi-pagi lagi kami sudah keluar ‘berburu’, melastik burung. Pada waktu pagi begini biasanya, burung-burung akan berkeliaran mencari makan. Merbah, Murai, Kelicap akan hinggap ‘beramai-ramai’ di atas dahan Dedalu, berhampiran dengan kolam ikan, bucu bendang Pak Ngah Tengin. Aku, Ngah, Ani, akan bersedia dengan lastik untuk mencari peluang ‘membunuh’ mangsa.

Kini baru aku sedar bahawa perbuatan kami membunuh burung-burung itu sememangnya tidak harus dilakukan. Mengapa guru-guru zaman dahulu tidak menanamkan perasaan belas kasihan kepada burung-burung dan binatang-binatang. Seingat aku tidak pernah aku menerima nasihat atau teguran-teguran dari guru atau pun orang tua-tua di kampung supaya jangan membunuh binatang. Kami tidak diajar supaya menyayangi binatang sepertimana yang diajar kepada kanak-kanak kini.

Lantas seolah-olah kami ‘memusuhi’ semua binatang yang ditemui. Kami menganggap bahawa semua binatang adalah membahayakan. Mungkin yang terselamat daripada ‘dimangsakan’ adalah kucing. Itupun tidak kurang pengainayaan yang dilakukan terhadap kucing.

Kegiatan melastik burung-burung di Bucu Bendang Pak Ngah Tengin adalah merupakan ‘kegiatan harian’ kami. Di situ jugalah merupakan ‘meeting place’ anak-anak di kampung. Kadang-kadang hendak aku samakan ‘peranan’ pohon dedalu Bucu Bendang Pak Ngah Tengin itu seperti ‘peranan’ kelab-kelab Golf zaman ini  yang merupakan ‘meeting point’ golongan peminat golf untuk berjumpa dan bermesra disamping bermain golf.

Lebih kurang begitu jugalah ‘peranan pohon Dedalu Bucu Bendang Pak Ngah Tengin. Kami akan berkumpul di bawah pokok Dedalu sambil memerhatikan kalau-kalau ada Merbah atau Ciak yang singgah. Di sini jugalah kami belajar ‘menembak’ dengan menggunakan lastik. Ada juga antara kami telah berjaya mengorbankan burung-burung berkenaan dengan menggunakan lastik semata-mata untuk mendapat kepuasan. Yang anihnya kegiatan sedemikian tidak langsung harus dicontohi oleh anak-anak zaman ini. Aku amat sedar bahawa perbuatan sedmikian tidak harus dicontohi oleh anak cucu kemudian. Namun begitu tidak seorang pun (orang dewasa) yang menghalang perbuatan melastik burung itu.

Berhampiran dengan pokok Dedalu di Bucu Bendang Pak Ngah Tengin itu, terdapat juga pokok cherry yang menyediakan buah-buah yang ranum sebagai ‘sarapan pagi’ kami (waktu tidak berpuasa). Walaupun tidak mengenyangkan, namun cukup  untuk mengalas perut yang tidak berisi pada waktu pagi. Dan kebanyakan kami sememangnya tidak bersarapan pagi. Sarapan ‘rasmi’ kami hanyalah makan tengah hari dan makan malam. Kami tidak mengenali ‘sarapan pagi’ ataupun ‘tea break’ atau ‘afternoon tea’. Yang kami tahu ialah makan tengah hari dan makan malam. ‘Sarapan pagi’ atau ‘tea break’ atau ‘afternoon tea’ kami perolehi dengan cara memakan buah-buah hutan yang kebetulan ada sepanjang masa. Buah Helemba misalnya adalag sejenis buah-buah yang terlalu manis yang boleh diperolehi daripada pokoknya yang tumbuh meliar di pinggir hutan berdekatan dengan kampung kami. 

Dari bawah pohon Dedalu itulah kami merancang dan mengatur apakah ‘agenda’ seterusnya yang akan kami lakukan pada hari berkenaan. Permainan apa yang akan dimainkan pada hari berkenaan. Sekiranya telah ditetapkan untuk bermain gasing maka ‘gelanggang’ yang paling sesuai adalah di laman rumah Pan Anjang Judah….


 BUCU BENDANG Aabuhassanadam

13 Februari 2026


Thursday, February 12, 2026

 LAKSA PAK NGAH -"KUALE'

Bagi ‘Orang Kuale’ (penduduk daerah Kuala Kangsar) akan tahu ‘penangan’ laksa Pak Ngah. ‘Orang Kuale’ akan sentiasa ‘terkenang-kenangkan’ laksa Pak Ngah sekiranya berada di perantauan. Dan apabila balik kampung, mesti singgah di ‘Lembah’ terlebih dulu, ‘mencari’ laksa Pak Ngah. Selepas ‘kena’ dua pinggan barulah mula beredar ke kampung. Tak kiralah. Balik ke Kati ke, ke Cheh ke, Teroso (Toronto) ke, Liman ke, Padang Rengas ke, Lubuk Merbau ke, Peroyang ke, Talang ke, Chegor Galah (Chicago) ke, ke Sayung ke, Rambai Tujuh ke……..

Minggu lepas aku balik kampung. Ke Padang Rengas ler. Kampung Keroh Hilir. Mana lagi. Sudah agak lama tidak menziarahi pusara ayahnda bonda dan keluarga yang telah lebih awal pergi. Seperti biasa, singgah di Lembah Kuala Kangsar (‘Esplanade’ di tepi Sungai Perak), makan laksa Pak Ngah. Walaupun sudah terdapat berbagai jenama laksa dijual di situ, namun aku masih mencari laksa Pak Ngah.

Laksa Pak Ngah mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sebagai orang lama aku kenal secara peribadi Pak Ngah yang mula-mula menghasilkan laksa berkenaan. Kini Pak Ngah sudah tidak ada lagi. Menurut ceritanya, beliau telah meninggal ketika menunaikan fardu Haji di Mekah. Sudah agak lama. Namun ‘hasil karya’nya masih terus menerus dinikmati oleh orang ramai terutama penduduk Kuala Kangsar dan pelajar-pelajar Malay College dan Clifford School.

Penghujung 1950an dan awal 1960an, Pak Ngah menjual laksanya dengan menaiki basikal. Rumahnya ia itu tempat dia membuat laksa di belakang sekolah Chong Wah, Talang. Tidak jauh dari bandar Kuala Kangsar. Kini sudah menjadi restoran untuk menikmati laksa Pak Ngah. Sebelum perniagaan laksanya berkembang, maka Pak Ngah akan mengayuh basikalnya ‘mudik’ ke Padang Rengas melalui kampung-kampung Talang, Kuala Dal, Padang Assam, Batu 17, Paya Panjang dan sampailah dia di pekan Padang Rengas. 

Pak Ngah akan menjual laksanya berhadapan dengan pejabat pos Padang Rengas berhampiran dengan ‘Sekolah Cikgu Salmah’ ( Sekolah Perempuan padang Rengas). Itu pun kalau tidak kehabisan sepanjang perjalanannya dari Talang ke Padang Rengas. Kadang-kadang belum sampai ke Padang Assam, laksa Pak Ngah telah habis terjual. Sepanjang perjalanannya, beliau akan ‘disekat’ oleh ‘peminat-peminat’ yang ingin menikmati laksanya. Maka Pak Ngah akan berhenti dan menjual laksanya. Tidak perlu kerusi meja untuk makan. Sambil berdiri, sambil mencangkung ‘peminat’ makan laksa Pak Ngah.

Seingat aku sehingga tahun 1970an Pak Ngah masih menjual laksanya dengan cara sedemikian. Cuma bezanya pada tahun-tahun 1970an beliau telah menggunakan motosikal menggantikan basikal buruknya. Cara beliau menjalankan perniagaan laksanya masih sama dan kemesraannya dengan ‘peminat-peminat’ seperti kami juga tidak berbeza. Beliau sentiasa mengungkapkan ayat-ayat ini. “ Laksa aku ni, lawyer makan, magistret makan, doktor makan…….” menunjukkan laksanya amat diminati oleh pelajar-pelajar Malay College, Clifford School dan pelajar-pelajar dari sekolah lain.

Maksud beliau begini. Beliau telah menjalankan perniagaan laksanya semenjak  tahun 1950an lagi dan hampir seluruh pelajar Malay College dan Clifford School pernah makan laksa Pak Ngah. Pak Ngah begitu bangga dengan keadaan itu kerana kebanyakan pelajar yang pernah menjadi pelanggannya dulu telah pun menjadi orang dewasa dan memegang jawatan penting. Dan yang menjadi kebanggaanya, mereka masih lagi terus menerus ‘meminati’ laksanya. Justeru beliau selalu mengungkapkan, “ Laksa aku ni, lawyer makan, magistret makan, doktor makan…….”

Tentulah ada peristiwa yang melucukan dan yang masih segar dalam ingatan ku yang berhubung kait dengan Pak Ngah Laksa. Di Government English School Padang Assam, Pak Ngah juga menjual laksanya. Sekitar tahun 1958, ketika aku masih bersekolah di situ. Yang masih segar dalam ingatan aku ialah bagaimana murid-murid berkejaran menuju laksa Pak Ngah apabila sampai waktu rehat. Itu bukanlah perkara yang melucukan.

Yang betul-betul melucukan ialah bagaimana Pak Ngah terpaksa ‘mengawal’ dengan ketat buyung tempat kuah laksanya. Kami sentiasa mahu menambah kuah laksa setelah laksanya habis di makan. ‘Refill”. Rata-rata pada ketika itu kami tidak mampu menambah sepiring lagi walaupun harganya hanya 10 sen. Oleh itu kami hanya mampu ‘menambah’ kuah laksanya sahaja. Itu pun cuma sekali tambahan sahaja yang dibenarkan oleh Pak Ngah. Ramai juga yang ingin menambah dua atau tiga kali. Itu yang menyebabkan Pak Ngah terpaksa ‘mengawal’ dengan ketat sekali buyung kuah laksanya!....

Masih aku ternampak muka kawan-kawan aku seperti Adib, Shafie, Khairul yang sememangnya ‘jaguh’ dalam kegiatan ‘mencuri’ kuah laksa dari buyung Pak Ngah ketika itu…….


abuhassanadam

12 Februari 2026


Monday, February 9, 2026

 MALAYSIA KINI KEHAUSAN ‘ORANG PERJUANGAN’

Mungkin rakyat Malaysia sudah merasakan bahawa negara ini sudah ketandusan ‘orang perjuangan’ tidak seperti Tanah Melayu zaman penjajahan yang memiliki ramai ‘orang perjuangan’ seperti Dato’ Maharajalela Perak, Dato Bahaman dari Pahang, Tok Janggut dari Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu. Sumbangan mereka terhadap bangsa dan negara tidak dapat dinilai dengan wang ringgit walaupun bernilai RM2.6 billion.

Orang Melayu ketika itu terus menerus berasa bertuah kerana memiliki ‘orang perjuangan’ seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Haji Yaakub. Mereka sebenar-benarnya pejuang tulin yang sanggup mengabdikan diri kepada perjuangan bangsa tanpa rasa takut dan bimbang dan jauh daripada memikirkan tentang laba dan keuntungan seperti yang terdapat kepada pemimpin hari ini. Matlamat hidup dan perjuangan mereka adalah semata-mata membebaskan tanah air daripada penjajahan walaupun terpaksa ditebus dengan nyawa.

Amat berbeza sekali dengan ‘pemimpin’ (jikalau masih boleh lagi digelar sebagai pemimpin) kini yang matlamat hidup mereka seolah-olah hanya mementingkan wang dan mengenepikan persoalan perjuangan menegakkan bangsa.

Kaum guru pada zaman penjajahan lebih merupakan ‘orang perjuangan’ yang berjuang mendidik anak bangsa disamping memperjuangkan kemerdekaan tanah air dari belenggu penjajahan. Sumbangan pelatih guru (yang kemudiannya menjadi guru dari Sultan Idris Trainning College –SITC) tidak ada tolak bandingnya dalam sejarah memperjuangan rakyat khususnya orang Melayu. Golongan guru inilah yang telah menyemaikan benih perjuangan dikalangan anak-anak bangsa yang kemudiannya tumbuh bercambah disegenap pelusuk tanah air. Benih yang ditanam oleh guru inilah yang telah mencetuskan semangat perjuangan menentang penjajahn yang kemudiannya menghasilkan kemerdekaan tanah air.

Malang sekali bagi rakyat Malaysia kini. Walaupun peranan guru sebagai pendidik masih berterusan namun kaum guru kini tidak merupakan ‘orang perjuangan’ seperti peranan yang telah dimainkan oleh guru-guru zaman penjajahan. Mungkin agaknya para guru sudah ‘berpuas hati’ dengan keadaan masyarakat Malaysia kini yang sudah pun dianggap ‘merdeka’ dan maju. Dan seolah-olah kaum guru sudah ‘menyarungkan’ semula segala senjata-senjata yang digunakan dalam zaman penjajahan dulu.

Persatuan guru dan kesatuan guru-guru semacam sudah tidak berperanan lagi selain dari berperanan mendidik anak-anak di sekolah. Kesatuan guru-guru semacam sudah amat berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran dalam negara kita. Mereka bukan lagi berperanan semacam ‘mata dan telinga’ masyarakat untuk ‘memerhatikan’ perjalanan jentera kerajaan. Apakah mereka sudah tidak ada ‘taring’ lagi untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati terhadap apa yang berlaku di negara kini. Dan apakah para guru atau khususnya kesatuan guru sudah tidak berani langsung ‘angkat muka’ untuk menyuarakan sesuatu yang benar. Dan apakah pemimpin kesatuan guru kini sudah begitu ‘kekenyangan’ sehinggakan ‘terlelap’ dan tidak dapat bersuara lagi.

Rakyat Malaysia juga ‘merindui’ tokoh-tokoh wartwan seperti ZABA, Abdul Rahim kajai,Usman Awang, Keris Mas, A.Samad Ismail yang seolah-olah seluruh hidup mereka ‘diabdikan’ kepada perjuangan membela bangsa dan negara. Mereka sebenar-benarnya ‘orang perjuangan’ tulin. Mereka tidak takut dimasukkan ke dalam penjara. Mereka berjuang bukan kerana ada agenda-agenda tertentu atau menjadi ‘kuda tunggangan’ golongan politik tertentu. Mereka sanggup ‘berpanas dan berhujan’ demi untuk menyelamatkan bangsa dan negara. 

Apakah masih ada sifat kewartawanan sedemikian di Malaysia kini. Aku merasakan mungkin ada tetapi tidak ramai ‘species’ yang sedemikian. Mungkin ramai para wartawan dan penulis tanah air kini yang menulis mengikut rentak dan ‘arahan’ sebagaimana yang diarahkan dari masa kemasa. Lantas apakah mereka layak bergelar ‘orang perjuangan’ sepertimana golongan wartwan zaman penjajahan.

Rakyat Malaysia kini seolah-olah amat kecewa dengan ketiadaan pemimpin yang sebenar-benarnya dapat berjuang untuk negara dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat berlandaskan keihklasan sebenar-benarnya. Semacam sudah betul-betul pupus tokoh yang boleh disandarkan harapan untuk memimpin negara ini. Mahu tak mahu rakyat masih meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Tun Dr. Mahathir yang kelihatan masih tidak berubah perjuangannya membela bangsa dan negara. Dan rakyat juga masih tidak mahu berputus asa dan masih mengharapkan sesuatu akan berlaku yang masih meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada  Saudara Anwar Ibrahim  untuk terus memimpin rakyat Malaysia yang tercinta ini.

Bagi aku tokoh inilah antara tokoh-tokoh yang boleh dianggap sebagai ‘orang perjuangan’ di negara ini yang ‘bermati-matian’ membela bangsa dan negara.

abuhassanadam

10 Februari 2026




Saturday, February 7, 2026

 PAKATAN MEMBAWA KEMAJUAN

Walaupun apa yang telah dilakukan oleh kerajaan selama setengah abad ini dikira berjaya membantu orang Melayu namun masih ada lagi ‘tompok-tompok’ kegagalan kerajaan di sana sini. Mahu tak mahu orang Melayu mesti dibantu. Dan tidak pula bermakna bahawa orang bukan Melayu mesti diketepikan. Kaum-kaum yang memerlukan samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan mesti dibantu seiring dengan hasrat kerajaan yang menganggap bahawa mereka juga adalah rakyat Malaysia.

Namun aku kurang bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa golongan bukan Melayu tidak harus diberikan keutamaan. Maknanya segala bantuan dan tumpuan mesti diuatamakan kepada orang Melayu. Alasannya ialah bahawa orang Melayu terutama di kawasan luar bandar yang telah memberikan kemenangan besar kepada kerajaan BN dalam PRU yang lalu. Apakah ini merupakan rasional yang betul dan tepat? Adalah dirasakan ramai orang Melayu yang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian.

Aku terpaksa bersandar kepada fakta sejarah untuk meneruskan hujah bahawa orang Melayu (yang miskin) mesti terus dibantu, walapun golongan bukan Melayu (yang memerlukan) tidak harus diabaikan. Aku teringat kepada detik sejarah negara dimana pemimpin negara yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum amat sukar untuk menyelesaikan isu kerakyatan Jus Soli. Kaum bukan Melayu pada ketika itu terus menerus mendesak agar kerakyatan diberikan kepada bukan Melayu yang telah buat beberapa lama tinggal dan telah sedikit sebanyak memberikan sumbangan kepada  negara ini. 

Orang Melayu melalui UMNO pula terus menerus menentang cadangan pemberian kerakyatan kepada golongan imigran itu, dengan alasan bahawa negara ini adalah sah dimiliki oleh orang Melayu. Dan mereka juga memberikan contoh negara jiran seperti Indonesia dan negara Thai yang tidak langsung ‘memberi muka’ kepada golongan imigran di negara mereka. Di negara Thai misalnya Pibhul Songgram bertindak ganas terhadap sekolah Cina dan akhbar Cina. Orang Melayu sentiasa menjadikan keadaan di Thailand dan Indonesia sebagai contoh bagi mereka untuk menolak kerakyatan Jus Soli yang diperjuangkan oleh golongan bukan Melayu.

Atas semangat pakatan murni dan rundingan yang diadakan antara kaum, maka akhirnya Raja-Raja Melayu telah bersetuju memberikan kerakyatan ‘jus soli’ kepada golongan imigran, khususnya orang Cina dan India  yang telah sekian lama tinggal di negara ini dengan syarat golongan bukan Melayu mengiktiraf kedudukan istemewa yang diberikan kepada orang Melayu. Itu merupakan satu ‘ikatan kekeluargaan’ yang sungguh mantap dikalangan penduduk di negara ini. 

Dirasakan bahawa tidak ada negara di dunia yang telah membuat satu pakatan dan rundingan ‘sehebat’ itu yang telah menyebabkan pihak penjajah British ‘kagum’ dengan pakatan yang telah ditunjukkan oleh ketiga kaum terbesar di negara ini. Dan pakatan inilah yang telah berjaya mencipta dan membangunkan negara ini seperti mana yang dapat dilihat kini. Tentulah terdapat kelebihan dan kekurangannya.

Semangat menolong orang Melayu juga seharusnya kembali kepada semangat yang dicetuskan oleh Dato Onn Jaafar dan Tan Cheng Lock ketika mereka menerajui Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum ( Consultative Liason Committee) pada tahun 1949 dahulu. Keikhlasan mereka untuk betul-betul menolong Melayu terpancar dalam hasrat mereka menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Desa atau RIDA (Rural Industrial Development Authority) yang bermatlamat untuk memajukan orang Melayu di kampung-kampung dalam lapangan ekonomi.

Golongan Melayu masih lemah dalam semua lapangan walaupun diberikan bantuan dan pertolongan oleh pihak kerajaan. Ini tidak pula bermakna bahawa orang Melayu tidak berusaha untuk menempa kejayaan dan membaiki diri. Tidak pula bermakna bahawa orang Melayu itu malas sebagaimana yang pernah digembar-gemburkan oleh pihak British pada suatu ketikaa dahulu. 

Hakikatnya orang Melayu masih lemah. Tentulah banyak sebab-sebabnya. Tidak perlulah kita menuding jari ke arah mana untuk kita meletakkan kesalahan itu.Yang jelasnya, bahawa kaum bukan Melayu telah berusaha untuk memahami kedudukan orang Melayu yang lemah dalam berbagai lapangan itu. Kaum bukan Melayu simpati dengan keadaan itu. Golongan bukan Melayu tidak pernah mempersoalkan mengenai ‘hak keistemewaan yang diberikan kepada orang Melayu’ seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara. 

Dan golongan bukan Melayu juga telah bekerjasama dengan kerajaan memberikan makna sebenar kepada dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan pada awal tahun 1970an. Golongan bukan Melayu faham bahawa orang Melayu perlu dibantu dalam usaha untuk menjadikan sebuah negara aman untuk dinikmati oleh semua rakyat di negara ini. Walaupun wujud perasaan ketidakpuasan dikalangan segelintir golongan bukan Melayu berkaitan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, namun pada dasarnya DEB dipersetujui oleh semua kaum di negara ini.

Tetapi soalnya ialah sampai bila orang Melayu perlu dibantu? Dan yang menyedihkan ialah majoriti orang Melayu ( terutama yang berada di luar bandar) masih dalam keadaan yang memerlukan. Seolah-olah DEB telah disalahertikan. Disalahgunakan. Dan konsep ‘kedudukan istemewa orang Melayu’ telah digunakan oleh pihak tertentu untuk memberikan kekayaan kepada kaum keluarga dan sahabat handai mereka sedangkan majority Melayu di luar bandar masih dalam keadaan miskin papa kedana, mengaharapkan bantuan dari kerajaan.

Perlembagaan Malaysia juga telah melahirkan ramai orang Melayu. Bukan semua orang Melayu mesti dibantu. Bukan semua yang pandai berbahasa Melayu dan beragama Islam mesti dibantu. Sudah begitu ramai golongan bukan Melayu yang memeluk agama Islam dan menggunakan nama Melayu ‘ bin atau binti Abdullah’. Jikalau dahulu mereka menggunakan ‘s/o’  maka kini mereka telah menggunakan ‘bin’ dan ‘binti’. Terlalu ramai yang berkeadaan demikian. Sekiranya kumpulan ini mahu dikategorikan sebagai Melayu, maka tentulah semakain ramai yang memeluk Islam nanti untuk mendapatkan ‘status’ sebagai Melayu.

Kelemahan orang Melayu kini tidak harus dipersalahkan sepenuhnya kepada orang lain, kaum bukan Melayu misalnya. Mungkin yang harus dipersalahkan juga ialah pemimpin Melayu itu sendiri yang bertanggungjawab diatas kegagalan dan kelemahan orang Melayu walaupun setelah setengah abad mencapai kemerdekaan. 

abuhassanadam

7 Februari 2026






Wednesday, February 4, 2026

RAKYAT MUAK ISU PERKAUMAN PEMBANGKANG

Rakyat Malaysia dari segenap lapisan dan yang cintakan perdamaian sudah jemu dan jelak dengan isu perkauman yang sentiasa ‘didendangkan’oleh para pemimpin khususnya pemimpin parti pembangkang. Kadang-kadang terfikir juga bahawa tidakkah pemimpin yang sentiasa mendendangkan isu sedemikian sedar bahawa rakyat sudah meluat dengan keadaan yang ‘didendangkan’ itu.

Memanglah senang untuk ‘menakluki’ emosi golongan rakyat yang suka dengan keadaan sedemikian tetapi golongan rakyat yang suka dengan keadaan sebegitu sudah tidak ramai. Namun demikian sekiranya dibiarkan dipupuk dan dibaja maka golongan yang berfikiran sedemikian akan berkembang dan terus hidup subur juga.

Isu perkauman kebiasaannnya ‘dimainkan’ dalam kempen-kempen pilihanraya samada PRK ataupun PRU. Dan yang menaburkan ‘fitnah’ ke arah itu adalah pihak parti pembangkang. Berbagai perkara dan isu dikaitkan dengan isu perkauman yang matlamat akhir mereka ialah akan wujud perpecahan yang boleh menguntungkan parti yang diperjuangkan oleh mereka. Golongan ini hanya ‘bersandarkan’ kepada isu perkauman untuk memenangi hati rakyat demi memenangi sesuatu PRK. Dalam suatu PRK  yang berlangsung kini, terang-terang ada isu perkauman dimainkan walaupun dilaksana secara berselindung. Apabila PAS dengan jelas mengatakan bahawa mereka menyokong UMNO kerana menentang DAP. Dengan jelas menampakkan kecondongan untuk menggunakan isu perkauman dalam PRK berkenaan.

Apakah tidak ada cara lain untuk memenangi PRK?  Apakah para pemimpin parti pembangkang  merasakan bahawa  itu saja cara yang boleh dieksploit untuk memenangi hati rakyat (yang suka mendengar isu sebegini)?. Para pemimpin parti pembangkang satu demi satu terpalit dengan isu rasuah. Dan tidak terkecuali juga pemimpin di pihak kerajaan. Diharapkan keadaan sebegini akan berhenti.

Berlatarbelakangkan suasana sedemikian rupa maka, mahu tidak mahu parti pembangkang seperti UMNO dan PAS semacam terpaksa menggunakan isu perkauman demi untuk mempengaruhi undi kaum Melayu. Dan sememangnya semenjak zaman berzaman isu perkauman ini digunakan sewenang-wenangnya. Seingat aku parti-parti lain seperti Gerakan, DAP juga pernah mengamalkan menggunakan isu perkauman dalam kempen pilihanraya di Malaysia ia itu ketika parti berkenaan sebagai pembangkang dalam kerajaan Malaysia.

Disebabkan bermaharajalelanya isu perkauman diamalkan dalam kempen pilihanraya tahun 1969 telah menyebabakan berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969 yang merupakan titik hitam dalam sejarah Malaysia. Peristiwa berkenaan telah menyedarkan generasi yang melalui detik pahit itu dan semenjak itu tidak pernah terdengar lagi peristiwa seperti itu berulang. Rakyat umum sedar bahawa tidak ada gunanya isu-isu perkauman diulang-ulang. Dengan demikian rakyat Malaysia pada umumnya bertaut rapat mendokong konsep perpaduan dikalangan rakyat Malaysia. 

Tetapi persoalannya ialah pemimpin politik pula yang sentiasa menimbulkan isu-isu sensitif yang membabitkan Melayu dan bukan Melayu. Sehingga ke saat ini rakyat Malaysia amat toleren menghadapi keadaan yang wujud ini dan pujian harus diberikan kepada rakyat Malaysia yang masih mendokong konsep perpaduan rakyat ini dengan penuh tanggungjawab. Walau bagaimanapun sekiranya isu perkauman itu terus menerus dimainkan, takut kalau-kalau generasi Malaysia akan datang tidak lagi mengamalkan apa yang telah diamalkan oleh generasi ‘lama’ yang akan lenyap tidak lama lagi.

Pemimpin politik, khususnya golongan politik pembangkang harus menyedari hakikat ini. Negara ini telah terbina dengan kukuhnya oleh pemimpin terdahulu dan hendaknya jangan dirobohkan oleh pemimpin kini.

abuhassanadam

5 Februari 2026



 


Sunday, February 1, 2026

 RAKYAT MALAYSIA SOKONG PENUH MACC

DS Anwar Ibrahim memberikan tempoh seminggu bagi pemimpin dan penjawat kerajaan untuk menyatakan pendirian samada menyokongg Malaysia menyatkan pendmenyatakan pendirianuntuk Runtuk menyatakan pendirian samada menyokong sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh kerajaan dalam memerangi rasuah di Malaysia. Rupanya rakyat Malaysia masih ‘waras’. Masih ramai lagi rupanya yang memahami apa yang diarasakan oleh MACC apabila berhadapan dengan tindakan demi tindakan yang dilalui olehnya dalam usaha mereka untuk menyiasat kebenaran yang ingin didedahkan oleh MACC. Seolah-olah ada pihak-pihak tertentu yang cuba ‘menghalang’ usaha para pegawai MACC yang cuba mendedahkan perkara sebenar mengenai keadaan rasuah di negara ini.

Rakyat pada mulanya menganggapkan bahawa ‘rintihan’ para pegawai MACC sebagai satu ‘sandiwara’ yang sedang mereka pentaskan. Ramai rakyat yang beranggapan demikian. Ada juga asasnya mengapa rakyat beranggapan sedemikian rupa. Walaupun terlalu sukar untuk dibuktikan tentang beberapa tindakan MACC sebelum ini yang dirasakan ‘tidak sepatutnya’ bersikap demikian, namun apabila melihatkan bahawa MACC seolah-olah ‘minta nyawa’ daripada rakyat dalam usahanya menjalankan tugas menegakkan kebenaran  maka rakyat telah dengan rela hati 'menghulurkan' bantuan dan sokongan. 

Mungkin ini cara rakyat Malaysia ‘memerangi’ segala penyelwengan yang dilakukan oleh kepimpinan negara. "Situasi terkini yang menyaksikan kehilangan kepercayaan dan keraguan masyarakat terhadap SPRM, hanya boleh diatasi dengan memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut atau gentar…… Persepsi orang ramai bahawa pegawai-pegawai penyiasat SPRM kini sedang disiasat perlu ditangani dalam apa jua cara……..PPPR juga berpendapat bahawa semua pihak yang diberi kepercayaan untuk membuat siasatan perlu bekerjasama demi mencari kebenaran," dalam Malaysiakini bertarikh 6 Ogos 2015.

Amat diyakini bahawa yang menyebabkan berbagai pihak telah ‘bangun’ untuk mempertahankan tindakan MACC adalah ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin yang bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

  "Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini.Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini…….Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat……Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing," kata beliau.

Tidak selalu rakyat Malaysia mendengar kenyataan seberani itu dari mulut seorang pegawai kerajaan yang terikat dengan berbagai peraturan dan undang-undang. Mungkin disebabkan ‘kekecewaan’ yang amat sangatlah agaknya yang menyebabkan beliau sanggup menghamburkan perasaannya dalam bentuk yang amat menyentuh perasaan rakyat Malaysia keseluruhannya, tidak mengira dari pihak mana dan fahaman politik yang berlainan.

Dilaporkan juga bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRM) mengucapkan terima kasih di atas kunjungan dan sokongan kira-kira 10 wakil rakyat pembangkang yang telah datang ke ibu pejabatnya di Putrajaya bagi memberikan sokongan padu.Pengarah Komunikasi Strategiknya, Datuk Rohaizad Yaakob mengucapkan terima kasih terhadap sokongan yang diberikan. Katanya,

"Terima kasih banyak-banyak kerana beri sokongan pada SPRM…….Kami buat kerja kami sehabis baik secara jujur, telus dan sepenuh masa," Malaysiakini 6 Ogos 2015.

Rakyat Malaysia dari segenap lapisan amat mengharapkan kepada MACC yang dirasakan boleh ‘diharap’ untuk menjalankan tugas dengan seikhlas mungkin mencari kebenaran. Malah telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penjelasan yang diberikan. Kemelut ini harus diselesaikan segera. Negara sedang mengahdapi keadaan yang ‘parah menanah’. Rakyat yang tidak bersalah terus menerus menderita. Satu titik noktah harus ditemui segera demi kesinambungan bangsa Malaysia yang maju dan makmur.


abuhassanadam

1 Februari 2026









Friday, January 30, 2026

GURU 'MENANGIS' LAGI

APAKAH GURU YANG MENDIDIK DIPERSALAHKAN

Jelas benar kelihatan di wajah YAB Saudara Anwar Ibrahim tentang kebimbangannya menularnya penyakit rasuah. yang begitu menular di negaraMalaysia yang tercinta akibat dari 'malapetaka Ddapat aku bayangkan tentang kebimbangan dan kerisauan yang dialami oleh banyak orang di Malaysia kini yang sedikit sebanyak terlibat dengan kegiatan rasuah. Aku yakin ramai pemimpin negara dan para pegawai tinggi kerajaan yang tidak berapa lelap tidur memikirkan nasib yang akan menimpa mereka. Mungkin hanya menununggu ‘hari baik dan bulan baik’ untuk rumah mereka diserbu oleh pegawai SPRM. Dan tentulah mereka juga faham dan sedar tentang lumrah alam ia itu ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’.

Peribahasa ini harus disedari dan dihayati oleh mereka yang belum lagi terlibat dengan kegiatan rasuah. Bermula dari Perdana Menteri sehinggalah Menteri-Menteri dan Pegawai tinggi kerajaan harus sedar tentang hakikat ini. ‘Pembalasan’ di dunia akan sampai juga lambat laun. Hanya masa yang menentukan. Sepandai mana ‘tupai melompat’ akhirnya pasti jatuh ke tanah juga. Sebijak mana pun perasuah ini cuba menyembunryikan diri namun akan ‘terserlah’ juga kegiatan mereka yang terkutuk itu.

Aku terasa sedih membaca berita pegawai tinggi kerajaan kita yang terlibat dengan kegiatan rasuah berkenaan. Sebagai golongan ‘warga emas’ aku dapat merasakan derita yang dialami oleh ‘tokoh’ yang dilibatkan dengan kegiatan rasuah itu.Tidak dapat aku bayangkan betapa ‘terhina’nya keluarga ‘tokoh’ yang terlibat dengan rasuah itu. Bayangkanlah, dalam usia yang sedemikian, yang sepatutnya berada ‘diambang’ untuk merehatkan diri setelah ‘bertungkus lumus’ (kononnya!) berkhidmat untuk negara, tiba-tiba nasib yang sedemikian yang menimpa. Bukan lagi tilam empuk dan bilik berhawa dingin yang menanti dan menunggu tetapi sesuatu keadaan yang tidak pernah terbayang di hati perasuah sedemikian.

Apakah erti kekesalan dalam keadaan yang sedemikian. Ini yang dikatakan ‘sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tiadak berguna’. Tentulah tidak terfikir ‘tokoh’ yang menenerima rasuah, yang memiliki harta yang melimpah ruah, wang berjuta disamping barangan-barangan yang berjenama mewah terjerumus dalam keadaan yang amat terhina.Apalah ertinya wang berjuta apabila ‘ditenggelamkan’ dalam keadaan sedemikian. Apakah erti hidup bagi ‘tokoh’ yang mengalami keadaan sedemikian.

Untuk menambah peritanya derita yang dialami tentulah keluarganya ( yang turut bersalah) dan yang tidak bersalah. Jikalau pun anggota keluarganya turut bersubahat dengan keadaan sedemikian, tentulah ibu dan bapa yang tua di kampung tidak dapat dipersalahkan kerana ‘mendidik’ anak yang sedemikian.Tentulah keadaan yang sedemikian tidak diinginkan oleh ibu bapa yang mendidik anak semenjak dari kecil. Tentulah berbagai nasihat dan pengajaran yang telah dicurahan oleh si ibu dan si bapa agar anak menjadi manusia yang berguna dan bukannya menjadi perasuah dan ‘makan wang haram’. Tentulah sejarah hitam akan terus berpanjangan sehingga melangkau beberapa generasi yang akan datang. Dan kisah ‘hitam’ sebegini akan terus disebut dan diingati sehingga beberapa dekad yang akan datang.

.Apakah ibu bapa kepada perasuah boleh lena dan dapat melelapkan mata pada waktu malam apabila mengenangkan anak didikannya berada di dalam lokap dan berkemungkinan akan terus berada di penjara suatu ketika nanti.

Apakah ibu bapa kepada perasuah dapat mengelakkan diri dari cemuhan masyarakat ekoran daripada tindakan anak (perasuah) yang tidak berhati perut.

Apakah anak atau cucu kepada perasuah dapat merasa tenang ketika berada di sekolah, apabila berhadapan dengan rakan-rakan sekolah yang tahu kisah ‘pencurian wang’ yang dilakukan oleh datuk nenek mereka.

Dan yang paling menyedihkan lagi ialah apabila ada anggota keluarga yang sanggup bersubahat dan terus melakukan kegiatan rasuah yang dilakukan oleh bapa mereka. Dan ada juga terdengar tentang kisah isteri pegawai tinggi yang perasuah itu adalah merupakan seorang guru.

Ke manalah agaknya hilang pedoman dan ‘perjuangan’ seorang guru yang sepatutnya menjadi contoh dan cermin masyarakat, membiarkan sang suami bermaharajalela ‘membaham’ wang rakyat yang merupakan titik peluh petani dan nelayan. Apakah tidak merasa berdosa dan bersalah ketika ‘mendidik’ anak-anak di sekolah?

Rakyat Malaysia sedar dan faham bahawa kegiatan menerima rasuah dan pembaziran merupakan satu fenomena yang lumrah di Malaysia kini. Kegiatan sedemikian seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dan ‘darah daging’ dikalangan pemimpin negara dan pegawai tinggi kerajaan di Malaysia. Saban tahun Ketua Audi Negara membentangkan keteresan yang berlaku dalam perbelanjaan wang negara oleh kementerian-kementerian di Malaysia. Seolah-olah apa yang disuarakan oleh Ketua Audit Negara itu dipandang sepi oleh pihak-pihak tertentu.

Terjadi kegiatan rasuah yang berleluasa ini mungkin juga didorongkan oleh prinsip ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Mungkin juga disebabkan oleh para pemimpin negara yang sudah tidak segan silu melakukan kegiatan yang terkutuk ini telah menyebabkan pemimpin bawahan dan pegawai kerajaan negara ini sudah tidak segan silu lagi melakukan kegiatan sedemikian. Mungkin…

Mungkinkah suatu ketika nanti negara ini diberi gelaran Negara Rasuah? Aku sentiasa memikirkan tentang nasib anak cucu aku yang akan datang yang terpaksa menanggung beban hutang yang membebankan.


abuhassanadam

30 Januari2026