Monday, October 16, 2023

 


MAS KAHWINNYA 'ENAM PULUH-DUA TENGAH TIGA'

Aku tak tahu samada masih lagi terpakai  'Enam Puluh Dua Tengah Tiga' ini sebagai mas kahwin di Perak khususnya di kawasan Padang Rengas. Seingat aku, itulah kenyataan yang perlu diucapkan oleh seseorang ketika menghadiri akad nikah  di kawasan ini. Mesti ikut cara sedemikian.

Tuan Kadhi akan memegang (bersalam) tangan pengantin dan memanggil namanya. Setelah si pengantin menjawab maka Tok Kadhi akan memulakan akad nikah dengan mengatakan, ' Aku nikah akan dikau dengan ( nama pengantin perempuan)  dengan mas kahwinya sebanyak 'enam puluh dua tengah tiga' yang kemudian tok Kadhi akan 'menghenjut' tangan si pengantin. Si pengantin pula akan 'response' sepontan dengan jawaban ,' Aku terima nikahnya (nama pengantin perempuan) dengan Mas kahwin sebanayak enam puluh dua tengah tiga'.

Yang 'memeningkan' kepala bakal pengantin pada ketika itu, terutama yang akan melalui istiadat pernikahan ialah maksud 'enam puluh dua tengah tiga' itu. Rupa-rupanya adalah ' enam puluh dua ringgit lima puluh sen' . 'Tengah tiga' itu maknanya 'dua ringgit lima puluh sen'. Maknanya tidak sampai tiga ringgit. Hanya dua ringgit lima puluh sen'. Mengapa 'tak dicukupkan tiga ringgit? Mungkin untuk mengkaji hal sedemikian perlulah dikaji zaman Sultan Alang Iskandar yang menjadi Sultan Perak pada suatu ketika dulu. Mungkin pada zaman itulah keadaan sedemikian berlaku.

Menghadhiri majlis pernikahan tahun 60an ( yang aku pernah lalui sebagai 'pengapit) dan tahun-tahun sebelumnya adalah suatu 'penyiksaan'. Keadaan pada zaman itu merupakan satu keadaan yang agak berbeza dengan zaman ini. Istiadat pernikahan yang sepatutnya boleh dilakukan hanya dalam masa beberapa minit sahaja kadang-kadang mengambil masa begitu lama. Berjam-jam. Kadang-kadang sampai pada keadaan terpaksa ditangguhkan majlis akad nikah berkenaan disebabkan tidak sempurna jawapan si pengantin tentang lafaz nikah. Ada yang terpaksa dimandikan terlebih dahulu sebelum dimulakan 'akad' seterusnya. Itu berlaku dan bukan satu jenaka.

Keadaan sedemikian bukan merupakan keadaan yang luar biasa. Pernah berlaku kepada seorang rakan aku yang kurang bernasib baik yang mana beliau dilahirkan 'gagap'. Beliau dipaksa juga melafazkan akad nikah itu dengan sempurna tanpa memikirkan kelemahan asal yang ada pada dirinya. Dan tidak pula 'ditegur' oleh orang kebanyakan (orang kampung) tentang perangai Tok Kadhi yang tidak berperi kemanusiaan itu. Walaupun akhirnya 'dilepaskan' namun pihak si pengantin sudah merasa amat malu dengan keadaan sedemikian.

Walaupun dengan cara bergurau dan 'direstui' oleh orang kampung sikap setengah Tok Kadhi dengan sikapnya yang suka 'membuli' pengantin di istiadat pernikahan, namun keadaan sebegini harus dihentikan. Dan tentulah diucapkan syabas dan tahniah kepada Dato Dr. Asri Zainal Abidin, Mufti Negeri Perlis yang berani 'memerangi' keadaan yang sudah tidak berapa sesuai dengan keadaan zaman ini.

Diharapkan keadaan sebegini sudah tidak wujud lagi di kampung-kampung sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman suatu ketika dahulu.

abuhassanadam

17 Oktober 2023


No comments:

Post a Comment